30 March 2008

Tun Dr Mahathir - Hapuskan kuota 30%?

Tun Dr Mahathir (TDM) hari ini meminta UMNO supaya menghapuskan kuota 30% pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO bagi membolehkan UMNO membuat pilihan daripada beberapa pemimpin yang ingin menawarkan diri untuk jawatan tersebut.

Ini merupakan satu kejutan kepada ahli-ahli UMNO kerana beliau sudah sedar bahawa sistem yang beliau perkenalkan dahulu memang membuatkan parti kita menjadi layu dan tidak bermaya.

Sistem yang diperkenalkan beliau inilah yang menghasilkan pemimpin-pemimpin seperti Abdullah Badawi, Najib dan ramai lagi pemimpin yang kurang berkelayakan untuk memimpin kita.

Sistem ini juga telah menjahanam dan menghapuskan pemimpin-pemimpin yang jujur untuk menerajui kepimpinan negara.

Malah sistem yang sedia ada ini telah dijadikan tempat yang amat selesa bagi pemimpin-pemimpin korap, lemah dan yang menyalahgunakan kuasa untuk berlindung dengan selamat.

Akhirnya, kita rakyat telah nampak dengan mata kepala kita sendiri bagaimana negara yang amat kita cintai ini terjebak dengan krisis keyakinan yang amat membimbangkan.

Kita tidak payah menyalahkan TDM. Yang penting ialah beliau telah membuat ‘soul searching’ yang mendalam dan mencadangkan untuk menggantikan sistem yang beliau sendiri perkenalkan dahulu.

Persoalannya sekarang ialah bersetujukah Pak Lah yang lemah ini untuk menerima cadangan TDM?

Pak Lah adalah orang yang menggunakan sistem TDM ini untuk mengekalkan kuasa beliau.

Bagaimana pula pandangan Najib Razak? Bagaimana Ali Rustam menerima cadangan ini?

Saya bertanya kerana bagi pendapat rakyat yang ramai, mereka ini semuanya pemimpin yang mengidap penyakit rendah diri (Inferiority Complex) yang menebal.

Mereka ini lebih rela UMNO itu hancur daripada kehilangan punca kuasa yang ada pada mereka.

Pemimpin-pemimpin besar kita takut kerana anak menantu belum lagi puas untuk mendapatkan projek-projek besar sebelum menjadi ahli politik yang bertaraf menteri.

Ada pula pemimpin-pemimpin yang takut kehilangan kuasa sekiranya rahsia salahlaku mereka diketahui orang.

Jika semua ahli dan perwakilan UMNO menerima cadangan ini, maka UMNO akan mudah mencari penyelesaian kepimpinan hampir serta-merta.

Ramai berpendapat supaya seseorang yang ingin menawarkan diri untuk menjadi Presiden hanya memerlukan 2 pencalonan daripada 2 mesyuarat perwakilan bahagian.

Malah pada awal 70-an dahulu, menyuarat Ahli Jawatankuasa UMNO daripada satu bahagian sudah memadai untuk melayakkan diri bertanding di peringkat presiden
parti.

Sistem ini akan membolehkan parti menghidupkan kembali demokrasi yang sudah hilang selama 2 dekad.

Orang ramai akan kembali meletakkan keyakinan kepada UMNO dan parti kita ini akan lebih mudah untuk kembali berkuasa di negeri-negeri yang telah terlepas ke tangan pembangkang.

Rakyat mahu melihat pemimpin dan UMNO berubah sikap dahulu.

Jika sistem terbuka ini dapat dikembalikan seperti tahun-tahun sebelum TDM dahulu, ‘sampah sarap’ yang ada di dalam majlis tertinggi parti, perhubungan dan bahagian akan dapat diketepikan.

Rakyat mahu melihat UMNO mempunyai kepimpinan yang berwibawa, ‘magnanimous’ dan jujur dahulu sebelum mereka memberikan kembali mandat yang besar seperti masa yang lalu.

Selagi perubahan ini tidak mampu dilakukan, selagi itulah UMNO akan hilang dari hati rakyat.

Kepada Pak Lah, Najib dan lain-lain pemimpin saya merayu, selamatkanlah UMNO ini.

Jika saudara-saudara terpaksa berundur daripada kepimpinan parti, lakukanlah dengan ikhlas dan jujur.

Jika saudara-saudara tidak mampu untuk mendapatkan penghormatan rakyat melalui ‘skill’ kepimpinan saudara-saudara, dapatkanlah ia dengan mengundurkan diri masing-masing secara terhormat.

Pengunduran diri saudara-saudara akan diingati rakyat sebagai satu pengorbanan yang besar kepada mereka.

Apabila kita hidup dalam usia yang sudah lanjut ini, yang perlu bagi kita ialah penghormatan masyarakat.

Apalah gunanya berpangkat dan berkuasa besar sedangkan rakyat di bawah meluat kepada kita.

Bolehkah kita tidur lena? Tidakkah ada rasa bersalah dan tidakkah kita ingat hari mati kita?

Rakyat telah menunjukkan kebencian mereka baru-baru ini. Undurlah Pak Lah, undurlah Najib.

‘Can both of you just do that small favour for us , please..please..please??’

Kepada Pak Lah dan Najib, kita ingatkan mereka bahawa daripada sudut ketuhanan biarlah kita akhiri kehidupan kita dengan disayangi dan dihormati oleh masyarakat ramai.

Apabila kita sampai di akhir kalam nanti, kita mati dalam kalimah ALLAH.

Jangan kita akhiri hayat kita dengan Kalimullah!


Wassalam……………………………………………………………. Aspan Alias.

27 March 2008

Gajah sarkas

Hari ini saya nak buat satu cerita yang boleh kita jadikan sebagai bahan renungan kita ahli-ahli UMNO di peringkat bawahan ini.

Cerita ini akan mudah difahami oleh sesiapa yang pernah pergi menonton sarkas.

Tajuk cerita ini ialah ‘GAJAH SARKAS’.

Saya dan keluarga pernah pergi menonton Royal London Circus di Bangsar beberapa tahun dahulu.

Setelah 2 kali pergi menonton, saya dapat pelajaran yang amat menarik kerana ianya boleh dikaitkan dengan pemimpin dan ahli-ahli UMNO.

Gunanya gajah ini ialah untuk mengangkat besi-besi berat untuk melengkapkan khemah-khemah untuk pertunjukan itu.

Pendek kata, kesemua kerja berat ditanggung oleh gajah.

Tetapi saya perhatikan apabila sampai waktu makan, Harimau dan Singa diberi makan daging yang lazat-lazat tetapi habuan bagi gajah hanyalah batang-batang pisang.

Apabila selesai pertunjukan sarkas tiga minggu selepas itu, sekali lagi gajah ditugaskan menurunkan khemah-khemah dan besi-besi berat dan mengangkatnya ke atas trailer-trailer yang sudah disediakan.

Singa dan Harimau hanya duduk relaks tanpa berbuat apa-apa.

Royal London Circus berpindah pula ke Shah Alam dan gajah berjalan kaki dari Bangsar ke Shah Alam.

Harimau dan Singa serta kancil naik kenderaan yang mewah ke tempat baru itu.

Gajah pula berjalan kaki sehari suntuk untuk sampai ke Shah Alam.

Sebaik sahaja gajah sampai di Shah Alam, gajah diberi makan batang-batang pisang sekali lagi sedangkan Harimau dan Singa sudah berada di kandang kekenyangan setelah makan daging-daging yang disediakan oleh ‘taukeh’ sarkas itu.

Di dalam UMNO situasinya adalah serupa.

Yang bekerja kuat untuk menyelamat dan memperkuatkan UMNO selama ini ialah ahli-ahli biasa di bawah.

Pimpinan di atas hanya relaks dengan menghabiskan masa mengumpulkan kekayaan untuk anak menantu mereka serta kroni-kroni yang berada di sekekiling pemimpin-pemimpin ini.

Yang hampir dengan pimpinan selalu berada didalam “Cigar Room’ hotel-hotel enam bintang di kotaraya.

Cerut-cerut yang mereka hisap berharga ratusan ringgit sebatang sedangkan ahli-ahli cawangan-cawangan dan bahagian UMNO hidup dalam serba kekurangan.

Jika ada apa-apa masalah kepada parti, ahli-ahli di bawah akan dimarahi dan segala kesalahan tertanggung kepada pemimpin-pemimpin di bawah.

Tetapi dua minggu selepas gajah-gajah ini sudah mula naik berang, sehinggakan ramai taukeh sarkas sudah dihumban keluar oleh gajah-gajah ini.

Gajah-gajah ini sudah mula menuntut keadilan terhadap diri mereka dan kini ramai di antara taukeh-taukeh ini sudah bersara daripada bisnes sarkas ini.

Ramai diantaranya yang dibesarkan oleh gajah-gajah ini susah hati, kerana mereka sudah biasa dengan bisnes sarkas yang sangat menguntungkan ini.

Itu sahajalah cerita ringkas saya buat hari ini.

Mungkin cerita ini tidak menarik tetapi ianya memberikan keinsafan yang mendalam terhadap diri saya yang kesiankan mereka yang tidak terbela di kampung-kampung.

Wassalam……………………………………………………….Aspan Alias

26 March 2008

Najib membisu

Najib Razak menyepi seribu bahasa seolah-olah beliau sudah tiada lagi dalam politik tanahair.

Negara sedang dilanda krisis demi krisis tetapi tiada berita baik daripada beliau yang boleh menjadi penawar kepada rakyat khususnya ahli-ahli UMNO yang sedang menderita hasil kekalahan teruk pada pilihanraya yang baru selesai ini.

Najib sudah kembali menunjukkan sifat tidak bertanggungjawab beliau yang begitu terkenal dengan sifat pengecut dan bacul apabila berada di dalam sesuatu krisis.

Yang kedengaran hanya cakap-cakap yang tidak boleh dipakai daripada pemimpin ‘capcai’ di dalam UMNO seperti Mat Taib, Noh Omar, Tengku Adnan dan beberapa yang lain yang mana rakyat tidak hormat dan ambil pusing dengan kata-kata mereka.

Seorang lagi pemimpin yang sudah mula bercakap ialah Ahmad Zahid Hamidi yang tidak memberi apa-apa ‘consequence’ dengan memberi alasan lapuk kenapa pemilihan parti perlu ditangguhkan ke tahun hadapan.

Rakyat, khususnya orang melayu sedang dahagakan berita yang boleh menjadi ubat bagi penyelesaian kepada perasaan tidak menentu sekarang ini.

Pucuk pimpinan kita seperti Pak Lah dan Najib sudah nyata hilang punca dan tidak mampu untuk bertindak secara bijak setelah begitu lama duduk di atas singgahsana kepimpinan kita.

Saya sendiri selalu bersuara sejak beberapa tahun dahulu sehinggalah sekarang menzahirkan perasaan curiga saya tentang kemampuan mereka menerajui negara ini.

Mereka berdua ini sebenarnya bukanlah ‘material’ perdana menteri kerana pada asasnya mereka tidak mempunyai ‘attributes’ seorang pemimpin besar.

Mereka naik semata-mata budaya dan sistem pemilihan UMNO yang diubah sejak 1988 dahulu, di mana seseorang yang hendak menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi parti perlu mendapat pencalonan sebanyak 30%.

Akhirnya sistem ini menjadikan UMNO sebagai tempat paling enak bagi pemimpin-pemimpin yang lemah, rasuah dan yang menggunakan kuasa seluas-luasnya untuk kepentingan peribadi.

Malahan sistem dan budaya inilah yang menjadi penyumbang terbesar kepada kekalahan BN baru-baru ini kerana UMNO sudah menjadi lemah.

Pemimpin-pemimpin berbakat terhumban keluar daripada UMNO.

Akhirnya yang tinggal hanyalah sampah-sarap dari yang besar-besar hinggalah ke peringkat bawah yang tidak berguna kepada bangsa dan agamanya.

Mereka inilah yang UMNO tonjolkan kepada rakyat dalam pilihanraya baru-baru ini dengan janji-janji manis yang tidak pernah dikotakan.

Maka, rakyat menolak calon-calon BN termasuklah di kalangan ahli-ahli UMNO itu sendiri.

Penawaran Tengku Razaleigh untuk menerajui UMNO amat memberangsangkan ramai ahli UMNO dan rakyat jelata secara amnya.

Setidak-tidaknya ada juga seorang yang berani ke hadapan untuk membantu keresahan rakyat jelata yang merasakan kekosongan yang begitu ketara di peringkat pucuk pimpinan negara.

Beliau merupakan seorang ahli siasah yang berpengalaman dan seorang teknokrat yang telah meletakkan asas ekonomi negara yang teguh semasa beliau menjadi orang penting di dalam kerajaan dahulu.

Tuhan memanjangkan usia beliau, mungkin untuk dijadikan ‘medium’ Nya bagi menyelamatkan bangsa melayu yang keramat ini.

Semoga Tengku Razaleigh diberi kekuatan untuk mengharungi ranjau-ranjau sepanjang jalan beliau untuk menyelamatkan bangsa kita.

Sekian…………………………………………………………… Aspan Alias

Undi tidak percaya Muhammad Taib kepada Pak Lah

Muhammad Taib berkata bahawa berpuluh-puluh bahagian menyuarakan pendapat yang pemilihan parti patut ditangguhkan sehingga Jun tahun hadapan untuk meredakan keadaan.

Kononnya jika buat pemilihan sekarang ditakuti akan timbul malapetaka.

Kita nak bertanya kepada Mat Taib, apa malapetakanya, selain daripada kemungkinan pimpinan ditolak oleh perwakilan?

Malapetaka yang mungkin dimaksudkan oleh Mat Taib ialah kekalahan pihaknya dalam pemilihan itu.

Jika pimpinan hari ini ditolak, mereka mesti menerimanya dengan baik dan malapetaka itu tidak akan wujud.

Sebenarnya, Muhammad Taib sudah mula hendak berbohong lagi dan memutarbelitkan isu.

Beliau ini memang terkenal dengan kemahiran berbohong sehinggakan Tuanku Sultan Selangor pun pernah dibohonginya.

Kepada Mat Taib, saya ingin memberi sedikit nasihat.

Jika dia mencadangkan pemilihan di dalam UMNO ini ditangguhkan, ianya membayangkan dia tidak ada keyakinan untuk kekal berkuasa.

Ini bermakna Mat Taib sendiri menzahirkan undi tidak percaya kepada Pak Lah secara langsung.

Saya tidak tahu sama ada Mat Taib sedar atau tidak tindakan beliau ini merupakan tindakan yang dianggap bodoh sebagai seorang pemimpin sebuah parti siasah terbesar negara ini.


Saya sanggup memberikan kursus kepada Mat Taib kerana setakat mengajar ilmu yang sekecil ini tak perlu orang yang bijak pandai.

Cukup sekadar saya yang tidak bijak ini untuk memberi kursus kepadanya.

Sekarang ini kekuatan individu di dalam UMNO tidak ada gunanya sekiranya UMNO itu sendiri ditolak rakyat.

Jika benar Mat Taib ini seorang yang boleh berfikir, beliau tidak akan bercakap seperti orang yang mabuk.

Seseorang yang tidak tahu apa yang dilakukannya adalah tergolong dalam kumpulan orang yang mabuk.

Amalan dan ibadah orang-orang mabuk tidak diterima Tuhan.

Mat Taib mesti sedar jika pemilihan ditangguhkan dan berjaya mengekalkan kepimpinan hari ini, bermakna dia mahu mengekalkan kebencian rakyat kepada barisan pimpinan UMNO seperti apa yang berlaku sekarang.

Jika kebencian ini berlarutan, maka pada pilihanraya yang akan datang UMNO/BN akan ditolak sekali lagi dan kali ini banyak lagi negeri akan hilang ke tangan pembangkang.

Mat Taib perlu faham bahawa pemimpin yang ditolak tidak akan mampu memperbetulkan parti kita ini.

Usaha untuk memperbetulkan UMNO hanya boleh dilakukan oleh pemimpin yang berpengalaman dan yang tidak ada dalam kepimpinan tertinggi pada hari ini

Ketua penerangan kita ini seolah-olah ingin sangat melihat UMNO menghadapi kegagalan lagi dengan membawa cadangan yang mengarut ini untuk diluluskan oleh MT parti.

Saya begitu hairan kenapalah orang-orang seperti Mat Taib ini masih ada lagi dalam barisan kepimpinan kita?

Kenapakah orang yang mempunyai imej yang meragukan ini diberikan lagi tempat?

Bukankah orang seperti ini akan membuatkan kita susah untuk menghidangkan kepada rakyat UMNO yang baik dan ber’dignity’?

Jika cadangan untuk menangguhkan pemilihan dalam parti semata-mata untuk mengekalkan kepimpinan yang telah ditolak rakyat, maka UMNO akan kekal ditolak dan beberapa buah negeri lagi akan jatuh ke tangan pembangkang.

Apa yang cuba dilakukan oleh Mat Taib ini seolah-olah dia sedang menggali liang lahat untuk UMNO pada pilihanraya akan datang.

Nampaknya, bersungguh-sungguh benar Mat Taib dan rakan-rakannya nak kuburkan UMNO ini.

Apabila parti sudah terkubur nanti, kita akan ingat siapa yang menguburkan UMNO kesayangan kita ini!

Tentulah salah seorang yang bertanggung jawab menguburkan UMNO ialah Mat Taib selain daripada Pak Lah, Najib, Tengku Adnan dan lain-lain yang ramai di antaranya kita kenal.

Sekian…………………………………………………………… Aspan Alias.

25 March 2008

Tepuk Dada Tanya Selera

Sekarang kita berada dalam situasi yang amat mengelirukan.

Pucuk pimpinan UMNO masih bertegas mengatakan bahawa mereka masih kuat dan diberi mandat untuk mentadbir negara walaupun 6 buah negeri telah jatuh ke tangan pembangkang.

Pak Lah dan Najib masih ingin berpaut pada kuasa dan rakyat jelas tidak gemar kepada mereka kerana tidak mahu menghadapi ahli-ahli UMNO dalam perhimpunan Agong Khas, sedangkan UMNO sedang menanah hasil daripada kelalaian mereka untuk memperkuatkan penerimaan rakyat terhadap UMNO.

Tidak semua ahli UMNO yang jumlahnya 3.2 juta memberikan undi kepada calon mereka terutamanya di Kedah, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Saya pernah memberi pandangan melalui tulisan saya dan juga melalui mesyuarat AJK Bahagian bahawasanya jumlah ahli yang ramai tidak semestinya mencerminkan kekuatan UMNO yang sebenar malahan ianya hanya akan lebih memberikan masalah kepada parti sekiranya tidak ditadbir dengan cekap.

Dengan wujudnya cawangan yang begitu banyak, sudah tentulah menjemput masalah pentadbiran yang rumit dan akhirnya percakaran untuk menjadi pemimpin di peringkat cawangan akan membawa padah kepada UMNO apabila menghadapi pilihanraya umum.

Yang penting di sini ialah UMNO perlu diketuai oleh seorang pemimpin yang dihormati rakyat serta mempunyai dasar kerajaan yang kuat yang boleh digunapakai dalam jangka masa panjang. Perlaksanaan dasar-dasar ini pula perlu dilaksanakan tanpa adanya elemen- elemen negatif seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ini sangat berbeza dengan situasi sebenar sekarang ini kerana daripada apa yang kita perhatikan, elemen-elemen buruk ini jelas begitu ketara dalam pentadbiran kerajaan sejak dua dekad lalu sehinggakan rakyat sudah hilang kesabaran dan ahli-ahli UMNO sendiri sanggup beratur memberikan undi kepada pembangkang.

Parti pembangkang yang tidaklah sekuat mana, telah berjaya menembusi kubu-kubu kuat UMNO hasil daripada undi-undi protes terhadap UMNO yang berlaku di serata negara.

Orang bangsa asing khususnya Cina telah menolak BN secara total kerana tiada lagi keyakinan kepada pimpinan BN sedangkan selama ini BN bergantung kuat kepada undi-undi kaum Cina dan India.

Satu persoalan yang harus kita fikirkan sekarang ialah usaha kerajaan BN untuk mengurangkan undi kaum Melayu dalam penyelarasan kawasan parlimen selama ini sudah makan tuan.

Apabila kaum Cina dan India menarik balik sokongan berlakulah apa yang sedang kita lihat hari ini.

Di kawasan yang mempunyai lebih dari tiga puluh peratus pengundi kaum Cina, BN mengalami kekalahan dengan majoriti yang begitu besar kerana orang-orang Melayu juga memberikan undi kepada parti altenatif seperti PAS yang juga merupakan parti melayu.

Malahan penolakan terhadap kepimpinan Abdullah / Najib merupakan penolakan total dan BN cuma selamat dengan mendapat majoriti mudah kerana kejayaan BN di Sabah dan Sarawak.

Di semenanjung, BN hanya mampu untuk mendapat 86 kerusi sahaja.

Bagi ahli-ahli UMNO, nasib masa depan partinya kini bergantung kepada ahli-ahli biasa di cawangan-cawangan seluruh negara.

Jika mereka fikirkan UMNO yang mereka anggotai ini perlu diperkuatkan, mereka perlu mencari pemimpin yang tidak ada di dalam sistem UMNO pada hari ini.

Adalah amat mustahil bagi pemimpin yang telah ditolak mahu memperbetulkan keadaan UMNO pada hari ini.

Tidak mungkin Pak Lah dan Najib mampu memperbetulkan keadaan. Bagaimana mungkin orang seperti Tengku Adnan dan Muhammad Taib boleh meyakinkan rakyat.

Noh Omar yang banyak cakap akhir-akhir ini tidak mempunyai kredibiliti untuk bersuara bagi merawat UMNO kerana beliau sendiri sedang menjadi buah mulut rakyat di mana- mana.

Orang-orang seperti ini dibawa masuk oleh Pak Lah dalam kabinet dan UMNO dan rakyat tidak nampak ini satu tindakan yang tepat malahan ianya boleh membawa lebih masalah kepada krisis keyakinan yang sedang kita hadapi sekarang.

Kepada seluruh ahli UMNO kami berpesan, tepuk dada tanyalah selera.

Jika kita ingin melihat UMNO hilang dari arena politik tanah air tidak payahlah berbuat apa-apa. Hanya tunggu hari pemakamannya pada pilihanraya yang akan datang.

Itu sahaja buat hari ini……………………………………… Aspan Alias

24 March 2008

Perhimpunan Agong Khas UMNO - Cara Penyelesaian

Seruan Tengku Razaleigh supaya UMNO mengadakan perhimpunan khas wajar mendapat sokongan ahli-ahli UMNO.

Ini adalah disebabkan kekalahan UMNO/BN di Semenanjung begitu teruk yang memerlukan perhimpunan ini diadakan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh UMNO dan kepimpinannya.

Pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO tidak boleh lagi mengelak daripada menerima cadangan ini jika mereka mahu melihat UMNO dan calon-calonnya diterima oleh rakyat dalam pilihanraya yang akan datang.

Rakyat telah menzahirkan penolakan mereka terhadap UMNO atas sebab krisis keyakinan kepada pucuk pimpinan parti kita.

Pemimpin sekarang perlu sedar, yang kuasa untuk memaksa ahli-ahli UMNO menyokong mereka tidak mencukupi, dan terpaksa menerima hakikat bahawa yang penting untuk menerima mereka ialah rakyat.

Oleh yang demikian, Abdullah/Najib patut bertanggungjawab atas kekalahan ini.

Perlu diingat, di semenanjung ini BN hanya mampu untuk memenangi 85 kerusi sedangkan Barisan Rakyat telah memenangi 80 kerusi.

Kerusi-kerusi BN yang lain diberikan oleh saudara-saudara kita dari Sabah dan Sarawak.

Cadangan TR untuk mengadakan Perhimpunan Agong Khas ini adalah penyelesaian yang tepat yang memang menjadi amalan mana-mana negara demokrasi di dunia ini.

Kita tidak perlu mendengar nasihat daripada para pemimpin yang berkepentingan peribadi seperti Tengku Adnan Mansor, Noh Omar, Muhammad Taib dan beberapa orang yang lain.

Mereka inilah yang merupakan penyumbang besar kekalahan BN kerana pandangan masyarakat terhadap mereka amat rendah.

Masyarakat tidak dapat menerima T.Adnan sebagai calon sedangkan dia menjadi ‘star’ dalam isu VK Lingam, dan cerita-cerita penyalahgunaan kuasa di Kementerian Pelancongan.

Muhammad Taib masih lagi mengingatkan rakyat kepada kes membohongi Sultan Selangor, dan kes kriminalnya di Australia dan berbagai-bagai lagi cerita semasa beliau menjadi Menteri Besar.

Noh Omar pula membuatkan rakyat teringat kepada kekecohan di Kementerian Dalam Negeri semasa beliau berada di sana.

Malahan mereka tidak sepatutnya berada di tempat mereka sekarang ini kerana rakyat masih lagi bercerita tentang rekod yang negatif terhadap mereka.

Isu-isu seperti inilah yang membuatkan rakyat merasa jemu dan memberontak dalam pilihanraya baru-baru ini.

Kita tidak perlu mengambil pusing tentang pandangan mereka, kerana kita tidak boleh menerima pandangan daripada mereka yang membuat masalah.

Tujuan kita memanggil Perhimpunan Agong ini ialah untuk menyelesaikan masalah yang mereka-mereka ini lakukan.

Kepada ahli-ahli UMNO di cawangan, saya menyeru supaya menggunakan hak saudara untuk meletakkan parti kita ke landasan yang betul setelah begitu lama dilalaikan oleh pemimpin-pemimpin yang ada sekarang.

Pemimpin-pemimpin besar kita masih mengaku kuat sedangkan kita sudah hilang kuasa di 5 buah negeri, dan jika dicampurkan dengan Wilayah Persekutuan kita sudah kehilangan 6 negeri.

Jika kita masih lagi mendengar nasihat orang-orang seperti Tengku Adnan, Noh Omar dan Muhammad Taib, dalam pilihanraya yang akan datang kita akan kehilangan pula Negeri Sembilan yang sudah hampir-hampir kalah baru-baru ini

Kita juga akan kehilangan kuasa di Melaka dan Pahang.

Semasa itu, rakyat akan memandang UMNO seperti anjing kurap yang melata di tepi jalan.

Mereka ini jugalah yang akan mecari makan dengan parti-parti yang menang ketika itu nanti.

Kepada T.Adnan, Noh Omar dan Muhammad Taib kita ucapkan ‘selamat cari makan’.

Bagi kami, tiada jalan lain selain daripada berjuang terus bagi mengembalikan UMNO ke tahap yang gemilang seperti suatu ketika dahulu………………….


Aspan Alias

20 March 2008

UMNO mula berubah

Sejak Tengku Razaleigh mengumumkan hasratnya untuk menawarkan dirinya untuk membina semula UMNO yang kian lemah ini saya dapat merasakan ‘excitement’ rakyat agar keseluruhan ahli-ahli UMNO akan menyambutnya dengan rasa gembira.

Saya telah dihubungi oleh orang-orang melayu yang ingin melihat usaha dan niat murni TR ini berjaya.

Tidak kurang juga saya dihubungi oleh rakan-rakan bukan melayu yang melahirkan rasa gembira atas berita yang sudah lama mereka tunggu.

Ramai antara mereka mengakui jika kepimpinan melayu itu pincang seperti yang ada pada hari ini, mereka juga akan merasa padahnya.

Mereka tahu bawa TR telah terbukti sebagai seorang teknokrat yang telah membina asas ekonomi negara yang kukuh yang telah dinikmati oleh segenap lapisan rakyat semasa beliau di dalam kerajaan dahulu.

Jika beliau diberi mandat untuk memimpin negara, satu kepastian ialah UMNO dan kerajaan akan berimej baru dan bernafas segar untuk membina kembali keyakinan rakyat jelata dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa.

Pilihanraya yang ke-12 baru-baru ini merupakan mimpi yang amat mengerikan.

Rakyat menzahirkan perasaan mual mereka terhadap kepimpinan hari ini hinggakan sanggup mereka beramai-ramai ke peti undi untuk mendaftarkan kemarahan mereka dengan mengundi parti pembangkang yang tidak pernah dilakukan mereka selama ini.

Rakyat marah kerana UMNO tidak dapat merasai dan bersimpati dengan keresahan mereka di bawah ini.

Mereka melihat dengan mata kepala mereka bagaimana pemimpin-pemimpin besar mereka sibuk dengan membolot laba kepunyaan rakyat tanpa segan silu.

Mereka sibuk memperkuatkan kedudukan mereka di dalam UMNO tetapi mereka tidak berusaha untuk memperkuatkan penerimaan rakyat terhadap UMNO sebagai wadah perjuangan bangsanya..

Abdullah Badawi begitu kuat di UMNO Kepala Batas, Najib merupakan pemimpin yang ‘indispensable’ di Pekan.

Tetapi amnya, rakyat negara keseluruhannya tidak menghormati mereka dan menolak kepimpinan mereka berdua sebagai pemimpin negara yang tidak ‘viable’ lagi.

Rakyat telah memberi isyarat yang kuat untuk menyatakan bahawa pimpinan Abdullah /Najib perlu ditolak.

Dalam semangat demokrasi yang tulen, Abdullah/Najib patut mengadakan persidangan agung tergempar untuk menentukan arah tuju parti pada masa yang akan datang, tetapi seruan ini tidak diendahkan oleh presiden dan pemimpin-pemimpin lain di peringkat tertinggi.

Melalui pilihanraya 8 Mac lalu, rakyat dengan jelas telah menyatakan bahawa Abdullah/Najib perlu berundur untuk memberi laluan kepada individu yang berada di luar dari sistem mereka bagi mentadbir parti dan kerajaan.

Mereka yang melakukan kesalahan besar ini tidak mungkin boleh memulihkan keadaan.

‘As one popular adage goes “You can’t clean a dirty floor with a dirty mop”,’…….Aspan Alias.

UMNO masih ada harapan?

Dengan apa yang berlaku di sekitar politik negara amat membimbangkan manusia yang berfikir dan kebimbangan ini boleh menjejaskan semua bidang kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

UMNO sudah hilang segala identitinya. Para pemimpinnya sudah kehilangan punca sehinggakan tidak tahu perasaan rakyat bawahan yang kononnya diperjuangkan oleh UMNO.

UMNO sudah songsang, pemimpin-pemimpinnya semakin hari semakin gila hinggakan rakyat merasakan UMNO sudah menjadi sebuah kelab eksklusif yang hanya wujud untuk kepentingan segelintir manusia bernama menteri dan ahli keluarga mereka.

Pemimpin UMNO dilihat berfoya-foya dengan cerut-cerut mahal di ‘Cigar Room’ hotel-hotel lima enam bintang.

Manusia-manusia inilah yang sejak lebih kurang sedekad yang lalu rakyat letakkan harapan masa depan mereka.

Pendek kata, UMNO seolah-olah sudah menjadi musuh kepada orang melayu yang diperjuangkannya.

Orang melayu semakain hari semakin lesu kerana tiada siapa yang mampu membuat perancangan untuk kebaikan kaum kita.

Pengumuman YBM Tengku Razaleigh untuk menawarkan diri menerajui kepimpinan UMNO memberikan harapan sebesar gunung bagi orang melayu merasakan kehadiran mereka di tanah air sendiri.

Rupa-rupanya tuhan telah memanjangkan usia anak raja berjiwa rakyat ini, untuk menjadi medium penyelamat bangsa kita yang hampir terpinggir dewasa kini.

Kesedian beliau untuk tampil ke hadapan merupakan dalil yang dikatakan oleh orang- orang tua dahulu kala bahawa orang melayu ini adalah bangsa yang berkeramat.

Guru saya pernah menasihati saya bahawa kita mesti yakin bahawa apabila kekusutan masyarakat dan negara sampai ke kemuncaknya, akan dihantar oleh tuhan seorang yang akan menjadi penyelamat kepada sesebuah bangsa itu.

Jika Tengku Razaleigh lah insan yang digerakkan oleh tuhan untuk menyelamatkan bangsa kita, maka sudah menjadi kewajipan kita untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada beliau..

Kita mahukan jaminan yang kita tidak akan terpinggir lagi dalam negara yang kita kasihi ini bersama-sama rakan-rakan kita yang berbilang kaum, agama dan budaya ini.

Cukup setakat hari ini. Saya akan berjumpa saudara esok hari.