18 October 2013

Saya bersetuju dengan Dr Mahathir, UMNO itu rasuah dari dulu

Saya bersetuju dengan Dr Mahathir yang politik wang sememangnya satu fenomena lama dalam UMNO. Ia berlaku semasa beliau menjadi Presiden parti itu lagi, tetapi mereka tidak akan mengaku menerima atau memberi wang dalam pengundian itu. Jarang-jarang saya bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir ini, tetapi isu politik wang sekarang ini saya bersetuju dengan beliau. Politik wang masih berlaku tetapi tidak mempunyai bukti untuk diketengahkan.

Anak beliau sendiri sedang bersaing untuk menjadi Naib Presiden kali ini. Oleh kerana hanya dengan membayar undi baru mendapat undi dari perwakilan maka ada kita mendengar Mukhriz juga dikatakan membeli undi di Sabah dan beberapa tempat yang lain, tetapi bak kata bapanya sendiri adalah susah untuk membuktikan permainan politik wang ini dan kita mendengar juga Mukhriz sendiri tidak dapat mengelak dari bermain cara politik yang sama.

Dr Mahathir juga membayangkan yang semasa beliau menjadi Presiden UMNO, salah seorang atau lebih dari Timbalan-Timbalan yang ramai itu bermain dengan politik wang. Ini memang berlaku dari dulu lagi dan beliau tidak dapat mengawalnya.

Semuanya itu saya bersetuju dengan Dr Mahathir. Tetapi saya akan lebih bersetuju jika Dr Mahathir memahami yang politik wang ini bukan sahaja berlaku dalam masa pemilihan. Politik wang ini sudah berlaku setiap waktu dan setiap tempat.

Apabila seseorang itu menjadi pemimpin utama kerana politik wang, pemimpin ini akan mendapat tempat dalam kerajaan dan mereka menggunakan kedudukan mereka dalam kerajaan hasil dari politik wang tadi untuk terus memainkan politik wang. Memberikan peluang dan menggunakan pengaruh keatas Petronas dan juga mana-mana agensi kerajaan untuk mendapatkan laba adalah politik wang yang lebih besar dalam isu ini.

Dr Mahathir terlupa yang keuntungan dan kemudahan anak-anak beliau mendapatkan kontrak besar-besar dalam kerajaan itu adalah hasil dari politik beliau juga. Maka politik wang ini elok kita hentikan sahaja isu ini kerana lagi kita bercakap tentangnya lagi banyak permainan politik wang berlaku.

Kalau tidak kerana politik, Mirzan tidak akan mendapat peluang menggunakan dana rakyat untuk melepaskan beliau dari kegagalan beliau dalam perniagaan dahulu. Mirzan menggunakan hampir dua billion ringgit wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaannya.

Menggunakan wang kerajaan untuk majlis pertunangan anak seorang pemimpin negara beberapa ketika dahulu itu adalah politik wang. Ratusan ribuan wang rakyat di gunakan untuk majlis pertunangan pemimpin politik ini. Memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) adalah politik wang.

Mendapatkan ahli keluarga dana yang murah dari kerajaan untuk membela lembu sebanyak RM250 juta itu politik wang, kerana jika bukan kerana politik, orang yang saya maksudkan itu tidak akan dapat menggunakan wang kerajaan begitu banyak.

Menggunakan kedudukan dengan menyewa jet peribadi yang menelan belanja hampir seratus juta dalam tempoh tiga tahun itu adalah politik wang. Beliau ini tidak akan mendapatkan peluang untuk memerah keringat rakyat untuk membiayai jet-jet peribadi ini jika tidak kerana politik.

Saya bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir ini, tetapi beliau hanya menyebut tentang politik wang hanya dalam pemilihan UMNO sahaja. Dalam konteks ini kita semua teringat beliau gagal untuk menjadi perwakilan UMNO Kubang Pasu oleh kerana politik wang.beberapa tahun dahulu.

Beliau kalah dalam pemilihan itu kerana beliau tidak mempunyai pengikut setia dan beliau sendiri kalah untuk menjadi perwakilan kerana politik wang itu. Selama ini beliau di ikuti ramai kerana pangkat yang ada kepada kita sahaja. Apabila kuasa hilang hendak jadi perwakilan ke Perhimpunan Agung pun gagal kerana politik wang itu.

Itu sebabnya jika kita tidak mempunyai sokongan kita akan gagal dengan musuh kerana musuh hanya menggunakan wang sebanyak RM200 bagi menolak kita dari menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO.

Dalam pemilihan kali ini, calon-calon terutamanya calon-calon Naib Presiden, wang merupakan penentu kalah menangnya calon itu. Itulah sebabnya mana-mana Menteri Besar yang tidak turut serta dalam pertandingan kali ini sangat beruntung kerana tidak payah bermain dengan pembelian undi yang belum pasti membawa kemenangan dalam pertandingan itu.

Jika ada Menteri Besar menyertai pertandingan kali ini ia sudah pasti bersedia dengan wang ringgit yang banyak untuk di taburkan kepada perwakilan.

Itu sebabnya UMNO sudah menjadi parti yang dianggap ‘jahanam’ kerana tiada wang tiada undi. Rasuah sudah tidak dapat di kawal lagi dan ia tidak akan dapat dihapuskan lagi. Rasuah dan UMNO itu ibarat aur dengan tebing, saling menyandar diantara satu dengan yang lain. Tiada UMNO tiada rasuah besar, dan jika tiada rasuah besar UMNO akan hilang di muka bumi ini.

Rasuah sahaja yang boleh menyelamatkan UMNO itu. Jika ada pun cara lain untuk mengelakkan permainan wang dalam politik ini ialah dengan mengenepikan semua pemimpin UMNO dalam pemilihan parti itu.

Tetapi kalau hendak buang semua, siapa pula yang mereka hendak undi? Sebabnya yang ditandingi itu rasuah dan yang menandingi juga adalah perasuah. UMNO tidak akan dapat membetulkan keadaan ini sendirian. Ia memerlukan semua parti dalam BN itu menggunakan tindakan yang dihalalkan oleh demokrasi untuk menukar semua pemimpin UMNO itu.

Pemimpin-pemimpin UMNO yang baik tidak mahu bertanding kerana ahli-ahli dan perwakilan sudah di budayakan memberikan undi kepada mereka yang menghulur wang rasuah dalam pemilihan.

Oleh itu tidak ada ruang untuk pemimpin bersih untuk mengambil alih kepimpinan UMNO itu jika tidak dibantu oleh parti-parti yang insaf dalam BN itu.

Dalam hal ini Dr Mahathir kena bersetuju dengan saya pula.

11 comments:

Anonymous said...

Rasuah duit untuk kuasa, telah saya alami tahun 80an Selaku Kt.Pemuda Cawangan, saya sentiasa di cari untuk "membantu" kemenangan calon Kt.Pemuda beliau menang besar, kami pula di bawa melancong ke Indonesia.

Calon ini menetap di K.Lumpur dan hanya balik ke bahagian apabila ada majlis dihadiri menteri atau Perdana Menteri sahaja.

Balacinya bertugas dua puluh empat jam untuk Kt.Pemuda ini. Dia mendapat segala2nya. Itu tahun 80an.

Sejak akhirni dia telah tidak lagi menjadi menteri tapi sudah cukup kaya raya. Saya yakin mondus operandinya sama rasuah untuk mendapat kuasa itu.

Saya menyesal dengan apa yang saya laku, sokong membawa rebah.

Seorang Rakyat said...

Salam Pak Aspan,

Perkara berkaitan politk wang ini sudah berkumandang sekian lama, malah ada pemimpin UMNO yang didapati bersalah oleh parti kerana menggunakan wang. Justeru politik wang memang menjadi rahsia umum sejak berdekad lamanya. Ia memang sebati dengan jiwa pemimpin dan ahli UMNO. Ia telah menjadi 'norm' atau tabiat semulajadi apabila ada sahaja pertandingan dalam parti baik peringkat mana pun.

Panggil apa sahaja politik wang atau rasuah, tidak ada bezanya. Ianya seperti kata mat saleh "two sides of the same coin", tak ada bezanya. Maka berlandaskan inilah segala urusan melibatkan wang untuk setiap urusan baik dari membeli undi kepada urusan perniagaan atau apa sahaja.

Negara yang kaya ini dimusnahkan dengan amalan rasuah yang tidak ada penghujungnya 'corupt to the core'. Cubalah kita lihat-lihat sikit dengan negara lain seperti korea selatan dan taiwan bagaimana mereka serius menangani gejala ini. Sudah tentu tidak ada sistem yang sempurna, namun usaha untuk membendung amalan sebegini telah mencapai tahap yang baik oleh negara-negara tersebut.
Korea Selatan mungkin contoh terbaik. Negara yang hampir musnah akibat Perang Korea dalam tahun 60an dengan sumber semulajadi yang terhad telah bangkit sehingga menjadi salah sebuah kuasa ekonomi dunia hari ini. dalam tahun 70an GDP-Perkapita negara ini berada di bawah Malaysia tapi cuba tengoklah apa yang berlaku hari ini.

Korea Selatan juga sebelum krisis ekonomi 1997 dikatakan kuat mengamalakan rasuah sehingga para ibu terpaksa menyogok guru sekolah untuk mendapat perhatian dari guru. Tetapi selepas 1997 dalam memperbaharui ekonomi, salah satu agenda adalah menghapuskan rasuah dan negara itu berjaya.

Kalau bercakap pasal agama, berbuih keluar nas dari Al-Quran dan hadis, tapi apabila bab politik wang, penyelewengan dan rasuah tidak pernah pernah ada kesedaran.
Apakah negara kita termasuk di dalam senarai negara-negara Islam dan dunia ketiga yang menduduki tempat teratas dalam bab rasuah?

Anonymous said...

Dulu, Kini Dan Selamanya rasuah membudaya dan berakar didalam UMNO. Rakyat yang menjunjung pemimpin UMNO dari kalangan koruptor ini adalah rakyat yang berjiwa "kurap". Sedihnya melayu yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang pun boleh menjunjung puak puak koruptor ini. Betul betul melayu begini berjiwa hamba lagi bahlul. Kalau yang "makan besar" menyokong UMNO kita boleh faham, tapi yang "telan hampas" pun sokong UMNO...ini yang pelik. Tapi apa nak buat. Memang melayu dalam UMNO kalangan bodoh. Tun Mahathir yang endorse kenyataan ini.

Anonymous said...

Sebenarnya dalam hal corruption ni ianya tidak memilih parti.Anuar semasa memegang jawatan menteri kewangan dulu dengarnya hebat mengamalkan corruption.Dalam business diluar sana masyarakat Cinalah hebat mengamalkan corruption dan mereka menggunakan wang bagi membeli 'favour'.

Corruption ni sama juga dengan 'Prostitution' tidsk mudah dihapusksn.Benda sedap macam 'Prostitution' boleh hapus ke ?.

Seronok tengok Melayu membodohkan Melayu dalam merata blog demi mahukan kuasa.Siapa bodoh?.

SBA

Seorang Rakyat said...

Saudara SBA,

Saya tidak hairan negara kita terus terjerumus dalam kancah rasuah kerana ramai orang melayu berpikiran seperti saudara..'denial syndrom' dan sikap 'apologetic' sudah sebati..
biar rasuah biar menyelewang, janji melayu..

Anonymous said...

mahathir sudah dapat baca..kemenangan mukhriz akan dibatalkan kerana mengunakan rasuah wang untuk mukhriz memenangi naib presedin umno...

sebelum berlaku..beliau telah mengeluarkan kenyataan untuk mengheret semua pemimpin umno terdahulu yg mengunakan wang...ini supaya tiada tindakan diambil keatas mukhriz yg mengunakan wang untuk menang...

Anonymous said...

Dah pernah buat jahat sekurangnya sempat juga bertaubat tp ada juga yang terus buat dosa sampai ke liang lahad.

Anonymous said...

Siapa bodoh?

SBA lah BODOH

Anonymous said...

Tuan Aspan,
Kupasan yg menarik. Inilah sebabnya ramai remaja dah tak minat dgn UMNO.Kita terpaksa tunggu hingga generasi sekarang dah tiada utk menukar kerajaan baru yg tak rasuah.
Peredaran wang terutama dlm pemilihan Umno sudah cukup utk membiayai pendidikan anak anak kita dari SRK hingga IPT.
Saya baru pulang dari Negara Jiran Indonesia, di katakan pelajar tidak di kenakan tuition fee di IPT dan pelajar juga mendapat biasiswa ala kadar utk support wang makan dan penginapan.

Nas

Anonymous said...

itu sebab pemilihan ahli majlis tertinggi dll di pilih oleh hampir 124 000 orang ahli umno.disini jelas untuk memintas politik wang.ramai yg pilih.ahli umno sudah matang dan bijak. semuanya ini untuk elakkan politik wang dan kroni.Tahniah PM kerana berjaya mengurang dan membenteras.Bijak.macam pemilihan Barack Obama .berjuta terlibat.kini pemimpin umno dipilih oleh akar umbi orang melayu dan tulen bagi menang.124 000 yg pilih.betul dan tepat dan benar dan ikhlas.

Unknown said...

SBA ...ada juga org mcm hang niee