11 June 2012

Muhy mengaku BN menghadapi persepsi buruk rakyat, tetapi....

TS Muhy mengakui yang BN sedang menghadapi masalah persepsi atau tanggapan buruk dari rakyat. Inilah masalah yang paling rumit untuk diselesaikan oleh BN khususnya UMNO Baru sekarang ini. Pengakuan Muhy ini membuktikan bahawa BN telah mengaku secara ‘indirect’ yang BN telah tewas dalam peperangan mental politik negara.

Peperangan politik bukannya seperti peperangan bersenjata secara terbuka. Ia adalah peperangan mental dan persepsi. Ia adalah peperangan psikologi dan sesiapa yang memenangi peperangan ini akan mendapat sokongan majoriti dari rakyat yang mengundi. Di sinilah masalah besar yang dihadapi oleh UMNO Baru dan BN.

Tetapi Muhy seperti biasa menyalahkan pembangkang yang membuatkan BN tewas dalam peperangan persepsi ini. Kita tidak nampak kenapa BN bermasalah dengan persepsi rakyat ini, kerana selalunya persepsi ini terbentuk oleh kekuatan media yang menyokong sesuatu pihak itu. Dalam kes di negara ini UMNO Baru mempunyai sokongan media yang hebat dan yang terkuat ialah akhbar milik UMNO Baru, Utusan Malaysia dan saluran TV ‘cari makan’ TV3.

Penulisan dan pena itu lebih tajam dari pedang dan selalunya apa yang dikatakan oleh media perdana itu akan diyakini oleh rakyat jelata. UMNO Baru mendapat sokongan padu dari Utusan dan TV3 dan kedua-dua saluran media perdana ini menambah kekuatan sokongan terhadap parti pemerintah dengan melakukan ‘spin’ yang tidak ada batasnya setiap hari dan waktu.

Tetapi persoalannya kenapa kedua-dua media ini tidak lagi sehebat dulu dalam tindakan memberikan sokongan terhadap BN khususnya UMNO Baru? Jawapan kepada persoalan ini mudah sahaja.

Pertamanya segala apa yang dituduh dilakukan oleh UMNO Baru dan BN itu adalah benar dan ‘real’. Misalnya kaitan UMNO Baru dan pemimpin-pemimpin mereka dengan rasuah itu adalah benar belaka. Rasuah yang keterlaluan tanpa had itu telah dengan sendirinya membentuk persepsi buruk terhadap UMNO Baru sehinggakan rasuah dan UMNO Baru itu dianggap seperti ‘aur dengan tebing’, saling menyandar di antara satu dengan lain.

Hampir kesemua pemimpin terkenal dan besar UMNO Baru dipersepsikan sebagai perasuah dan salahguna kuasa dan rakyat melihatnya sebagai isu yang ‘real’. Oleh kerana kejelasan yang dikatakan ‘real’ itulah yang menyebabkan media-media perdana elektronik dan cetak tidak terdaya untuk menafikan persepsi buruk ini walaupun mereka (media) melakukan segala-galanya untuk membenamkan persepsi buruk terhadap parti pemerintah itu.

Utusan Malaysia sudah kehilangan pembacanya dengan begitu banyak dan akhbar yang suatu ketika dahulu merupakan akhbar yang dihormati sekarang sudah menjadi bahan ejekan oleh semua pihak. Tidak ramai lagi pembaca yang mempercayai apa yang ditulis oleh Utusan terutamanya rencana pengarangnya.

Ada pihak yang menganggap berita yang benar dalam Utusan itu hanya keputusan loteri empat nombor ekor dan catatan waktu solat lima waktu sahaja. Begitulah buruknya persepsi orang ramai terhadap Utusan sekarang ini.

Persepsi buruk terhadap BN yang dikatakan oleh Muhy itu merupakan isu yang terbesar yang dihadapi oleh UMNO Baru yang tidak mungkin dapat diatasi selama-lamanya. Baik parti mahu pun pemimpin-pemimpinnya, persepsi buruk ini sudah menjadi ‘stigma’ dan mustahil untuk diperbaiki dengan hanya memberikan wang sogokan seperti ‘BR1M’ dan cokelat-cokelat yang diberikan kepada rakyat.

Berikanlah ‘BR1M’ setiap bulan, persepsi rasuah dan salahguna kuasa dan krisis keyakinan ini tidak akan hilang dari benak dan pemikiran rakyat. Bukannya tidak ada usaha di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO Baru untuk memperbetulkan keadaan ini semasa isu rasuah tegar ini belum berleluasa dahulu. Apabila kepimpinan Mahathir dilihat sudah memulakan budaya pemimpin-pemimpin mencari kekayaan besar-besaran di dalam parti dan kerajaan dahulu, UMNO Baru telah bertindak tegas dengan meminta Tengku Razaleigh Hamzah semasa itu untuk menentang Mahathir dalam Perhimpunan Agong UMNO ke-37 pada tahun 1987 dahulu.

Pertandingan itu telah diselaputi oleh kekotoran pihak yang mempertahankan jawatan dengan penipuan dan akhirnya membunuh UMNO walaupun pihaknya adalah pihak yang menang. Hancurnya segala budaya Melayu dalam UMNO itu bermula dari saat itu dan kekeruhan itu berlanjutan sampai ke hari ini.

Walaupun UMNO itu diganti dengan parti baru yang menggunakan nama ‘UMNO’ itu, kematian UMNO asal itu dan digantikan dengan UMNO tiruan itu tidak dapat membendung perubahan pemikiran dan lanskap politik orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

TS Muhy meminta semua pemimpin UMNO Baru di peringkat bahagian untuk memberikan penerangan jelas kepada orang ramai kerana kononnya orang ramai telah diselewengkan pemikiran mereka oleh pembangkang. Persoalannya mampukah pemimpin-pemimpin bahagian untuk melakukan tindakan penerangan ini sedangkan pemimpin-pemimpin UMNO Baru itu sendiri memerlukan penerangan yang ‘extensive’ sebelum mereka berhadapan dengan orang ramai?

Persoalan lagi benarkah pembangkang yang melakukan penyelewengan fakta dan melakukan ‘deceptions’ kepada orang ramai? Bukankah persepsi buruk yang dialami oleh UMNO Baru  itu adalah oleh salahlaku UMNO Baru dan pemimpinnya sendiri? Bagaimana orang ramai boleh mempercayai kata-kata pembangkang jika UMNO Baru sendiri beriya-iya untuk menunjukkan kebobrokan mereka sendiri.

Yang melakukan rasuah itu UMNO Baru dan itu nyata kebenarannya. Itu bukan tohmahan pembangkang. Yang menghancurkan semua sistem demokrasi di negara ini dilakukan oleh parti dan pemimpin yang memerintah. Itu bukan kerja pembangkang. Yang menghancurkan bidang kehakiman negara adalah kerja UMNO Baru dan yang mengekalkan ‘Attorney General’ yang sudah tidak diyakini oleh orang ramai itu adalah kerja parti pemerintah dan bukannya dilakukan oleh DAP, parti yang baru saya sertai itu.

Pemimpin-pemimpin UMNO Baru sepatutnya berkeliaran memberikan penerangan yang jika Sharizat Jalil itu seorang bidan kampung sahaja, suaminya tidak mungkin mendapat pinjaman mudah RM250 juta untuk memelihara lembu yang digunakan untuk membeli kondominium.

Yang disebut oleh pembangkang tentang rasuah dalam pembelian Scorpene itu bukannya fitnah dan jumlah setengah billion ringgit yang diterima sebagai komisyen oleh Paramekar Sdn Bhd itu bukannya fitnah. Malahan isu ini telah dijelaskan oleh pihak berkuasa Perancis.

Mengaitkan pembunuhan Altantuya dengan kepimpinan UMNO Baru  itu bukannya fitnah tetapi ‘real’ dan Altantuya benar-benar mati diletupkan oleh bom C4 di Shah Alam. Memindahkan sejumlah wang sebanyak RM10 juta melalui pengurup wang yang ‘dubious’ yang dilakukan oleh seorang Menteri Besar itu adalah benar dan itu bukannya kerja pembangkang.

Jika pun UMNO Baru hendak membuat penerangan menafikannya kepada orang ramai, penafian semua isu ini terpaksa dilakukan dengan berbohong lagi. UMNO Baru terpaksa berbohong untuk mengalihkan pandangan orang ramai terhadap isu itu. Kata pepatah ‘UMNO Baru  terpaksa berbohong seribu kali untuk menutupi satu pembohongan yang mereka lakukan’.

Bayangkan berbuat bohong yang telah dilakukan oleh UMNO Baru, maka parti itu terpaksa berbohong beratus ribu kali untuk menutup pembohongan yang telah dilakukan puluhan tahun dahulu. Akhirnya semua tindakan pemimpin UMNO Baru itu adalah pembohongan yang tidak dapat dibuang lagi. Berbohong itu sudah menjadi ‘attribute’ yang ‘basic’ bagi UMNO Baru. UMNO Baru itu bohong, bohong itu UMNO Baru.

Jadi tidak salah sesiapa  kenapa persepsi terhadap UMNO Baru itu sangat buruk? Bagi ahli-ahli UMNO Baru, untuk menutupi pembohongan pemimpin mereka bukannya kerja mudah, kerana mereka terpaksa berkongsi pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka. Ahli-ahli yang cuba menutup pembohongan itu tidak akan efektif kerana pembohongan yang dilakukan itu bukannya oleh mereka tetapi pemimpin-pemimpin mereka.

Hanya yang berbohong sahaja yang mungkin boleh membalikkan cerita kepada rakyat seperti yang dilakukan oleh Utusan Malaysia. Utusan beriya-iya untuk menyambung pembohongan pemimpin-pemimpin parti yang mempunyai saham di dalam syarikat percetakan itu tetapi apa yang ditulis oleh Utusan sudah tidak dihiraukan oleh orang ramai. DAN Utusan sudah tidak dibaca lagi oleh ramai orang kerana akhbar itu seperti organ UMNO Baru.

Apabila rakyat sudah hilang keyakinan,  apa pun penerangan yang diberikan oleh parti itu tidak akan diyakini oleh orang ramai lagi. Keyakinan orang ramai terhadap kepimpinan UMNO Baru sangat menyeluruh dan mereka (rakyat) sudah hilang rasa hormat kepada pimpinan kita.

Contoh yang terbaru ialah kes gambar Najib di tin minuman 100 plus semasa himpunan belia di Putrajaya baru-baru ini. Banyak pihak telah menyeru supaya kita ‘boycott’ sahaja minuman 100 plus kerana ada gambar PM Najib di tin minuman itu. Kempen memboikot itu sangat efektif hinggakan F&N terpaksa membuat kenyataan bahawa gambar PM Najib yang melekat pada tin 100 plus itu hanya digunakan semasa himpunan itu dan tidak menyeluruh.

Jika gambar PM Najib di tin 100 plus itu menyebabkan kerugian kepada F&N, itu menunjukkan yang gambar seorang PM pun tidak mempunyai nilai ‘commercial’ langsung. Jika Najib mempunyai kewibawaan dan dihormati ramai sepatutnya gambar beliau di tin minuman itu membawa keuntungan, tetapi sebaliknya apa yang berlaku F&N menghadapi risiko diboikot oleh pengguna minuman itu.

Semuanya ini salah pembangkang lagi? DAN bukannya salah UMNO Baru  itu sendiri? Fikir-fikirkanlah…. Sebenarnya persepsi buruk yang dialami oleh UMNO Baru itu adalah disebabkan oleh UMNO Baru dan pemimpin mereka sendiri. Jangan salahkan orang lain.

Tetapi pengakuan Muhy yang UMNO Baru menghadapi persepsi yang buruk itu adalah benar dan meyakinkan, tetapi beliau seperti pemimpin BN yag lain, tidak mengaku yang semua penyebab yang memburukkan persepsi orang ramai itu adalah kerana pemimpin UMNO Baru itu sendiri.

09 June 2012

Jangan tunjukkan sangat sikap 'inferiority' itu

Sampai bila pemimpin-pemimpin kerajaan (BN) hendak berperang dengan rakyat? Perbalahan tentang isu PTPTN  berlarutan sehinggakan TS Muhy dan Menteri Pendidikan Tinggi telah bertindak untuk menjadikan mahasiswa Universiti Selangor (UNISEL) mangsa pertembungan di antara kerajaan dan PR dengan melakukan tindakan yang paling bodoh (maaf kerana menggunakan istilah bodoh) yang dipamerkan oleh pemimpin-pemimpin setinggi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap pendidikan tinggi negara.

Kalau kita amati secara halus ramai pemimpin yang pandai-pandai telah menjadi bodoh apabila menjadi pemimpin UMNO Baru. Terlalu jelas yang pimpinan tertinggi UMNO Baru yang mengaku untuk mendahulukan rakyat tidak mampu untuk mempertahankan janji-janji untuk menjadi pemimpin yang ‘magnanimous’ sepenuhnya jika dimandatkan oleh rakyat lagi sekali.

Membekukan permohonan pelajar UNISEL untuk mendapatkan PTPTN ini menunjukkan yang pemimpin-pemimpin yang terlibat sesungguhnya tidak mempunyai daya kepimpinan yang sejajar dengan cita-cita untuk menjadi pemimpin negara yang berangan-angan untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju. Kemajuan negara bermula dengan kemajuan cara berfikir dan tindakan yang setanding dengan pemikiran pemimpin negara maju yang demokratik.

Alih-alih hari ini keputusan untuk membekukan itu telah ditarik balik oleh kerajaan pusat setelah membekukannya selepas tiga empat hari selepas arahan pembekuan itu. Ini merupakan tindakan yang amat memalukan yang tidak terperi dan ramai tidak menyangkakan yang tindakan ini boleh diambil oleh pemimpin kerajaan yang beriya-iya untuk menandingi kewibawaan pimpinan Pakatan Rakyat.

Sikap pemimpin kerajaan persekutuan nampaknya lebih keanak-anakan dan bagaimana rakyat hendak meletakkan kepercayaan kepada pimpinan seperti itu untuk  mendapatkan jaminan bahawa generasi yang akan datang tidak ditadbir oleh pemimpin-pemimpin yang kurang kemampuan untuk berfikir.

Tindakan pembekuan itu diterima oleh kerajaan Selangor dengan tenang dan Menteri Besarnya telah mengambil tindakan untuk mencairkan aset UNISEL bagi penyelesaian hasil daripada tindakan gila pemimpin persekutuan ini. Kerajaan Selangor pimpinan TS Khalid Ibrahim boleh menyelesaikan isu ini walaupun pemimpin persekutuan telah melakukan pelbagai tekanan terhadap Selangor.

Apabila sudah menyedari kesilapan kerajaan persekutuan telah mendabik dada yang kononnya PR tidak mampu untuk memberikan pelajaran percuma seperti yang dijanjikan. Pimpinan mengambil isu pembekuan dan penarikan balik pembekuan itu sebagai permainan politik yang sangat rendah darjatnya. Mengakui menang yang disuarakan oleh Khaled Nordin merupakan satu kenyataan keanak-anakan.

Tiada siapa yang menang tetapi yang sudah pasti mampu menyelesaikannya ialah TS Khalid Ibrahim yang bersedia mengambil tindakan pantas untuk menyelesaikan isu pembekuan itu dengan mencairkan aset universiti itu untuk memberikan penyelesaian kepada pelajar-pelajar yang dianiayai oleh pimpinan persekutuan itu. Penarikan balik pembekuan itu merupakan satu tindakan ‘damage control’ bagi pimpinan persekutuan kerana mereka menyedari bahawa pembekuan PTPTN oleh pimpinan persekutuan itu akan dapat diatasi oleh kebijaksanaan pimpinan negeri Selangor.

Saya amat percaya TS Khalid mampu mengatasi isu itu dengan baik kerana saya tahu beliau boleh lakukannya. Inilah yang tidak mahu dilihat oleh pimpinan persekutuan. Lama juga saya berkhidmat di bawah TS Khalid ini dan saya amat berkeyakinan beliau akan buktikan kemampuan beliau mengatasi isu ini jika kerajaan persekutuan tidak menarik balik pembekuan itu.

Jika isu ini sudah selesai, pimpinan persekutuan dari sekarang jangan menjadikan pelajar sebagai mangsa kepada politik ‘desperate’ mereka dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang ini. Apabila bertindak tanpa berfikir dan bercakap lebih pantas daripada berfikir inilah jadinya.

Janji pemansuhan PTPTN atau pun pendidikan percuma itu merupakan usaha dan janji PR jika dapat dan berjaya menganjak pimpinan BN dari Putrajaya dan itu merupakan komitmen Pakatan Rakyat. Saya dan ramai lagi percaya yang PR mampu untuk menjadikan pendidikan itu tanggungan kerajaan jika mendapat kuasa.

Pimpinan BN pun percaya ia akan mampu dilakukan oleh PR jika PR berkuasa tetapi mereka (BN) juga tahu mereka (BN) tidak akan mampu untuk melakukannya. Inilah yang menjadikan pimpinan BN tidak senang duduk dan tidak nyenyak tidur kerana ketidakmampuan mereka untuk mengatasi komitmen Pakatan Rakyat itu.

Itulah sebabnya saya telah menulis dalam posting saya beberapa hari yang lepas yang pada hakikatnya BNlah yang sedang berusaha menandingi PR dan bukannya PR yang menandingi BN. Pimpinan BN tahu jika Pilihanraya diadakan besok hari, PRlah yang akan mendapatkan mandat itu.

Maka itulah sebabnya pimpinan BN sedang berada di dalam keadaan ‘defensive’ kerana mereka juga sedar bahawa rakyat secara majoritinya sedang bersama PR. Hanya menunggu tarikh pilihanraya sahaja.

Isu pendidikan percuma merupakan isu yang mampu dilakukan oleh PR kerana jika negara Scandinavia boleh memberikan pendidikan percuma walaupun tidak mempunyai hasil minyak dan hasil mahsul seperti yang kita ada, kita tidak nampak kenapa isu ini tidak boleh dilakukan oleh PR.

Maka tindakan kerajaan persekutuan untuk menjadikan pelajar sebagai mangsa kerana ketakutan dan keresahan mereka yang takut dengan kehilangan kuasa itu merupakan satu tindakan yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran ramai orang.

Sememangnya seseorang yang sudah tidak tenang itu akan melakukan perkara-perkara yang tidak betul dan sentiasa ‘flip-flop’ dalam semua tindakan mereka. Hendak tidur tidak lena, hendak makan tidak lalu dan mandi pun tidak basah. Oleh itu segala tindakan mereka tidak berdasarkan kepada pemikiran yang stabil dan tenang.

Inilah bahayanya jika kita mandatkan pimpinan negara kepada pimpinan BN kerana pimpinan yang tidak berfikiran yang tenang akhirnya akan memudharatkan rakyat lebih-lebih lagi bagi generasi yang akan datang. Penyakit ‘inferiority complex’ pimpinan persekutuan ini kian  jelas.

Rakyat Selangor mesti ingat itu. Jangan perjudikan nasib anak-anak kita dengan memberikan sokongan kepada pimpinan yang 'perongos' ini.

08 June 2012

Kereta tua selalu rosak, elok kita tukar kereta baru

Saya akan bertolak ke Utara untuk memenuhi jemputan berceramah malam ini dan besok. Sebelum saya berangkat ke sana saya perturunkan sedikit komen tentang pengumuman TS Muhy dua hari yang lepas.

Tan Sri Muhy berkata berkemungkinan beberapa pemberian dalam bentuk tunai kepada rakyat akan dilakukan sebelum pilihanraya ini untuk menampung kos barangan yang tinggi dan meringankan beban rakyat yang miskin. Kemiskinan memangnya menjadi umpan untuk BN dan UMNO Baru untuk berkuasa dan kemiskinan rakyat inilah yang membuatkan rakyat yang sentiasa berharap kepada kerajaan. Khabarnya lagi RM10 billion akan dibelanjakan untuk BR1M kali ini.

Tidak lama lagi akan kita saksikan rakyat beratur lagi untuk mendapatkan bantuan itu, yang akan dibahagi-bahagikan oleh pemimpin-pemimpin UMNO Baru di setiap pelusuk negara kita. Entah mana UMNO Baru mandapatkan wang sebesar ini tidak pula diketahui. Jika wang ini datangnya dari kantung rakyat (wang rakyat), wang itu sepatutnya dibahagi-bahagikan oleh penjawat awam dan dalam konteks ini ia sepatutnya diberikan oleh pegawai-pegawai daerah, bukannya oleh ahli-ahli politik.

Jika wang itu UMNO Baru yang punya, barulah ahli-ahli politik yang membahagi-bahagikannya. Jika benar itu duit UMNO Baru dan BN, di mana sumber BN  mendapatkan wang itu? Ingin juga kita hendak tahu. Dalam pemberian bantuan BRIM baru-baru ini, rupa-rupanya wang itu adalah wang rakyat sendiri yang datang dari kantung kerajaan dan pemimpin-pemimpin UMNO Baru telah melakukan kesalahan kerana ianya sepatutnya telah diberikan oleh pegawai-pegawai kerajaan.

Tetapi bagi UMNO Baru jika kita tegur dan mengingatkan mereka itu adalah satu kesalahan, mereka akan melenting marah kerana mereka terlalu biasa dengan melanggar sistem dan undang-undang. Bagi mereka kalau tidak melanggar undang-undang maka mereka bukan ahli-ahli UMNO Baru. Melanggar sistem dan undang-undang itu adalah ‘attribute’ UMNO Baru yang utama. Kerana apa mereka berani melanggar undang-undang? Jawabnya ialah kerana mereka itu UMNO Baru.

Kenapa bantuan ini diberikan secara begini dan di waktu ini? Tentulah jawapan yang hakiki, ialah kerana pilihanraya hampir tiba dan pemberian ini merupakan pemberian pilihanraya, dan untuk memancing undi. Saya yakin pemberian ini tidak akan dilakukan selepas pilihanraya nanti. Jika dicampurkan jumlah wang yang terlibat ia akan mencecah RM20 billion.

Oleh itu elok kita hendak bertanya, kenapa untuk memberikan pendidikan percuma seperti yang diusulkan oleh PR itu akan menjadikan negara ini bankrap seperti yang dibahaskan oleh pembahas UMNO Baru. Kalau jumlah peruntukan BR1M ini sahaja mencecah RM 20 billion dan dicampurkan dengan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan sebanyak RM28 billion setahun itu, maka jumlahnya melebihi daripada jumlah perbelanjaan untuk memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak muda.

Kenapa jika PR hendak memberikan pendidikan percuma kepada rakyat itu dikatakan akan membankrapkan negara sedangkan ketirisan (rasuah) yang berlaku di dalam kerajaan berjumlah RM28 billion setahun dan pemberian BR1M sebanyak RM 20 billion oleh BN itu tidak pula menjadikan negara kita bankrap?

Jawapannya kepada soalan ini amat mudah, kerana wang ini bukannya wang UMNO Baru, maka mereka tidak merasa bersalah membelanjakan wang-wang ini setelah membuat keputusan secara ‘ad-hoc’ tanpa rasa bersalah.

Kalau beginilah caranya Najib berbelanja wang rakyat dengan jumlah yang sebegini besar maka ia merupakan petanda yang negara kita akan menghadapi krisis kewangan tidak berapa lama lagi. Najib tidak boleh mentadbir negara seperti mentadbir UMNO bahagian Pekan….jika ada masalah bayar sana, bayar sini.

Pendeknya dengan cara yang Najib/Muhy berbelanja wang rakyat, maka kita tunggu sahajalah bencana yang akan menimpa negara. Maka benarlah analogi yang pernah saya buat tidak berapa lama dahulu: BN ini sudah terlalu tua dan berpenyakit. Ia ibarat kereta tua yang sangat tinggi kos penyelenggaraannya. Jika kita masih memandu kereta tua ini maka kita akan asyik-asyik ke bengkel kereta setiap waktu untuk menyelenggara kereta tua ini.

Elok kita buat ‘trade-in’, kita ambil dan beli kereta baru. Setidak-tidaknya kita akan terhindar dari berbelanja penyelenggaraan yang tinggi beberapa ketika. Asap yang keluar dari kereta baru ini pun tidaklah sekotor asap yang keluar dari kereta tua yang kita telah pandu selama 55 tahun itu.

Setelah mendapatkan kereta baru yang kos penyelenggaraannya rendah itu, kereta tua yang kita hentikan perkhidmatannya ini kita masukkan ke dalam bengkel untuk dibaikpulih sepenuhnya. Kereta tua ini ada lima tahun untuk diperbaiki yang mana yang rosak dan alat-alat mana yang perlu diganti. Mungkin kereta ini boleh dipakai kembali jika kereta baru yang kita beli itu rosak pula lima tahun yang akan datang. Kereta tua ini boleh kita jadikan kereta ‘spare’.

Tetapi buat masa ini kereta tua itu mesti direhatkan kerana sejak hampir tiga dekad yang lalu kereta ini telah dipandu secara lasak oleh setidak-tidaknya tiga orang pemandu sehingga punah-ranah dan terlalu tinggi kos untuk menyelenggaranya. Pemandu-pemandu yang tiga orang ini telah memandu terlalu lasak. Segala lubang dan selut dilanggarnya dan kerosakkannya terlalu banyak.

06 June 2012

Kalau banyak melakukan kesalahan, memang liat hendak melepaskan kuasa

Hari demi hari undang-undang ketat yang menghantui rakyat semakin jelas dengan hampirnya pilihanraya umum ke-13 ini. Nampaknya kartun tidak boleh digunakan dalam pilihanraya ini, itu kata Timbalan Pengerusi SPRM. Dr Mahathir pula meminta kebebasan internet disekat dan seperti biasa Rais Yatim dengan pantas ‘merawikan’ kata-kata Dr Mahathir itu.

Tetapi cerita tentang pengundi haram yang didaftarkan di dalam senarai pengundi tidak juga diselesaikan oleh SPRM. Pihak berkuasa dan pemimpinnya asyik mentelaah bagaimana hendak sekat pihak pembangkang, tetapi kerja dan tanggungjawabnya untuk membersihkan senarai pengundi yang merupakan asas demokrasi itu sampai ke hari ini tidak diendahkan.

Saya dan ramai lagi telah bercakap dan bertanya kenapa kali ini sudah mula timbulnya unsur-unsur menekan seolah-olah ianya membayangkan bahawa BN tidak mahu menerima keputusan PRU jika rakyat menolaknya. Dengan penekanan ini maka jelas yang sebenarnya yang akan mewujudkan huru-hara selepas pilihanraya nanti ialah pihak BN.

Zunar, kartunis begitu berang dengan kecenderungan kartun digunakan oleh sesetengah pihak sebagai alat kempen dalam pilihanraya nanti. Zunar akan tetap melukis kartunnya dan tidak ada apa-apa pun boleh menghalang beliau melukis kartun yang menjadi bidang kegemaran dan  profesionalisma  nya.

Jika seruan Mahathir untuk melakukan sekatan terhadap internet sebagai alat penyampai maklumat bagi pihak pembangkang elok kita bertanya, bagaimana pembangkang hendak menyampaikan mesejnya kepada rakyat? Kerajaan buat apa lagi kepada pembangkang? Segala-galanya hendak disekat.

Kalau takut sangat dengan kebangkitan maklumat untuk rakyat, kenapa masih hendak menjadi kerajaan? Rakyat hendak menggunakan internet itu untuk mengetahui apa terjadi kepada isu Scorpene misalnya. Media arus perdana tidak akan menyiarkan perkara yang sebenarnya tentang Scorpene ini. Rakyat ingin tahu bagaimana penglibatan Altantuya dalam isu pembelian Scorpene itu.

Melalui internetlah kita boleh mengetahui bagaimana komisyen haram yang diterima oleh pemimpin kita dalam projek membeli kapal selam yang suatu ketika dahulu tidak dapat hendak menyelam itu? Semua orang hendak tahu di mana komisyen haram itu dibayar…..di Hongkong ke atau di Singapura atau di mana?

Kita hendak tahu berapa Najib perolehi daripada pembelian kapal selam itu dan jika boleh kita hendak tahu samada isu tuntutan Najib untuk dibayar sebanyak USD1 billion sebelum wakil syarikat pembinaan kapal selam itu mendapat tempahannya. Kita juga hendak tahu berapa Altantuya sepatutnya dapat sebahagian daripada komisyen itu. Sudah dibayar atau belum lagi kepada Altantuya.

Jika belum dibayar kita hendak tahu sudahkah dibuat urusan untuk membayar waris kepada Altantuya jumlah yang sepatutnya diberikan kepadanya. Banyak lagi isu-isu yang rakyat hendak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Semuanya ini memerlukan maklumat dari internet kerana media arus perdana tidak akan menyiarkannya. Kenapa kita perlu menyokong seruan Mahathir untuk membebaskan kegiatan melalui internet itu. Jika dilaksanakan kehendak Mahathir itu ia bermakna kerajaan ingin mengikat tangan penyokong pembangkang dan melakukan ‘circumvention’ terhadap proses demokrasi yang sebenarnya.

Apa yang BN hendak sorokkan sangat itu? Bukankah BN kata mereka tidak bersalah dalam semua tuduhan dan spekulasi rakyat seluruh dunia itu? Jika tidak bersalah kenapa takut-takut? Kalau pembangkang berbohong rakyat boleh tengok pembohongan itu melalui internet. Kenapa takut kerana rakyat akan menghakiminya samada BN atau PR yang berbohong. Tetapi kita takut-takut yang BNlah yang berbohong, bukannya PR.

Jika pembangkang memenangi pilihanraya melalui internet, apa salahnya. Negara ini negara demokrasi dan rakyat berhak untuk mendapatkan semua maklumat-maklumat tersebut. Kalau di negara Cina komunis pun internet bebas untuk menjadi media pilihan rakyatnya kenapa Malaysia memilih untuk menjadi lebih buruk dari pentadbiran negara komunis itu.

Jika Myanmar sekarang sudah terbuka kepada dunia luar kenapa pula kita yang hendak menutup negara kita dari dunia luar. Mahathir juga yang telah memperjuangkan dunia tanpa sempadan tetapi apa bila ‘nature’ hendak mengambil tempat dan melakukan perubahan BN sudah tidak dapat menerimanya. Sikap tidak dapat menerima kekalahan ini adalah sikap semula jadi politik dunia ketiga.

Tetapi pemimpin kita dengan gah ke sana ke mari bercakap tentang wawasan 2020 yang meletakkan negara setaraf dengan negara-negara maju. Negara maju apa yang hendak kita capai jika kekalahan dalam pilihanraya menjadikan mereka hilang akal dan tidak dapat menerimanya langsung, seolah-olah hendak memisahkan kulit dari daging atau hendak memisahkan kulit dengan kuku.

Parti Buruh Britain baru sahaja menerima kekalahan dan kekalahan yang terbaru ini bukannya kekalahan kali pertama. Parti Buruh bergilir-gilir memerintah dengan parti Conservative tetapi tidak pula mereka sanggup menolak asas demokrasi yang sebenar semata-mata untuk mempertahankan kuasa. Kalah kali ini mereka akan dapat semula dalam pilihanraya yang akan datang. Menang dan kalah itu perkara biasa dalam sesebuah negara maju.

Hanya BN sahaja yang merasakan seolah-olah dunia akan kiamat jika kalah dalam pilihanraya. Sebenarnya kekalahan BN jika benar berlaku, merupakan hikmah besar buat BN itu sendiri. Dalam kekalahan itu BN boleh membersihkan kekotoran yang mereka lakukan semasa memerintah. BN tidak mungkin dapat membersihkan kekotoran yang mereka lakukan jika masih berkuasa, malahan BN akan bertambah sombong dan angkuh jika terus mendapat mandat.

Jika BN menang lagi rasuah akan dilakukan dalam jumlah trillion ringgit, bukannya lagi dalam jumlah ratusan billion. Lagi pun adalah ‘natural’ bagi sesebuah parti yang terlalu lama memerintah di mana-mana negara lain jatuh tersungkur di hadapan mata rakyat mereka.

Hanya di negara kita pengalaman ini baru sahaja hendak berlaku. Di negara lain pertukaran pemerintah ini berlaku acap kali tanpa masalah. Gordon Brown telah menyerahkan kuasa hanya dalam tempoh enam jam kepada parti Conservative dan Liberal Demokrat setelah beliau tidak berdaya menubuhkan kerajaan selepas pilihanraya Britain tahun lalu.

Jika saya yang jembel ini boleh mempelajari apa yang berlaku di negara maju, masakan Mahathir tidak dapat belajar daripada keadaan itu. Jika untuk menutup kesalahan merupakan sebab untuk mempertahankan kuasa dengan apa daya sekali pun, itu bukan masalah rakyat kita. Itu masalah mereka. Siapa suruh melakukan kerja-kerja tidak baik terhadap negara dan rakyat?

Kita mesti akui segala kerja jenayah yang dilakukan oleh pimpinan BN selama ini merupakan kerja jenayah (treason) terhadap negara dan mengkhianati negara itu adalah terlalu besar kesalahannya untuk dimaafkan rakyat.