18 March 2007

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang (bahagian 8)

Walaupun Tengku Razaleigh telah tewas dalam pemilihan pada perhimpunan agung 1981 beliau tetap berpengaruh kerana asasnya dalam UMNO sudah berurat dan berumbi.

Peranan beliau mengetuai usaha mengambil-alih kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1978 memperkuatkan lagi terasnya dalam UMNO dan Kelantan mula masuk ke era pembangunan moden selepas itu.

Setelah tewas dalam pemilihan 1981 beliau terus memimpin UMNO kelantan sebagai pengerusi perhubungan, walaupun banyak usaha yang dilakukan oleh pihak yang berkonspirasi untuk memecahkan-belahkan UMNO Kelantan.

Tengku Razaleigh yang masih berjawatan Menteri Kewangan tetap menjadi tumpuan pemimpin-pemimpin dari bahagian-bahagian serta pemimpin-pemimpin masyarakat seluruh negara seperti keadaan sebelumnya.

Dato Musa sesungguhnya tidak begitu senang dengan tindakan Dr Mahathir mengekalkan Tengku Razaleigh, tetapi tidak berupaya berbuat apa-apa kerana pengekalan itu adalah kehendak perwakilan pada perhimpunan agung yang mahu Tengku Razaleigh dikekalkan bagi menjaga perpaduan parti.

Banyak bahagian-bahagian yang masih tidak dapat menerima kekalahan Tengku Razaleigh dan bahagian-bahagian ini mengambil keputusan untuk mencalonkan Tengku Razaleigh untuk menawarkan jawatan sebagai Timbalan Presiden pada tahun 1984.

Tengku Razaleigh pula sudah mula merasakan bahawa pentadbiran Dr Mahathir tidak lagi menumpukan kepada dasar-dasar yang telah diputuskan oleh kabinet sebelumnya.
Jika dulu kerajaan berusaha untuk melihat ramai jutawan melayu tetapi kecenderungan untuk membentuk hanya segelintir ‘multibillionaire’ akan membawa bencana kepada niat dan matlamat UMNO untuk membesarkan jumlah rakyat kelas menengah.

Ini merupakan pelanggaran yang ‘head on’ kepada dasar UMNO yang telah diterima dan dihormati oleh rakyat berbilang kaum di negara ini.
Jika trend ini berterusan maka usaha untuk melebarkan parameter kelas menengah melayu yang sudah menampakkan kejayaan akan terkubur.

Kecenderungan pemimpin untuk membuat kekayaan peribadi mula berputik dan ramai berpendapat Tengku Razaleigh sudah mula merasakan kekecewaan sedikit demi sedikit.
Maka Tengku Razaleigh menerima pencalonan dan berlakulah pertandingan jawatan Timbalan Presiden buat kali kedua pada tahun 1984 dan menerima pencalonan-pencalonan itu bagi menghormati kehendak bahagian-bahagian tersebut.

Sekali lagi Tengku Razaleigh menerima kekalahan kerana Presiden memihak kepada penyandang iaitu Dato Musa.Tengku Razaleigh dikekalkan dalam kabinet tetapi kali ini menjadi menteri di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan diambil-alih oleh Dato Mohamad Yaacob, Menteri Besar negeri itu.
Pengekalan Tengku Razaleigh dalam kabinet ini dilihat oleh Dato Musa sebagai tindakan politik halus Dr Mahathir untuk mengimbangi pengaruhnya.

Tugasnya di Kementerian Kewangan di ambil alih oleh Encik Daim Zainudin, seorang peguam dan ahli perniagaan yang belum berjaya.
Perniagaan beliau hanya mula menampakkan kejayaan setelah beliau menjadi Menteri Kewangan.

Buat pertama kali seorang menteri kewangan dipegang oleh ‘non-parliamentarian’ dan peristiwa ini merupakan kejadian yang aneh kerana di mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi, menteri kewangan mestilah dipilih oleh Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

Perlantikan Daim dan pengekalan Tengku Razaleigh dalam jemaah kabinet merupakan satu himpitan kepada Dato Musa dan inilah permulaan perasaan tidak puashatinya terhadap Dr Mahathir Mohammad.

Setelah memendam rasa yang begitu dalam Dato Musa mengambil satu tindakan yang drastik dengan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986 dan tindakannya itu memeranjatkan semua pihak dalam UMNO.

Dato Musa sudah hilang kesabarannya kerana beliau merasakan yang beliau tidak akan dapat memperkuatkan pengaruhnya ke dalam UMNO dengan tindakkan Mahathir yang sentiasa mengimbanginya.

Beliau merajuk dengan harapan supaya UMNO akan mengadakan perhimpunan agung khas bagi membincangkan isu ini sambil mengharapkan perhimpunan itu akan sebulat suara memohan untuk beliau menarik balik keputusannya meletakkan jawatan.
Jika ini berlaku tentulah beliau akan mendapat kekuatan untuk menunggu giliran serta memberikan tekanan kepada Dr Mahathir untuk berundur.

Tunku Abdul Rahman yang sudah lama bersara telah tampil mendesak UMNO mengadakan perhimpunan agung khas, kerana yang meletakkan jawatan ini ada lah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Tetapi Dr Mahathir mengambil sikap membisu dan menerima sahaja perletakan jawatan Musa tanpa perhimpunan agung khas dan tanpa pujuk rayu darinya.

Tengku Razaleigh sekali lagi menjadi bahan spekulasi yang beliau kali ini akan menjadi pilihan Dr Mahathir untuk menjadi timbalannya. Beliau bingkas membuat kenyataan supaya tidak membuat spekulasi tersebut kerana Encik Ghaffarlah yang paling layak menggantikan Musa kerana kedudukkan beliau sebagai Naib Presiden UMNO.

Ghaffar akhirnya menjadi pilihan Dr Mahathir kerana beliau adalah Naib Presiden dan kembalilah Ghaffar ke dalam kabinet setelah sepuluh tahun berada diluar jemaah kabinet.
Meletakkan Ghaffar sebagai timbalannya adalah pilihan yang paling selamat kepada Dr Mahathir kerana beliau yakin Ghaffar tidak akan mampu membayanginya dalam niat beliau hendak menerajui kerajaan dalam tempoh yang lama.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah Ghaffar tiada siapa yang menjangka.

Insya-Allah, kita jumpa lagi dengan sambungan tulisan ini...............Aspan Alias.

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang (bahagian 7)

Konspirasi terhadap Tengku Razaleigh bertambah rancak dalam bisikan, apabila Datuk Musa Hitam menjadi Naib Presiden pada tahun 1978 bersama Ku Li dan Encik Ghaffar Baba.

Yang menyedihkan sekali konspirasi ini dilakukan terhadap manusia yang sedang memandu perlaksanaan DEB yang telah menghasilkan faedah yang begitu baik kepada bangsa dan negara.

Malahan asas kekukuhan ekonomi negara diasaskan oleh kewibawaan Tengku Razaleigh menyempurnakan keputusan kabinet dengan sempurna tanpa isu-isu yang kita dengar sekarang ini, seperti menghimpunkan kekayaan peribadi dan peranan keluarga dalam perniagaan dengan kerajaan.

Apabila Datuk Husein Onn mengumumkan tidak akan mempertahan jawatan Presiden UMNO setahun sebelum itu maka kerancakan fitnah-memfitnah begitu menular secara senyap-senyap di merata-rata tempat di negara ini.

Segala pengorbanan Tengku Razaleigh tidak dihargai semata-mata tidak mahu melihat beliau menaikki tangga kepimpinan negara.

Pada perhimpunan agung UMNO 1981, Dr Mahathir tidak mahu melantik timbalan yang beliau suka malah menggalakkan pertandingan di peringkat Timbalan Presiden ini.

Bagi seseorang yang faham sedikit politik, Dr Mahathir tidak mahu melantik terus Datuk Musa Hitam kerana pertandingan akan mewujudkan imbangan antara Ku Li dan Musa dan meletakkan beliau selesa berada di kerusi Perdana Menteri..

Yang lebih meyakinkan orang ramai ialah Dr Mahathir tidak mahu bertimbalankan Tengku Razaleigh kerana beliau takutkan kepimpinannya akan dibayangi oleh teknokrat melayu ini.

Dr Mahathir dengan sengaja mengelirukan keadaan dengan kenyataan yang tidak pernah didengari.

Antara kenyataannya ialah Timbalan Presiden tidak semestinya menjadi Timbalan Perdana Menteri dan banyak lagi kenyataan yang pelik-pelik.

Dalam sekelip mata media-media perdana telah memihak kepada Musa Hitam bukan kerana kekuatan Musa tetapi Dr Mahathir yang akan menjadi orang nombor satu negara itu memihak kepada Musa.

Dr Mahathir berulang-kali memberitahu media yang beliau lebih rela bekerja dengan syaitan yang beliau kenal dari bekerja dengan malaikat yang tidak dikenali.

Pada satu hari saya telah membuat temujanji dengan Menteri Besar Perak Dato Seri Wan Mohammad

12 March 2007

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang (bahagian 6)

Jika ada pemimpin yang mempunyai perasaan rendah diri di kalangan jemaah kepimpinan, maka kesatuan ataupun sesuatu kumpulan itu akan beransur-ansur menjadi lemah.

Keadaan ini berlaku di dalam UMNO apabila ada beberapa orang pemimpin peringkat tertinggi yang bercita-cita tetapi ada perasaan rendah diri membuatkan mereka bertindak mengadakan konspirasi bagi membantutkan peningkatan kepimpinan seseorang pemimpin yang mereka sasarkan.

Antara beberapa orang pemimpin yang menjadi mangsa konspirasi ini ialah Tengku Razaleigh Hamzah yang telah memperhambakan kehidupan beliau kepada negara.

Adalah ‘natural’ bagi Tengku Razaleigh menjadi mangsa konspirasi politik ini kerana beliau adalah seorang yang dianggap ‘d factor’ Perdana Menteri pada dekad tujuh puluhan dan akan menjadi penghalang kepada cita-cita kumpulan konspirasi ini untuk menaiki hieraki kepimpinan negara.

Tun Razak dan Datuk Husein merupakan Perdana Menteri yang datang dari keluarga aristokrat dan mereka merupakan pemimpin yang mempunyai magnamiti yang tinggi dan usaha untuk mengenepikan Tengku Razaleigh sukar untuk dilakukan semasa mereka menjadi Perdana Menteri.

Mereka memberikan tugas kepada Tengku Razaleigh, dengan sepenuh kepercayaan dengan memberikan Tengku Razaleigh ‘parameter’ yang luas bagi beliau membuat sesuatu keputusan dalam perkara-perkara yang ingin diputuskan oleh kabinet.

Bagi Ku Li pula beliau tidak mensia-siakan amanah Perdana Menteri dan kerajaan serta aspirasi UMNO dan BN untuk melihat negara mempunyai perancangan yang ‘reconciliatory’ bagi mencapai matlamat DEB lantaran memberikan keistemewaan kepada bumiputra di samping tidak mengabaikan bangsa-bangsa lain.

Tengku Razaleigh berada di mana-mana: dalam parti, dalam kabinet, dalam forum antarabangsa malah Tengku Razaleigh memang dipandang oleh dunia dan media antarabangsa sebagai seorang pewaris kepada kepimpinan negara.

Walaupun beliau merupakan Naib Presiden yang lebih senior daripada Dr Mahathir, sifat gentleman beliau memudahkan Dr Mahathir untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri apabila Datuk Husein Onn mengambil alih kepimpinan negara setelah pemergian Tun Razak ke rahmatullah.

Di dalam UMNO Ku Li telah menduduki majlis tertinggi parti sejak tahun 1962 dan bekerja sepenuh masa untuk memperkuatkan UMNO di Kelantan yang takala itu tidak dipandang dengan sebelah mata oleh rakyat Kelantan setelah tewas di dalam pilihanraya umum 1959.

Apabila Datuk Husein mengosongkan kerusi naib presiden pada tahun 1973 untuk memangku jawatan Timbalan Presiden, Tengku Razaleigh dengan persetujuan Majlis Tertinggi telah dipilih untuk menjadi Naib Presiden.

Di sinilah bermulanya perasaan seorang atau beberapa orang pemimpin memendam perasaan tidak puas hati terhadap Tengku Razaleigh yang ketika itu berusia tiga puluh enam tahun.

Dalam pada itu Tengku Razaleigh tetap dengan usaha gigih beliau untuk melaksanakan dasar-dasar yang di putuskan oleh kerajaan dengan menumpukan usahanya untuk memperkukuhkan BBMB, PERNAS, serta berusaha menubuhkan PETRONAS yang kini menjadi syarikat gergasi dalam mana anak dan keluarga pucuk pimpinan kita mendapat kontrak yang nilainya berbillion ringgit itu.

Perasaan tidak puas hati ini menjadi lebih jelas pada tahun 1975 apabila pertandingan jawatan Naib Presiden menjadi begitu panas dan ‘competitive’.
.
Pada tahun itu oleh kerana ada isu yang agak besar ramai pemimpin-pemimpin besar telah menyertai senarai yang menawarkan diri untuk menjadi Naib Presiden.

Di antaranya ialah Dr Mahathir Mohammad, Jaafar Albar, Tan Sri Ghazali Shafie dan Dato’ Harun Idris dan seorang lagi nama yang saya sudah lupa bersaing di samping Tengku Razaleigh dan Abdul Ghaffar Baba sebagai penyandang untuk kerusi Naib Presiden.

Di dalam pertandingan kerusi Naib Presiden itu Dr Mahathir telah berjaya mejadi Naib Presiden di samping Tengku Razaleigh dan Abdul Ghaffar Baba yang juga berjaya mempertahankan jawatan masing-masing.

Dr Mahathir tidak berpuas hati dengan kedudukan nombor tiga dalam slot Naib Presiden dan penyokong-penyokongnya telah menuduh Perwakilan Kelantan yang diketuai oleh Tengku Razalegh tidak memberikan sokongan kepada beliau.

Dr Mahathir sendiri telah mengaku didalam ucapan beliau di kediaman Menteri Besar Johor semasa pilihanraya kecil Johor Baru pada tahun 1988 di mana Datuk Shahril telah bertanding dengan tiket bebas menentang calon BN.

Dalam ucapan itu Dr Mahathir telah menuduh Datuk Musa Hitam tidak mengenang budi kerana mengkritik beliau.

Dr Mahathir berkata, “Saya mengambil Musa kerana dia datang berjumpa saya selalu untuk nak naik. Yang layak sebenarnya ialah Tengku Razaleigh tetapi saya juga marah dengan Tengku Razaleigh sebab dia tak sokong saya semasa bertanding Naib Presiden dulu.”

Begitulah keadaan di dalam UMNO di peringkat tertinggi parti tetapi Ku Li tetap gentleman dan tidak mangambil hati dengan apa yang dilakukan oleh mereka yang menjadikan beliau seteru dalam barisan kepimpinan parti.

Insya-Allah, tulisan ini akan bersambung ...................................Aspan Alias.

06 March 2007

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang ( bahagian 5)

Allahyarham Tun Razak adalah seorang pemimpin yang tidak ada perasaan rendah diri kerana beliau telah membentuk pemimpin pelapis tanpa rasa takut dibayangi oleh pemimpin-pemimpin pelapis tersebut.

Beliau mendidik serta melatih kepimpinan kerana beliau tahu bahawa itu merupakan tanggungjawab yang amat penting bagi memenuhi pimpinan masa depan yang mampu untuk memenuhi aspirasi rakyat dan negaranya.

Tengku Razaleigh adalah diantara yang dibentuk oleh Tun Razak untuk menjadi pemimpin nombor satu negara selain dari Dr Mahathir dengan memberikan tanggungjawab yang begitu besar didalam proses menjayakan DEB yang bermotifkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Tun telah memberikan kepada Tengku Razaleigh tugas dan tanggungjawab membentuk Petroleum Nasional Bhd (PETRONAS), PERNAS, dan banyak yang lain lebih-lebih lagi setelah beliau dilantik menjadi menteri kewangan semasa Datuk Husein Onn menjadi Perdana Menteri pada Januari 1976.

Ku Li telah memperhambakan diri beliau untuk memandu perlaksanaan DEB, dan beliau berada di mana-mana dalam membangunkan bangsanya sebagaimana yang dikehendakki oleh UMNO yang menjadi teras kepada pembentukan DEB.

Nama beliau menjadi sebutan diperingkat antarabangsa sehinggakan beliau telah dipilih menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Dunia pada tahun 1977.

Dalam masa yang sama, beliau juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Islamic Development Bank (IDB) yang berpusat di Jeddah dan pengerusi Lembaga Pengarah Asian Development Bank (ADB) yang berpusat di Manila.

Pendek kata, beliau telah menjadi Pengerusi kepada tiga institusi kewangan terbesar di dunia yang mempunyai tiga fungsi yang berlainan dan ini merupakan rekod kecemerlangan individu yang belum lagi dialami oleh mana –mana pemimpin.

Kecemerlangan rekod beliau ini menjadi sebutan rakyat semasa itu dan beliau disokong oleh UMNO dengan begitu kuat dan beliau dengan mudah mengekalkan kerusi Naib Presiden UMNO dengan begitu mudah sehingga tahun 1981.

Beliau mendapat sokongan kuat dari parti-parti komponen BN dan matlamat mencapai perpaduan kaum kian berjaya.

Dalam senyap-senyap, kejayaan beliau itu menyebabkan ada beberapa pemimpin di dalam UMNO yang tidak begitu senang dengan Ku Li dan berpakat untuk menyekat kemaraan beliau di dalam hieraki kepimpinan UMNO.

Perasaan cemburu dan iri hati beberapa orang dalam kepimpinan UMNO amat kuat dan kumpulan ini hanya menunggu saat yang sesuai untuk menjatuhkan beliau.

Saat itu sampai pada tahun 1981 apabila pada tahun itulah berlakunya apa yang selalu sebutkan oleh banyak pihak sebagai tahun ‘penyembelihan’ Tengku Razaleigh oleh kumpulan ini.

Pada tahun itulah berlakunya pertandingan jawatan peringkat tertinggi yang pertama dalam sejarah UMNO yang telah mendapat liputan media antarabangsa dengan begitu meluas.

Tengku Razaleigh telah tewas dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden di tangan Dato’ Musa Hitam yang jelas disokong oleh Presiden UMNO yang baru Dr Mahathir Mohammad.

Dalam pertandingan itu, terjadilah permainan kotor politik yang tidak ada bandingannya semata-mata untuk membunuh pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah.

Episod ini merupakan permulaan UMNO itu berubah dalam banyak perkara dan hasilnya hanya dapat kita rasai selepas beberapa tahun selepas itu dan pada tahun itu jugalah bemulanya UMNO sedikit demi sedikit berpecah dan lemah semangatnya sebagaimana yang kita rasai sekarang.

Saya ada kecenderungan untuk menulis isu ini dalam beberapa hari lagi…..Aspan Alias.

.