Majlis Tertinggi UMNO telah
menggantung jawatan Muhyiddin Yassin, Timbalan Presidennya dengan begitu mudah
tanpa merujuk kepada Jawatan Kuasa Disiplin parti dan apa-apa lagi yang perlu
dibuat sebelum menggantung jawatannya itu. Yang digantung itu adalah Timbalan
Presiden parti yang dipilih oleh perwakilan. Maka adalah wajar UMNO memanggil
perhimpunan agong khas bagi merujuk tindakan Najib dan Majlis Tertinggi kepada
ahli melalui perwakilan dari setiap bahagian UMNO dari seluruh negara.
Dalam perhimpunan agong itu
Presiden parti perlu memberikan penerangan dan beri sebab Timbalannya digantung
dan Muhyiddin sendiri wajar hadir dan memberikan pandangan dan jawapan kenapa
beliau bertindak menegur Presiden parti berhubung dengan isu terbesar dalam
dunia ini yang dikaitkan dengan Presiden parti. Perhimpunan Agong Khas ini amat
wajar diadakan jika UMNO mahu melihat parti itu tidak menghadapi masalah besar
yang lain dan Najib sendiri boleh mempertahankan diri beliau dalam parti selain
dari menggunakan kuasa eksekutif memecat Muhyidn secara ‘unilateral’ dan
mengikut sesuka hatinya tanpa merujuk kembali kepada ahli yang memilih
Muhyiddin dahulu.
Jika kita hendak bercerai dengan
isteri amatlah penting dan wajar bagi kita menghantarkan si isteri kepada ibu
bapa mereka yang telah membenarkan kita memperisterikan anak mereka dahulu. Memanggil
Perhimpunan Agong Khas ini merupakan cara yang paling bermoral dan demokratik
sejajar dengan waktu dan zaman serta mempertahankan moral pucuk pimpinan parti.
Mana boleh kita ceraikan isteri dan membiarkan isteri itu melata. Najib perlu
menghantar kembali Muhyiddin kepada ahli-ahli UMNO dan beritahu kenapa Najib
menceraikan Muhyiddin dan tunjukkan kebertanggungjawaban sebagai seorang
pemimpin nombor satu parti pemerintah itu.
Perhimpunan Agong Khas ini boleh
mengelakkan Najib dipanggil dengan nama seperti ‘pemimpin pariah, pemimpin diktator
dan pemimpin rasuah’ atau nama-nama buruk
yang lain terhadap diri beliau. Najib patut berani membersihkan nama beliau dari
persepi buruk masyarakat yang dipimpinnya serta pandangan masyarakat
antarabangsa yang sedang melihat perlakuan kepimpinan negara kita itu. Perlu
diingat Najib adalah Perdana Menteri negara kita yang mewakili sebuah negara
yang dikatakan negara yang berdaulat. Pemimpin negara berdaulat tidak boleh
mempunyai nama buruk dan persepsi kotor di peringkat antarabangsa. Pemimpin
negara berdaulat perlu mempunyai nama yang bersih dan tersisih dari noda dan dosa
rasuah dan amalan buruk yang lain.
Najib sekarang bukannya pengerusi
kilang padi atau persatuan silat atau persatuan bujang terlajak dan sebagainya.
Najib tidak boleh pandai bermain politik dan naik keperingkat tertinggi tetapi
tidak tahu untuk berkelakuan sebagai seorang Perdana Menteri dan apa-apa etika
dan syarat seorang Perdana Menteri yang sebenarnya.
Itu sebabnya jika Najib dan
konconya tidak berdaya menjadi seorang yang matang dan dewasa, ikut sahaja
saranan rakyat yang ramai-ramai ini, iaitu letak jawatan.
Sekarang Setiausaha Agong UMNO T
Adnan lebih baik fikirkan untuk memanggil Perhimpunan Agong Khas ini secara
serius dari bercakap tunjuk garang yang tidak memberi faedah kepada sesiapa.
Kepada Najib, T Adnan serta Zahid
Hamidi dan Keruak, jadilah orang dewasa. 'Show that you are well bred leaders.
Have some courage to face the members'.