30 July 2011

Rakyat tolak 3 perkara - 1) rasuah 2) salahguna kuasa 3) memainkan sentimen rasis.

Isu perkauman elok dihentikan sebelum terlambat.Mengendung isu perkauman tidak berhenti-henti sangat menjemukan kerana rakyat hendak hidup dengan aman dan damai. Isu ini hanya diperbesarkan oleh mereka yang lemah sokongan dan menggunakan isu ini sebagai cara untuk mendapatkan sokongan dari kaumnya sendiri.

Isu perkauman hanya permainan politik mereka yang berkuasa dan mereka yang tidak mampu untuk menjadi pemimpin kepada rakyat. Mereka menggunakan isu ini untuk kepentingan peribadi mereka semata-mata.

Mahu tidak mahu kita mesti akui yang semua rakyat ada hak untuk bersuara. Bagi saya kerajaan patut mengambil tindakan dengan undang-undang terhadap sesiapa yang melaungkan sentimen perkauman yang terlalu menebal. Kita terpaksa menerima yang semua kaum adalah rakyat Malaysia. Mereka berhak untuk bersuara tentang nasib masa depan mereka.

Masa depan sesebuah negara itu ditentukan oleh rakyatnya sendiri. Pemimpin tidak boleh menekan dan memaksa sesiapa pun untuk memberikan sokongan secara terus menerus kerana pemimpin itu sendiri telah dipilih oleh rakyat buat satu masa yang ditetapkan dan di negara kita mereka dipilih selama 5 tahun sahaja.

Dalam hal negara kita BN telah diberikan mandat sebegitu lama, tetapi keyakinan rakyat yang berterusan itu telah di salah guna oleh mereka dan mereka sudah menganggap yang hak untuk memerintah itu hanya ada kepada BN semata-mata. Dalam usaha mengekalkan mandat itu BN telah melangkaui batas-batas demokrasi yang sebenarnya.

BN khususnya UMNO tidak lagi percaya kepada sikap toleransi dan etika demokrasi yang sebenarnya dan sikap ini lama kelamaan menjadikan rakyat yang mempunyai walaupun sedikit pemikiran menjadi bosan. Rakyat sudah mula jemu dengan isu-isu yang diketengahkan terhadap parti-parti halal yang juga mempunyai hak untuk menawarkan untuk mendapatkan mandat dari rakyat.

Maka sekarang ini parti-parti yang berteriak tentang isu rasis ini dengan secara beransur-ansur dipinggirkan oleh rakyat berbilang kaum di negara ini. UMNO terutamanya masih dengan retorik usangnya kerana masih bercakap sesama sendiri betapa pentingnya UMNO itu untuk dikekalkan kerana UMNO sahajalah yang boleh menjamin masa depan negara dan orang Melayu.

Tetapi persoalannya benarkah UMNO kini masih relevan sebagai parti yang benar-benar memperjuangkan orang Melayu? Dulu benar yang UMNO merupakan parti kebangsaan yang menjadi payung kepada orang Melayu di samping menjaga kepentingan orang-orang bukan Melayu. Malahan seperti yang saya sebutkan acapkali orang-orang bukan Melayu memang menyokong UMNO itu untuk meningkatkan kedudukan orang Melayu yang akan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

Tetapi keyakinan ini sudah hilang samasekali kerana UMNO mengambil sokongan semua pihak ini secara ‘for granted’. Kita telah menjadi kumpulan yang kufur terhadap nikmat yang di dapati melalui sokongan semua kaum ini. Oleh kerana unsur rasuah dan kecenderungan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri untuk mengaut kekayaan sejak 3 dekad yang lalu, UMNO telah beransur-ansur menjadi lemah dan rasuah dalam parti telah menaikan mereka yang lemah kepimpinan untuk menjadi pemimpin dengan wang ringgit hasil dari kekayaan yang di dapati secara ‘ill gotten’ tadi.

Sokongan dari kaum bukan Melayu itu telah menurun kerana UMNO sendiri telah menyalah gunakan sokongan mereka kepada UMNO dengan secara terbuka dan mudah dipandang dan dilihat. Bukan Melayu telah menyaksikan bagaimana UMNO telah mempermainkan orang Melayu sendiri apabila DEB yang sepatutnya tamat tempoh pada tahun 1990 dahulu telah tidak dihiraukan oleh pucuk pimpinan UMNO sendiri dan pada hakikatnya DEB itu telah ditamatkan riwayatnya bertahun-tahun sebelum tempoh berakhirnya dasar itu.

Orang-orang bukan Melayu sendiri melihat hak dan keistimewaan orang Melayu itu telah di salah gunakan kerana diambil kesempatan oleh kroni-kroni pucuk pimpinan di atas nama Bumiputra. Projek-projek ekonomi yang besar-besar dalam jumlah ratusan billion ringgit telah diberikan kepada beberapa orang Melayu dan Bumiputra secara ‘negotiated tender’ dan harganya melambong tinggi dengan menggunakan wang dari cukai yang di kutip dari rakyat. Projek ini kebanyakannya tidak termasuk di dalam rancangan pembangunan 5 tahun yang menjadi amalan kita selama ini.

Semua projek dilaksanakan secara ‘express’ dan rasuah pun mula bermaharajalela tanpa sekatan. Zaman itulah kita melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana Melayu dan Bumiputra baru ini menjadi seperti saudagar minyak Arab yang terbang kesana kemari dengan jet peribadi dan seumpamanya.

Sekarang semua jet-jet tersebut sudah tiada lagi kerana mereka tidak mampu untuk bertahan Kata seorang yang mempunyai jet peribadi dahulu memberitahu saya, “kalau kita membeli jet ianya hanyalah merupakan ‘2 times happiness’ sahaja. Pertamanya semasa mendapat menerima penghantaran jet itu dan yang keduanya semasa jet itu dapat dijual atau ditarik balek (repossess) oleh syarikat kewangan yang memberikan pinjaman itu”. Ada di antara mereka telah jatuh merudum kerana kesilapan memberi mereka menjadi kaya raya secara kilat.

Ratusan billion ringgit keuntungan pembangunan hanya dinikmati oleh segelintiran rakyat yang akhirnya hidup di dalam kufur nikmat yang tidak terperi. Semuanya ini mendapat perhatian rakyat ramai dan mereka sudah tidak lagi yakin dengan jenis pimpinan seperti ini. Sekarang ini pemimpin-pemimpin yang jenis dan kumpulan ini pula yang ingin menyakinkan rakyat tentang transformasi ekonomi dan transformasi politik untuk negara.

Bagaimana rakyat hendak percaya sedangkan projek pertama untuk melaksanakan transformasi ini masih lagi mempunyai unsur-unsur yang tidak menyenangkankan rakyat. Yang dimaksudkan ialah projek raksaksa MRT yang akhirnya akan menelan belanja sebanyak lebih dari 60 billion ringgit melalui syarikat orang berpengaruh secara ‘negotiated’ tender. Ini menyakitkan kepada siapa yang faham sedikit sebanyak tentang apa yang sebenarnya berlaku di dalam kes projek ini.

Projek yang sebesar ini sepatutnya dilakukan dengan ‘tender antarabangsa’ dan tidak terkejut jika ianya dilakukan secara tender ini projek ini akan memakan kos yang kurang dari 30 billion ringgit. Kerajaan tidak boleh menyalahkan rakyat kerana begitu ‘suspicious’ kerana rakyat telah banyak kali terkena dengan projek-projek raksaksa yang telah menelan belanja yang jauh lebih besar dari yang sepatutnya. Rakyat tahu berbillion-billion dari jumlah kos itu merupakan jumlah ‘kick back’ kepada pihak-pihak tertentu.

Alah bisa tegar biasa. Rakyat sudah tidak lagi percaya cara dan kos yang terlibat dalam projek seperti ini merupakan proponent yang tepat dalam projek ini. Perkara-perkara seperti inilah yang menyebabkan terbinanya persepsi yang sangat buruk terhadap kerajaan dan nampaknya kerajaan tetap melakukannya. Tidak ada bayangan yang kerajaan sedar dan mahu berubah Apabila telah ketagih dengan rasuah kegiatan ini memang tidak dapat diubati lagi.

Rakyat berbilang kaum sudah hilang keyakinan terhadap BN khusunya UMNO dan krisis keyakinan seperti ini selalunya akan mendapat hukuman dari rakyat semasa pilihanraya nanti.

Rasuah dan penyalah gunaan kuasa tetap dilakukan, tetapi rakyat tidak dibenarkan bersuara untuk menentangnya. Jika rakyat bersuara ada yang ditangkap dibawah EO pula. Justru kehendak UMNO ialah, ‘biarkan aku rasuah dan kamu mesti terus menyokong aku. Kalau tidak aku akan tangkap kamu dan penjarakan kamu’.

Persoalannya siapa yang hendak mempercayai janji UMNO untuk membela generasi yang akan datang sedangkan generasi sekarang pun sedang menghadapi masalah keji ini? Rakyat nampaknya ingin mencari hala tujuan baru. Mereka sedang beransur-ansur lari dari perjuangan rasis yang dibina oleh UMNO begitu tebal.

Rakyat mahu mencari kerajaan yang mempunyai ‘decency’ yang jelas dan pasti. Itulah sebabnya ramai rakyat termasuk orang Melayu sedang dalam pencarian dan setengahnya sudah pun mengambil keputusan untuk memberikan perhatian terhadap 2 parti, iaitu PAS dan DAP.

PAS merupakan parti yang secara relatifnya lebih bersih dan mempunyai disiplin kepartian yang kuat. DAP pula merupakan parti berbilang kaum yang terbukti mampu mentadbir kerajaan dengan jujur dan mendapat sokongan semua kaum. Di Pulau Pinang, MCA dan Gerakkan sudah menjadi tidak mempunyai pengaruh lagi. UMNO pula sudah menjadi seperti pelesit kehilangan tuan…menyalak kebukit dan lembah kerana sudah hilang segala punca penyelesaiannya.

UMNO di P Pinang sudah hilang segala hidayah dan amat sukar untuk kembali berjiwa dalam masa yang singkat ini. UMNO hanya akan dapat kembali sembuh dari penyakit krisis keyakinan ini jika seluruh pimpinan sekarang mengambil tempat dibelakang dan memberikan kepada orang lain untuk menerajuinya. Kalau masih tidak mahu berkorban maka UMNO akan terkorban. Jangan menyesal dikemudian hari, kerana ia tiada gunanya lagi.

Hanya 3 perkara yang ditolak rakyat dari kerajaan yang memerintah sekarang. Apakah 3 perkara itu?

Pertamanya kerajaan sekarang mesti berjaya untuk menghilangkan persepsi rasuah. Keduanya rakyat menolak sistem pentadbiran ala “police state’ yang sedang berlaku pada hari ini. DAN yang akhir sekali rakyat menolak kerajaan dan UMNO memainkan sentiment rasis yang terlalu menebal sekarang ini.

Tetapi ketiga-tiga elemen inilah yang sudah pasti tidak mampu dilakukan oleh pemerintah pada hari ini.

26 July 2011

Siapakah pembawa dalil kiamat yang nyata?

Pihak kerajaan tidak boleh duduk diam tanpa berkata-kata yang tidak digemari ramai. Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis pula sekarang dituduh sebagai seorang Wahabi dan beliau sangat hampir untuk dituduh sebagai pengganas. Apa sahaja yang terkeluar dari mulut pihak kita semuanya menyakitkan pihak yang lain. Dalam nafas yang sama mereka mengingatkan tentang perpaduan Islam dan entah apa yang lain.

Semua manusia dalam Malaysia ini merbahaya kepada kerajaan. Berjalan secara aman beramai-ramai untuk berhimpun secara aman dikatakan oleh pemerintah sebagai perhimpunan haram yang mengganas dan kononnya rakyat Malaysia hendak meniru apa yang berlaku di Timur Tengah.

Apabila rakyat menyokong bersih yang di ketuai oleh Ambiga mereka menuduh yang kita sebagai tidak patriotik dengan menyokong pimpinan bukan Islam. Penyokong Bersih itu di anggap sebagai perusuh tetapi disebaliknya polislah yang merusuh mereka. Pihak pemerintah begitu ‘paranoid’ dengan apa sahaja yang dilakukan dan diungkapkan oleh pihak lain.

Dengan apa yang dilakukan terhadap Asri ini, satu lagi bukti jelas pihak kerajaan akan lakukan apa sahaja untuk menunduk sesiapa yang bercakap benar. Di dalam sistem pemerintahan kita yang benar akan selalu gagal dan yang bathil tidak akan menghadapi kesusahan. Malahan pemerintah seolah-olah merupakan pihak pembawa dalil hari kiamat yang paling jelas.

Dalil-dalil kiamat memang sudah nyata berada di hadapan kita. Dalil kiamat itu selalunya bertentangan dengan nilai dan moral biasa. DAN pemimpin-pemimpin kita nampaknya menjadi pembawa dalil yang tegar.

Apa sahaja yang baik itu salah baginya. Yang bathil bermaharaja lela, yang hak dan benar sentiasa diejek dan dihina. Yang salah nampak benar dan yang benar dikatakan salah.. Kalau dahulunya kita hanya nampak dalil yang biasa sahaja seperti buah di luar musim, lelaki menyerupai perempuan dan perempuan pula menyerupai lelaki, kini dalil yang lebihnya sedang timbul dengan jelas sekali.

Ianya termasuk pengaruh perempuan yang sangat besar dalam masyarakat. Wanita di takuti oleh lelaki dan wanita bermaharajalela. Yang kaya bertambah kaya dengan cara bathil dan mereka dilindungi dengan undang-undang yang ketat.

Semua manusia yang mahu kebenaran akan menjadi bahan kritikan dan dihina. Yang berkuasa akan menggunakan kuasa secara bebas dan tidak adil semata-mata kerana kuasa yang ada.

Orang yang hina dan melakukan kesalahan dan noda akan menjadi idaman orang ramai. Agama akan diberikan intepritasi yang terbalik. Yang melakukan sesuatu dengan tujuan yang baik akan dihina dan diperkosa oleh pihak yang berkuasa.

Yang berilmu (ulamak) tidak akan mendapat tempat lagi. Itu sebabnya dalam kes Asri ini ianya merupakan satu dalil jelas menuju kearah kiamat itu tadi. Yang mendapat tempat ialah mereka yang memperjuangan perkara yang menyekutukan tuhan seperti tidak akan terjamin rezeki jika tidak mengikuti pihak berkuasa yang tidak adil itu.

Yang belum kita lihat dengan mata kepala kita hanyalah satu elemen dalil sahaja lagi…iaitu mata hari belum lagi terbit dari barat. Dalil-dalil yang lain semuanya sudah ada dan kebanyakan dalil itu dilakukan oleh kalangan kita sendiri.

Jika mata hari sudah mula terbit dari barat maka segala niat yang baik tidak akan menjadi kenyataan dan diterima tuhan lagi. Oleh itu jika kita mahu melakukan yang baik dan tidak mahu menjadi salah seorang dari pembawa dalil itu tadi elok melakukan sesuatu sebelum matahari terbit dari barat. Biar lambat asalkan selamat.

Tuhan berjanji jika masih ada umatNya yang masih berzikir kapadaNya walaupun seorang dunia ini belum lagi akan kiamat. Jika kita ingin menjadi penyelamat elok kita jangan terbabit dengan pembawa-pembawa dalil itu dan sebaliknya kita keluar dari kumpulan itu.

Semoga kita adalah di kalangan yang tidak bersama dengan pembawa dalil itu tadi, supaya dunia tidak dan belum lagi kiamat. Kita berbuatlah kebaikan sebelum matahari terbit dari barat kerana kita lakukan kebaikan selepas matahari terbit dari barat segala kebaikan ubudiah kita tidak lagi diterima tuhan kerana sudah terlambat.

25 July 2011

UMNO - Kesuntukan masa untuk berubah

Tan Sri Muhyiddin mengingatkan komponen dalam BN supaya menghentikan perpecahan di antara satu dengan lain serta mengingatkan juga UMNO dan ahli-ahlinya supaya bersatu untuk menghadapi pilihanraya yang tidak berapa bulan sahaja lagi. Selama ini BN memang satu gagasan yang mana parti-parti di dalamnya mempunyai disiplin dengan tidak membuat kenyataan-kenyataan yang boleh merosakan perhubungan di antara satu parti dengan parti yang lain.

Tetapi sejak kekalahan banyak kerusi di dalam pilihanraya yang lalu dan kehilangan 5 buah kerajaan negeri parti-parti komponen mula menyanggah di antara satu dengan lain dengan pemimpin-pemimpin masing-masing menuduh parti-parti dalam komponen bertanggungjawab di atas kekalahan itu.

GERAKKAN misalnya, terang-terang telah menyalahkan UMNO kerana kelemahan pimpinannya dan oleh kerana terlalu sabar mengikut telunjuk sambil melihat perangai dan ragam UMNO maka UMNO telah membawa parti-parti lain terkorban bersama di dalam pilihanraya itu.

MCA juga pernah mendakwa yang UMNO merupakan parti yang bertanggungjawab atas kekalahan itu dan menyalahkan UMNO yang berjuang dengan sikap rasisnya telah menyiahkan sokongan kaum Cina dan bangsa lain dalam pemilihan itu. MCA dengan lantang telah meminta kerajaan suapaya memberi peluang sama-rata dan membuang keistimewaan orang-orang Melayu di dalam perdagangan dan perindustrian. Dasar-dasar kerajaan memberi keistimewaan orang-orang Melayu itu telah memerangkap negara kita ke dalam ‘middle-income trap’ dan cita-cita untuk menjadikan negara sebagai negara maju yang rakyatnya berpendapatan tinggi akan terbantut.

Kenyataan-kenyataan pimpinan MCA ini telah mendapat reaksi panas dari UMNO dan beberapa orang pemimpinnya telah meminta MCA supaya keluar dari gagasan BN. Perkasa juga telah mengambil kesempatan untuk masuk dalam gelanggang polimik dengan parti-parti yang didominasi oleh bangsa Cina dan sikap rasis yang tinggi yang ditunjukan oleh Perkasa telah membuatkan orang-orang Cina conclusive untuk menolak BN tunjangan UMNO ini.

Kata-kata telah terlanjur. Kata perbilangan ‘terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata membawa padah’ kepada diri kita sendiri. Bukti-bukti jelas memang telah kita alami sebelum ini tetapi kita pernah mahu belajar dari kesilapan-kesilapan yang terdahulu. Orang-orang Cina sekarang tidak ada halangan untuk menyokong PAS dan ini bukannya elemen baru dalam politik negara.

Pada tahun 1969 Dr Mahathir telah tumpas di tangan PAS di Kota Setar kerana mulut celuparnya. Mahathir telah berkata yang beliau tidak memerlukan undi Cina kerana Mahathir menyangka yang orang Cina tidak akan mengundi PAS. Tetapi jangkaan beliau meleset kerana orang-orang Cina telah memberikan undi yang padu kepada Mursyidul Am PAS semasa itu Hj Yusuf Rawa. Dr Mahathir telah tumpas dengan majoriti undi sebanyak seribu lebih kerana lidahya sendiri.

Bagi pandangan politik rasis yang sangat menebal pada hari ini tidak mudah untuk di ubati. Rakyat ramai sudah begitu mual dengan isu rasis ini siang dan malam. UMNO menggunakan isu rasis ini untuk menyatukan orang Melayu di bawahnya sedangkan orang Melayu sendiri sudah penat dengan isu rasis ini. Orang Melayu sendiri berfikir yang mereka tidak boleh tahan dengan isu ini kerana mereka sendiri mempersoalkan apa yang mereka dapat dengan peningkatan isu ini.

Malahan jika berjaya pun ianya akan membelahkan lagi rakyat yang inginkan kerukunan dan melihat bagaimana pemimpin UMNO kita sendiri mengambil kesempatan di atas sokongan orang Melayu untuk memperkayakan diri sendiri sedangkan mereka sedang berperang dengan berbagai-bagai isu seperti kenaikan harga barangan yang melibatkan kehidupan seharian mereka.

Isu imej pimpinan UMNO bukan isu kecil kerana dalam politik elemen persepsi itu adalah proponent yang terpenting di dalamnya. Apabila imej sudah begitu tercalar selalunya ia tidak akan kembali pulih seperti sediakala lagi. Itu tidak ada siapa yang boleh memberikan jawapan kenapa keadaan itu berlaku, tetapi itulah dia kenyataannya.

Contohnya isu rasuah yang bermain di bibir semua rakyat pada hari ini. Semua orang yang berfikir akan mengakui yang rasuah ini terutamanya rasuah yang besar-besar itu merupakan penyakit ketagihan. Ketagihan rasuah ini merupakan imej yang melekat dan menjadi stigma kepada UMNO dan pimpinan BN. Tetapi masih lagi ramai yang percaya yang imej rasuah ini boleh dibersihkan dengan retorik dan pengumuman acronym-acronym yang hebat-hebat dari Idris Jala.

Membilang acronym yang banyak tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada persepsi rakyat terhadap kemampuan kerajaan untuk membersihkan imejnya dan seterusnya mendapat sokongan ramai. Rakyat tetap mahukan ‘result’ secara organic. Jika kita lihat pengalaman rakyat yang sedang menghadapi kesempitan kehidupan pada hari ini dengan kos kehidupan yang tinggi dan standard kehidupan yang menurun, laungan pemimpin untuk menjadikan negara ini negara yang berpendapatan tinggi sangat payah untuk diyakini rakyat.

Sikap ‘defensive’ pemimpin kita pada hari ini menambahkan ‘apprehension’ rakyat ramai untuk meyakinkan diri mereka yang pimpinan kita menpunyai masa yang cukup untuk membetulkan keadaan. Apa yang kita lihat pada hari ini tindakan pimpinan kita hanyalah setakat menyambung yang putus dan menampal lubang-lubang yang bertaburan di merata-rata tempat. Kadangkala lubang-lubang itu terlalu besar sehinggakan tidak boleh ditampal lagi.

Rakyat mahukan perubahan yang hakiki. Tuntutan rakyat ini tidak akan dapat dipenuhi dengan ‘walk-about’ dan yang sepertinya. Kalau ‘walk-about’ secara ini dilakukan pada tahun-tahun enam puluhan dan awal tujuh puluhan mungkin boleh laku, tetapi tidak lagi sekarang kerana setakat bersalaman dengan pemimpin tidak akan dapat mengubah keadaan.

Rakyat tidak payah pun mengenali pemimpin tetapi yang rakyat mahu dan tuntut pada hari ini ialah dasar-dasar baik yang memberi faedah secara ‘direct’ kepada rakyat yang datang ‘walk-about’ dengan mereka. ‘Walk-about’ pemimpin hanya merasa makan karipap dan minum air bandung sahaja……tidak boleh menaikan pendapatan dan merapatkan jurang perbezaan kaum. yang berpecah-pecah kini.

Najib perlu membetulkan masalah dalaman UMNO dahulu dan di turuti dengan masalah di kalangan parti-parti komponen BN. Muhyiddin tidak payah berulang alik ke Sarawak kerana Sarawak BNnya kuat. Lagi pun UMNO tidak wujud di Sarawak. Tidak perlu bersuluh di tempat yang terang. Yang perlu di suluhkan ialah tempat-tempat yang mana BN dalam kegagalan.

Yang perlu di perbetulkan oleh Muhyiddin ialah masalah rasuah yang dikaitkan dengan pimpinan BN khususnya UMNO. Yang lebih penting lagi ialah masalah rasis yang mendalam. Itulah sebabnya Muhyiddin telah melakukan kesilapan dengan meminta Perkasa mempergiatkan hentaman terhadap parti-parti politik pembangkang dan NGO NGO yang mereka anggap di dalangi pembangkang. Jika Perkasa dianggap rasis maka itu jugalah anggapan ramai terhadap UMNO.

Yang lebih serius lagi UMNO perlu cari nama atau orangnya yang akan dijadikan Menteri Besar di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang serta Kelantan jika BN menang. Saya bersama ramai orang yang sependapat dengan saya tidak nampak ada nama yang ‘viable’ untuk ditonjolkan di negeri-negari ini. Kalau ini tidak di selesaikan janganlah menaruh harapan untuk mengambil kembali kerajaan-kerajaan negari ini. Tidak mungkin pemimpin UMNO sekarang yang telah menyebabkan jatuhnya negeri ini untuk di gunakan bagi mengambil alih kembali pimpinan negeri-negeri itu.

Penyakit rasuah ini merupakan penyakit yang begitu contagious dan ianya telah meresap kedalam sistem dan jiwa hampir kesemua pimpinan UMNO. Betul atau tidak saya pun tidak begitu tahu….tetapi itulah yang dipersepsikan terhadap pemimpin-pemimpin UMNO setiap peringkat.

Untuk menghilangkan persepsi ini tidak cukup untuk memaksa mendiang Teoh Beng Hock untuk menjadi saksi pendakwa untuk membuktikan pimpinan Pakatan Rakyat juga rasuah.

Rasuah itu adalah stigma yang melekat kepada batang tubuh UMNO. Rakyat telah menganggap rasuah dan UMNO itu ibarat aur dengan tebing, saling sandar menyandar di antara satu dengan yang lain.

Mungkin masa terlalu suntuk untuk parti ini berubah.

23 July 2011

Menunggu perubahan yang tak kunjung tiba - AMANAH terpaksa menggerak langkah

Pelancaran Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) semalam merupakan satu pengisytiharan bagi kita melakukan perubahan kepada susur galur perjalanan kearah mencapai masyarakat dan rakyat yang berpadu, satu-satunya perjuangan yang diusahakan oleh pimpinan kita yang terdahulu khususnya perjuangan YTM Tunku Abdul Rahman dan sahabat-sahabat pemimpin seperti Tun Tan Cheng Lok, Tun Sambanthan dan yang lain-lain yang bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia dari Sabah dan Sarawak.

Bagi sesiapa yang mengamati matlamat AMANAH ianya merupakan perjuangan dan usaha untuk membina hanya satu matlamat iaitu perpaduan di antara semua kaum yang telah berpecah belah kerana dipecah belahkan oleh pemimpin-pemimpin politik yang terdesak untuk mendapat sokongan. Jika kita telek dan kaji dengan serius sebenarnya perjuangan pemimpin kita terdahulu hanyalah satu, iaitu perpaduan kaum yang hakiki.

Jika perpaduan kaum yang hakiki itu tercapai maka mudah bagi siapa yang memimpin untuk membina negara dalam semua bidang, samada politik, ekonomi, sosial dan apa-apa yang diperlukan untuk kehidupan rakyat berbilang kaum. Semuanya ini telah hampir tercapai tetapi sejak hampir 3 dekad dahulu apabila kita dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang tidak mempunyai nilai sebagai pemimpin yang sesuai dengan keadaan negara kita, maka keadaan beransur-ansur mengalami perpecahan mengikut sentimen perkauman yang menebal.

Kemerdekaan dicapai dengan perpaduan di antara semua kaum. Jika tidak ada perpaduan kemerdekaan berkemungkinan tidak akan tercapai. Tetapi dengan ketelusan dan kejujuran bapa-kemerdekaan kita bersama rakan-rakan seperjuangan dari semua kaum kita telah berjaya membina dengan kukuh asas yang terpenting sebelum negara mengisytiharkan kemerdekaan itu.

Ini sahaja sepatutnya di sedari oleh semua pihak yang perpaduan di antara kaum itu merupakan perkara terpenting dan usaha yang pertama untuk dijayakan sebelum apa-apa perancangan boleh di laksanakan. Kita boleh menggubal apa sahaja dasar yang molek-molek, tetapi jika perpaduan di antara kaum itu tidak wujud segala dasar tidak akan mencapai kejayaan.

Walaupun dasar itu hanya untuk kepentingan pembangunan bagi hanya satu bangsa ianya tidak juga akan berjaya tanpa persetujuan dan restu kaum-kaum yang lain di negara ini. Contohnya DEB yang digubal untuk kepentingan Bumiputra bagi membolehkan kaum Bumiputra berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dahulu pun hanya di lancarkan dengan persetujuan kaum-kaum yang lain di dalam negara kita.

Itulah sebabnya BN telah mencapai kejayaan untuk mendapatkan sokongan bulat dari semua rakyat berbilang kaum. DAN itu pun sebabnya kehadziran wakil-wakil pembangkang di dalam dewan-dewan lagislatif kita boleh di kira sebagai ‘insignificant’. Walaupun dasar itu ialah khas untuk Bumiputra tetapi pimpinan besar kita telah berjaya mendapatkan sokongan dari pimpinan kaum-kaum lain dan mereka bersama-sama memberikan sokongan terhadap dasar yang murni itu.

Semua kaum bersetuju merapatkan jurang berbezaan ekonomi di antara kaum itu akan membawa negara kearah huru-hara dan kepincangan yang akan merugikan negara keseluruhannya pada masa depan. Semuanya ini merupakan ‘wisdom’ yang ketara yang ada kepada pemimpin kita khususnya kapada YTM Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Husein. Nama-nama ini merupakan pemimpin-pemimpin yang berkorban dengan jiwa dan raga mereka tanpa memikirkan kekayaan dan harta yang menimbun untuk keluarga dan sanak saudara mereka.

Tetapi pemimpin selepas era itu tidak berjaya untuk menandingi kesabaran dan pengorbanan mereka , kerana selepas itu pemimpin sudah mula mengendung sekali nafsu untuk membina kekayaan mereka di samping membangunkan negara. Apabila pemimpin sudah ada kepentingan peribadi bermulalah kehilangan kepada nilai dan kualiti kepimpinan kita.

Jika pemimpin seperti Tunku, Razak dan Husein bersara dengan tiada apa-apa kekayaan yang dihimpunkannya pimpinan selepas itu lain pula keadaannya. Pemimpin selepas itu tidak lagi mahu menaiki penerbangan komersial tetapi terbang antara dunia dengan jet-jet eksekutif dan mewarisi kekayaan yang berbillion untuk anak-anak dan menantu mereka.

Di sinilah bermulanya kejatuhan nilai dan moral kepimpinan dan mengasuh rakyat untuk menjadi rakyat yang materialistik dan membiarkan harta kekayaan di kumpulkan dengan apa cara sekalipun waimma dengan rasuah dan salah guna kuasa yang tidak terkawal. Hasilnya kita sedang sama merasakannya sekarang. Politik tidak lagi mampu untuk membina perpaduan rakyat dan pengagihan kekayaan secara ‘equitable’ tetapi telah meruntuhkan segala institusi penting negara kita sehingga memusnahkan segala sistem unggul yang dibina oleh bapa kemerdekaan dan pimpinan kita yang terdahulu.

Rakyat berpecah belah, perhubungan di antara kaum merupakan zaman yang paling rendah, imej negara pada pandangan masyarakat antarabangsa kita merudum dan pelabur-pelabur asing lebih selesa untuk melabur di negara-negara jiran kita. Negara kita ketinggalan di belakang negara Indonesia, Thailand, serta Vietnam. Semuanya berada di dalam keadaan carca marba dan laungan pimpina kita dengan program transformasi politik dan ekonomi itu hanya tinggal sebagai laungan kosong semata-mata. Masalah yang kita sedang hadapi tidak kebah-kebah sehingga hari ini.

Sekarang ini ramai di antara pemimpin telah di letakan di tempat yang tidak sesuai dengan kemampuan masing-masing kerana ketandusan kepimpinan. Pemimpin utama kita tidak dapat penghormatan masyarakat antarabangsa kerana di zaman teknoloji tanpa sempadan ini semua apa yang berlaku di negara kita di ikuti oleh semua pemimpin dan masyarakat antarabangsa.

Keadaan ini semakin hari kian bertambah ketara. Perbalahan di antara kaum semakin meruncing. Keadaan ini telah diperhatikan oleh pihak yang dikatakan sebagai ‘the silent majority’ yang selama ini tidak bertindak apa-apa kerana mengharapkan keadaan akan bertambah baik dengan kecerdasan kepimpinan dan kesejukan jiwa pemimpin yang dipertanggungjawabkan. Tetapi keadaan tidak juga bertambah baik malahan bertambah merbahaya. Kumpulan ini tidak lagi rela melihat perpecahan dan perbalahan ini yang akan membawa keruntuhan kepada semua yang telah di asaskan oleh pemimpin kemerdekaan kita.

Justru tertubuhlah apa yang di namakan AMANAH (Angkatan Amanah Merdeka) dengan matlamat membawa kembali rakyat berbilang kaum untuk bersatu seperti yang pernah kita alami dahulu. Amanah mahu bertindak dan melakukan apa yang telah dipandu dan diperjuangkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan kita dan rakan-rakan pemimpin berbilang kaum yang telah membawa kepada pencapaian kemerdekaan dahulu.

Inilah yang akan diperjuangkan oleh Angkatan Amanah Kemerdekaan (AMANAH), badan NGO yang di lancarkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah semalam bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin yang mewakili berbilang kaum di negara ini. AMANAH akan melaksanakan matlamat dan tujuan ini dengan meminta semua kaum yang selama ini berdiam diri untuk keluar menunjukan kemahuan kita yang tidak mahu lagi melihat perpecahan ini berterusan.

Sebagai sebuah pertubuhan yang ‘non-political’ AMANAH akan menjelajah ke seluruh negara untuk mengingati kembali amanah kemerdekaan yang telah di tinggalkan oleh pimpinan terdahulu kepada kita semua. Ini negara kita dan ini hak kita untuk hidup tanpa menggunakan isu-isu rasis yang tidak menguntungkan mana-mana pihak malahan membawa kerugian kepada kita semua.

Kita perlu ingat kita telah merdeka dan kita mesti hidup dalam keadaan merdeka, yang tidak terkongkong dengan isu perkauman yang sempit. Kita mempunyai jiran-jiran yang berbilang kaum. Kita tidak rela berperang dengan jiran-jiran kita. Kita hendak hidup dalam harmonis dalam parameter slogan Muhibbah yang pernah menjadi slogan hidup rakyat berbilang kaum.

Dalam ucapan Tengku Razaleigh semalam, beliau telah mengingatkan kembali kata-kata Tunku Abdul Rahman Putra yang sangat mudah tetapi bertenaga sebagai seorang pemimpin yang penuh dengan ‘magnanimity’ dan ‘finesse’ beliau yang tinggi.

Di antara kata-kata YTM Tunku ialah “kalau kita hendak bersatu dalam satu keluarga yang besar, dan hidup di bawah satu bumbung bernama Malaysia kita mesti jujur di antara satu dengan yang lain – Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, Siam dan yang lain – Muslim, Buddha, Hindu Christian dan lain-lain. Kalau kita jujur kita tidak boleh berkata-kata yang akan menyakitkan di antara satu dan yang lain. Kita tidak boleh melakukan perkara yang akan menyentuh perasaan satu dengan lain. Sebagai ahli keluarga yang besar kita mesti membantu di antara satu dengan yang lain. Yang kaya mesti membantu yang miskin dan yang berjaya mesti membantu yang tidak berkesempatan. Barulah kita menjadi rakyat dan negara yang bersatu. Maka kita akan di hormati oleh dunia…”

Elemen ini lah yang menjadikan kita bersatu dahulu dan dengan kehilangan elemen-elemen bernilai ini lah juga sebabnya kenapa kita sudah sampai keperingkat merbahaya di dalam perhubungan ‘intra-kaum’ dan ‘inter-kaum’ di negara ini.

AMANAH lah yang telah menawarkan untuk mengisi ‘vacuum’ yang terlalu luas sekarang ini AMANAH akan membawa seramai mana rakyat berbilang kaum untuk menujukan bukti yang kita serius untuk memberitahu rakyat yang perpaduan semua pihak itu amat penting jika kita mahu melihat negara kita menjadi sebuah negara yang kukuh dalam semua bidang dan dihormati oleh semua pihak di dalam masyarakat antarabangsa.

Seperkara yang hakiki, pihak AMANAH tidak akan memaksa sesiapa untuk menyertainya kerana badan ini yakin yang apa yang kita harapkan selama ini akan secara lojiknya mampu dicapai jika mendapat sambutan dari setiap peringkat rakyat yang cintakan negara.

Penyertaan beramai-ramai itu akan menjadi kaedah yang paling sesuai secara relatifnya bagi melaksanakan amanah merdeka yang kita warisi kini. Kita mesti merobohkan jurang yang memisahkan kita sesama kita yang di cipta dan digalakan oleh pemimpin setengah pihak yang sedang berusaha untuk membina sikap ‘communalistic’ di antara kita.

Kita masih belum terlambat untuk memperbaiki keadaan buruk ini. Bak kata Tengku Razaleigh kita tidak boleh lagi tertunggu-tunggu , maka kita terpaksa melakukan langkah awalnya sekarang.

It’s better late than never.

21 July 2011

Rasuah itu adalah ketagihan tegar - elok dirawat di pusat serenti

Apa yang nampak oleh dua biji mata kita tidak semesti sama dengan apa yang dilihat oleh mata kita yang lagi satu, iaitu mata hati. Dua biji mata kita tidak mampu untuk melihat sejauh kemampuan mata hati. Biji mata kita tidak akan nampak apa yang ada di sebalik dinding tempat kita bersandar. Tetapi mata hati boleh melihat sejauh mata sekali pun jika kita telah sampai dan pernah berada di tempat yang dilihat oleh mata hati kita.

Saya nampak semua pokok yang ada di halaman rumah saya di kampong walaupun saya melihat dengan mata hati saya dari Subang Jaya. Saya boleh lihat sekarang ini bagaimana keadaan di Baitullah kerana semua kita telah sampai kesana. Begitu juga kita masih boleh nampak bagaimana rakyat yang sedang berjalan ke Stadium Merdeka untuk berhimpun secara aman telah digempur oleh pihak Polis tetapi dituduh peserta rally itu yang melakukan keganasan.

Saya juga nampak dengan mata hati saya bagaimana Baharudin Ahmad meninggal dunia semasa rally tersebut dan saya masih melihat dengan jelas bagaimana polis telah memancutkan air ber chemical kearah peserta-pererta rally yang hendak berjalan secara aman ke Stadium Merdeka. Mata hati kita juga nampak bagaimana ramainya peserta rally yang datang untuk menyertai perhimpunan itu walaupun polis tersalah bilang jumlahnya dan memberitahu kita jumlah kehadziran rally tersebut hanyalah dalam lingkungan 6000 orang sahaja.

Pandangan mata hati yang jujur akan membuahkan pandangan yang telus dan jujur terutamanya kepada mereka yang tidak ada kepentingan peribadi. Pandangan mata hati juga mampu untuk membuat telahan yang paling hampir kepada kebenaran. Pandangan mata hati yang jelas juga boleh memberikan ‘intuition’ tentang apa yang akan berlaku lanjutan dari pandangan mata hati yang tajam itu.

Pandangan mata hati dan ‘intuition’ ramai itu semuanya menjurus kepada perasaan tidak sedap hati tentang nasib orang-orang Melayu serta rakyat negara keseluruhannya. Ahli-ahli dan pimpinan parti di peringkat bawahan hanya diperguna oleh pimpinan atasan untuk memperjuangkan keuntungan peribadi (mereka) dan tidak sanggup berkorban kerana kepentingan peribadi. Tenaga dan keringat rakyat di bawah di perah sehingga kering semata-mata untuk kepentingan pemimpin-pemimpin, isteri-isteri dan anak-anak pemimpin-pemimpin yang tidak pernah merasakan kesusahan hidup seperti ahli-ahli di bawah.

Kenapa begitu? Jawabnya ialah kerana renongan mata-mata hati yang tajam yang nampak jelas partinya akan terjerumus kepada keaiban jika masih tidak bersedia untuk berubah secara serius serta drastik dalam masa yang sesingkat-singkatnya. Perubahan tidak mungkin terjadi di dalam UMNO kerana jika dilakukan perubahan yang besar maka perubahan itu akan menyekat mereka untuk bermaharaja lela dan memerah keringat rakyat lagi.

Sesungguhnya keenakan menjadi kaya raya terutamanya melalui rasuah adalah satu ketagihan yang tidak mungkin boleh diubati. Ketagih rasuah ini samalah seperti ketagih dadah yang tegar. Itu lah sebabnya ramai pemimpin yang tidak mahu langsung untuk memikirkan untuk bersara Ketagihan rasuah ini menyebabkan mereka bermati-matian untuk kekal dalam jawatan yang di sandang mereka. Mereka sanggup mengampu dan membodek pucuk pimpinan serta ahli-ahli keluarganya semata-mata untuk kekal di dalam nikmat kekayaan yang datang dari penat jerih rakyat yang ramai.

Keenakan duduk dalam kuasa akan membuatkan pemimpin-pemimpin yang ketagih kuasa dan keenakan ini melakukan apa sahaja, waimma menghancurkan pertubuhan politiknya sendiri. Pandangan rakyat tidak lagi di terima dan jika rakyat bangun menentang rakyat akan ditekan dengan kuasa-kuasa di tangan mereka untuk menindas perasaan rakyat yang ramai itu.

Rakyat tidak boleh berhimpun dan menunjukan ketidak puasan hati mereka walaupun secara aman. Perarakan yang aman di kecohkan oleh pihak polis dan akhirnya menyalahkan rakyat dan menuduh mereka sebagai perusuh. Sampai bila tekanan ini hendak dilakukan? Sampai bila?

Dalam pada itu mereka tetap hendak kekal dalam jawatan walaupun mereka sudah tidak lagi popular dan kedegilan ini tidak lain dan tidak bukan kerana ketagihan kuasa ini. Seseorng yang ketagihan dadah misalnya sanggup berbuat apa-apa sehinggkan ada kes penagih yang membunuh ibunya sendiri kerana ibunya tidak meberikan mereka wang untuk membeli dadah.

Itu sebabnya saya selalu menulis, jika pemimpin-pemimpin kerajaan itu sudah ketagihan dengan rasuah tiada jalan lain selain dari mengenepikan seluruh barisan yang sedang berkuasa dan yang sedang menghidapi penyakit ketagihan rasuah tadi.

Penagih-penagih ini harus di letakan di dalam pusat-pusat serenti agar mereka dapat dipulihkan agar mereka menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat. Di pusat pemulihan itu mereka akan diajar segala ilmu fardhu ain dan diberitahu yang mana halal dan yang mana haram.

Mereka akan diberikan latihan untuk menjadi insan yang baik dan berdisiplin melalui latihan kawat dan senaman setiap pagi. Di pusat pemulihan itu juga mereka boleh diajar untuk mengakui yang ketagihan rasuah itu adalah satu dosa yang besar, sama seperti memakan daging saudaranya sndiri.

Rakyat sudah sampai ketahap sudah hilang kesabaran. Berbagai-bagai saluran digunakan untuk meminta mereka berubah tetapi tidak juga berubah. Akhirnya rakyat hendak berjalan secara aman ka stadium untuk menzahirkan kemarahan mereka tetapi di tahan dan di kecohkan oleh pihak berkuasa dengan pancutan gas pemedih mata dan kekecohan itu pula di alihkan kepada rakyat pula sebagai pihak yang merusuh.

Hendak berkumpul itu pun dijadikan sebagai kesalahan oleh akta dan undang-undang. Jika berkumpul lebih dari lima orang akan melanggar akta polis. Semuanya tidak boleh. Seluruh dunia memerhatikan kita dan mengkritik kita. kritikan masyarakat antarabangsa itu dianggap sebagai mencampuri hal ehwal negara kita. masyarakat antarabangsa pula yang bersalah.

Jadi yang tidak bersalah hanyalah mereka dari parti-parti kerajaan BN. Yang lain di seluruh dunia ini bersalah. Semuanya bersalah kecuali UMNO dan BN. Yang boleh membangunkan negara hanya UMNO. Parti lain tidak tahu membawa pembangunan. Kita hanya di minta mengenang budi UMNO sahaja. UMNO dan pemimpin mereka rasuah tetapi mesti juga di sokong kerana mereka pernah berjasa.

Jasa UMNO yang lepas-lepas itu mesti diingati dan terus disokong walaupun mereka sekarang melakukan rasuah yang besar-besar. Tidak boleh di tegur kerana jasa mereka banyak kepada rakyat. UMNO telah memberikan kemudahan api letrik dan air paip yang bersih. UMNO telah memberi subsidi gigi palsu. UMNO telah memberi lembu pawah kepada orang kampong. UMNO telah membangunkan bangunan yang tertinggi di dunia. UMNO telah melebarkan jalanraya dan sebagainya.

Maka kita wajar sokong UMNO walaupun mereka rasuah dan selalu menyalah gunakan kuasa. UMNO itu lebih tinggi dari agama. Meninggalkan UMNO atau tidak memberikan sokongan akan di anggap seperti orang murtad. Yang berhak menjadi orang yang terkaya hanya lah pemimpin-pemimpin UMNO. Rakyat ramai tidak boleh walaupun mereka yang membayar cukai.

UMNO ini seolah-olah sudah ditarifkan seperti agama baru. Jangan dilawan mereka. Kuasa yang ada kepada mereka itu bukan datangnya dari tuhan. Ianya datang dari UMNO itu sendiri. Maklumlah segala pembangunan dan rezki rakyat itu katanya datang dari UMNO.Begitulah gayanya UMNO hari ini.

20 July 2011

Lahirnya AMANAH

Saya mendapat jemputan untuk menghaziri majlis pelancaran Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) pada hari Jumaat, jam 9.30 pagi. Pelancaran itu akan diadakan di Dewan Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman di Jalan Dato Onn Kuala Lumpur. Walaupun saya telah mempunyai ‘engagement’ yang lain pada waktu itu tetapi saya mengambil keputusan untuk hadzir di majlis ini dan menangguhkan temu janji yang telah sedia ditetapkan pada waktu itu. Lagi pun teman lama yang saya telah berjanji untuk bertemu itu juga ingin menghaziri majlis itu bersama.

Majlis itu terbuka kepada semua pihak untuk hadzir tanpa mengira faham politik dan kepercayaan dan majlis ini sudah pasti akan mendengar perkara-perkara yang jarang kita mendengarnya.

Majlis Pelancarannya akan disempurnakan oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah dan tentunya ia menarik perhatian banyak pihak dan menghaziri majlis ini kerana beliau merupakan seorang di antara beberapa orang yang masih menjiwai isu-isu kemerdekaan negara kita secara 'magnanimous'. Tentunya beliau mempunyai pandangan dan idea yang lebih terbuka dan menjiwai keluhan dan kehendak rakyat ramai yang dikatakan hidup di dalam sebuah negara demokrasi.

Saya juga telah diminta untuk menjemput semua pihak untuk hadzir dan ramai juga yang telah menghubungi saya bertanyakan di mana majlis ini akan diadakan dan bagaimana hendak sampai kepada tempat pelancaran itu. Tempatnya ialah di Pejabat lama Jabatan Perdana Menteri , Jalan Dato Onn, dan amat mudah untuk sampai tempat ini.

Ada yang bertanya samada pihak berkuasa akan mengakan sekatan jalan raya dan sebagainya kerana sedikit sebanyak ada yang tidak mahu mengalami lagi semburan gas pemedih mata dan sebagainya.

Sesungguhnya Amanah Angkatan Kemerdekaan (AMANAH) ini adalah NGO yang halal dan terdaftar dengan pendaftar pertubuhan dan majlis ini adalah majlis pelancarannya. Tidak ada apa yang perlu ditakuti untuk kemajlis ini kerana ia merupakan NGO yang bebas yang akan dianggotai oleh semua pihak tidak kira fahaman politik, agama dan apa-apa perbezaan sekali pun.

AMANAH bertujuan untuk mencari ‘point of reconciliation’ yang tepat untuk membantu kerajaan mencapai matlamat yang satu, iaitu perpaduan semua pihak yang telah diperjuangkan melalui kemerdekaan negara kita dahulu. Apa pun keputusan yang hendak dilakukan imbangan di antara pihak-pihak yang berbeza wajar dicari dan diperolehi dengan penuh teliti.

AMANAH menginsafi yang tidak ada apa-apa yang akan berjaya tanpa perpaduan semua pihak dan semua pihak berharap penubuhan AMANAH ini tidak akan dijadikan isu pula oleh mana-mana pihak yang mempunyai pemikiran yang tidak terbuka.

Samada kita bersetuju atau tidak dengan sesuatu isu yang berbangkit AMANAH akan tetap memainkan peranan untuk mencari pengimbangan di antara dua atau lebih pihak yang berbeza. Untuk mencapai itu tentulah salah satu ‘ingredient’ penting untuk mencapainya ialah dengan menimba dan mengetahui apa-apa perkara yang baik yang pernah kita capai dahulu dan apa yang akan memberikan kemungkinan untuk perpecahan pandangan yang membawa perpecahan sepanjang zaman.

Yang penting untuk kita dengar pada majlis itu ialah pandangan pihak yang tidak banyak memberikan ‘attention’ pihak media dan pimpinan kerajaan. Tentunya dengan ucapan yang akan di sampaikan oleh Tengku Razaleigh akan memberikan input-input yang baik bagi kepentingan semua pihak walaupun dalam keadaan berbeza pendapat. Bolehlah dikatakan bahawa T Razaleigh mewakili the ‘silent majority’ yang acapkali disebutkan oleh pemimpin kita.

Elok tidak payah diulas panjang-panjang tentang apa yang akan diperkatakan oleh TR di dalam majlis itu. Elok ramai-ramai datang untuk mendengar buah fikiran dan pandangan beliau setidak-tidaknya untuk membantu kita melakukan apa yang terbaik untuk negara kita.

Mungkin tempat duduk tidak mencukupi tetapi pihak penganjur akan cuba untuk membuat ‘adjustment’ di sana sini untuk memberi peluang kepada semua yang hadzir mendengar ucapan pelancaran oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah yang dinanti oleh ramai itu.

Kita berjumpa di sana nanti. Kalau ada kesempatan kita minum kopi sama-sama.

Salam.

19 July 2011

Rakyat sudah kehilangan pimpinan - bhg 2

Kali ini saya menyambung posting yang lepas dan ingin mengupas, mungkin kurang mendalam tentang satu isu besar iaitu ‘rakyat sudah kehilangan pimpinan’. Secara ‘convention’ nya pemimpin utama UMNO itu adalah secara otomatik menjadi PM. Dengan cara pemilihan PM selama ini dilakukan secara ‘convention’ ini maka sesiapa sahaja yang menjadi Presiden UMNO itu akan menjadi Perdana Menteri. Kita masih lagi belum melaksanakan sistem yang sebenarnya. Sistem yang sebenarnya ialah sesiapa yang mendapat keyakinan Parlimen walaupun dengan ‘majority’ yang mudah akan menjadi PM.

Itulah sebabnya ada orang yang sanggup membunuh UMNO kerana UMNO itu sudah tidak menyakinkan beliau untuk terus menjadi PM negara ini. Memimpin parti baru akan meletakan beliau sebagai penyandang yang kuat dengan tiadanya seteru politik beliau berada bersama di dalam parti yang baru itu. Walaupun parti ini baru sahaja berusia 23 tahun tetapi segala penyakit yang ‘terminal’ sedang menghinggapi parti itu. Parti UMNO telah berjaya memilih ketua-ketuanya di setiap peringkat tetapi tidak berjaya mendapat ketua-ketua yang berkepimpinan.

Perlu diingat ketua tidak semestinya seorang pemimpin. Seperti seorang imam, ia tidak semestinya mampu menyampaikan doa ke hadirat Tuhan. Mungkin seorang dari jemaah yang ramai yang zuhud itu yang mampu menyampaikan doa dan hajat kepada Tuhan. Imam itu hanya mengetuai 'congregation' yang ramai itu sahaja.

Tetapi ini semua cerita lama dan cerita lama ini lah yang memulakan penghakisan pimpinan Melayu itu secara beransur-ansur dan diambil alih oleh pemimpin-pemimpin yang tidak sepatutnya berada di tempat yang mereka berada sekarang. Saya sekali lagi akan dinesta kerana menyebut isu ini kerana mereka memang tidak suka mendengar sejarah perlakuan mereka sendiri yang boleh direkodkan sebagai peristiwa yang paling malang bagi orang Melayu khususnya di dalam membina pemimpin pelapis yang bertanggungjawab dalam erti kata yang sebenarnya.

Tetapi saya tidak kisah dengan cemuhan mereka kerana saya yakin dari saat inilah bermulanya kita secara beransur-ansur kehilangan kepimpinan yang ‘viable’ untuk negara. Saya sanggup diapa-apakan namun untuk menarik kembali apa yang saya persepsikan ini tidak sama sekali akan saya lakukan. Dari peristiwa ini pimpinan kita telah memulakan ‘precedent’ yang kita boleh bertukar parti tanpa segan dan silu lagi kerana keseluruhan pimpinan UMNO telah membunuh parti mereka dan menubuhkan parti baru itu.

Tetapi oleh kerana kuasa ada kepada mereka dengan pengaruh yang kuat pula mereka menamakan parti baru itu sama nama seperti yang dibunuh itu. Tidak mengapalah itu. Tetapi ‘consequence’ buruk yang kita hadapi ialah UMNO itu sudah tidak lagi menjadi parti yang membina kepimpinan Melayu lagi. Apabila UMNO sudah luntur kepimpinannya maka ianya akan membawa bencana kepada negara kita kerana ‘by convention’ tadi Presiden UMNO itu adalah Perdana Menteri Malaysia.

Begitulah besar ‘effect’ nya terhadap nasib rakyat semua kaum dan negara keseluruhannya apabila UMNO sudah gagal membentuk kepimpinan yang berkesan untuk negara. Apabila pucuk pimpinan sentiasa tidak selesa dan sentiasa merasa tidak selamat, akan hanya memilih mereka yang memberikan sokongan yang membuta tuli, maka pimpinan pelapis itu akan hanya di perolehi oleh mereka yang tidak berkemampuan untuk memimpin kerana politik wang serta lantkan dari atas sebagai imbuhan kepada sokonganyang diberikan terhadap pimpinan.

Jadi keadaan ini akan dan sudah pun terbukti yang pimpinan utama akan di ambil alih oleh yang lemah dan kemudiannya akan dituruti dengan pimpinan yang lebih lemah dari yang sebelumnya. Pemimpin seperti ini selalunya akan menutupi kelemahan pimpinan mereka dengan penonjolan media yang berlebihan. Retoriknya akan lebih besar dan akan menumpukan untuk menonjolkan ‘form’ dari ‘substance’ dan jika kita kurang berfikir maka kita akan terpengaruh dengan ‘deception’ itu.

Dalam pada itu rakyat tidak juga terbela kerana pimpinan yang lemah akan menumpukan sepenuh masa ‘politicking’ peribadi dari berpolitik untuk kesejahteraan negara. Pemimpin seperti ini akan sentiasa diburu bayang-bayang dan sentiasa mencari jalan untuk menonjolkan diri dan tidak berhenti-henti melakukan perkara yang boleh membina keyakinan rakyat.

Dengan kelemahan pimpinan itu, maka akan ramailah pihak yang akan mengampu dan menonjolkan diri mereka untuk mengambil kesempatan, dan selalunya mereka ini juga adalah dari kalangan yang tidak dan kurang wibawa. Itulah sebabnya ada di kalangan professor-professor yang mengambil kesempatan memuji dan mengampu kerana mereka tahu pimpinan yang lemah amat memerlukan ampuan dan jolokan dari mereka ini.

Kepimpinan Melayu mungkin terbina di dalam PAS dan NGO-NGO tetapi itu sahaja parti yang terbaik untuk Melayu untuk menjadi alternatif kepada UMNO untuk mengasah kepimpinan. Tetapi masih lagi belum cukup memberikan impak kepada pembinaan kepimpinan Melayu itu secara menyeluruh. Melayu telah gagal untuk membina kepimpinan melalui UMNO seperti dahulu kerana UMNO dipenuhi oleh mereka yang tidak ada roh perjuangan itu lagi. Dalam konteks ini PKR tidak mungkin mampu melakukan pembinaan kepimpinan Melayu kerana kebanyakan dari kepimpinan parti itu adalah dari UMNO dan ‘mentality’ mereka sedikit sebanyak bersamaan dengan UMNO.

Sekarang sudah mula bercambah pemikiran Melayu yang berkepimpinan melihat DAP sebagai parti yang patut orang Melayu menyertainya secara beramai-ramai. DAP mengalu-ngalukan orang Melayu untuk menyertai mereka kerana mereka adalah parti berbilang kaum. Mungkin masih ramai orang Melayu yang menganggap parti ini sebagai parti yang masih patut di musuhi. Momokan terhadap DAP selama ini sangat kuat dan berkesan tetapi setakat ini parti itu tetap berjaya untuk kekal sebagai parti yang paling disiplin selain dari PAS.

Kedua dua parti ini mempunyai ‘seriousness’ yang tinggi dan usaha mereka untuk bersama rakyat itu sentiasa berterusan. Ianya berlainan dengan UMNO dalam mana pemimpin cawangan-cawangan tidak mampu untuk mengendalikan program parti kerana mereka sentiasa memerlukan wang ringgit setiap kali hendak bergerak. Tidak ada duit kerja tidak jalan. “Mesti ada fulus kalau tidak parti boleh mampus” kata beberapa orang anak-anak muda kepada saya.

Setakat ini DAP belum lagi berjaya sepenuhnya menangkis tohmahan parti-parti yang berlawanan dengan mereka walaupun rakyat sudah mulai memahami keadaan sebenarnya. Sudah ramai orang Melayu memahami bahawa DAP itu adalah sebuah parti yang ‘multiracial’ dan berwibawa. Malahan untuk membawa orang Melayu ke dalam kepimpinan parti itu merupakan agenda yang tidak berhenti-henti dilakukannya. Momokan yang mengatakan DAP sebagai parti yang kotor itu sudah tidak di yakini oleh orang ramai secara beransur-ansur.

Kata perbilangan ‘lulus jarum lulus kelendan’ dan ini sudah di dapati oleh DAP. Apabila DAP berjaya mengambil alih kepimpinan P Pinang parti itu telah berjaya membuktikan mereka itu bukan seperti apa yang dimomokan oleh pimpinan BN dan media perdana. Kerajaan P Pinang telah berjaya mentadbir negeri P Pinang dengan baik dan di yakini oleh semua rakyat P Pinang. Tetapi pandangan ini akan dibenci oleh ahli-ahli UMNO dan pimpinannya serta penyokong-penyokong yang tegarnya.

Bangsa India merupakan bangsa yang terkecil di Semenanjung Malaysia tetapi kaum India mempunyai kepimpinan yang besar dan mereka mempunyai perwakilan yang besar di Dewan Lagislatif negara. MIC merupakan parti yang mewakili mereka dan telah berpecah belah sejak lebih 20 tahun yang lepas. Tetapi dalam perpecahan MIC kaum India telah bercambah perwakilan mereka di Parlimen melalui BN, DAP, PKR, PPP dan beberapa parti yang lain

Begitu jugalah kaum Cina. Mereka berada di dalam banyak parti-parti yang multiracial. Hanya kaum Melayu sahaja yang masih ingin menggunakan UMNO untuk mengasah kepimpinan mereka selain dari PAS. Oleh kerana UMNO tidak mampu lagi menghasilkan kepimpinan yang berwibawa lagi maka tinggallah PAS sahaja yang kini diminati oleh ramai anak-anak muda dan professional . UMNO kini hanya menumpukan masa untuk membentuk acronym-accronym ciptaan Idris Jala untuk dilaungkan oleh PM kita.

Bagi saya DAP boleh menjadi parti dalam mana orang Melayu boleh bersama-sama membina kepimpinan mereka. Hapuskan pandangan serong masyarakat Melayu kepada parti itu kerana kepada orang politik yang serius mereka akan mengakui pandangan serong itu adalah hasil dari usaha pihak UMNO untuk menggambarkan persepsi buruk terhadap parti itu, kerana kepentingan politik kepartian. Pihak yang tidak mahu melihat parti ini berkembang telah melakukan segala cemuhan dengan menggunakan isu rasis yang sangat merbahaya.

Bagi pandangan setengah pihak, penyertaan ramai orang Melayu di dalam DAP boleh mengurangkan permainan politik yang rasis dan sempit. Pandangan ini tentu sekali akan mendapat berbagai reaksi penyokong kepada politik rasis tetapi satu perkara yang semakin nyata ialah politik sempit rasis sudah mula dibaham zaman.

Rakyat sudah mula tidak berselera dengan politik perkauman. Pemimpin-pemimpin kita menggunakan politik perkauman yang begitu menebal tetapi tidak juga mampu untuk mempertahankan nasib orang Melayu. Politik mereka kini hanya indah khabar dari rupa. Dibelakang kebanyakan mereka yang berkobar-kobar memainkan sentimen perkauman yang menebal itu mesti ada kaum Cina di belakang mereka.

Bagi saya tidak akan hilang Melayunya jika kita bersama dengan parti-parti berbilang kaum ini. Melayu tidak akan menjadi Cina atau India jika bersama-sama membina kepimpinan melalui parti-parti berbilang kaum jika melayu di dalam dirinya hidup. Ibarat seekor ikan yang hidup di dalam lautan ikan itu tidak masin dan terpengaruh dengan ‘environment’ persekitaran yang masin.

Tetapi jika Melayu itu Melayu yang mati di dalam diri mereka, dia juga diibaratkan sebagai ikan mati yang terpengaruh dengan persekitarannya. Jika ikan mati direndam dengan air yang masin dan dijemur selepas itu ikan itu akan menjadi ikan masin yang akan menjadi bahan hidangan mereka-mereka yang lapar.

Itulah sebabnya kita mesti memahami satu kenyataan yang sepatutnya difahami oleh semua kita ini; iaitu yang penting ialah nilai apa yang ada di dalam diri kita itu. Sebabnya jelas kita fahami yang akan menerima bahagia atau celaka di alam yang kekal nanti ialah roh kita. Itulah sebabnya kita dilingkungi oleh elemen pahala dan dosa kerana roh kita tadi.

Itulah sebabnya kita selalu bertawajjuh dengan Rasul dan bertawassul dengan Tuhan Maha Esa memohon rahmat dan syufaat agar roh kedua-dua ibu bapa kita dan datuk nenek kita diletakan di kalangan roh-roh aulia-aulia dan ambia-ambia serta soleh dan solehah. Kita tidak mendoakan tubuh mereka yang telah kembali kepada asalnya.

17 July 2011

Rakyat sudah kehilangan pimpinan - bhg 1

Apabila kekusutan politik berlaku terutamanya di kalangan orang-orang Melayu tentulah fokus ramai adalah kepada UMNO, sebab UMNO ialah sebuah parti yang telah memupuk dan membina kepimpinan Melayu. PAS juga telah membina kepimpinan Melayu (Islam) tetapi oleh UMNO itu adalah sebuah parti yang memerintah tentulah parti itu menjadi badan siasah yang akan menerima baik dan buruknya dalam isu pembangunan kepimpinan bangsa Melayu.

UMNO (asal) telah menumpukan untuk mengasah kepimpinan Melayu dan pemimpin utamanya telah melahirkan pemimpin yang bertanggungjawab untuk mempastikan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dapat dibela dan dipertahankan di muka bumi Malaya dan kemudian Malaysia akan terjamin.

Kepimpinan yang baik merupakan kemestian bagi sesuatu bangsa itu tidak berpecah dan kepimpinan yang di asah itu akan menerima hakikat bahawa pemimpin itu bertanggungjawab terhadap kestabilan negara samada dari sudut perhubungan di antara kaum dan perhubungan sesama kaum. Jika berlaku salah satu atau kedua-duanya sekali pimpinanlah yang sepatutnya mengambil 'accountability' tersebut.

Pemimpin yang di asah itu akan diberitahu yang kesilapan yang kita lakukan hari ini akan membuahkan kecelaruan dalam jangka masa yang panjang. Itu sebabnya kepimpinan wajar menggubal dasar-dasar yang kekal yang boleh diguna pakai buat masa yang panjang. Apabila dasar itu sentiasa berubah mengikut siapa yang menjadi pemimpin semasa, maka rakyat akan berubah dan perbezaan pendapat di antara yang biasa dengan sesuatu dasar itu akan berbalah dengan dasar baru mengikut acuan individu yang sedang memimpin.

Ramai yang berpendapat Husein Onn merupakan PM yang paling lemah semasa dekadnya. Tetapi Husein berpegang teguh kepada dasar yang telah di anggap sebagai dasar yang boleh diguna pakai oleh beliau yang telah ditetapkan oleh pentadbiran sebelum beliau.

Zaman beliau adalah zaman pemindahan kekayaan negara kepada Bumiputra dan beliau mempunyai pemimpin pelapis yang telah beliau tugaskan untuk melakukan dengan cara yang terbaik supaya saham-saham yang dipindahkan kepada Bumiputra itu tidak kembali jatuh ketangan bukan Bumiputra.

Banyak syarikat-syarikat kerajaan (Public Companies by Guarantee) yang sekarang dipanggil GLC telah dipindahkan kepada Bumiputra dengan mechanism yang teratur supaya saham-saham yang dipindahkan itu tidak terjatuh kepada orang lain di samping oleh Melayu mendapat perolehan dividen yang munasabah yang lebih dari kadar inflasi negara.

Tengku Razaleigh dipertanggung jawabkan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pelaburan Kabinet (JPP) untuk mencari mechanism yang terbaik. Justru itu wujudlah apa yang dikenali sebagai Sekim Amanah Saham Nasional (ASN) yang sehingga hari ini memberikan nikmat palaburan yang mempunyai dividen yang tinggi yang melepasi kadar inflasi negara sejak ianya mula di tubuhkan.

Sekim ini merupakan salah satu dari initiative kerajaan semasa itu untuk memberikan kebaikan kepada orang Melayu dan ianya di berikan sokongan yang kuat oleh kaum lain. kepimpinan kita dihormati dan kaum lain menerima hakikat bahawa Bumiputra mesti diberikan galakan dan sokongan untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum lain. Bangsa asing sentiasa memberikan dukongan kepada kerajaan untuk menjayakan apa sahaja projek ‘economics dan social engineering’ yang dilancarkan oleh kerajaan semasa itu.

Sokongan itu bukannya mudah di dapati. Tetapi sokongan itu didapati dari keupayaan pimpinan Melayu untuk mendapatkan keyakinan dari kaum-kaum lain. Keyakinan itu tentulah diperolehi dari sikap jujur pimpinan semasa itu yang pimpinan kita adalah serius dan tidak bermain-main dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Penyertaan orang Melayu di dalam ‘commerce and industry’ memang dirasai kerana SekimASN, ASNB serta PNB telah mewakili orang Melayu di dalam syarikat-syarikat gergasi dengan pegangan saham yang besar. Maka sekali gus pimpinan kita telah berjaya membawa masuk ramai Bumiputra di dalam syarikat-syarikat besar dengan penyertaan orang Melayu yang ramai di dalam pengurusan syarikat-syarikat tersebut. Pendeknya penyertaan Bumiputra di dalam pengurusan syarikat-syarikat besar itu bukan sebagai ‘conduit’ taukeh-taukeh besar tetapi sesungguhnya duduk didalam pengurusan syarikat tersebut kerana pegangan ekuiti yang besar melalui PNB,ASNB dan Sekim ASN itu tadi.

Zaman inilah zaman kejayaan awal Bumiputra yang sangat drastik bayangkan di dalam jangka masa 1971 sehingga 1984 penyertaan ekuiti Bumiputra meningkat dari 2.7 kepada 18.4 peratus pada tahun 1984. Tengku Razaleigh dan rakan-rakan di dalam JPP telah berjaya mengendalikan peningkatan ekonomi Bumiputra khususnya didalam bidang ekuiti Bumiputra kepada angka yang sangat memberangsangkan.

Tetapi beliau tidak dapat lagi memainkan peranan besar itu kerana tugas beliau telah di ambil alih oleh orang lain dan beliau sendiri telah dipindahkan ke Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Dari 1984 sehingga 2003 pegangan ekuiti Bumiputra hanyalah meningkat ke 18.9 peratus sahaja dan angka resmi ini terkandung di dalam ucapan Dr Mahathir yang terakhir di Parlimen sehari sebelum beliau mengundurkan diri dari jawatan beliau. Lain-lain perkataan sejak 1984 ‘marginal increment’ kepada pegangan Bumiputra di dalam syarikat-syarikat awam dan badan-badan berkanun yang berkepentingan bumiputra hanyalah sebanyak 0.5 peratus sahaja.

Angka-angka ini merupakan angka resmi kerajaan dan pada sesiapa yang mempunyai minat dan tenaga untuk membaca boleh membezakan kepimpinan di antara zaman Husein atau sebelumnya dan zaman selepas Husein. Di zaman Husein dan sebelumnya tidak banyak retorik dari pemimpin kerana barisan kepimpinan masa itu merupakan kepimpinan yang tulin dan legitimate. Kepimpinan yang berkualiti memang tidak payah berucap berdentum dentam kerana mereka boleh di nilai dari hasil kepimpinan mereka.

Slogan pun tidak ada semasa itu selain dari slogan Muhibbah kerana kerajaan beserta dengan sokongan rakyat sangat-sangat memerlukan kehidupan yang Muhibbah di antara kaum. Isu rasis pun tidak kedengaran kerana masing-masing kaum menghormati kaum yang lain.

Dalam perlaksanaan dasar yang kuat oleh pihak pimpinan dan penggubal dasar maka pelaksana terutama Unit pelaksana dan penyelarasan JPM (ICU) merupakan Jabatan yang paling sibuk menyelaraskan segala projek yang melibatkan rakyat ramai dilaksanakan secara betul. Tetapi ini hanya boleh dilakukan jika perlaksana juga adalah telus dan jujur melaksanakan dasar yang telah ditetapkan itu.

Tetapi semuanya ini sudah menjadi sejarah dan tidak pun ramai yang ingat dan mahu mengikut cara yang telah terbukti berkesan ini. Ini adalah disebabkan jika kita melaksanakan tugas dan tanggung jawab dengan telus dan jujur cara ini tidak dapat menerbitkan elemen-elemen salah guna kuasa dan rasuah.

Dari era pertengahan lapan puluhan nilai ini sudah beransur-ansur hilang kerana pada waktu itu sudah mula tanda-tanda pemimpin-pemimpin mendekati harta dan wang untuk mereka sendiri. Ramai pemimpin serta penjawat awam sudah mula merasakan nikmat kaya raya dan mereka telah beransur-ansur melupakan ketelusan yang kebaikan.

Dalam politik UMNO yang menjadi tunjang pentadbiran negara telah dicemati dengan unsur-unsur rasuah yang menggila. Pucuk pimpinan tidak mahu mengambil tindakan awal kerana jika di ambil tindakan pucuk pimpinan takut tidak dapat kekal lebih lama menjadi pemimpin utama negara. Justru siapa yang memberikan sokongan yang tidak berbalah bagi mereka ini akan diberikan kedudukan tanpa mengambil kira nilai moral mereka ini.

Maka secara beransur-ansur kepimpinan negara menjadi lemah dan setelah hampir 3 dekad sejak zaman itu inilah yang kita dapati sekarang. Kebanyakan pemimpin kita menjadi umpatan rakyat ramai dan mereka sudah tidak mampu mendapatkan penghormatan dari rakyat yang mereka pimpin. Rakyat mulai menolak kepimpinan kita dan telah pun terbukti di dalam PRU 12 yang lalu.

Untuk mempertahankan diri pihak pimpinan kita mengalih isu-isu penting ini dan menyalah parti-parti pembangkang. Kita perlu ingat jika kita betul seperti kepimpinan dulu kala masakan rakyat marah? Rakyat marah mesti bersebab. Takkanlah rakyat saja-saja hendak marah. Pihak kita bolehlah menyalahkan parti-parti pembangkang tetapi kita sendiri tidak mahu memulihkan persepsi buruk terhadap kita sendiri.

Tetapi UMNO dan BN memilih untuk membidas pemimpin pembangkang tidak habis-habis. Sesiapa sahaja yang memberikan pendapat yang ikhlas akan di label sebagai penyokong pembangkang. Dalam hal ini amat jelas UMNO telah gagal untuk membentuk kepimpinan pelapis dan rakyat sudah tidak tahu lagi untuk memberikan keyakinan kepada siapa dikalangan pimpinan tertinggi parti kita ini.

Kekosongan di setiap peringkat kepimpinan kian hari kian jelas. Pemimpin-pemimpin penyandang dan yang akan mengambil alih melalui kaedah conventional iaitu Timbalan mengambil alih jika PMnya bersara sudah tidak dapat dipakai lagi. Yang akan mengambil alih pun belum tentu mampu untuk menjadi pemimpin yang lebih baik kerana mereka itu adalah dari kumpulan yang sama dari segi nilai dan kemampuan kepimpinan mereka.

Apa yang diperlukan oleh rakyat ialah kerajaan yang ‘descent’ yang boleh mengimbangi pembangunan fisikal dan pembangunan nilai kemanusiaan. Ini lah tuntutan dari rakyat seperti kami dan kita dibawah ini kepingin untuk mendapatkan kembali pentadbiran yang pernah kami rasai dahulu.

Sekarang elok kita bertanya kepada diri kita samada UMNO masih boleh memberikan harapan untuk mengasah kepimpinan Melayu kerana sedikit sebanyak kita telah jelas melihat pemimpin-pemimpin UMNO pada hari ini merupakan mereka yang tidak ada kepimpinan yang tulin untuk kita harapkan membela generasi Melayu yang akan datang.

Apakah pilihan-pilihan yang ada kepada kita untuk mewujudkan kepimpinan Melayu yang berkesan kerana kepimpinan Melayu yang baik ialah Melayu yang berkemampuan untuk memimpin Melayu dan rakyat malaysia yang berbilang kaum ini.

Tulisan ini akan di sambung dalam posting yang akan datang kerana sudah terlalu panjang.

16 July 2011

Hanya RM24 juta

Saya ingin membuat pembetulan terhadap isu cincin yang sedang hangat diperbincangkan oleh orang ramai di mana-mana. Dalam posting saya yang lepas saya telah menyebut harganya sebagai USD24 juta. Tetapi mengikut dokumen Kastam DiRaja Malaysia harganya ialah RM24,458,400.00 (Ringgit Malaysia dua puluh empat juta empat ratus lima puluh lapan empat ratus sahaja). Saya mohon maaf atas kesalahan angka yang saya sebut di dalam posting yang lepas.






Mengikut catatan di dalam dokumen itu tertera nama si pemilik kepada cincin bertatahkan berlian ini. Nama yang tercatat jelas dan dikenali ramai.

Tetapi mungkin nama itu juga dipunyai oleh orang lain, kerana mungkin namanya sama dengan nama orang diperkatakan oleh rakyat ramai. Maklum sajalah, negara kita mempunyai 28 juta rakyatnya. Mungkin ada dua orang yang ada nama dan gelaran yang sama.

Apa cerita sebenarnya kita sama-sama tunggu. Saya berharap apa yang benar akan dizahirkan. Buat masa ini jika boleh, pihak yang berwajib keluar dengan kenyataan resmi dan muktamad supaya isu ini dapat dilenyapkan.

Sekian sahaja. Terima kasih.

15 July 2011

Saya berangan nak buka perniagaan emas dan intan berlian

Heboh! Kemana sahaja kita pergi rakyat sedang bercakap tentang cincin yang berharga USD24 juta yang dibeli oleh seorang ternama dan bergelar dari Jacob & Co, New York. Di kedai kopi, di kelab golf, di restoran besar-besar dan kecil, di surau dan di mana-mana cerita cincin ini diperkatakan. Ini adalah isu yang paling ‘hot’ di pasaran negara kita ini sekarang.

Apabila saya mendengarnya saya termenung dan berfikir rupa-rupanya ada barangan yang berharga semahal itu. Sebagai orang kampong berita ini membuatkan saya bingun kerana saya tidak tahu ada barang yang sekecil itu saiznya boleh berharga sebegitu tinggi.

Bagi saya jika cincin saiz yang sekecil itu boleh mencecah harga yang tidak ada bandingan tingginya saya menganggapnya sebagai satu perkara yang tidak logik. Rupa-rupanya ia bersangkutan dengan nilai barangan itu. Bagi orang kampong seperti saya ini, lagi kecil kereta itu lagi murah harganya. Kereta kancil itu kecil maka murahlah harganya jika dibandingkan dengan kereta besar seperti Jaguar, Mercedez dan lori pick-up.

Satu lagi yang saya tidak berhenti berfikir ialah bagaimanalah empunya cincin ini mendapatkan sumber kewangannya untuk membayar harga cincin yang semahal itu? Di mana agaknya wang itu datang? Tidak ada orang yang bergaji besar sehingga mampu membeli berlian setinggi itu harganya. Si dia yang membeli barang pakaian wanita ini mesti sama kayanya dengan Aristotle Onassis.Tentulah wang sebesar itu datangnya daripada ‘passive income’ dan wang yang didapati tanpa melakukan apa-apa kerja.

Jika cincinnya berharga sampai RM74 juta agaknya berapalah agaknya wang simpanannya? Jika harga cincin itu hanya 1% daripada jumlah keseluruhan wang dan harta yang ada, tentulah empunya cincin ini mempunyai wang dan asset berpuluh billion ringgit. Ini bermakna si dia ini duduk dan tidur bersama wang yang banyak. Jumlah itu merupakan 10% daripada peruntukan satu kementerian. Kaya betul wanita ini.

Hanya saya berharap sumber wang yang diperolehi ini bukan dari sumber dalaman negara kita. Kalau ianya datang dari sumber dalaman ianya sudah pasti datang dari kantong negara. Jika tidak kemungkinan besarnya hanya satu; dia mempunyai mesin mencetak wang.

Saya juga teringat kepada satu perbidalan orang Melayu berhubung dengan cincin ini; iaitu seperti si kudong dapat cincin. Mungkinkah wanita ini termasuk di dalam kategori si kudong dapat cincin tadi?

Biarlah setakat ini sahaja komen saya. Biar saya duduk kesaorangan beberapa jam untuk berfikir bagaimana si dia ini boleh membeli cincin semahal itu. Dari manakah beliau mendapat kekayaan seperti Aristotle Onassis ini. Aristotle Onassis pun membelikan isterinya Jacqueline cincin berlian dengan harga tidak sampai separuh daripada harga cincin berlian yang dibeli oleh wanita ini.

Kalaulah berita ini benar, insan in adalah insan yang sangat hebat. Hebat…hebat! Terlalu hebat!...kaya!...kaya!!

Sejak mendengar berita ini saya sudah terasa (berangan) nak jadi peniaga emas dan permata berlian kerana di negara kita sudah ada ‘customer’ yang besar-besar. Tak payah lagi pergi ke New York untuk membelinya dari Jacob & Co. New York itu jauh.

14 July 2011

UMNO - kalau tidak berubah, ia akan tersadai.

Apa yang berlaku di dalam negara kita akhir-akhir ini memang satu keadaan yang saya dan ramai yang lain susah hendak percaya akan berlaku, tetapi ianya berlaku. Hampir 1700 orang di tahan pihak berkuasa kerana berjalan ke Stadium Negara untuk berhimpun secara aman. Perarakan yang aman menuju ke Stadium itu Belum pun peserta rally itu sempat menunjukan bukti yang mereka hanya akan berhimpun secara aman Polis telah menahan mereka termasuk pemimpin-pemimpin parti-parti politik dan penganjur rally itu.

Begitu banyak kenyataan tentang transformasi dalam semua bidang oleh PM Najib tetapi dalam hal ini PM Najib nampaknya hendak memberikan ‘exception’ kepada transformasi dalam sistem pemilihan di dalam pilihanraya umum. Najib sudah mula menjadi seorang emperor yang tidak boleh di usik. di alih dan di anjak.

Dulu tidak tahan dengan warna hijau sekarang tidak boleh tengok warna kuning. Hampir 1700 orang ditahan dan tidak tentu pasal masuk lokap polis kerana memakai baju yang berwarna kuning ini. Selepas ini warna apa pula yang mereka takut untuk orang ramai memakainya? Kalau pemimpin-pemimpin berucap mereka berucap dengan penuh gegaran seolah-olah akan runtuh bukit bukau di sekelilingnya tetapi pada realitinya mereka gerun dengan baju-baju berwarna kuning.

Cara pentadbiran Najib menangani isu rally ini mendapat liputan meluas di seluruh dunia Hanya isu manusia hendak berkumpul di Stadium sahaja sudah gelabah dan bersedia seperti persediaan menghadapi peperangan dunia ke tiga. Seluruh masyarakat antarabangsa telah mengutuk dan membidas terhadap cara pentadbiran kita menghadapi situasi ini.

Ramai akan mengatakan kita mempunyai acuan demokrasi sendiri dan kita tidak perlu pandangan dunia luar. Tetapi dalam nafas yang sama pemimpin kita menuduh yang Bersih telah membinasakan imej negara di luar negara. Dalam isu ini penting pula masyarakat antarabangsa.

Kita mesti ingat sejarah telah banyak mengajar kita tetapi kita sahaja tidak mahu belajar dari sejarah itu. Kita telah belajar satu perkara penting; selalunya kita akan jatuh semasa kita merasakan yang kita kuat. Firaun gugur semasa dia sedang kuat. Firaun dengan tentera nya yang kuat dan raksaksa telah mengejar dan memburu Musa semasa dia dihapuskan oleh air Lautan Merah.

Kejatuhan empire Rome adalah semasa empire itu berkuasa penuh dan terkuat. Empire Islam sendiri telah jatuh semasa Islam menguasai hampir seluruh dunia dari Spain di barat dan China di timur. Banyak tamadun di zaman dahulu kala jatuh semasa mereka sedang berkuasa penuh dan digeruni oleh semua pihak lawan.

Apakah UMNO akan mampu merempuh dugaan reaksi rakyat yang tidak meyakini parti itu lagi? Boleh kah kerajaan teraju BN hari ini mampu mengekalkan kuasa dengan menunjukan kekuasaan melalui tindakan kasar pihak Polis? Kalau sesebuah kampong itu dikuasai oleh samseng yang bertubuh besar begitu lama, selalunya samseng yang bertubuh besar itu akan dikalahkan oleh budak yang berbadan kecil sahaja.

UMNO ini ibarat gajah. Badan sahaja yang besar tetapi takut kepada semut yang halus kecil tubuhnya.

Jika kita kaji sebab yang membuatkan rakyat selalu mempersoalkan kewibawaan pimpinan kita, ianya boleh dikategorikan kepada tiga perkara besar;

Pertamanya kerajaan telah di persepsikan sebagai sebuah kerajaan yang terlalu ‘impregnated’ dengan rasuah. Rasuah berlaku dengan tidak terkawal disetiap peringkat pentadbiran kerajaan dan jarang-jarang yang tidak terlibat dengan rasuah. Kalau tidak besar kecil. Rasuah tetap wujud. Rakyat sedar yang tidak ada kerajaan akan kekal jika rasuah tidak dapat dikawal.

Rasuah ini merupakan kegiatan yang tertua di dunia ini tetapi tidak ada negara dan sistem yang rasuah tidak jatuh akhirnya. Itulah sebabnya di antara yang membangkang kerajaan bukannya kerana semata-mata untuk membangkang dan menyokong parti pembangkang tetapi kerana menyedari kegiatan rasuah ini merupakan perlakuan yang sangat merbahaya jika tidak ditangani secara serius. Ianya akan membinasakan sistem kehidupan rakyat buat selama-lamanya.

Bagi pemimpin-pemimpin atau sesiapa yang berada di dalam kuasa mereka tidak akan berjaya membuat keputusan dengan betul kerana pengaruh wang dan rasuah itu. Apabila mereka tidak dapat membuat keputusan dengan baik, maka segala sistem dan dasar yang telah diwujudkan itu tidak mungkin terlaksana dengan baik. Itu sebabnya kita terlalu kerap menggubal dasar untuk maksud yang sama tetapi matlamat tidak juga tercapai sehingga ke hari ini.

Masyarakat negara yang rasuah selalunya akan akhirnya membentuk masyarakat yang kaya itu terlalu kaya dan yang miskin itu terlalu miskin dan jurang ini akan terus melebar selagi tidak ada pihak yang lain yang mempunyai kudrat untuk membinasakan kegiatan yang sangat hina ini. Itu sebabnya jika rasuah itu tidak terkawal akan ada manusia yang menjadi kaya tidak terhingga sehinggakan mampu membeli sebentuk cincin permata sehingga US24 juta walaupun mereka itu dahulunya bukanlah datang dari keluarga yang kaya dengan luar biasa.

Rasuah ini tetap hina sehina-hina kegiatan kerana agama kita sendiri telah mengkategorikan perasuah itu sebagai manusia yang memakan daging saudaranya sendiri.Dosa rasuah tidak ada kurangnya dari dosa meliwat kerana perasuah itu seolah-olah meliwat seluruh rakyat yang ada dibawah tadbiran mereka. Apabila rasuah sudah menjadi kegiatan tegar bagi mereka yang sudah ketagih dengan kegiatan ini, ia memerlukan pihak lain untuk mengambil alih untuk memberhentikan kegiatan ini.

Jika negara itu sebuah negara demokrasi maka jalan yang paling baik untuk membanterasnya ialah dengan mengenepikan mereka ini malalui pilihanraya. Jika yang mengambil alih itu juga bersifat demikian maka rakyat boleh kembali ke peti undi untuk memilih pihak yang lain sehinggalah kegiatan ini di anggap oleh rakyat ramai sebagai satu kegiatan yang tidak terkira haramnya. Inilah yang membuatkan UMNO sebagai parti yang rasuah kerana mereka sudah yakin yang UMNO dan rasuah itu ibarat aur dengan tebing; saling memerlukan di antara satu dengan yang lain. Stigma UMNO sebagai parti rasuah sudah begitu tegar dan amat payah untuk menghilangkan persepsi itu.

Masalah yang kedua dalam UMNO yang menyebabkan rakyat sudah hilang keyakinan ialah masalah ‘cah keting’ sesama mereka dalam parti itu. Oleh kerana kepentingan wang ringgit dan pangkat tadi maka perasuah menggunakan wang yang begitu banyak untuk mengenepikan pimpinan yang baik dan boleh dipercayai melalui politik wang dan penyalahgunaan kuasa tadi.

Sejak kepimpinan di gadaikan dengan perasuah maka sedikit demi sedikit dan tanpa disedari perasuah-perasuah telah mengawal parti dan semua mereka yang mempunyai kredibiliti kepimpinan akan beransur-ansur lari dari bergiat dan menyokong parti yang begitu sinonim dengan rasuah itu tadi.

Ini jugalah sebabnya wujudnya puak-puak di dalam parti dari atas sehingga ke bawah. Selalunya mereka di dalam parti pemerintah itu akan jatuh bukannya oleh kerana parti-parti yang membangkang tetapi oleh kerana permainan kotor di antara mereka sesama mereka.

Dalam isu Bersih bukan tidak ada mereka dari dalam UMNO yang memainkan politik kongkalikong kerana mahukan Najib tersungkur kerana mereka ada pemimpin yang sesuai dengan mereka yang sedang menunggu dengan tidak sabar bagi menggantikan Najib. Saya yakin dikalangan ahli-ahli MT UMNO dan Kabinet ada yang mahukan Najib berhenti dan memberikan laluan kepada orang lain dalam masa yang terdekat ini.

Kalau benar-benar ada kesatuan di kalangan pimpinan tertinggi di dalam parti tidak mungkin keadaan seperti yang kita lalui ini akan wujud.

Penyebab yang tidak kurang besarnya kenapa UMNO dan BN tidak lagi parti yang mendapat keyakinan besar dari rakyat ialah kerana rakyat sudah mual dengan isu rasis, Sudah jelas trend yang begitu jelas yang parti-parti yang berlandaskan kepada keahlian yang homogeneous seperti UMNO dengan Melayunya, MCA dengan Cinanya dan MIC dengan Indianya sudah tidak mendapat perhatian yang begitu baik lagi.

Baik Melayu, Cina atau pun India sudah mula mahu melihat parti dan badan siasah yang berbilang kaum menjadi landasan mereka untuk bergiat dan membina kepimpinan mereka. Itu jugalah sebabnya PAS menjadi ‘sanctuary’ yang selesa bagi orang Melayu dan sesiapa yang beragam Islam. DAP pula sedang bergiat untuk memberikan keyakinan kepada semua pihak bahawa parti itu adalah sebuah parti yang ‘multiracial’ yang sebenarnya.

Tetapi sejak berdekad-dekad yang lalu DAP telah dimomokan dengan berbagai-bagai isu untuk menakutkan orang Melayu menyertai dan menyokongnya. DAP sekarang harus menunjukan secara fisikal yang parti itu adalah parti untuk semua kaum dan bukannya hanya untuk kaum cina semata-mata. Jika gagal untuk menunjukan elemen penting ini wujud dalam DAP maka orang ramai akan menganggap ianya seperti MCA dalam mana pemimpin-pemimpin serta ahlinya adalah di kalangan chauvinis Cina semata-mata.

Penglibatan semua kaum merupakan penyebab kenapa NGO-NGO seperti Bersih dan lain-lainnya mendapat tempat dan sokongan ramai. Jika tidak di sekat oleh pihak berkuasa ramai berpendapat rally sabtu lepas sepatutnya dihadziri oleh tidak kurang dari 500,000 peserta.dan ini lah yang pihak pemerintah ingin melindungi dari perhatian rakyat.

Saya tidak menjangka segala transformasi politik khususnya transformasi di dalam UMNO itu sempat dilakukan sebelum pilihanraya ini. Najib terlalu terikat dengan ugutan dari mereka-mereka yang ingin menyambung kedudukan dalam parti dan kerajaan. Mereka seolah-olah memberitahu Najib yang mereka masih diperlukan di kawasan masing-masing dan jika mereka tidak di berikan sambungan untuk menjadi calun dan kedudukan dalam kerajaan rakyat tidak akan menyokong kerajaan lagi.

PM Najib begitu takut untuk membuat perubahan walaupun gegaran transformasi di dalam parti kononnya akan dilakukan. Pada hakikatnya tidak akan banyak berlaku dan transformasi yang di janjikan itu akan tetap tinggal janji. Berucap secara melaung dan bergegar itu sudah tidak laku lagi di zaman ini.

Pendeknya UMNO tidak mahu dan mampu untuk berubah walaupun perubahan itu sudah menjadi kemestian untuk dilakukan. Najib mesti memberhentikan mereka yang menjadi parasite kepada parti yang sedang menghadap penyakit tua ini. Jangan tunggu sehingga kita dihumbankan oleh rakyat ke dalam gaung. Perlu di ingat rakyat ada limitasi terhadap kesabaran yang mereka tanggung selama ini.

Rakyat di zaman serba modern ini amat mudah tersinggung dengan permainan psikologi politik murahan dan sesiapa yang tertangkap memainkan isu untuk menekan parti lawan secara tidak adil akan ditolak dan diketepikan oleh rakyat dalam pilihanraya.

Bagi parti pembangkang pula apa yang dilakukan oleh BN hari ini patut dijadikan pelajaran seandainya diberikan mandat oleh rakyat di dalam pilihanraya nanti. Cara belajar yang terbaik ialah belajar dari kesilapan orang lain. tetapi malangnya UMNO tetap memilih untuk belajar dari kesilapan dan kesalahan mereka sendiri.

Sebenarnya UMNO sudah terbiar oleh pimpinan sejak 30 tahun yang lalu. Ianya dipergunakan oleh pemimpin untuk kepentingan peribadi sampai ke ‘optimum’ tetapi parti itu tidak di baja dan di selenggara dengan sebaiknya. Ia boleh di ibaratkan sebuah kereta yang hanya diperguna untuk memecut dengan laju untuk kepuasan pemandunya tetapi tidak di ‘service’ dengan baik. Lama kelamaan kereta itu tersadai dan tidak boleh dipandu lagi.

Sebelum kereta itu tersadai enjinnya dari senyap akan menjadi bising, kadangkala boleh didengar dari jarak sejauh beratus meter. Mungkin itulah sebabnya pemimpin-pemipin UMNO begitu bising dengan isu rally sabtu lalu.

13 July 2011

Elok kita menyesal dulu - Sesal kemudian tiada gunanya

Berbagai-bagai nama dan jenama diberikan terhadap Bersih yang telah menganjurkan rally di Kuala Lumpur dan di banyak kotaraya besar di seluruh dunia secara serentak pada 9hb Julai yang lepas. Di Kuala Lumpur sebagaimana yang telah diagak perancangan yang begitu rapi untuk menggagalkan perhimpunan raksaksa itu telah dilakukan dengan agak kasar dan membingungkan mereka yang percaya kepada sistem demokrasi. Bagi kerajaan demokrasinya berbeza kerana kata pimpinan kita kita ada acuan demokrasi kita sendiri.

Acuan itu tentulah acuan yang hanya memberi kelebihan kepada yang memerintah dan itulah cara yang kita menjadi pemerintah sejak berdekad-dekad yang lalu. Tidak payah kita ulas tentang sistem dan acuan kita itu kerana perkara itu sudah selalu ditulis dan diperkatakan ramai. Tetapi kita hanya tumpukan kepada apa yang kita lihat berlaku semasa rally itu berlaku di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Rally ini merupakan satu perkara yang tidak ingin dilihat berlaku oleh kerajaan yang sudah sedia dengan masalah imej serta menghadapi krisis keyakinan yang amat mendebarkan pihak yang memerintah. Banyak bukti-bukti yang ‘organic’ yang rakyat lihat tentang kelemahan pimpinan kita dan jika ditambah dengan gerakan Bersih menuntut transformasi di dalam cara pengendalian pilihanraya di negera ini persepsi buruk terhadap parti pemerintah bertambah rendah.

Tuntutan ini juga memeningkan pemerintah yang selama ini mendapat kelebihan dari cara pengendalian pilihanraya yang agak tidak begitu telus. Ini hakikat yang tidak boleh dinafikan dan jika ada juga pihak yang menafikannya maka forum ini tidak payah diteruskan. Kegagalan parti-parti pembangkang untuk menjadi parti kerajaan sedikit sebanyak adalah di sebabkan sistem pengendalian pilihanraya yang berat sebelah.

Tuntutan 8 perkara oleh 62 NGO yang bergabung dibawah Bersih ini sangat dibenci oleh pihak pemerintah dan penyokong tegar mereka kerana jika tuntutan ini diterima maka akan wujud ‘even playing ground’ bagi semua parti untuk bertanding dan menawarkan kepimpinan masing-masing kepada rakyat. ‘Even playing ground’ inilah yang menjadi ketakutan BN. Selama ini parti-parti pembangkang tidak pernah mendapat liputan dalam media perdana secara adil. Apa yang di dapati dari media perdana ialah segala bedilan dan tohmahan terhadap pembangkang yang acapkali tidak masuk akal.

Parti pemerintah sedar walaupun parti pembangkang disekat kemudahan media, mereka berjaya juga untuk memenangi mandat di lima buah negeri. Ini menjadi igauan semasa tidur tidak kira malam atau siang hari. Igauan ini bertambah teruk lagi apabila di seluruh dunia di mana ramai rakyat Malaysia mereka mengadakan rally Bersih ini secara serentak.

Igauam PM ini membuatkan beliau mendabik dada mengatakan yang beliau boleh keluarkan 1 million ahli UMNO dari jumlah 3 juta yang terdaftar pada hari ini. Ini merupakan satu cakap yang boleh dianggap lucu kerana dari 500 orang ahli cawangan UMNO hanya 50 oarang sahaja ahli secara pukul rata yang menghadziri mesyuarat agung cawangan. Dari segi teknikalnya UMNO seolah-olah tidak wujud lagi terutamanya diperingkat cawangan-cawangan kerana tiada lagi kegiatan parti yang diusahakan oleh pimpinan cawangan.

Ada setengah pihak mengatakan dari segi moralnya UMNO sudah mati dan tidak bergerak lagi. Jika UMNO (asal) mati dibunuh UMNO gantian ini pula akan mati beragan…….hanya mampu menggerakan cuping mata tetapi tubuh yang lain sudah tidak bermaya lagi.

Hakikat inilah yang menyebabkan pihak pemerintah melakukan apa sahaja untuk menggagalkan rally ini. Jika ada kesusahan kepada rakyat ramai segala strategi untuk memindahkan kesalahan kepada rally dan penganjurnya.

Sekatan jalan raya diadakan beratus-ratus batu dari Kuala Lumpur diadakan untuk menyekat peserta rally untuk sampai ke Kuala Lumpur berhari-hari sebelum rally itu diadakan. Tangkapan dan penahanan dilakukan kepada sesiapa sahaja yang memakai baju kuning, topi kuning, kasut kuning dan apa-apa yang lain yang berwarna kuning.

Di Kuala Lumpur perkhidmatan keretapi, commuter, LRT dan monorail diarah memberhentikan perkhidmatan untuk mengelak kesampaian peserta rally ini. Semua kenderaan tidak boleh masuk ke Kuala Lumpur dan ini semua adalah taktik untuk mengelakan banjiran rakyat yang mahukan transformasi kepada sistem pilihanraya melalui rally anjuran Bersih ini.

Apabila orang ramai tidak datang ke kuala Lumpur seperti biasa maka Bersih dipersalahkan dan dituduh bertanggungjawab ke atas kerugian yang sehari yang di alami oleh peniaga-peniaga di laluan rally ini. Tetapi ada kedai-kedai kopi mamak yang mendapat keuntungan besar kerana dibanjiri oleh peserta rally ini di Pudu dan beberapa tempat yang lain.

Ini memang strategi yang sengaja diadakan semata-mata untuk mencari helah untuk menyalahkan Bersih dengan keadaan itu. Tetapi hakikatnya sekatan Polis inilah yang menyebabkan kerugian ini. Jika dibenarkan rally ini berlaku dan dibantu untuk peserta rally ini berjalan ke Stadium untuk berhimpun secara aman, keadaan ini tidak akan berlaku dan pihak pemerintah tidak akan dapat mencari sebab untuk menyalahkan Bersih di mata rakyat.

Strategi ini mudah difahami oleh rakyat dan untuk dijadikan sebagai strategi untuk mendapat sokongan rakyat, buat masa ini sudah tidak berapa ‘effective’ lagi. Tektik lama ini sudah lama tidak dipakai lagi oleh ramai rakyat dan ini hanya memalukan kita sendiri kerana niat kita dapat dibaca dengan jelas oleh semua pihak. Itulah sebabnya ramai dan banyak pihak berpendapat kerajaan telah mengendalikan isu Bersih dan rally nya ini sebagai ‘counter productive’.

Tetapi kalau kita berkata sedemikian bolehkah pimpinan kita menerimanya? Jawapan mudahnya ialah TIDAK. Pimpinan kita masih menggunakan tektik usang yang sudah lama tidak diterima oleh rakyat yang kian hari kian berfikir dan memerhatikan segala ‘conduct’ pemimpin kita di hadapan rakyat. Pihak pimpinan negara selalu terperangkap dengan kesilapan mereka sendiri. Tetapi mereka masih berfikir yang mereka itu betul dan disokong pula oleh penyokong-penyokong tegar yang tidak mampu atau tidak berdaya untuk berterus terang terhadap pemimpin yang mereka sokong itu.

Akhirnya pimpinan kita mendapat sokongan yang membawa rebah. Pimpinan kita pula berpuas hati dengan lapuran yang sedap-sedap dari pihak ini. Lama-kelamaan mereka tidak sedar yang ombak tsunami sudah terlalu hampir untuk berbuat sesuatu untuk menahannya.

Pandangan seperti ini memang tidak digemari oleh penyokong-penyokong yang tidak mahu berfikir. Apabila jatuh nanti maka kita akan dipersalahkan. Mereka tidak juga bersalah.

Itulah dia keadaannya. Jika sampai waktu hendak jatuh bergelimpangan nanti terima sahaja keadaan itu…..tetapi tolong jangan salahkan pihak lain. Sesal kemudian tidak ada gunanya. Tanggunglah sendiri. Saya pun nak tengok juga keadaan mereka yang garang-garang sekarang ini. Garang kah mereka lagi apabila sampai waktunya nanti?

Kita tunggu.

10 July 2011

Rally Bersih 2.0 - Kerajaan berjaya, Bersih lagi berjaya.

Kedua-dua belah pihak Bersih dan kerajaan telah berjaya dalam isu rally anjuran Bersih semalam. Kehendak kedua-dua belah pihak berjaya diperolehi dengan kejayaan masing-masing..

Pihak kerajaan dan Polis mereka telah berjaya menghalang ratusan ribuan rakyat untuk berdemonstrasi, Dengan usaha kerajaan dan Polis mereka telah berjaya mengurangkan jumlah kedatangan iaitu sehingga hanya 50,000 orang sahaja dari yang pada asalnya dijangkakan seramai 500,000 orang jika tidak ditahan dan di tekan oleh kerajaan melalui ‘Polis Raja diMalaysia’ (PRDM).

Pihak kerajaan telah berjaya menangkap dan memberkas seramai lebih dari seribu orang pada hari semalam. Dan ini merupakan penahanan yang paling ramai setakat ini. Pihak Polis telah bekerja kuat untuk cuba menutupi hakikat yang ramai rakyat sedang memberontak di dalam naluri mereka. Justru IGP telah mengumumkan angka yang tidak menasabah iaitu seramai 6000 orang sahaja yang berhimpun.

Polis begitu berbangga mengumumkan yang mereka telah berjaya menahan ratusan ribu rakyat untuk berhimpun seolah-olah mengumumkan kejayaan menumpaskan sindikit terbesar pengedaran dadah. Pihak pemerintah berusaha keras yang perhimpunan itu akan menjejaskan perniagaan pada hari semalam. IGP pun nampaknya bercakap ala ahli politik. Mungkin bergiat dalam politik merupakan 'option' yang baik selepas beliau bersara nanti.

Tetapi rakyat kembali bertanya kalau di benarkan perhimpunan secara aman diadakan maka tidak akan berlaku kekosongan dari orang ramai di tempat-tempat yang biasa dengan kesibukan manusia. Kalau di benarkan rally itu di adakan secara aman bas-bas tidak akan hilang penumpang seperti yang selalu diperolehi mereka.

Polis menutup jalan-jalanraya kerana hari ini terbukti yang menyebabkan huru-hara itu adalah pihak Polis yang mengambil rally ini seperti mahu menghadapi perang dunia ketiga. Malahan jika rally ini di benarkan rally itu diteruskan dengan kawalan pihak Polis, peniaga-peniaga akan mendapat lebih keuntungan dengan bertambahnya langan kepada barang jualan mereka.

Tetapi oleh kerana hendak menutup pandangan orang ramai tentang sokongan kuat dari rakyat untuk melakukan transformasi sistem pilihanraya itu maka dilakukan penutupan jalan-jalanraya yang penting di ibu kota untuk menghalang rakyat yang ramai untuk menyertai rally tersebut. Hasilnya peniaga-peniaga yang menerima padahnya.

Apa pula kejayaan pihak penganjur rally ini? Penganjur rally ini telah berjaya membuktikan yang mereka mendapat sokongan ramai. Jika tidak mendapat sokongan ramai masakan kerajaan menggunakan Polis dan undang-undang dharurat dengan menahan orang ramai yang disyaki menyokong Bersih di seluruh negara.

Kerajaan tahu yang jika rally ini dibenarkan di adakan tanpa gangguan pihak Polis ratusan ribu rakyat akan keluar secara aman untuk menunjukan menifestasi mereka terhadap cara pengendalian pilihanraya di negara ini. Tetapi kerajaan tidak dapat mengawal peserta rally dari rakyat Malaysia di seluruh dunia. Di Melbourne, Perth, Sydney, London dan tidak beberapa jam lagi di New York, Los Angeles serta di mana-mana sahaja rakyat Malaysia berada, mereka keluar memberikan sokongan dengan mengadakan rally secara aman tanpa gangguan pihak pemerintah.

Para penyokong rally ini datang dengan kehendak sendiri tanpa dibayar elaun dan mereka mengeluarkan perbelanjaan sendiri. Dari segi politiknya tentulah mereka mendapat sokongan dengan ‘legitimate’ tanpa didorong oleh imbuhan seperti yang diamalkan dalam mana-mana perhimpunan yang dilakukan oleh UMNO. ‘Tak ada fulus jangan harap mereka hendak berurusan dengan UMNO’….elaun makan, petrol kenderaan dan perbelanjaan lain-lain seperti hotel penginapan.

Kejayaan yang sangat ketara ialah membentuk keberanian rakyat untuk menghadapi segala rintangan seperti menghadapi taburan gas pemedih mata dan berbagai-bagai ugutan dan ancaman dari pihak Polis. Keberanian itu tentunya terbentuk apabila cara untuk membuat tuntutan lain tidak mendapat perhatian dari yang berkuasa.

Rally ini juga telah mula membuka mata-rakyat untuk melihat secara jelas apa-apa perkara yang dianggap tidak adil dalam perlaksanaan pilihanraya. Rakyat sedar yang perubahan wajib terlaksana seperti perubahan yang berlaku di Indonesia di mana kedua-dua pihak yang sedang bertanding untuk mendapatkan mandat rakyat itu boleh berkempen secara adil melalui media-media letronik secara sama rata. Indonesia kini merupakan demokrasi yang kedua terbesar di Asia selepas India.

Di Malaysia saluran-saluran TV perdana hanya dipergunakan oleh parti pemerintah sahaja dan digunakan untuk menekan parti-parti yang bertanding di dalam pilihanraya. Liputan yang terlalu berat sebelah menjadikan satu pihak tidak mendapat menyampaikan dasar atau manifesto mereka secara meluas.

Pilihanraya Singapura baru-baru ini juga telah menunjukan sikap terbuka dan keadilan kerajaan yang memerintah apabila parti-parti pembangkang juga diberi peluang dengan luasnya untuk menyampaikan mesej mereka melalui saluran perdana TV di negara itu. Jika kita tidak ada apa-apa yang hendak ditakuti, kita tidak mempunyai sebab untuk berasa takut untuk membenarkan saluran perdana itu juga dipergunakan oleh parti-parti pembangkang yang bertanding.

Tuntutan pihak Bersih untuk memberikan waktu dan masa untuk semua parti menyampaikan mesej masing-masing melalui TV saluran perdana itu bukanlah perkara yang baru. Di semua negara-negara maju, parti kerajaan dan pembangkang bersama-sama menggunakan media perdana sebagai saluran untuk semua pihak yang bertanding untuk menyampaikan semua mesej mereka kepada rakyat.

Satu lagi tuntutan Bersih ialah untuk mencari ‘mechanism’ untuk memberi kemudahan bagi rakyat Malaysia yang menetap di luar negara. Baru-baru ini kita melihat betapa ramainya rakyat Thailand yang menetap di negara kita telah pergi ke Kedutaan Thailand untuk mengundi dalam pilihanraya umum Thailand minggu lepas. Jika ini dapat dilaksanakan di negara kita maka kita akan menapak jauh untuk sampai ketahap negara maju seperti yang kita semua idamkan.

Kita tidak boleh menafikan hak ini terhadap pembangkang dengan memberi alasan yang kita mempunyai acuan kita sendiri yang tidak membolehkan parti pembangkang menggunakan saluran media perdana di dalam pilihanraya.

Kalau acuannya tidak sempurna bagaimana kita hendak mendapatkan demokrasi yang sepatutnya kerana acuan yang senget sebelah. Jika dulu sebelum rakyat faham tentang apa itu demokrasi mungkin acuan itu boleh di pakai, tetapi apabila rakyat sudah terbuka kepada sistem dan acuan yang lebih baik tentulah acuan yang selama ini kita pakai wajar ditukar.

Di sini Bersih telah bejaya memberikan sedikit sebanyak pelajaran kepada rakyat tentang demokrasi khususnya di dalam pengendalian pilihanraya yang bersih seperti yang di tuntut oleh demokrasi itu sendiri.

Pilihanraya yang adil dan saksama merupakan asas demokrasi yang tulin. Kalau kita tidak berani menghadapi pilihanraya secara adil, lebih baik jangan di adakan pilihanraya sama sekali

09 July 2011

Musuh Najib bukannya Bersih - Musuhnya ada di keliling beliau sendiri.

Kadangkala kita tidak sedar yang dalam pertelingkahan yang berlaku di antara kita dan orang ramai, selalunya ada individu atau pihak yang mengambil kesempatan dan akan meneguk keuntungan. Di dalam politik yang boleh menjatuhkan kita ialah orang yang paling hampir dan pernah bersekutu dengan kita sebegitu lama.

Hampir kesemua sahabat dan rakan Anwar telah menggunakan kerapatan mereka dengan Anwar untuk mendapat keuntungan peribadi dengan mengeluarkan kepada umum apa yang mereka bersama-sama lakukan semasa berbaik dan menikmati keuntungan semasa Anwar menjadi orang penting negara.

Begitu juga Abdullah Badawi telah tersungkur politik beliau kerana sahabat-sahabat dan taulan yang hampir dengan beliau. Sahabat-sahabat yang rapat dengan beliaulah dipergunakan untuk menjunamkan politik Pak Lah dengan berbagai macam cara. Itulah nasib orang politik yang menjadi pemimpin tanpa kekuatan sendiri.

Di dalam isu terkini, iaitu isu kebangkitan rakyat melalui Bersih ini kita lihat secara zahirnya semua yang sedang memimpin bersatu menentang usaha Bersih untuk mewakili jutaan rakyat yang mahukan reformasi dalam sistem pemilihan rakyat di dalam pilihanraya umum dan kecil.

Tetapi begitu ramai pemimpin dan ahli UMNO yang mahukan kepanasan ini menjadi tinggi kerana mahu melihat Najib mendapat ‘kecederaan’ politik untuk kepentingan seseorang di dalam kepimpinan UMNO itu sendiri. Mereka mahu melihat Najib jatuh bagaimana Pak Lah jatuh dengan permainan Najib dan Muhyiddin sendiri. Itu sebabnya saya selalu menulis yang akan menjatuhkan seseorang pemimpin yang tertinggi bukannya musuh-musuh dari parti politik yang bertentangan, tetapi dari dalam UMNO itu sendiri.

“What goes around comes around’ kata perbidalan Inggeris. Apa yang berlaku dan dilakukan keatas Pak Lah nampaknya akan berlaku dan dilakukan terhadap Najib. Jika berlaku kejatuhan kepada Najib kali ini, ianya akan berlaku dalam keadaan yang sama seperti yang dialami oleh Pak Lah. Malahan ada di kalangan pemimpin UMNO yang selalu berinteraksi dengan saya membayangkan yang Muhyiddin sudah bersedia untuk menerima keuntungan dari gerakan yang di lakukan oleh NGO-NGO seperti Bersih dan penggiat siasah yang lain.

Dalam politik UMNO tidak ada kawan yang berkekalan dan tidak ada musuh yang kekal. Mereka berpolitik seperti resmi air; di mana lekok di situ mereka berhenti. Oleh kerana terlalu rapat di antara mereka boleh menggosok belakang kawan-kawan, bukan kerana hendak menunjukan kemesraan tetapi untuk mencari tempat yang paling lembut untuk ditikam.

Di antara pemimpin-pemimpin yang tertinggi tidak selesa dengan gandingan Najib dan Hisham. Mereka juga hendak berselera untuk menjadi PM dan segala kemungkinan akan berlaku di kalangan pimpinan tertinggi dalam menghadapi PRU nanti. Mereka mengharapkan BN mendapat jumlah kerusi seperti apa yang diperolehi oleh Pak Lah dahulu supaya alasan yang sama boleh dijadikan penyebab untuk Najib mengundurkan diri.

Mulut mereka bersama Najib tetapi hati mereka mahukan apa yang berlaku pada hari ini menjadi langkah awal untuk menunjukan kepada Najib jalan keluar dari kepimpinan negara. Ramai di antara pemimpin UMNO sendiri sedang berselingkuhan dengan pihak pembangkang untuk mempastikan Najib cepat-cepat keluar dan menaikan orang lain yang sedang berada di dalam kabinet pada hari ini.

Sekarang agak terlalu nyata yang di antara pemimpin-pemimpin UMNO sedang menghulurkan tali yang begitu panjang untuk membelit Najib dalam politik. Ada pihak yang diperguna untuk melakukan ‘insubordination’ terhadap bos besar mereka. Kita perlu ingat orang yang menjolok buahnya selalunya tidak akan dapat menyambutnya. Ada di antara yang berada di dalam kepimpinan tertinggi parti dan kerajaan mahu melihat Najib gagal seperti Najib ingin melihat Pak Lah gagal dahulu.

Di dalam UMNO memang tidak ada ‘accountability’ secara kolektif. Malahan dari dulu lagi keadaan ini berlaku. Jika gerakan Bersih ini gagal dikendalikan dengan baik, yang akan menerima ‘accountability’ nya ialah Najib seorang. Orang lain di dalam barisan kepimpinan itu akan ketawa sendirian dan akan meneguk keuntungan dari kegagalan itu. Sepatutnya tanggungjawab itu dipikul oleh semua barisan kepimpinan yang ada. Bak kata perpatah, gunung sama didaki, lurah sama dituruni.

Nasib seperti ini nampaknya adalah pusaka giliran bagi setiap pemimpin yang menjadi PM. Pimpinan utama negara selalunya terkorban kerana musuh kita yang nyata, tetapi oleh musuh dalam selimut yang sentiasa menghendap untuk merebahkan pimpinan sendiri bagi kepentingan sendiri. Najib terlepas pandang terhadap apa yang sedang berlaku di kalangan ahli-ahli jemaah kabinetnya sendiri.

Saya ingin mengulangi pandangan saya di dalam hal ini. Kalau terlalu leka memandang Bersih, Perkasa dan mana-mana pertubuhan yang berdemonstrasi, takut-takut ada pihak di keliling beliau sendiri yang mengambil kesempatan. Kalau tidak betul pandangan saya itu baguslah. Takut pandangan ini benar.