UMNO tidak berdaya lagi untuk
melakukan perubahan walaupun itulah tajuk dan permainan lidah pucuk pimpinannya.
UMNO tidak lagi segemilang dahulu. UMNO sudah menjadi beban kepada BN yang amat
berat.
Jika mahu menyelamatkan BN maka BN sendiri wajar melakukan tugas penting
dan jika di sebut sebagai BN maka pemimpin dan parti-parti komponennya dari
Malaysia Timur perlu memikul tanggungjawab ini untuk mencari pemimpin persekutuan
untuk memastikan kerajaan dapat diperbaiki bagi menyelamatkan negara dari kehancuran.
Masalahnya lebih sulit lagi kerana
tiada siapa dikalangan hiraeki parti UMNO dan mereka yang sedang berada di
dalam kerajaan mempunyai kemampuan untuk merubah keadaan. Jika BN tidak bersama
menguatkan usaha untuk menyelamatkan kerajaan yang dipimpinnya maka kita amat
khuatir negara kita akan menjadi sebuah negara setaraf negara Afrika seperti Zimbabwe, Mali
dan Congo.
Tugas yang paling penting yang
perlu dilakukan oleh pimpinan parti-parti dalam BN ialah untuk mencari seorang
yang berpengalaman untuk menukar imej BN kepada tahap yang munasabah untuk
terus memerintah negara ini. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan
membiarkan negara di ambang kehancuran hasil dari permainan politik peribadi
yang dilakonkan oleh pemimpin kerajaan sekarang dan juga oleh mereka yang sudah
bersara.
Semua pimpinan BN wajar
bertanggungjawab terhadap negara, lebih-lebih lagi dalam negara sedang
menghadapi krisis ekonomi global yang tidak mungkin boleh di halang
mempengaruhi keadaan negara kita. Ingat, kita sudah masuk ketahun ke18
menghadapi belanjawan ‘deficit’ dan kali ini jelas pimpinan kerajaan hari ini
terpaksa membebankan rakyat untuk menyelesaikan masalah itu sekarang ini.
Dalam keadaan hari ini, kita
wajar ditadbir dan dipimpin oleh seorang yang berpengalaman dan telah
menunjukan jasa besar kepada negara dan seorang teknokrat yang terbukti
keupayaannya. Kita juga mesti mengakui yang negara ini tidak boleh mengikut
kehendak UMNO semata-mata. Semua komponen BN telah begitu sabar mengikut karenah
dan kemahuan UMNO sehinggakan ada parti seperti MCA dan yang lain yang terjejas
prestasi mereka semata-mata kerana mengikut rentak dan lagu UMNO yang tidak
lagi secocok dengan keadaan zaman dan waktunya.
Politik negara ini bukan sahaja
permainan parti-pati di Semenanjung semata-mata kerana kekuatan BN sebenarnya
adalah dari Malaysia Timur. Pimpinan di Malaysia Timur tidak boleh berpeluk
tubuh kerana mereka juga menerima tekanan dari rakyat di sana hasil dari kelemahan pimpinan Najib dan
rakan-rakannya di Semenanjung.
Najib perlu ingat yang beliau
adalah pemimpin bagi seluruh negara dan bukannya pemimpin UMNO yang hanya
berkuat di Semenanjung selain dari Sabah.
Pimpinan UMNO dan ‘Law Makers’ BN mempunyai tanggungjawab moral dan politik
untuk membetulkan keadaan ini dalam kadar yang segera. Kita terpaksa akui yang
negara kita sudah tidak terurus lagi dan kita juga mesti menghayati hakikat yang
ditadbir Najib ini adalah negara bukannya mentadbir daerah Pekan di Pahang atau
persatuan bola sepak atau takraw negara.
Saya selalu bercakap yang kali
ini Najib dan sesiapa yang mempunyai tanggungjawab untuk perubahan itu,
melakukan yang ‘unorthodox’ semata-mata untuk menyelamatkan negara dari keadaan
kegelapan. Jika kita selalu bercakap tentang nasib masa depan generasi kita,
tetapi nampaknya kali ini kita terpaksa menumpukan kepada generasi kita
sekarang ini.
Rakyat dalam kegelisahan yang
teramat sangat dan mereka tidak dapat memberikan sebab yang spesifik dan
saintifik kerana kita berada dalam kemurungan dalam semua hal yang melibatkan politik
dan rakyat negara ini. Najib tidak boleh membiarkan negara dan rakyat negara
ini menjadi bahan ketawa pemimpin dan masyarakat antarabangsa. Negara juga
mempunyai masyarakatnya.
Jika masyarakat bagi negara kita
tidak menghormati kita lagi, ia akan mempengaruhi kredibiliti negara dalam
semua aspek termasuk ekonomi dan kesejahteraan rakyat akan terjejas.
Kenyataan yang harus kita akui
yang imej se sebuah negara itu selari dengan manusia yang memimpinnya. Apabila
seseorang pemimpin itu tercalar imejnya maka ia akan menjejaskan negara dengan
teruknya. Apa dan siapa pun yang berkata ia adalah hakikat dan tidak siapa yang
mampu menafikannya.
Jika seorang pemimpin yang sudah
tidak lagi mampu memberikan pentadbiran yang baik ia masih boleh mendapatkan
penghormatan dari rakyat terutamanya setelah ia bersara dan tidak lagi bergiat dalam
politik negara. Ia boleh dilakukan dengan menunjukkan sayangnya kepada negara
dengan mencari kepimpinan yang baru bagi menyelesaikan masalah yang dia tidak
mampu menyelesaikannya.
Jika ia bertindak dan membantu
rakyat untuk mendapatkan kepimpinan baru yang mampu membawa negara kepada situasi
dan keadaan baru. Ini akan menjadi kenangan rakyat buat selamanya. Rakyat serta
ahli-ahli sejarah akan menulis tentang jasa Najib sebagai penyelamat negara.
Beliau akan di ingati sebagai pemimpin
yang bertanggungjawab kepada rakyat dengan memberikan pengorbanan menyelamatkan
negara dengan menyerahkan kepimpinan kepada orang yang boleh melakukan
pembaharuan terhadap negara. Mulakanlah pengorbanan itu bermula di hari raya
korban ini dan mengorbankan yang kita sayangi itu merupakan pengorbanan yang
benar-benar pengorbanan.
Selamat Hari Raya Korban kepada
semua umat Islam khususnya kepada saudara-saudara kita yang baru sahaja selesai
ibadah melontar di jumrah di hari pertama tasyrik iaitu di Jumratul Aqobah di
Mina.
Semoga semua mendapat Haji yang
mabrur.
No comments:
Post a Comment