28 May 2011

Kalau ada 'fulus' apa pun boleh lulus.

Ramai juga yang tidak selesa dengan komen saya dalam banyak isu yang berkaitan dengan ‘intution’ saya yang tidak begitu sedap dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang. Kadangkala saya berfikir juga kenapa saya perlu sibuk untuk menulis tentang isu-isu itu kerana ianya hanya memungkinkan saya di rembat dengan hebatnya oleh pihak yang tidak gemar dengan pandangan saya.

Kadangkala ada juga penyesalan kerana saya terlibat mengambil tahu tentang politik ini. Walaupun tidak bergiat secara fisikal lagi benak saya tetap berfikir tentang politik ini.. Saya tetap juga memberikan pandangan secara terbuka kerana saya tidak pernah berusaha untuk menaiki tangga kejayaan politik dan saya tidak pernah menyesal dengan keadaan itu.

Oleh itu saya tetap dengan pendirian untuk bercakap dan menulis ketika ada ruang untuk berbuat demikian kerana saya tidak dapat mengelak dari melihat dan mendengar apa yang berlaku di sekeliling saya. Saya bukan seorang ‘social climber’ dan apa yang saya perkatakan itu adalah pemikiran yang sejati tanpa dikotori oleh kepentingan peribadi. Justru saya tidak ada perasaan gentar dan takut untuk memberikan buah fikiran dan pandangan saya secara terbuka.

Mungkin apa yang saya perkatakan tidak keseluruhannya benar, tetapi terpulang kepada sesiapa yang terbaca untuk menilainya dan membuat komen yang berpatutan tanpa menggunakan bahasa yang kesat dan mengkritik saya secara peribadi. Saya mengalu-alukan jika pandangan serta komen yang di berikan itu hanya dalam ‘parameter’ isu dan tajuk yang saya perkatakan sahaja dan tidak menyimpang darinya.

Yang terbaik sekali komen itu biarlah menggunakan bahasa yang baik dan tidak menggunakan bahasa yang kotor kerana bahasa itu melambangkan bangsa. Menggunakan bahasa yang baik juga akan membawa maksud yang sama untuk menyatakan perbezaan dengan pandangan saya. Tetapi ianya memberikan perbezaan yang amat ketara untuk memberikan penilaian dan membezakan tahap budi dan keperibadian seseorang pengomen itu.

Saya tidak segan dan silu untuk menzahirkan perasaan kurang keyakinan terhadap ‘jargon-jargon’ besar yang diwar-warkan kerana masa yang begitu lama terlibat dan bergiat secara kecilan dalam politik memberikan persepsi yang segala-galanya adalah retorik politik kosong yang akhirnya akan kita sama-sama melihat kegagalannya.

Bermula dengan retorik slogan bersih, cekap dan amanah dahulu. Akhirnya bersihnya berkurangan , cekapnya tiada dan jauh sekali beramanah. Zaman slogan ini lah pelacuran terhadap semua institusi demokrasi berleluasa dan di zaman ini jugalah korupsi dan sifat tidak amanah itu mula hidup subur. Akhirnya zaman slogan ini berkumandang inilah segala budaya negatif dalam politik dan kerajaan menjadi masalah kepada negara dan kita sekarang sedang berperang mulut di atas isu-isu ini.

Sejak dari saat itu semuanya telah hilang dari kawalan seolah-olah kereta dipandu hilang kawalan sehinggakan terjunam ke dalam gaung yang dalam dan tidak tahu bila boleh keluar dari kejatuhan yang begitu dalam itu.

Apabila seorang lagi pemimpin datang dia minta pula semua orang bekerja bersama beliau dan jangan bekerja untuk beliau. Akhirnya kerja pun tak ada untuk kita bekerja dengannya sampailah beliau meletakan jawatan.

Datang pula seorang pemimpin yang lain dengan slogan 1Malaysia. Entah mana letaknya 1Malaysia itu kita pun tak tahu. Satu Malaysia tak faham sehinggakan Dr Mahathir sendiri mengaku tidak faham. Slogan hanya tinggal slogan. Masih lagi sekolah Cina naik macam cendawan tumbuh. Setahu saya jika benar untuk menjayakan 1Malaysia ianya mesti bermula dari sekolah dengan hanya mengadakan satu jenis sekolah sahaja seperti di Indonesia dan Thailand misalnya. Saya tidak menerima slogan ini kerana saya bersetuju dengan adanya sekolah yang berbagai di dalam negara ini.

Lain yang dislogankan lain pula yang dibuatnya. Ini semua membuatkan orang tertanya-tanya, mana dia 1Malaysia itu. Maka ini satu slogan yang lain. Kita akan menyanyikan slogan yang berlainan mengikut siapa yang memimpin. Tidak ada dasar yang kekal untuk rakyat melaksanakannya. Dulu tidak ada slogan-slogan canggih tetapi tidak pula ada banyak masalah yang membebankan rakyat. Seingat saya hanya satu slogan yang amat berjaya di dalam sejarah negara, iaitu slogan Muhibbah. Tetapi slogan itu telah dibiarkan begitu sahaja kerana tidak secucuk dengan pimpinan Dr Mahathir itu.

Lepas pimpinan Najib ini tidak tahu slogan apa pula yang akan dinyanyikan media letronik kerajaan. Akhirnya kita kenyang dengan slogan. Dalam pada itu sahajalah rakyat dikelirukan semata-mata kerana hendak meletakan jenama kepada kepimpinan yang memimpin waktu itu. Sekarang kita boleh mengagak mana pemimpin yang akan berjaya atau mana pemimpin yang akan gagal semasa awal-awal pemerintahannya. Jika pemimpin itu bermula dengan slogan yang canggih-canggih, kita boleh membuat penialaian awal yang 'conclusive'. Pemimpin itu akan gagal dan dia akan terus-terusan beretorik kosong.

Slogan-slogan sekarang ini ibarat lagu pop yang hanya popular sementara sahaja. 1Malaysia kata orang 1Malaysia kata kita. Hasilnya entah di mana. Yang sesuai dengan kehendak negara masih lagi slogan Muhibbah sebenarnya. Slogan ini amat penting kerana rakyat tidak lagi hidup dalam muhibbah samada intra kaum mahu pun inter kaum.

Dalam perpecahan rakyat yang mendapat keuntungan dan labanya ialah pemimpin yang lemah yang disaluti dengan imej rasuah dan imej-imej yang tidak keruan. Ramai orang yang menyampah kerana saya tidak berhenti bercakap tentang rasuah. Mereka kata mereka sudah jemu dengan isu itu.

Kepada mereka yang memberikan pendapat itu, saya ada jawapannya. Perasaan jemu saudara itu merupakan perasaan yang ‘mutual’ dengan perasaan saya sendiri. Mereka jemu kerana saya tidak berhenti menulis tentang isu rasuah, saya pula jemu kerana ramai pemimpin yang tidak berhenti melakukan rasuah itu.

Isu yang terkini, iaitu isu tanah lapangan terbang tentera udara Sg Besi merupakan satu lagi yang akan menimbulkan kemarahan rakyat ramai. Semua orang tahu apa yang sedang berlaku di dalam kes ini dan siapa yang mendapat laba besar dengan pemindahan lapangan terbang ini ke Sendayan Negri Sembilan. Segala khabar angin tentangnya dahulu sudah menjadi kenyataan.

Satu lagi khabar angin yang akan menjadi kenyataan ialah tentang harga tanah yang bakal dibayar oleh 1Malaysia Development kepada kerajaan. Blog ini tidak payah bersusah payah memberitahu apa-apa lagi. Semuanya akan terbongkar dan menjadi pengetahuan umum.

Apa pula alasan yang akan diberikan oleh penyokong membuta tuli terhadap pimpinan yang hangat dipersoalkan rakyat ini. Yang rakyat persoalkan ialah moral yang menyelubungi projek pembangunan yang akan dilakukan oleh 1Malaysia Development ini.

Kita diminta menyokong segala kerja yang tidak mempunyai moral ini. Kita tidak faham kenapa ada setengah orang yang tidak boleh nampak tanah rakyat yang kosong. Apabila nampak sahaja tanah kosong mereka akan menjadi seperti anjing nampak tulang..air liornya melelih tidak dapat dikawal.

Nasib baik mereka ini tidak jadi pemimpin Saudi Arabia. Kalau mereka menjadi pemimpin Saudi Arabia tidak terkejut kalau Ka’abah pun dialihnya. Kerana apa? Kerana ‘fulus’. Ada ‘fulus’ semua boleh lulus.


Terima Kasih.

27 May 2011

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari

Kalaulah pandangan saya betul, kita sedang melihat perubahan stuktur pemikiran ramai yang isu perkauman sudah menjadi isu yang agak dibenci dan tidak begitu gemari oleh rakyat pada hari ini. Keadaan ini berlaku kerana isu benci membenci di antara kaum telah dimainkan terlalu berluasa-luasa dan menjemukan mereka.

Rakyat sedar yang jika isu perkauman masih menjadi isu oleh mana-mana parti dan pihak, parti itu akan manghadapi kemungkinan ditolak. Bagi mereka isu perkauman adalah isu yang amat merbahaya untuk di mainkan dan rakyat sedar jika isu ini terus dimainkan oleh pemimpin-pemimpin yang akan merana rakyat sendiri akan menanggung penderitaannya.

Sudah nampak dengan agak jelas yang kecenderungan rakyat untuk menerima parti berbilang kaum di negara ini sedang melebar dan meminggirkan parti yang berlandaskan kepada perkauman secara beransur-ansur. Ianya bermula apabila pemimpin Melayu yang mengetuai pimpinan negara dan rakyat sudah hilang penghormatan rakyat dalam kadar yang amat deras.

Jika elemen baru yang berkembang ini terus-terusan menjadi sikap yang akan diterima oleh rakyat maka parti-parti yang ditubuhkan berlandaskan kepada kaum akan terpinggir dalam masa yang agak dekat. Melayu yang dahulunya dikaitkan dengan UMNO, sekarang Melayu sudah beransur-ansur menukar pendirian mereka dan tidak semestinya UMNO meyakinkan yang parti itu adalah parti perjuangan Melayu dan negara.

Perubahan ini dipercepatkan pula oleh kenyataan yang jelas dan nyata yang UMNO telah gagal untuk meneruskan kejayaan mereka untuk memperjuangkan kemajuan untuk orang Melayu kecuali segelintir Melayu yang mendapat keistimewaan kerana mengambil kesempatan di atas peruntukan keistimewaan orang Melayu seperti yang diperuntukan oleh perlembagaan negara.

Peruntukan yang memberikan keistimewaan kepada orang Melayu itu memang ada termaktub dalam perlembagaan dan bangsa lain pun telah menerima hakikat itu. Tetapi apabila keistimewaan itu hanya untuk segelintir Melayu istimewaa sahaja dan bukannya untuk Melayu keseluruhannya, maka kesetiaan kepada UMNO kian pudar. Mereka selama ini menganggapkan yang UMNO itu ialah parti untuk rakyat Melayu yang ramai, tidak untuk bilangan Melayu ekskusif sahaja.

Keistimewaan untuk seluruh umat Melayu itu hanya dipompong oleh segelintiran Melayu yang hampir dengan kepimpinan sahaja bukannya kerana kemampuan Melayu yang ramai itu. Barang diingat orang Melayu merupakan penduduk majoriti dalam negara kita.
Orang Melayu sekarang sudah membentuk pemikiran dan kepercayaan yang menerima parti yang berbilang kaum sudah boleh diterima.

Mereka merasakan jika mereka terus-terusan berada di dalam UMNO pun tidak merubah keadaan mereka kecuali untuk menambah kekuatan kepada pemimpin-pemimpinnya untuk menjadi pemimpin yang rakus dan kufur nikmat semata-mata. Bangsa-bangsa lain dalam negara ini yang telah bersetuju yang Melayu perlukan keistimewaan itu pun sudah jemu menunggu kemajuan orang Melayu, kerana mereka mendapati keistimewaan itu hanya di perolehi oleh kumpulan kecil Melayu, selalunya dari keluarga yang di dalam kategori ‘the rich and the famous’ semata-mata.

Perubahan pemikiran di kalangan orang Melayu ini melibatkan setidak-tidaknya dua parti, iaitu UMNO dan MCA. Melayu sedang menerima parti-parti PAS, DAP dan PKR sedangkan kaum Cina sudah hampir menolak MCA untuk memberikan keyakinan kepada DAP. Apabila DAP diterima oleh kaum Cina dan menambah pula penyertaan orang Melayu di dalam parti itu maka dijangkakan yang parti-parti yang ‘racial-based’ akan menjadi ‘obselete’ dalam jangka waktu yang agak dekat.

Keadaan ini wujud kerana UMNO yang mewakli UMNO tidak mampu menguruskan kejayaan selama ini. Melalui UMNO orang kita Melayu merupakan kaum yang paling istimewa kedudukan kerana orang melayu melalui UMNO telah diberikan kedudukan sebagai parti untuk orang Melayu dan juga tugasan dan berfungsi sebagai parti untuk menguruskan semua bangsa di negara ini.

Saya masih tergayang-gayang mengingati zaman itu. Sekarang semuanya sudah tiada lagi kerana kesalahan dan kesilapan kita untuk menguruskan kejayaan itu. Kita terlupa dan terleka dengan kejayaan itu kerana kita sentiasa berfikir yang kejayaan yang dicapai itu akan kekal walaupun tanpa pengurusan yang baik.

Peringatan selepas peringatan diberikan kepada bangsa kita khususnya pemimpin kita tetapi mereka lalai dan bersikap sambil lewa dalam menguruskan kejayaan yang jarang-jarang dicapai oleh mana-mana bangsa di dunia ini. Kita ‘sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’. Mungkin kah kita akan mencapainya kembali? Tidak siapa boleh menjawabnya secara meyakinkan.

Pada saya kaum India merupakan kaum yang bijaksana di dalam politik. Apa pun orang nak kata, saya tetap menyatakan dengan tegas, kaum India berjaya politik mereka. Kaum India merupakan kaum yang terkecil di Semenanjung Malaysia. Mereka hanya merupakan 15 peratus dari jumlah penduduk negara kita ini. Parti yang mewakili mereka sejak lama dahulu ialah MIC. Walaupun MIC merupakan parti yang kecil dan telah melalui zaman berpecah-pecah sejak lebih 20 tahun dahulu, tetapi kaum India sentiasa menambah jumlah wakil mereka di dalam Dewan Parlimen.

Kaum India diwakili melalui MIC, DAP, PKR, PPP dan yang lain-lain. Berpecah tetapi sentiasa menambah perwakilan mereka di dalam Dewan-Dewan Lagislatif Persekutuan dan Negeri-Negeri. Saya tidak dapat angka yang tepat tetapi kenyataannya mereka diwakili oleh jumlah yang ramai di Dewan-Dewan Lagislatif negara dan negeri-negeri.

Bagi orang Melayu, jika DAP boleh membuka ruang untuk kaum Melayu menjadi ahli dengan luas serta diberikan peluang untuk mewakili parti itu untuk mewakili pengundi-pengundi di kawasan mereka maka parti itu akan mendapat banyak ‘advantages’nya. Pertamanya parti itu akan membuktikan yang parti itu adalah parti berbilang kaum dan bukannya parti yang di monopoli oleh kaum Cina sahaja. Keduanya DAP akan mendapat tambahan sokongan orang Melayu dan Bumiputra di seluruh negara.

Yang pentingnya DAP benar-benar melunaskan perjuangannya mengikut kehendak perlembagaan negara seperti yang termaktub di dalam perlembagaan parti itu yang saya sendiri telah membacanya berulang kali. Lebih baik lagi DAP menerima orang Melayu untuk menjadi Ketua Kerajaan Negara ini (Maksud saya PM). Malahan DAP akan lebih mudah untuk meyakinkan yang mereka tidak akan menjadi Ketua Kerajaan kerana jumlah kerusi yang dibertangkannya di dalam setiap pilihanraya tidak melebihi 60 kerusi sahaja.

Saya menulis isu ini kali ini kerana sudah jelas rakyat berbilang kaum sedang beransur-ansur menolak parti-parti yang berlandaskan kepada keahlian mengikut kaum. Lagi sibuk parti-parti bercakap tentang isu perkauman, lagi bertambah jemu rakyat mendengarnya.

Itulah yang saya dan ramai orang ralatkan sejak beberapa tahun yang lalu. Kita telah pun berjaya mendapatkan orang Melayu di terima sebagai kaum yang mengetuai siasah negara, tetapi kita telah gagal untuk mengurus tadbir kejayaan dengan baik. We have been taking everything for granted.

Semuanya kerana permainan politik peribadi pemimpin-pemimpinnya yang rela merebahkan parti bersama mereka. Mereka tidak mahu dan bersedia untuk berkorban untuk parti yang telah menempa kejayaan itu untuk terus relevan untuk melayu dan rakyat..

Kita tidak boleh salahkan sesiapa. Kita salahkan diri kita sendiri.

25 May 2011

Stigma buruk yang melekat kepada UMNO susah hendak dibuang

Kalau saya duduk termenung memikirkan nasib UMNO di masa akan datang, seperti juga ramai yang lain saya tidak dapat berfikir apa cara yang perlu dilakukan oleh UMNO untuk kembali menjadi parti yang dihormati dan disanjung bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh bangsa-bangsa lain seperti yang pernah dialaminya dahulu.

Maklum sajalah UMNO selama ini adalah tunjang kepada politik tanak air. Semasa hebatnya UMNO rakyat berfikir tanpa UMNO kita akan rebah rempah dan tidak tahu apa akan terjadi kepada negara. Semasa itu UMNO! UMNO! UMNO!, tidak ada yang lain melainkan UMNO.

Tetapi itu sudah menjadi bahan bacaan sejarah kepada kita. Sebagai seorang ahli sejak awal tujuh puluhan saya terasa dan nampak jelas perubahan yang berlaku di dalam UMNO. Kita akui semuanya itu tetap berubah mengikut waktu dan zamannya tetapi perubahan budaya dan etika di dalam UMNO itu hanyalah menjurus kepada kejatuhannya dan bukannya kearah membina perjuangan yang sepatutnya dilakukan oleh UMNO.

Kelemahan UMNO ialah untuk menguruskan kejayaannya. Itu nyata. Masalahnya bermula apabila UMNO diwariskan kepada pemimpin yang tidak berjiwa UMNO. Mereka hanya berteriak kuat tentang UMNO tetapi UMNO dipergunakan oleh pemimpin yang menerima warisan itu untuk kepentingan peribadi dan keluarga semata-mata.

Ada pemimpin yang yang suatu ketika dahulu tidak mampu mengisi minyak kereta yang kecil sekarang sudah menjadi pemimpin besar. Itu pun tidak mengapa. Ramai dalam sejarah dunia pemimpin yang datangnya dari keluarga yang miskin tetapi berjaya menjadi pemimpin yang memperjuangkan rakyat jelata dengan baik. Tetapi yang tidak dapat di maafkan ialah mereka memerah segala apa yang ada untuk memperkayakan diri tanpa had dan lebih-lebih lagi tanpa malu dan segan pula bercakap tentang perjuangan yang tinggi-tinggi yang mereka sendiri tidak mampu melakukannya.

UMNO yang membina segala institusi demokrasi, UMNO jugalah yang membinasakan institusi-institusi ini. Apabila pelacuran ke atas bidang Kehakiman negara pada 1988 dahulu institusi kehakiman tidak kebah-kebah dengan imej yang tidak meyakinkan, bukan sahaja oleh rakyat negara ini tetapi juga oleh masyarakat antarabangsa. UMNO yang memperkuatkan institusi Raja-Raja untuk memperkuatkan kedudukan orang Melayu dahulu, UMNO jugalah yang merobek dan merebahkan institusi ini sehingga institusi ini menjadi lemah dan longlai.

Banyak lagi contoh-contoh yang ada tetapi blog ini telah menulisnya berulang kali dan tidak payah lagi lah diulang-ulang. Ianya menyedihkan dan menjemukan bukan sahaja kepada pembaca tetapi juga kepada diri saya sebagai penulisnya.

Tetapi warisan yang amat mengecewakan rakyat ialah budaya rasuah dan menggunakan kuasa dengan salah itu adalah dosa yang tidak dapat diampunkan oleh ramai rakyat pengundi. Mereka adalah di kalangan the ‘silent majority’ dan di antara mereka ini adalah ahli-ahl UMNO sendiri. Itulah sebabnya saya pernah menulis ahli-ahli UMNO keluar parti bukannya dihadapan kamera TV3 atau RTM tetapi bertukar parti semasa di dalam peti undi. Ini sudah terbukti kerana seramai lebih dari 1.5 juta ahli UMNO pernah memberikan undi kepada parti pembangkang.

Tidak guna UMNO mempunyai ahli yang ramai. Ibarat tubuh badan yang besar tetapi tubuh yang mengalami banyak penyakit yang ‘terminal’ hanya untuk menunggu akhir kalamnya sahaja. Apabila ada ahli yang sedar dan mengkritik, penyokong dan pengampu-pengampu tanpa tauliah akan menerpa mengutuk dan membidas kumpulan kecil yang sedar ini. Pendeknya tidak ada apa-apa ruang untuk UMNO memperbaiki dirinya.

Sebagai seorang yang sudah bersara dari semua kegiatan saya mempunyai masa yang teruang untuk bertemu dengan manusia yang berfikir setiap hari. Sementara menunggu waktu menjemput cucu dari sekolah selalu saya berjumpa dengan orang ramai dan berkesempatan untuk bercakap. Biasalah, di negara ini semua rakyat bercakap pasal politik. Dalam perbincangan yang saya adakan amat payah bagi saya untuk terjumpa individu yang tidak mengkritik UMNO dan komponannya.

Baru dua hari yang lepas saya dijemput oleh orang yang saya belum pernah berjumpa untk minum kopi. Mereka bertanya di mana patut kita minum. Saya menjawab kalau ikut standard saya kita hanya patut berjumpa di kedai mamak yang hampir dengan rumah saya, kerana saya tidak berkemampuan untuk minum di restoren-restoren besar-besar. Akhirnya mereka bersetuju untuk berjumpa dan nyata mereka adalah di antara yang mengikuti tulisan saya.

“Encik Aspan, why are you so possessive of UMNO? Do you really know that you are being detested by the party leaders?” Saya menjawab pendek sahaja “Bro, I don’t care. Let them hate me but I shall stand where I am”.

Tidak dapat saya hendak mengingati perkataan-perkataan yang timbul dari mulut mereka, tetapi kumpulan ini adalah kumpulan yang selama ini mengndi UMNO tetapi sudah tidak tahan lagi dengan keadaan, sikap dan nilai yang ada kepada pimpinan parti ini.

“I can’t forgive them bro. They are milking the country dry. They are loads of corruptible leaders. There is no way can we stand their shenanigans any longer” kata salah seorang dari mereka serius. “All leaders up there are suffering from corruption addiction. They can’t get out of it. Our country is deadly in trouble and there should be concerted efforts from us to change it.” sambungnya lagi.

Saya hanya menjawab, “I am nobody and with no consequence what so ever. Let them do whatever they wish. Dia orang fikir dia boleh lari dari pembalasan. Mereka sangka mereka ada immuniti dari tindakan undang-undang dan immunity dari balasan Tuhan. Oleh kerana mereka hendak belajar dari pengalaman sendiri, biarkan!”

Perbualan itu panjang juga. Tetapi saya terpaksa meminta diri kerana hendak ke sekolah menjemput cucu. Tetapi sebelum saya bangun sempat salah seorang dari mereka bertanya, “Bang, abang ingat ahli-ahli MKT tu boleh memperjuangkan Melayu dan rakyat ke bang?” Rakan saya yang bersama saya dari awal menjawab juga pendek, “Kalau mereka benar-benar hendak memperjuangkan Melayu dan rakyat, mereka tidak sepatutnya berada di sana. They are rouges and should not be trusted”

Perbualan seperti ini memang kita dengar di mana-mana. Persepsi buruk terhadap UMNO itu tidak dapat dihilangkan lagi. Masalahnya apabila pandangan buruk seperti ini sudah menjadi lumrah, apa sahaja yang diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin kita tidak diyakini lagi.

Blog ini acapkali memperkatakan tentang isu ini dan selalu dibidas oleh banyak pihak. Kecenderungan rakyat untuk bertindak bertentangan dengan kehendak pemimpin kita semakain jelas kerana merek merasakan pimpinan sudah tidak layak diberikan keyakinan lagi. Rakyat ramai sedang cenderung untuk melihat kepimpinan turun dan menggantikan dengan kepimpinan yang lain.

Usaha Ahmad Zahid Hamidi dan Muhyiddin untuk menghalang orang Melayu dari mendekati DAP misalnya tidak diiraukan orang ramai lagi. Rakyat menganggapkan pemimpin-pemimpin itu sedang merasakan ketakutan mereka terhadap sokongan parti itu dari berkembang. Rakyat tidak segan dan silu lagi untuk memberikan perhatian kepada DAP kerana mahu mengambil kesempatan untuk memberi pengajaran terhadap pimpinan yang mereka anggap sebagai perosak kepada negara kita. PAS juga sedang menerima sokongan dari ramai rakyat Islam yang berpendidikan yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.

Kepada yang serius cuba anda fikirkan cara dan kaedah untuk UMNO mendapatkan kembali keyakinan rakyat tanpa banyak persoalan. Saya tidak nampak cara yang lain selain dari keseluruhan pimpinan parti ini dibarisi oleh barisan yang baru secara total untuk melenyapkan imej dan stigma buruk yang di alami oleh UMNO sekarang ini. Kita wajar mengakui UMNO telah terabai sebegitu lama.

Ini sahaja tindakan yang boleh melenyapkan persepsi buruk rakyat terhadap UMNO jika benar-benar mahukan UMNO terus menerajui pimpinan negara. Kalau tidak mahu percaya tidak mengapa. Memang kita tidak mahu belajar dari kesilapan orang lain. kita lebih suka untuk belajar dari kesilapan kita sendiri.

Kata perbilangan, ‘sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya’.

24 May 2011

Perbalahan Khairy dengan Saifuddin Nasution - Khairy di pihak yang benar.

Saifuddin Nasution Setiausaha agung PKR dan Khairy tidak sepatutnya berbalah dalam isu pengurangan subsidi RON95 ini. Bukankah sekarang masing-masing bertujuan untuk mendesak pihak yang berwajib untuk tidak mengurangkan subsidi RON95 itu? Kenapa sudah bersama ingin melihat tidak ada pengurangan subsidi RON95 itu, masih lagi hendak bertelagah. Kenapa dalam niat dan usaha yang sama masih hendak bertelagah. Saya tidak faham.

Dalam isu ini saya tidak dapat menerima serangan Saifuddin terhadap Khairy kerana saranan Khairy itu merupakan satu ‘favour’ yang sangat besar kepada rakyat yang sedang dalam keresahan sekarang ini.

Bagi saya semua pihak wajar memberikan sokongan moral terhadap desakan Khairy untuk kerajaan tidak mengurangkan subsidi RON95 buat seketika ini walaupun beliau bersetuju untuk dilakukan penstruktoran terhadap subsidi RON95 ini. Saifudin sepatutnya mengambil isu ini secara objektif dan pandangan Khairy itu sebagai pandangan yang sangat menyejukan hati rakyat.

Rakyat mahu mendengar suara-suara di kalangan pimpinan semua pihak yang menyebelahi rakyat yang berdukacita dengan isu pengurangan subsidi ini. Dalam isu ini apa yang diperkatakan oleh Khairy itu benar dan betul selari dengan kehendak ramai. Tidak timbul masalah bermuka-muka Khairy seperti yang dituduh oleh Saifuddin itu. Saifuddin sendiri ada sejarah bermuka-muka itu. Tetapi bukan waktunya untuk berbalah tentang isu bermuka-muka ini.

Mahathir bermuka-muka, Najib bermuka-muka dengan kaum-kaum yang berbagai, dan banyak pemimpin yang bermuka-muka dikalangan pemimpin politik dunia ketiga ini.

Dalam hal yang melibatkan orang ramai seperti isu subsidi ini, kita wajar melupakan siapa dari pihak mana. Yang pentingnya ialah samada kenyataan Khairy itu wajar atau pun sebaliknya. Bagi saya sebagai Ketua Pemuda beliau memang sepatutnya diberikan dukungan dalam isu ini, melainkan ada pihak samada dalam BN/UMNO atau pembangkang melihat segala-galanya dari sudut politik yang sempit dan kuno.

Tidak timbul isu Khairy sombong atau apa, ini isu yang melibatkan rakyat yang ramai. Buat masa ini kerajaan wajar mencari jalan untuk menyelesaikan isu bebanan subsidi ini, tetapi buat masa sekarang kita meminta pengurangan subsidi terhadap RON95 ini ditangguhkan dahulu.

Itu sebenarnya yang diminta oleh Khairy kalau bacaan saya itu betul. DAN permintaan itu wajar. Itu jugalah permintaan Saifuddin dan partinya PKR. DAN hanya Khairy dari kepimpinan UMNO yang berani bercakap secara tegas dalam isu ini.Yang lain bercakap berpusing-pusing.

Oleh itu, saya hendak bertanya kepada Saifuddin, kenapa nak bergaduh? Silly isn’t it?

23 May 2011

Zahid takut Melayu sokong DAP

Ahmad Zahid Hamidi telah menyebut tentang usaha DAP untuk menambah bilangan calon Melayu di dalam pilihanraya yang akan datang dan sekali gus mengajak seramai mana orang Melayu untuk menganggotai parti itu. Zahid telah menyebut tentang mewujudkan Roketkini yang akan menyambung lidah DAP kepada orang Melayu. Zahid telah meminta supaya PAS dan PKR berhati-hati tentang usaha DAP untuk menarik seramai mana orang Melayu untuk bersama-sama DAP dalam politik tanah air.

Zahid menzahirkan kebimbangan beliau dengan usaha DAP untuk mendapatkan keahlian orang Melayu lebih-lebih lagi jika DAP menurunkan calun-calun Melayu di dalam pilihanraya umum nanti. Zahid mengingatkan orang Melayu supaya tidak ‘terpedaya’ dengan langkah DAP ini. Beliau berkata demikian semasa meresmikan Persidangan Perwakilan salah sebuah Bahagian UMNO di Melaka semalam.

Saya mempunyai persepsi yang apa yang di sebutkan oleh Zahid itu adalah sikap UMNO yang cuba menakut-nakutkan orang Melayu tanpa basis yang kuat. Pertamanya apa yang hendak diperdayakan oleh DAP yang di sebut oleh Ahmad Zahid itu? Adakah dengan membawa orang Melayu menyertai parti itu merupakan usaha memperdayakan orang Melayu?

Kita perlu ingat bahawa DAP merupakan parti berbilang kaum yang boleh disertai oleh mana-mana kaum sekali pun. Saya telah membaca perlembagaan parti itu secara terperinci setelah parti itu menghantarkan senaskah perlembagaan parti itu di atas permintaan saya baru-baru ini. DAP menjunjung perlembagaan negara dan menerima semua kandungan yang termaktub di dalam perlembagaan negara termasuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Tetapi siapa sahaja tahu yang kenyataan Zahid itu merupakan kenyataan yang biasa kita dengar di kalangan pemimpin BN yang sudah begitu ‘paranoid’ dengan kemajuan yang dicapai oleh parti-parti pembangkang yang dahulunya di cemuh-cemuh oleh pihak kita sebagai parti yang tidak baik bagi rakyat dan negara. Yang baik hanya BN terutamanya UMNO.

Bagi DAP ianya merupakan parti yang halal dari segi undang-undang negara. Disiplin dan moral parti itu masih tinggi seperti juga moral parti UMNO dulu-dulunya. Apabila parti kita sudah kelunturan moralnya maka DAP dengan sendirinya akan mendapat perhatian ramai terutamanya dari kaum Cina yang tahu apa yang perlu bagi kaum itu. Di sebaliknya UMNO terlalu cerca marba dengan sikap bermuka-muka dengan kaumnya sendiri dan kaum-kaum lain di negara ini.

Jika DAP mahu meningkatkan bilangan orang Melayu di dalamnya itu tidak salah dan tidak ada apa yang hendak diperdayakan oleh parti itu. Selama ini parti itu telah dimomokan sebagai parti seperti parti komunis dan chauvinistik Cina. Tetapi UMNO tidak menyedari parti komponen dalam BN, iaitu MCA merupakan parti yang lebih chauvinistik yang acap kali menyalahkan UMNO sebagai penyebab kepada kekalahan ramai calun-calunnya di dalam pilihanraya yang lalu.

MCA lah yang melaungkan supaya dihapuskan hak istimewa orang Melayu dan memperkayakan idealism dan perjuangan sama-rata tanpa mengira kaum. MCA belum lagi menunjukan bukti mampu mentadbir sebuah kerajaan sedangkan DAP sedang mangalami mentadbir sebuah negeri dengan baik dan tahap ketelusan yang tinggi.

Oleh yang demikian saranan Zahid itu hanyalah setakat menakut-nakutkan orang Melayu supaya jangan menyokong DAP. Itu sahaja. Tetapi kita tidak takut dengan perbuatan sumbang sebagai pentadbir negara dan rakyat dengan menyeliputi kerajaan pimpinan kita dengan rasuah dan salah guna kuasa yang tidak ada batas dan hadnya.

Tidak ada siapa yang tidak sayangkan UMNO ini, tetapi UMNO yang macam mana yang mereka sayangi? Rakyat mahukan UMNO yang dipimpin oleh barisan pimpinan yang baru yang menggantikan barisan sekarang yang mereka anggap sebagai barisan pimpinan yang tidak boleh dipercayai lagi. Tahap kesabaran orang Melayu sendiri sudah sampai kepenghujungnya dan acapkali blog ini telah menyarankan UMNO sepatutnya kembali bermula ‘from the scratch’.

Bagi setengah pendapat yang tidak kurang ramainya memberikan pandangan yang sama. Selagi set kepimpinan yang ada sekarang masih berdegil maka mereka akan menggunakan hak mereka untuk mengundi dan menyokong sesiapa sahaja dalam pilihanraya yang akan datang asalkan sahaja calun-calun itu dari parti-parti yang halal di sisi undang-undang.

Ramai yang berpendapat mereka tidak mendoakan UMNO itu tumbang, tetapi kalau parti kita masih digenggam oleh barisan yang ada pada hari ini mereka tidak akan ada sesalan jika UMNO mengambil tempat sebagai parti pembangkang dalam penggal parlimen dan DUN yang akan datang.

Orang Melayu sudah ramai yang berpendapat tidak boleh lagi menyokong UMNO semata-mata untuk menyokong. Mereka tidak mahu lagi bersabar melihat pimpinan UMNO menyelewengkan wang rakyat tanpa segan silu semata-mata kerana ia UMNO yang kononnya menjadi kewajipan orang Melayu untuk menyokongnya. Sikap menyokong membabi buta sudah berlalu.

Sudah ramai juga orang Melayu berpendapat, kalau benar orang Melayu mahu menjadi bangsa yang ber’consequence’ mereka patut menyertai DAP untuk mengimbangi kaum-kaum lain yang berada di dalam parti itu. Inilah ‘advantage’ yang ada kepada DAP. Orang Melayu boleh menyertainya tetapi kita tidak boleh menyertai MCA. MCA hanya untuk kaum Cina. DAP untuk semua kaum.

Zahid sepatutnya lebih takut jika orang Melayu tidak menyokong UMNO kerana jika mereka tidak menyokong DAP mereka akan menyokong PAS dan PKR.

“Kita mesti hidup mengikut zaman dan waktunya” kata seorang sahabat yang sebangsa dengan saya..

21 May 2011

Belum tahu siapa yang setia dan siapa yang lari lintang pukang

Situasi kehidupan rakyat semakin hari semakin menyempit dengan kenaikan harga makanan dan barangan serta perkhidmatan ‘essentials’ naik dan tidak nampak akan turun atau setidak-tidaknya mendatar. Tidak ada siapa yang tidak bersungut dan mengeluh dengan kenaikan harga barang yang tidak ada hentinya ini.

Secara parallel kita akan berhadapan dengan pengurangan subsidi terhadap barang keperluan dan bahan bakar yang selama ini dikecapi rakyat. Tidak lama lagi kita akan membayar ‘good and service tax’ (GST) pula dan semuanya ini akan menambah beban kehidupan rakyat terutamanya kepada gulungan menengah dan gulungan miskin di bandar-bandar dan di ‘sub-urban’ di seluruh negara.

Kerajaan akan memberhentikan pemberian subsidi kepada rakyat secara beransur-ansur bagi mengurangkan defisit terhadap bujet negara dan segalanya ini datang dalam masa yang serentak dan dalam kadar yang mendadak.

Harga makanan telah naik dengan kadar 4.9 peratus dari Januari sehingga April 2011 ini dan ianya amat membimbangkan. Kalau dikaji angka-angka resmi yang dikeluarkan oleh kerajaan harga barang makanan telah naik melebihi 30 peratus dalam jangkan masa 4 tahun yang lepas berbanding dengan kenaikan gaji dan pendapatan rakyat yang tidak melebihi 3 peratus dalam tahun yang yang sama.

Kerajaan nampaknya tidak ada kudrat untuk menyelesaikan atau setidak tidaknya mengurangkan beban ini kerana apa yang mampu di lakukan hanyalah mengalih dan menganjak tangungjawab itu di kalangan rakyat sahaja dan tidak ada nampak sumber pendapatan ‘secondary’ bagi kerajaan. Semuanya diambil dari rakyat yang ramai semata-mata.

Tindakan kerajaan mengurangkan susidi dalam keadaan rakyat sedang ‘sakit’ sekarang ini, menunjukan yang kerajaan kita sudah kekeringan ‘kantungnya’ dan ini akan membawa kesan yang amat memeritkan rakyat dan merencatkan proses pembangunan negara.

Dari segi politiknya pula ungkapan-ungkapan pemimpin negara yang menyatakan yang negara sedang menuju kearah negara maju itu amat payah diterima oleh rakyat. Apabila sampai ketahap kesusahan yang kita semua hadapi ini naluri rakyat memberontak apabila mengetahui yang negara mengalami ketirisan sebanyak RM 28 billion setahun sebagaimana yang dilapurkan oleh Lapuran Ketua Audit Negara tahun 2008 dahulu. 28 billion ringgit ketirisan ini pastinya telah masuk ke dalam saku individu pemimpin yang tidak jujur.

Itulah sebabnya banyak pihak termasuklah blog yang kerdil ini telah puluhan kali menyebut yang penarikan subsidi bukanlah jalan yang pertama untuk dilakukan bagi menghadapi krisis kenaikan kos penghidupan ini. Usaha yang penting yang perlu dilakukan ialah untuk membenteras ketirisan wang negara melalui rasuah dan penyelengan yang dilakukan oleh penggubal dasar serta pelaksana dasar-dasar tersbut (penjawat awam).

Ketirisan sebanyak 28 billion ringgit setahun itu adalah bencana yang tidak mungkin dapat diatasi kerana ketirisan itu belaku dan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin utama negara sekali. Ianya sudah menjadi budaya tegar dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan dan Negeri-Negeri dan tidak ada siapa dan pihak yang serius untuk mengambil tindakan membetulkan keadaan. Pihak yang sepatutnya membetulkan keadaan ini juga terlibat dalam ketirisan yang begitu besar ini.

Itulah sebabnya rakyat terus sahaja memberikan keyakinan kepada kerajaan Negeri P Pinang yang telah jelas berjaya menyelesaikan ketirisan yang selama ini tidak dilakukan oleh kerajaan sebelumnya. Begitu juga dengan kerajaan negeri Selangor.

Dalam keadaan Negeri itu ditekan oleh kerajaan Persekutuan negeri itu tetap telah menunjukan prestasi yang jauh lebih baik secara relatifnya dari kerajaan sebelumnya walaupun kenyataan saya ini akan dibenci oleh pihak yang ingin membuktikan sebaliknya kerana kepentingan politik mereka.

Bagi saya itu tidak boleh dilayan kerana yang pentingnya ialah politik orang ramai, kehidupan rakyat yang melata dapat di perbaiki dan kalau boleh kita hendak menolak semua pihak yang menyebabkan ketirisan yang menggila besarnya ini. Rakyat tidak mahu lagi perkara buruk ini berulang terus menerus.

Menjaga harta benda kita adalah wajib di sisi agama. Kalau Ibrahim Ali ingin tahu ini juga adalah jihad. Jika pimpinan yang telah lama memerintah sudah hilang segala hidayahnya ada berkewajipan untuk mereka di tukar dan diganti…samada di tukar semua pimpinan yang ada kepada pimpinan baru parti yang memerintah ini atau pun menolak terus parti ini dari mentadbir negara kita lagi.

Pendeknya biarlah kuasa itu berada di tangan rakyat biasa kerana mereka telah lama bersabar menunggu pimpinan yang ada untuk berubah, tetpi tidak kunyung juga berubah. Kita mesti akui hakikat yang kesabaran itu ada hadnya dan rakyat telah melampaui batasan kesebaran mereka.

Kalau sesiapa yang hendak pandangan saya sebagai ahli UMNO, elok jika seluruh pimpinan UMNO berundur dan menukar pimpinan yang di terima oleh semua rakyat kerana keseluruhan yang ada pada hari ini tidak lagi diyakini rakyat. UMNO sememangnya parti yang sepatutnya menjadi tunjang pemerintahan, tetapi oleh kerana parti ini telah menyimpang sebegitu jauh pimpinan wajar ditukar sebelum pilihanraya ini.

Jika ini tidak juga dapat dilakukan, saya akan terus bersama UMO walaupun sudah menjadi parti pembangkang. Bukan untuk berjanji tetapi saya lebih rela membina kembali parti ini dari bawah. Mungin mereka yang garang-garang hari ini mempertahankan pimpinan yang ada, akan berkeliaran mencari perlindungan dan meninggalkan UMNO, biar lah saya dan beberpa orang yang capek politik ini membinanya semula jika diizin Tuhan.

Yang penting, dari saat ini, rakyat mesti di bebaskan dari tertipu dan tertipu terus-terusan dari pimpinan yang tidak setia kepada rakyat khususnya orang Melayu. Kalaulah keadaan ini berlaku, kita sama-sama lihat kemana perginya mereka yang garang-garang dan memaki hamun orang seperti saya ini sebagai tidak setia, gunting dalam lipatan dan berbagai-bagai lagi ‘superlatives’ yang diberikan kepada saya dan beberapa orang yang lain.

Kalaulah UMNO terpaksa turun saya akan tetap keluar membantu sesiapa yang memimpin parti ini walaupun telah menjadi parti pembangkang. Semasa itu nanti mari kita tengok; siapa yang setia dan siapa yang akan lari lintang pukang nanti.

18 May 2011

Toleransi politik yang sudah luntur

Kerana terlalu banyak politiking kita lupa kepada asas politik yang sebenarnya. Kesungguhan dalam politik sudah tiada bagi kita orang Melayu. kita melebihkan tumpuan kepada politiking; siapa yang menang dan siapa yang kalah, siapa yang berkuasa dan siapa yang tidak berkuasa. Politik yang asasi, iaitu politik yang membawa penyatuan secara jujur sudah tiada. Politik dan kuasa adalah empunya orang yang berkuasa.

Apabila kita menjadi ahli sesebuah parti matlamatnya ialah untuk menyatukan pemikiran dia antara ahli-ahli dan jika ada perbezaan kita ‘co-exist’ dalam parameter toleransi yang luas. Di awal zaman kemerdekaan negara dahulu pemimpin-pemimpin kita dari berbilang kaum telah meletakan asas kerjasama di antara parti yang di asaskan kepada kaum-kaum di negara ini. Orang Melayu dengan UMNOnya, orang Cina dengan MCAnya dan India dengan MICnya.

Orang Melayu, Cina dan India bekerjasama di antara satu dengan lain melalui kekuatan sokongan parti masing-masing dan telah berjaya membawa negara kearah kemajuan yang pesat dan imej Malaysia yang mundur telah menjadi sejarah. Perbezaan pendapat bukannya tidak wujud tetapi oleh kerana ketelusan di antara pemimpin-pemimpin puak dan kaum maka perbezaan itu mampu dikawal dalam semangat toleransi yang tinggi.

Dalam pada itu, seperti juga negara-negara demokrasi yang lain kita ada beberapa buah parti pembangkang yang dibenarkan wujud dan membenarkan parti-parti itu bergiat mengikut undang-undang yang sedia ada. Semua parti itu adalah parti yang halal di sisi undang-undang tubuh dan ditadbir oleh pendaftar pertubuhan. Hanya Parti komunis Malaya (PKM) sahaja yang telah diharamkan kerana parti itu memilih untuk mengangkat senjata bagi mendapatkan kuasa pemerintahan negara.

Tidak menjadi kesalahan jika sesiapa menyokong parti-parti ini, kerana parti ini adalah halal di sisi undang-undang negara. Di dalam sebuah negara demokrasi parti-parti pembangkang ini merupakan parti-parti alternatif yang mempunyai hak untuk memerintah jika diberikan mandat oleh rakyat yang memilih. Itu adalah asas demokrasi yang tulin.

Di Amerika Syarikat parti-parti Demokrat dan Replublican bergilir-gilir mendapat mandat dari rakyat untuk memerintah. Begitu juga di Britain; Parti Buruh dan Conservative bergilir-gilir memerintah negara itu mengikut kehendak rakyat. Sekarang ini pula Britain ditadbir oleh kerajaan capuran Coservative dan parti Liberal Demokkrat dan itu juga kehendak rakyat dan bukannya kehendak parti-parti itu.

Di negara demokrasi seperti di Britain parti yang memerintah menghormati kehendak dan selera rakyatnya. Tidak terdapat tekanan kepada rakyat di kawasan yang diwakili oleh parti pembangkang. Tidak ada pula mana-mana parti yang memerintah mengingatkan rakyat supaya berterima kasih kepada kerajaan yang telah membekalkan air bersih, membekalkan api letrik, memberikan subsidi gigi palsu dan membina jalanraya kecil ataupun lebuhraya.

Di dalam pilihanraya di Germany tidak ada kedengaran kerajaan yang memerintah meminta rakyatnya mengenang jasa parti pemerintah kerana memberikan pelajaran percuma kepada rakyat sehingga keperingkat universiti dengan buku teks percuma. Begitu juga di kesemua kesebelasan negara-negara Scandinavia.

Tidak pernah kedengaran pemimpin Parti Buruh semasa memerintah Britain mengingatkan rakyat dalam kempennya supaya mengingati jasa parti itu kerana telah membekalkan boat-boat nelayan dan sebagainya. Kalau kita memandu di Lebuhraya M25 di kotaraya London tidak ada pula papan tanda yang mengingati rakyat yang projek perumahan yang ada di tepian lebuhyara itu sebagai ‘satu lagi projek kerajaan campuran Conservative dan Lib Demokrat.’

Pemimpin-pemimpin negara-negara seperti ini menumpukan sepenuh masa untuk perancangan membangunkan negara. Tidak ada Ahli Parlimennya turun padang untuk melepaskan anak itek atau anak ayam atau mengadakan majlis penyerahan lembu pawah di depan kamera TV3 dan TV1 dan sebagainya kononya sebagai kaedah mendekati rakyat.

Di negara itu pemimpin-pemimpinnya secara fisikal tidak mendekati rakyat. Tetapi yang mendekati rakyat ialah dasar-dasar dan perlaksanaan dasar yang sempurna yang tidak ada ketirisan dalam membelanjakan wang dan harta rakyat. Pemimpin-pemimpin mereka tidak ada progran turun padang kerana yang turun padang ialah dasar serta perancangan pembangunan yang baik untuk mereka yang di gubal oleh pemimpin-pemimpin mereka yang berkerja keras sebagai ahli Legislatif. Dasar-dasar yang baik amat dirasai rakyat itu mendekati mereka. Parti Conservative atau Parti Buruh tidak mempunyai ahli yang berjuta-juta orang orang seperti parti kita di sini.

Yang rakyat hendak tengok ialah dasar-dasar yang baik yang dihormati orang ramai yang boleh meyakinkan mereka sebagai dasar yang mesra rakyat, bukannya pemimpin yang mesra rakyat. Tidak guna mempunyai pemimpin yang mesra rakyat tetapi dasar yang digubal tidak memberikan impak secara terus kepada orang ramai. Zaman berkempen dengan hanya menepuk belakang pengundi sudah lama menjadi sejarah. zaman bercakap dengan manis mulut sudah tidak laku lagi. Slogan yang sedap di dengar tidak membawa apa-apa lagi.

Pemimpin yang dipilih oleh rakyat ialah pemimpin yang dirasakan mempunyai kemampuan untuk berfikir dan melunaskan tanggungjawab untuk menggubal dasar yang baik bagi negara…. tidak kira dari parti kerajaan atau pembangkang kerana parti kerajaan membawa bersama pemimpin pembangkang untuk membina dasar yang baik untuk negara tadi.

Apabila ada pihak di sini memuji sistem di negara-negara maju ini pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong yang mengidap penyakit ‘inferiority complex’ akan menyelarnya dengan mengatakan yang kita mempunyai demokrasi adunan sendiri dan tidak perlu ikut demokrasi orang lain.

Kita wajar memulakan langkah untuk memperkayakan demokrasi di negara kita ini. Alangkah eloknya jika semua pihak diberikan peluang untuk menhubungi rakyat melalui saluran media perdana seperti saluran TV nasional supaya masing-masing parti boleh mendekati rakyat dengan mudah. Pembangkang yang dituduh bertalu-talu kononnya membuat fitnah tidak akan dapat berbohong seperti yang cuba dimomokan kerana mereka bercakap terus kepada rakyat melalui TV dan saluran media yang lain. Lagi pun stesyen TV itu dibangunkan dengan wang rakyat yang terdiri dari cukai-cukai yang dikutip dari semua rakyat termasuk ahli-ahli UMNO, DAP, PAS, PKR dan parti-parti yang lain.

Jika peluang ini terbuka kepada semua pihak maka barulah rakyat dapat menilai parti mana yang baik pada pandangan masing-masing pengundi dan memilihnya di dalam peti undi semasa pilihanraya yang di adakan. Salah benar tentang apa yang dikatakan oleh mana-mana pihak biar orang ramai yang menilainya. Ianya penting kerana negara ini adalah kepunyaan rakyat bukannya kepunyaan Perdana Menteri dan pemimpin kerajaan sahaja. Di negara kita jiwa pemimpin-pemimpin kita terlalu kecil dan fakir yang menyebabkan mereka tidak berani memberikan ruang untuk parti-parti lain untuk berhubung dengan rakyat melalui saluran perdana tadi.

Banyak negara yang dahulu menekan pihak yang membangkang sudah mula terbuka demokrasinya. Contohnya Indonesia telah melakukan transformasi yang besar di dalam sistem pilihanrayanya. Pemimpin-pemimpin pembangkang sekarang boleh menyampaikan pesanan kepada rakyat melalui media perdana elektronik dan cetak, malahan Indonesia sekarang ini merupakan sebuah demokrasi yang terbesar di Asia selain dari India.

Di Singapura baru-baru ini rakyat bebas bercakap melalui media perdana dan akhirnya rakyat membuat pilihan dengan mengekalkan kerajaan yang sedia ada dengan undi popular yang jauh lebih rendah dari dahulu. PAP merasakan yang popularitinya telah menurun maka sebelum rakyat terus menyiahkan sokongan kepada parti itu maka Lee Kuan Yew telah menolak tawaran untuk berada di dalam kabinet baru Singapura. Sebabnya isu beliau merupakan isu besar dalam pilihanraya itu walaupun beliau sendiri memenangi kerusi kawasannya tanpa bertanding.

Beranikah mana-mana pemimpin yang jelas tidak di senangi oleh rakyat menarik diri walaupun mereka tahu keadaan itu adalah ‘real’ dan nyata? Jawabnya; tidak berani, kerana kononnya kita mempunyai demokrasi acuan sendiri. Pemimpin kita rela partinya jatuh bersama dengan mereka. Untuk berhenti dan berkorban untuk menyelamatkan negara tidak sekali. Kalau parti kalah rakyat akan dipersalahkan.

Dulu ada pemimpin besar kita kata, “menang satu undi pun saya tetap menang. Kalau kalah sekali pun saya boleh meminta sokongan dari Parlimen”. Itulah dia demokrasi acuan kita sekarang ini.

16 May 2011

Politik - Sudah tidak tentu yang mana hujungnya dan yang mana pangkalnya.

Politik negara sudah sampai ke tahap yang tidak pernah kita alami seumur hidup kita. bermula dengan isu kecil-kecilan sekarang sudah sampai kepada tahap yang membingungkan kita semua. Pemimpin-pemimpin dan penyokongnya sama sahaja; bermain dengan permainan politik yang terlalu kotor dan menjijikan.

Saya tidak nampak lagi isu yang lebih merbahaya dari isu agama yang di mainkan oleh beberapa kerat manusia ‘desperate’ yang menggunakan isu agama mungkin sebagai isu yang mereka anggap sebagai isu yang paling selesa bagi mereka untuk mencapai matlamat peribadi mereka. Bagi setengah pihak, rasanya yang sedang berkuasa isu ini merupakan jalan yang terakhir yang memungkinkan untuk meneruskan sokongan orang Melayu terutamanya bagi mengekalkan kuasa.

Isu ini isu yang sengaja diada-adakan. Itu pandangan saya dan saya tetap dengan pandangan itu. Seseorang yang hendak diceraikan selalunya akan bercakap tangkap muat untuk melindungi kelamahannya. Politik BN begitulah. Apabila ada rasa-rasa akan ditolak maka isu demi isu akan diperbesarkan dan tentulah mangsanya ialah parti pembangkang.

Ahli-ahli DAP yang kebanyakannya adalah beragama Buddha dituduh mahu meletakan kristian sebagai agama rasmi. Di mana lojiknya kita pun tak tahu. Apabila isu ini diperhangatkan oleh Utusan maka berderu-deru opotunis bercakap dan berucap dengan nada yang keras kononnya akan berjuang habis-habisan. Ibrahim Ali pula akan berjihad untuk Islam. Bila Ibrahim Ali hendak berjihad dalam isu ini secara langsung Ibrahim di dalam hidupnya belum lagi berjihad.

Tetapi apa pun, keadaan politik negara begitu bercelaru dengan berbagai-bagai isu tepian yang begitu ghairah diperbesarkan oleh setengah pihak. Isu sebenar yang membuatkan merudumnya sokongan ramai terhadap kita tidak dipertikaikan dan diperbahaskan dengan betul. Isu agama ini betul-betul isu untuk melarikan dari isu sebenar yang kita hadapi iaitu ketirisan kewangan negara dan nilai budaya yang sudah berubah keterlaluan sehingga kita sudah hilang identiti sebagai parti nasionalis.

Bagi adik-adik yang muda sekarang ini mereka hanya mengenggeh sahaja. UMNO kata orang UMNO kata mereka. Tetapi apabila ditanya apa dia UMNO itu, mereka akan menjawab UMNO membawa bekalan api letrik, membina jalanraya, membekalkan air bersih, memberi lembu pawah, hendak menang pertandingan ketua pemuda dan naikkan sipolan dan sipolan, mesti benci Nik Aziz, mesti tuduh DAP komunis, mesti undi UMNO kerana UMNO sahaja yang boleh menyelamatkan orang Melayu dan berbagai-bagai retorik yang lain.

Ada anak-anak yang muda sekarang ini bercakap dan menulis menggunakan kata-kata kesat seperti BABI, bingai , anjing dan berbagai-bagai lagi istilah kotor dan memanggil nama buruk kepada orang yang mereka tidak suka. Tetapi apabila ada seorang yang mereka takuti menggunakan istilah pandikutti ianya menjadi isu besar sedangkan manusia ini dipanggil dengan berbagai-bagai nama yang kotor seolah-olah manusia yang lain itu bukan ciptaan Tuhan.

Perbalahan politik memang dari dahulu kala berlaku tetapi mereka yang berbalah mempunyai bahasa politik yang lebih berseni dan finesse nya yang tinggi. Kata mengata di antara yang berbalah semasa dahulu ada sempadannya. Sempadannya bukan di adakan dengan undang-undang tetapi persempadanan kata mengata itu digariskan dengan etika dan budaya bangsa yang begitu tinggi. Begaduh, tetapi ada sempadan moralnya. Ada yang patut disimpan dan ada yang patut dikeluarkan.

Seperti kita bersolat, ada tata caranya. Dalam solat wajib ada sunatnya dalam solat sunat itu ada wajibnya. Bersolat waktu yang wajib, membaca ayat lazim itu adalah sunat, di dalam sembahyang sunat itu membaca al-fatihah itu adalah wajib. Pendeknya ada wajibnya dan ada sunatnya.

Kita lupa nasihat agama kita; apabila terjumpa perkara yang buruk, jangan terus dibuang, kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya. Begitu juga kalau terjumpa perkara yang cantik molek jangan terus diterkam kerana mungkin ada celaka disebaliknya.

UMNO seolah-olah adalah ‘the almighty’. Segala-galanya datangnya dari UMNO bukannya dari Tuhan. Takburnya tidak terhingga. Kata mereka kalau tidak ada UMNO Melayu tidak boleh hidup. Tetapi apabila Melayu yang cuba untuk membuktikan yang UMNO bukan penentu segala-galanya mereka memaki hamun dan mencerca puak ini. Kalau benar UMNO adalah penentu kepada semua bagaimana masih ramai orang Melayu yang terkapai-kapai; hanya pemimpin-pemimpin sahaja yang kaya raya dan hidup ‘glamorous’ yang tidak terbatas oleh adat dan budaya bangsa kita.

UMNO membawa isu rasis, tetapi yang dituduhnya membawa isu rasis itu ialah DAP. Orang Cina tidak akan ada representasi dalam kerajaan jika MCA tewas dalam pilihanraya. Tetapi orang Melayu lupa yang paling banyak menyumbang kepada kantung kerajaan pada hari ini adalah orang Cina yang telah berjaya di dalam perniagaan mereka. Merekalah yang pembayar cukai yang paling banyak kepada kerajaan.

Bangsa Cina tidak menghormati mereka kerana kita tidak berfikir sebelum bercakap. Kaum Cina hanya meminta kerajaan yang telus dan mereka tidak gemar cukai yang banyak dibayar oleh mereka ke dalam perbendaharaan kerajaan itu terlalu banyak diselewengkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu. Tetapi apabila saya bercakap seperti ini saya akan dituduh menyokong kaum Cina dan tidak hormat kepada kaum sendiri.

Kita selalu lupa yang ‘respect has got to be earned’. Itulah sebabnya ramai di antara yang berfikir tidak lagi mahu bergiat kerana kami tidak mampu untuk mendapatkan penghormatan itu dan kami mengharapkan pemimpin kita untuk mendapatkannya. Orang seperti saya yang kerdil ini sedar yang kami tidak berkemampuan untuk mendapatkan penghormatan sebagai pemimpin maka kami berundur dari awal lagi.

Tetapi pemimpin Melayu yang diharapkan untuk mendapatkan penghormatan itu tidak juga berjaya menjadi pemimpin yang ‘magnanimous’ dan terus sahaja mengertak kesana dan mengugut di sini dan tidak berkemampuan untuk mendapatkan pernghormatan yang sangat penting itu secara natural. DAN mereka tidak pula mahu berfikir kenapa mereka gagal untuk mendapatkan penghormatan itu. Apabila menemui kegagalan maka pihak lain pula dipersalahkan. Pihak sendiri tidak juga bersalah.

Sesungguhnya rakyat tidak banyak masalah untuk menentukan sikap politik mereka. “Yang bermasalah ialah pemimpin-pemimpin yang sudah hilang hidayah” kata seorang kawan professor dari universiti tempatan.

15 May 2011

Pemimpin itu ibarat penoreh upahan, jadi menorehlah dengan jujur - Jangan curi-curi jual sekerap

Keadaan berubah dengan masa. Itulah sebabnya Islam mengingatkan yang kita mesti hidup mengikut masa dan zamannya. Apa-apa agama pun menyatakan yang perubahan itu adalah satu elemen yang tidak dapat di elakkan. Sedangkan secara fisiknya dunia ini pun berubah. Jika kita tengok peta dunia sebelum dan selepas ‘ice age’ misalnya, perubahan dalam bentuk dunia pun berubah dengan begitu besar.

Manusia sentiasa berubah dari muda sehingga tuanya usia. Semasa muda manusia mampu melakukan banyak kegiatan yang memerlukan tenaga, tetapi manusia itu berubah menjadi matang dan tua dan dituruti dengan tenaga dan kudrat yang berkurangan. Semua makhluk berubah dan tidak statik.

Pemikiran kita berubah dari masa ke semasa dan dari zaman ke zaman yang lain. Persepsi terhadap sesuatu perkara berubah dan perubahan ini akan memberikan reaksi kepada pihak lain kerana memang satu principle kepada sains yang menyatakan ‘in every action there will be reaction’.

Hidup ini ibarat pusingan roda, kadangkala diatas, kadangkala di bawah. Tidak ada siapa yang dapat mengelak dari pusingan ini. Begitu juga kuasa; kita berkuasa di satu masa dan akan hilang kuasa itu pada suatu hari nanti. Kuasa itu akan datang atau hilang bergantung kepada perlakuan sendiri. Tidak ada kuasa yang hilang disebabkan kesalahan pihak lain.

Dunia ini berubah dengan sendirinya jika kita lihat dari zahirnya. Tetapi pada hakikatnya ianya berubah dengan afa’al tuhan atau dalam erti lainnya adalah disebabkan kehendak dan gerakNya. Kadangkala kita lupa bahawa kuasa yang paling dan Maha besar adalah kuasa Tuhan, dan selalu kita merasakan kuasa kecil yang dipinjamkanNya itu adalah hak kita untuk selamanya. Ingat kata-kata ini, ‘The earth is much more intelligent and putting all human minds together’.

Saya menyebut isu ini kerana kita selalunya mendabik dada yang hanya kita sahaja yang mampu membawa pembangunan dan orang lain tidak berkeupayaan. Kitalah yang telah membangunkan negara, kitalah yang telah mencipta segala kejayaan, kitalah yang membawa penyatuan umat, kita adalah contoh kepada seluruh dunia dan semuanya kita. Kita telah mengambil segala keizinan Tuhan kepada kita seperti orang yang kufur nikmat. Semuanya adalah ‘kerana aku..aku…dan…aku…seolah-oleh tidak ada Tuhan yang bersifat mukhalafah dan manawi di sebalik segala-galanya.

Tidak ada unsur maknawi yang lain apabila mendapat kejayaan selain dari kita dan parti kita. Segala kuasa ghaib dinafikan; hanya kita..aku…kita dan aku. Tuhan telah pun menunjukan sedikit demi sedikit untuk kita mengakui bahawa kuasa yang ada kepada kita ada PEMILIK MUTLAKNYA. Kita hanyalah peminjam sementara semata-mata.

Sedikit demi sedikit kuasa pinjamanNya telah diambil balik oleh pemilikNya, tetapi kita masih merasakan yang kita adalah pewaris kepada segala kuasa dariNya. Kita sedang diintai-intai oleh kelemahan dan kegagalan kita sendiri.

Kita sudah tidak dapat membezakan dua bentuk kesalahan hina yang sama, sehinggakan kesalahan yang dilakukan oleh orang lain itu sahaja yang hina sedangkan kesalahan yang sama atau lebih hinanya yang kita lakukan tidak diperbetulkan. Kesalahan oleh pelaku seks haram itu sahaja yang salah tetapi salah guna kuasa dan rasuah itu tidak beberapa besar kesalahannya.

Kita lupa pelaku seks haram yang diintai dan dirakamkan itu merupakan dosa besar kepada Tuhan tetapi dosa rasuah itu adalah lebih besar kerana ianya melibatkan manusia lain. Lain-lain perkataan ianya adalah kesalahan sesama manusia dan isunya ialah isu ‘hablum minan naas’. Ianya melibatkan harta dan wang ringgit manusia yang kita diamanahkan untuk memimpin.

Setahu saya isu ‘hablum minan naas’ adalah lebih besar dari isu ‘hablum minallah’. Allah itu Maha pengampun dan pengasih dan dosa dengan Tuhan mudah terampun dari dosa kepada manusia lain apatah lagi dosa kepada rakyat yang puluhan juta ramainya.

Itulah sebabnya dosa kepada rakyat cepat mendapat balasan. Jika kita orang politik maka kita akan hilang sokongan dari mereka. Sebagai pihak yang memerintah parti kita sedang pemerhatian rakyat dan jika kita masih tidak berubah cara pendekatan kepada mereka kita tidak mustahil ditinggalkan oleh mereka kerana mereka tidak ada apa-apa ‘obligation’ terhadap kita.

Hanya kita sahaja yang merasakan yang mereka mesti membalas budi kepada kita sedangkan hakikatnya kitalah yang sepatutnya membalas budi rakyat yang telah memberikan mandat untuk mentadbir negara yang dianugerah kekayaan yang melimpah ruah.

Isu membalas budi tidak lagi menjadi bahan kempen yang sesuai kerana pemimpin dibayar gaji dan elaun yang besar untuk mentadbir mereka. Mereka yang mengupah pemimpin kita untuk mentadbir negara. Itulah sebabnya apabila mereka melihat pemimpin-pemimpin yang mereka upah itu tidak melaksanakan tanggungjawab dengan jujur mereka ada hak untuk mengganti manusia lain untuk diupah mentadbir negara. Sebenarnya pemimpin itulah hamba kepada rakyat, bukan sebaliknya.

Rakyat mentertawakan pemimpin yang meminta rakyat membalas budi mereka sedangkan merekalah yang sepatutnya bersyukur kerana diberikan mandat untuk mentadbir negara.

Kalau kita mengambil upah untuk menoreh getah di kebun seseorang tuan punya kebun ada hak untuk menukar penorehnya jika didapati penoreh yang diupahnya itu tidak jujur dengan menjual torehan itu tanpa pengetahuan tuannya. Jadi pemimpin-pemimpin UMNO ini merupakan mereka yang telah diupah oleh rakyat untuk menoreh getah mereka.

Jadi menorehlah dengan baik. Jangan dicuri getah torehan itu dan dijual tanpa pengetahuan tuannya iaitu rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini. Pilihanraya yang akan datang ini ialah proses memilih siapa yang akan menjadi penoreh. Jangan pula penoreh upahan pula yang mengatur dan menggertak tuan punya kebun.

Rakyat sekarang sedang mengira berapa banyak getah mereka yang dicuri oleh penoreh-penoreh si kebun getah mereka. Dengarnya berbillion telah tiris dan telah banyak kerugian yang dialami oleh tuan punya ladang getah itu, iaitu rakyat.

Tuan punya ladang sekarang sudah sedar yang penoreh upahan mereka lebih kaya dari mereka. Isteri penoreh pun glamor gila! Ladang-ladang rakyat yang punya. Mana boleh jadi....

“Tunggu!!!" Kata mereka. "Nanti kami pilih penoreh-penoreh yang lain!!"

14 May 2011

Di antara kesetiaan dan tanggungjawab

“Abang Aspan, bagaimana kalau UMNO mengambil tindakan terhadap abang Aspan dengan memecat abang sebagai ahli UMNO?”

Di atas ialah soalan yang sering ditanya kepada saya akhir-akhir ini. Saya tahu sebab pertanyaan itu di tujukan kepada saya kerana mereka menganggap saya sebagai anti-UMNO kerana mengkritik parti kadangkala agak keras. Oleh kerana soalan ini sudah begitu banyak ditanya maka elok saya menjawab sekali gus dan tidak payah diulang-ulang acapkali pertanyaan itu. Saya adalah ahli UMNO tulin sejak 1971 lagi…no business, no position, no cronies, no ambitions and no nothing.

Pertamanya saya ingin memberitahu dan mengaku yang saya bukan seorang yang berpengaruh untuk menjejaskan sokongan orang ramai kepada UMNO. Saya hanya duduk di rumah dan tidak bergiat seperti orang UMNO yang lain berdemonstrasi melalui GAPS Selangor dan sebagainya. Berdemonstrasi ini saya lakukan semasa zaman pelajar awal tujuh puluhan dahulu.

Tidak ada sebab UMNO nak pecat saya kerana saya seorang yang tidak ada ‘consequence’ seperti ramai yang lain. Malahan tidak ada di kalangan yang berkuasa membaca dan mengetahui wujudnya blog yang kecil seperti blog saya ini. Saya adalah hamba yang lebih kecil dari habuk di atas tunggul di sisi semua pihak, apatah lagi di sisi Tuhan. Saya bukan setengah orang, jadi pemimpin dan berkesempatan memperkayakan diri dengan kuasa dan cuba berselindung di sebalik Tuhan. Saya tidak ada kemampuan itu walaupun sekecilmana sekali pun.

Jika pun saya dipecat ia tidak akan membawa apa-apa kesan kepada saya kerana memecat dan dipecat dalam parti adalah perkara biasa. Dr Mahathir pun pernah kena pecat sehinggakan beliau berdiri di atas pentas PAS semasa pilihanraya kecil Kapar setelah ADUNnya Hamzah Alang meninggal dunia. Semasa itu jarang-jarang ADUN atau Ahli Parlimen meninggal dunia seperti sekarang ini.

Saya bukannya ada kedudukan yang boleh membuatkan saya kecewa dan bersedih jika dipecat. Sedangkan Nabi Adam sendiri telah dikeluarkan dari syurga, jadi apalah sangat kesannya jika saya terpecat dari UMNO. Malahan apabila Adam dipecat dari syurga Adam telah berbakti dengan mengisi dunia ini dengan manusia sehingga penduduk dunia sekarang telah dihuni oleh lebih dari 3 billion manusia.

Kita semua adalah cucu-cucu kepada Adam termasuklah Samy Velu, Chua Soi Lek, Dr Mahathir, Eskay, Rahim Thamby Chik, Rosmah Mansor, kluangman, Tengku Adnan, Sanusi Junid dan Sophia Loren serta kesemua manusia yang ada di muka bumi ini samada yang masih hidup atau pun yang telah mati.

Tetapi setelah Adam dipecat dan dihantar kedunia ini, Adam juga telah menurunkan keturunan-keturunan mulia seperti Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi, aulia-aulia, ambia-ambia dan wali-wali Allah yang menjaga dunia ciptaan Maha pencipta ini. Apabila dipecat, Adam menjadi pencetus untuk membuktikan kebesaran Tuhan semesta Alam. Kita semua tahu Alam yang terbentang ini adalah dalil wujudnya Tuhan yang Maha Esa itu. Jika Adam tidak wujud kita tidak wujud untuk mengakui Tuhan itu adalah definite dan infiinite.

Jadi saya bermohon kepada semua orang supaya tidak mengambil pot jika saya dipecat atau dibuang dari parti. Tidak ada masalah dan tidak ada hal bagi saya. Ia tidak akan menjadi isu kepada diri saya dan UMNO. Kalau nak pinjam kata-kata MB NS Mohammad Hasan, saya ini bukan boleh ‘mendalamkan air’ pun. Cakap MB itu benar. Bagi diri saya yang penting ialah niat saya dalam mengkritik parti saya. Tetapi saya tidak lah sampai hendak melakukan sumpah laknat seperti Eskay atau sesiapa yang berselindung di sebaliknya.

Sekian jawapan kepada pertanyaan beberapa orang yang bertanya itu. Wassalam.

Mesyuarat Majlis Tertinggi BN - sudah kah kenal pasti masalah sebenarnya?

Semalam Majlis Tertinggi BN telah mengadakan mesyuaratnya dan topik utama yang akan dibincangkan ialah isu pilihanraya umum yang akan datang. Perbincangan ini wajar dilakukan untuk mengatur strategi bagaimana hendak memulihkan kembali sokongan rakyat terhadap ‘coalition’ ini yang telah menurun ketahap yang membimbangkan pemimpin yang memerintah.

Setiap kali pilihanraya sampai BN bermesyuarat untuk membincangkan strategi yang paling ampuh dalam menghadapi rakyat dan perbincangan ini juga dilakukan oleh pimpinan BN yang sebelumnya. Tetapi walaupun perbincangan dilakukan tetapi di Semenanjung BN telah tertewas dengan teruknya di dalam banyak kerusi pada 2008 dahulu.

Kalau tidak kerana sokongan di Sabah dan Sarawak semasa itu BN sudah pasti BN telah duduk di kerusi pembangkang pada hari ini. Kalau tidak kerana Malaysia Timur Najib sekarang ini sedang duduk di kerusi pembangkang di Dewan Parlimen. Tidak dapat dibayangkan bagaimana Najib bertindak sebagai Ketua Pembangkang. Maklum sajalah pemimpin yang tidak pernah merasa susah dalam kehidupan, dari kecil sehingga dewasa.

Sedangkan sudah menjadi PM sekarang pun beliau lebih cenderung untuk bersikap seperti resmi air; di mana lekok di situ dia berhenti. Di depan orang Melayu beliau berkata lain, di depan bangsa lain dia berkata lain. Bila Najib bersifat seperti ini ingat pula saya kata-kata orang minang, ‘kok terkurung biar kek luar, kok terimpit biar kek ateh, kok bojalan boduo nak bojalan kek tongah’.

Itulah pasalnya apabila ada orang minang di dalam kabinet minang ini sentiasa selamat dan berada selalu di pihak yang meneraju pemerintah. Minang hebat mengampu. Siapa yang kena ampu dengan minang, orang itu sentiasa akan terasa geli-geli di pundi-pundinya. Jarang-jarang orang yang diampu oleh orang minang ini mampu menepis urutan dan gosokannya.

Apa yang penting untuk disebut di dalam mesyuarat BN ini ialah memahami masalah yang sebenar. Tidak akan telerai masalah jika kita tidak memahami masalah dengan ‘detail’. Mengumunkan program pembangunan sahaja tidak akan memberikan impak apa-apa terhadap pandangan rakyat terhadap kita. Yang terutama yang mesti difikirkan ialah apakah program pembangunan itu dapat dirasai oleh rakyat?

Tetapi yang paling penting untuk dihalusi ialah untuk bertanya kepada diri sendiri; apa sebenarnya yang menyebabkan orang Cina tidak menghormati pimpinan Melayu sekarang ini? Kenapa orang Melayu sendiri sudah mula mengarahkan pandangan dan minat mereka kepada parti-parti Melayu yang lain? Kenapa orang India walaupun kaumnya adalah kaum yang minoriti serta berpecah-pecah tetapi representasi mereka di Dewan-Dewan legislatif itu bertambah ramai melalui parti-parti di dalam BN dan PR.

Apabila kata-kata pucuk pimpinan tidak di ambil serius oleh semua rakyat masalah akan datang timpa menimpa. Kata orang tua-tua pemimpin mesti masin mulutnya baru boleh jadi pemimpin yang berkesan. Tetapi jika kata-kata pemimpin dijadikan bahan jenaka di merata-rata tempat itu adalah petanda buruk yang tidak memungkinkan kepimpinannya boleh bertahan untuk mendapatkan ke masinan mulut itu seseorang itu mestilah berjaya memaparkan jiwa dan niat yang telaus untuk mencapai matlamat ‘national unity’ satu-satunya perjuangan rakyat negara yang kosmopolitan ini.

Jika pemimpin-pemimpin yang melaungkan kesatuan dan penyatuan rakyat itu di sulami dengan elemen-eleman negatif seperti rasuah dan sifat memperkayakan diri serta menunjukan kehidupan glamour yang tidak terbatas oleh etika dan budaya bangsa maka niat untuk mendapatkan penghormatan dan dukongan ramai itu tidak mungkin tercapai.

Sokongan politik bukan sahaja terbatas dari program ekonomi yang tinggi-tinggi tetapi yang lebih penting ialah persepsi rakyat tentang kualiti kepimpinan dan ‘spiritualism’ yang ada bersamanya. Sifat ‘paranoid’ pimpinan kita terhadap kemajuan DAP misalnya telah membuahkan persepsi yang pemimpin kita mempunyai perasaan rendah diri yang terlalu nyata. Seorang pemimpin yang berjiwa besar akan mengambil segala tindakan dan ‘accountability’ terhadap tindakannya dengan ‘pride’ yang tinggi serta ‘magnanimous’.

Di dalam mesyuarat BN elok dikaji kelemahan kita yang selalu meratap dan mengelabah apabila nampak DAP mendapat tempat di hati dan jiwa rakyat serta kecenderungan orang Melayu untuk menghampiri PAS kerana merasa tidak selesa dengan parti mereka sendiri. Sekarang BN perlu sedar yang wang ringgit yang ditaburkan semasa pilihanraya tidak mujarab lagi kerana rakyat tidak lagi mahu merasakn mereka dibeli dan diupah untk mengundi.

Agen yang paling effektif di desa-desa dan di kampong ialah anak-anak muda yang telah dapat ditawan hati mereka oleh parti pembangkang. Ketua-ketua kampong atau ketua cawangan UMNO tidak lagi mempunyai pengaruh untuk berkempen bagi pihak BN kerana ibu-bapa mereka lebih percaya kepada pandangan anak-anak mereka yang tinggal di bandar-bandar dari ketua cawangan mereka.

DAP dan PAS merupakan parti yang telah melalui keperitan dalam sejarah kewujudannya. Parti-parti ini telah menghadapi dugaan yang amat besar bukan untuk mendapatkan sokongan tetapi segala rintangan yang diberikan oleh BN yang memerintah. Ini adalah unsur yang natural. Itulah sebabnya kita diberitahu oleh agama, adat serta etika yang pihak yang telah melalui rintangan dengan penuh kesabaran itu akhirnya akan berjaya. Kalau sesiapa hendak menafikan hal ini, nafikanlah sekendak hati.

Apabila sampai masanya yang memberikan halangan itu akan hilang staminanya dan yang dihalang itu akan mendapat merobohkan halangn dengan hanya satu senjatanya, iaitu kesabaran. Sesiapa sahaja yang mempunyai kesabaran mereka akan berjaya. Apabila pecah ruyungnya sagunya akan dapat dirasakan setelah bersabar sebegitu lama.

Kesabaran PAS dan DAP bukannya kecil. Ramai di antara pemimpin mereka telah disumbat kedalam penjara dan di Tahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akta ISA, OSA dan Akta Polis merupakan senjata ampuh bagi BN melewatkan kejayaan PAS dan DAP untuk merasakan kejayaan. Kita terpaksa akur kepada kehendak ‘nature’ kita tidak akan kekal dengan kuasa jika kita mendapatkan kuasa itu secara tidak ‘legitimate’ dengan sepenuhnya.

Lembu pawah, kambing pawah dan sebagainya sudah tidak boleh menambat hati rakyat di desa-desa lagi. UMNO masih tidak berubah dalam cara berkempen. Kita masih lagi bercakap tentang api, air dan jalanraya yang kononnya hanya UMNO sahaja yang memberikannya. Rakyat tahu oleh kerana UMNO yang memerintah tentulah UMNO yang membina jalanraya dan mengadakan kemudaha air dan letrik.

Kalau lah PAS memerintah dahulu pun PAS juga akan membina kemudahan-kemudahan tersebut. Yang pentingnya kuasa kerajaan pusat dan itu pun sebabnya PAS berusaha untuk mentadbir kerajaan pusat. Di negeri Cina, Thailand, India, England, Norway, Amerika Syarikat jalan raya pun cantik-cantik serta canggih tetapi di sana tidak ada pun UMNO. Sekarang ini UMNO masih mengungkit-ngunkit isu jalanraya, lembu pawah, kambing pawah, bantuan kebajikan masyarakat dan sebagainya sebagai modal kempen pilihanraya.

Rakyat tidak lagi termakan dengan kempen seperti ini yang telah kita dengar sejak pilihanraya yang pertama sehinggalah ke hari ini. Yang sedihnya orang yang telah menjelajah dunia luar pun masih terperangkap dengan kempen secara yang kuno ini.

Banyak perkara yang patut di sebutkan oleh pimpinan BN dalam mesyuaratnya semalam. Apa yang di tulis ini hanya cebisan kecil dari banyak perkara-perkara besar yang wajar di ambil perhatian.

11 May 2011

"Anak-anak aku PAS, bini aku senyap-senyap sokong PAS", kata sahabat saya.

Kepada seseorang isu umur merupakan isu sensitif terutamanya kaum wanita. Masih ramai kaum wanita yang menyorokan umur sebenarnya. Kalau umurnya sudah 59 tahun seperti saya ini dia akan mengatakan yang umurnya ialah lima puluhan dan tidak mengatakan yang umurnya akan menjadi 60 setahun lagi. Dengan adanya kosmetik yang moden memang kadangkala kita tidak menyangka umur seseorang itu sudah hampir enam puluh tahun.

Saya lahir pada tahun 1952 iaitu 6 tahun selepas UMNO ditubuhkan. Lahir sahaja saya UMNO sudah berumur 6 tahun. Tetapi umur UMNO itu tidak panjang dan sudah ditakdirkan mati ketika usianya 42 tahun. Matinya UMNO itu kerana dibunuh.

Tetapi ada satu parti baru dilahirkan dan diberikan nama UMNO pada tahun 1988 dahulu. Sekarang UMNO yang muda sudah berusia 23 tahun. Tetapi oleh kerana UMNO yang baru lahir ini menggunaka kad pengenalan UMNO yang mati dulu maka UMNO ini terpaksalah merayakan ulang tahun yang ke-65 walau pun usianya masih muda, malahan lebih muda dari umur anak bongsu saya.

Agaknya itulah sebabnya UMNO yang muda lela ini berjalan pun sudah ‘goyeh’ bak kata orang kampong saya. Ibaratnya gigi pun sudah tanggal, mata sudah rabun, rambut sudah putih macam rambut saya, kepala sudah botak, dan kulit pun sudah kecut. Orang tua selalunya banyak penyakit dan terpaksa dilayan seperti orang sakit.

Kata sahabat saya dari Terengganu, “dah tua-tua ini memandang hanya nampak yang jauh, kalau kencing pun dah dekat. Kawan pun dah tidak ramai lagi kerana yang muda-muda sudah tidak mahu berkawan dengan kita. Kalau berjumpa sesama tua ini soalan yang pertamanya ialah bertanya samada kita ada darah tinggi atau kencing manis. Masing masing menjawab gula dalam kencingnya ialah level 10, 11 atau lebih. Telinga pun tak beberapa dengar lagi” katanya selamba.

Kawan saya ini datang dari Terengganu untuk merayakan ulang tahun UMNO yang ke-enam puluh lima. “Bukan kah UMNO ini baru 23 tahun?” tanya saya kepada Othman ini. Dia hanya ketawa dan menjawab, “Dah nak dilihat tua, macam mana nak buat brother? Itulah sebabnya UMNO sekarang mengidap penyakit tua” katanya sambil mengilai.

“Orang tua ni kalau kita kata dia salah dia marah. Kalau anak-anak mereka tidak menziarah mereka, mereka akan rasa kecil hati. Cakap mereka tidak boleh dibantah. Kalau dibantah dikatanya anak derhaka. Sekarang ini ramai anak-anak muda tidak mahu lagi orang tua mereka bekerja kerana mereka mahu melihat orang tua mereka duduk sahaja dirumah dan beribadat.” Katanya lagi.

Dalam hati saya apakah sebenarnya pendirian Othman ini. Saya bertanya lagi, “habis tu UMNO ni macam mana? Dia kata dah 65 tahun? Dia lantas manjawab, “Umur dia pun tipu apa lagi yang lain-lain? Tapi aku masih pergi keperayaan ini kerana nak jaga hati orang yang tua ini. Tak jengok, nanti dia marah. Pergi ajelah. Bukan rugi pun. Macam-macam nasihat diberikan bukan dia dengar pun, Maklumlah orang tua, telinga pun dah pekak! Katanya menyindir.

“UMNO Terengganu macam mana Man?” saya bertanya lagi. Dia manjawab, “entahlah! Rasa-rasanya kalah pulak kali ni! Tapi biar dia lah, nasehat kita bukan dia nak dengar pun. Kalau kalah pun kalahlah. Sedangkan umur dunia pun akan berakhir apa lagi umur parti? Bukan tidak ada parti-parti politik yang dah mati dalam dunia ini.” katanya selamba.

“Apa lagi program di KL ni selain dari merayakan ulang tahun UMNO?” Othman menjawab, “Entahlah, tapi anak saya ajak saya pergi ke Taman Melewar untuk menghadiri program PAS. Dua-dua anak saya di KL ni memang sudah bertukar kepercayaan politiknya. Saya pergi ajelah. Takkan aku nok duduk rumah sorang sorang!” sambil senyum.

“Man, berapa PAS dan berapa UMNO dalam rumah kau Man?” tanya saya. “Anak aku 3 orang. Semuanya menyokong PAS menantu 3 orang menyokong PAS juga. Bini aku senyap-senyap menyokong PAS sebab dia ingat aku marah kalau sokong PAS. Bini aku tak tau yang aku pun belum tentu lagi.” Sambil senyum-senyum.

Perbualan macam saya dengan Othman ini memang biasa didengar. Sejauh mana merebaknya pengaruh PAS ini saya tidak tahu, tetapi ‘intuition’ saya tetap merasakan UMNO dalam bahaya.

Tetapi saya tidak mahu bising-bising nanti ada orang marah kerana mereka hanya mahu mendengar cerita yang sedap-sedap.

Rasanya BN/PR 50/50

Polimik politik Malaysia sudah sampai ketahap yang sangat merbahaya. Lepas satu polimik satu polimik lagi yang dimbul. Isu kristian nak dijadikan agama rasmi yang dihangatkan oleh Utusan sekarang cerita orang kristian boleh menjadi PM dan tidak ada dalam perlembagaan yang mewajibkan orang Islam sebagai PM.

Orang yang jembel seperti saya ini tidak mampu untuk menguruti apa-apa yang terkandung di dalam perlembagaan negara, tetapi saya hanya mahu mengolah apa ‘sequence of events’ jika terlalu leka menghangatkan keadaan dengan isu-isu yang tidak sepatutnya disentuh. Masing-masing terlalu ‘obsessed’ dengan politik dan mengilang isu-isu hangat semata-mata untuk mendapatkan sokongan ramai.

Segala isu yang tidak pernah wujud dan tak mungkin wujud pun di keluarkan oleh pihak-pihak yang ingin mendapatkan perhatian ramai. Pemimpin politik sekarang seolah-olah ingin menjadi seperti artis yang inginkan perhatian ramai bukannya untuk membina kepentingan ramai, tetapi untuk membina aura tempelan untuk diri mereka. Glamor yang diperlukan oleh artis-artis itu ialah kerana dengan populariti mereka membolehkan album-album mereka dijual untuk mendapatkan keuntungan kewangan dari usaha gigih merakamkan album nyanyian mereka.

Ramai di antara yang heboh dengan isu-isu berkarat mereka sebenarnya tidak mempunyai ‘material’ menjadi pemimpin. Itulah sebabnya mereka terpaksa mengeluarkan isu selepas satu isu untuk didengari oleh orang ramai. Kalau mereka tidak didengari kebanyakan mereka itu hanya layak untuk duduk di kedai mamak bersama saya sahaja. Masalahnya mereka yang bercakap tentang isu-isu hangat itu sebenarnya tidak pun tahu dan punya ilmu untuk membincangkan isu-isu tersebut.

Keadaan inilah yang mengecohkan keadaan politik negara kita. Keadaan ini lebih teruk apabila pemimpin-pemimpin besar negara tidak dihormati oleh rakyat ramai kerana sikap mereka yang bermuka-muka dan tidak berkemampuan untuk membuat keputusan yang tegas. Sebagai pemimpin utama negara yang berbilang kaum ini bercakap dengan nada dan kandungan yang lain mengikut kaum mana yang berada di hadapan kita merupakan kesalahan moral politik yang sangat besar. Ia tidak akan membawa faedah kepada sesiapa termasuk kepada pemimpin itu sendiri.

Itulah sebabnya Nik Aziz mendapat sokongan moral politik yang tinggi termasuk di kalangan orang UMNO sendiri kerana beliau bertegas dengan usaha untuk menjadikan negara ini sebagai negara Islam jika mendapat kuasa kerajaan persekutuan. Pandangan Nik Aziz tentulah berbeza dengan Karpal Singh pengerusi parti komponen PR, tetapi dalam perbezaan ini kedua-dua parti boleh bekerjasama bila menghadapi rakyat. Nik Aziz terus berterus terang untuk menjadikan Islam sebagai asas pentadbirannya tetapi bangsa asing tetap menyokong beliau kerana beliau mempunyai kekuatan mental untuk berterus terang.

Berbeza di dalam BN MCA menyuarakan isu yang bersifat chauvinis terhadap UMNO sendiri tetapi apabila orang Melayu tidak menyukainya maka mereka mengalihkan pandangan dan persepsi buruk itu kepada DAP. Pemimpin UMNO akan bercakap seperti Ultra Melayu di depan bangsa Melayu tetapi lain pula nada percakapan apabila bercakap di depan bangsa Cina.

Dalam pada itu ada pula akhbar kepunyaan UMNO yang tidak putus-putus menakutkan orang Melayu dan mengecap bangsa asing dengan berbagai-bagai panggilan. Secara tidak sedar isu yang dibangkitkannya itu menyakitkan bangsa lain yang berada di dalam komponen itu sendiri. Oleh yang demikian sebenarnya musuh bagi BN khususnya UMNO ialah ahli-ahli mereka sendiri bukannya ahli-ahli parti pembangkang.

Apabila UMNO sudah rasa terpencil bersuaralah pemimpin besar mereka mengajak PAS untuk bersama BN dengan secara ‘expident’nya menggunakan isu bersatu sesama Islam dan Melayu. Hasilnya memberontak pula MCA dan Gerakkan parti-parti komponen mereka sendiri. Jadi UMNO sebagai tulang belakang kepada BN seharusnya tidak bercakap tentang parti pembangkang. Jika BN masih inginkan sokongan elok diperbaiki apa yang rosak dalam BN sendiri…tampal mana yang koyak dan sambung mana yang putus dahulu sebelum melangkah ke hadapan.

Apabila sudah kuat baru muncul ke hadapan dan berentap dengan parti-parti pembangkang yang kian mendapat sambutan dari rakyat. Bagi parti-parti pembangkang mereka juga wajar mengenal pasti kenapa mereka mendapat sambutan. Mereka wajar mendapat sambutan secara legitimate. Maksud saya di sini ialah mereka bukannya mendapat sambutan oleh kerana perpecahan sokongan rakyat kepada BN. Jika mereka mendapat sambutan kerana perpecahan sokongan rakyat kepada BN sokongan itu tidak akan kekal.

Mereka wajar mendapatkan sokongan itu oleh kerana keyakinan rakyat yang mereka merupakan alternatif yang berwibawa yang mampu menunjukan perbezaan dengan BN dalam erti kata yang sebenarnya.

Satu perkara yang wajar dipertimbangkan oleh Pakatan Rakyat di dalam menghadapi rakyat, mereka mesti menunjukan kejujuran yang politik negara ini mesti berlandaskan kepada politik bangsa Melayu yang mempunyai magnanimity yang tinggi di samping menjaga bangsa-bangsa lain dari tertindas samada dari segi psikologinya atau pun dari sudut peluang penyertaan semua kaum dalam semua bidang secara ‘equitable’.

Dalam pada itu adalah wajar untuk semua pihak untuk menurunkan suhu politik negara ini dengan menjauhkan dari terlibat dengan isu-isu hangat seperti isu ke agamaan dan perkara yang berkaitan dengan keluhuran perlembagaan Persekutuan dan Negeri-Negeri dalam negara kita.

Bagi UMNO masih belum terlambat untuk membudayakan politik yang lebih beretika kerana banyak mana di antara pemimpin serta manusia yang berbahas di alam cyber, rakyat terbanyak akan mendasarkan pemilihan mereka semasa berada di dalam bilek peti undi pilihanraya nanti.

Selagi pengundi belum memangkah di dalam kertas undi, jika terasa benda yang sejuk di dalam hati rakyat yang acapkali mengundi BN sebelum ini akan memberikan peluang lagi sekali kepada BN.

Pakatan Rakyat pun begitu. PR pun akan mendapat sokongan dengan agak mudah kerana momokan yang buruk terhadap parti-parti itu sejak berdekad yang lalu sudah tidak berkesan lagi, apatah lagi setelah P Pinang dan negeri-negeri lain yang di tadbir oleh PR tidak kurang baiknya malahan telah menunjukan kemajuan dan perbezaan dengan kerajaan yang dahulu.

BN dan PR wajar melandaskan perkiraan mereka kepada andaian 50/50 peluang mentadbir negara.

The support can go either way. Good luck to Malaysian democracy.

09 May 2011

UMNO mesti diperbetulkan dulu sebelum pilihanraya - Dr Mahathir jemu dengan sikap pemimpin-pemimpin UMNO

Saya bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir yang isu agama dan tuntutan-tuntutan yang datang dari semua pihak itu adalah kerana kerajaan Persekutuan yang lemah. Kalau kerajaan Persekutuan kita kuat, tidak akan timbul isu-isu yang tidak munasabah seperti yang kita dengar sekarang. Kerajaan yang lemah merupakan ‘breeding ground’ yang sangat subur untuk elemen-elemen buruk wujud dan amat mudah bagi mereka yang opportunis untuk mengambil kesempatan memainkan isu-isu yang merbahaya.

Dr Mahathir berkata dia sudah jemu dengan pemimpin UMNO yang hanya mementingkan kekayaan, APs serta memperjuangkan untuk anak-anak dan menantu semata-mata. Selain dari itu pemimpin-pemimpin sekarang hanya mementingkan gelaran dan pangkat. Sebab-sebab ini lah yang mendorong ahli-ahli UMNO sendiri mengundi parti pembangkang di dalam pilihanraya yang lalu. Dalam pilihanraya yang lalu lebih dari 1.5 juta ahli UMNO mengundi parti pembangkang.

Masalahnya ahli-ahli UMNO tidak ada lagi kesetiaan kepada parti mereka semata-mata kerana tidak dapat kehendak hati. Dr Mahathir telah bercakap benar yang ahli-ahi UMNO tidak mempunyai sifat juang yang tinggi dan memilih untuk memberi laluan kepada pembangkang. Saya yakin apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir itu benar kerana pengalaman beliau sendiri.

Dr Mahathir sendiri kalau kita ingat telah meninggalkan partinya semata-mata kerana marahkan Abdullah Badawi dan menyeru pengundi untuk memilih calun dan bukannya memilih parti. Beliau telah keluar parti pada penghujung tahun 2007 sebelum pilihanraya umum 2008. Beliau mempunyai saham besar di dalam menjatuhkan BN di beberapa buah negeri dalam pilihanraya itu.

Tidak ada siapa yang mengkritik beliau dengan kelakuan yang tidak membawa faedah kepada parti itu kerana beliau adalah Dr Mahathir. Kalau Dr Mahathir buat salah ianya tetap benar. Kalau manusia jembel seperti tuan-tuan dan saya mengkritik parti sendiri dengan niat untuk kebaikan parti itu adalah kerja salah dan wajar dimaki dan dihamun.

Pendeknya saya percaya kepada pandangan Dr Mahathir yang boleh menjahanamkan UMNO itu adalah pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya sendiri. Dalam perbilangan orang-orang tua dahulu ada disebutkan apa yang dikatakan ‘mati bawa najat’. Jika benci dengan seseorang dalam parti itu, biarlah parti itu terkubur pun tak mengapa. Dalam berbilangan yang moden sedikit ianya disebut sebagai’ kerana nyamuk seekor dua kelambu dibakar’. Dr Mahathir telah membakar kelambu yang besar kerana marah kepada nyamuk: bukan nyamuk aedes atau nyamuk tiruk, tetapi nyamuk yang dinamakan Abdullah Badawi dan menantunya Khairy.

Kadang-kadang saya yakin dengan kata-kata Dr Mahathir yang ‘Melayu mudah lupa’. Ini disebabkan pengalaman beliau sendiri yang selalu lupa dengan apa yang beliau katakan dan yang diperlakukannya sendiri. Beliau selalu mengambil keputusan kerana masalah peribadi dengan seseorang. He did immoral politics for moral reasons.

Tetapi tidak mengapa, sekarang beliau serius nampaknya untuk melihat UMNO kembali berjaya. Tidak seperti dalam pilihanraya yang lalu. Pilihanraya lalu keadaannya berlainan kerana Abdullah Badawi yang dibencinya masih ada. Tetapi dalam pilihanraya sekarang Abdullah sudah tiada dan Dr Mahathir minta kita pilih parti. Dalam pilihanraya yang berikutnya nanti, kita belum lagi tahu samada beliau meminta kita mengundi calun atau parti.

Hendak marah-marah dengan beliau pun tak boleh kerana beliau adalah Dr Mahathir. Mengkritik dasar beliau itu adalah satu dosa besar. Cukup-cukuplah kita membuat dosa kerana mengkritik Dr Mahathir ini. Kalau kita kritik juga alamat kita akan dimaki dan di hamun oleh ‘foot soldiers’ fanatik beliau yang masih ada saki bakinya. Penyokong-penyokong beliau garang-garang. ‘Tak selamat hidup jika kita menegur pemimpin mereka ini’

08 May 2011

Sudahlah berbalah di antara kaum - sekarang nak berbalah di antara agama pula.

Berbagai usaha dilakukan oleh setengah pihak untuk menyatukan orang Melayu, malahan telah ada usaha untuk menyatukan Melayu dengan berpremiskan kepada agama Islam yang menjadi anutan 99 peratus dari orang Melayu. Tidak ada sesiapa yang menentang usaha menyatukan bangsa Melayu yang kini berpecah dan berpuak. Mana-mana orang Melayu yang menentang perpaduan Melayu itu adalah mereka yang tidak berguna kepada bangsanya.

Perpaduan itu hendaknya wajar bermotifkan untuk bersatu bagi mengkayakan budaya kita, adat resam kita serta bidang-bidang penting yang lain seperti di dalam bidang ekonomi dan tidak terkecuali juga bidang politik. Jika kita gunakan isu perpaduan itu untuk menjadi medium untuk menambah rasa hormat pihak lain, itu adalah usaha yang murni.

Tetapi jika kita mengusahakan jalan perpaduan itu dengan menyakiti pihak lain ianya akan menjadi isu yang akan membunuh tujuan asal kita untuk berpadu itu. Pihak yang sedang menghangatkan isu kristian hendak menjadikan agama itu sebagai agama rasmi yang sedang diperkatakan dengan hebat oleh masyarakat sekarang ini mengundang masalah, bukan kepada pihak lain tetapi kepada pihak kita sendiri.

Entah siapa punya ‘splendid idea’ yang menzahirkan isu ini tidak siapa yang tahu, tetapi ianya di paparkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia. Semua orang tahu tujuan untuk menyiarkan ialah untuk menakutkan orang Melayu Islam dengan membuat tuduhan yang agama kristian akan menjadi agama rasmi negara jika orang Melayu tidak berpadu dan tentulah dikaitkan parti-parti politik lain untuk di jadikan kambing hitamnya, dan parti itu tentulah DAP.

DAP dijadikan sebagai kambing hitam adalah kerana parti itu sedang mendapat sambutan di kalangan bangsa Cina dan juga sebahagian kecil orang Melayu yang sudah celik dan mampu untuk berfikir. Untuk mengelakan orang Melayu terpikat dengan parti ini melalui gabungan PR maka isu kristian akan jadi agama rasmi negara ini di rasakan sebagai isu yang paling baik untuk digembar gemburkan.

Bagi saya ini adalah pemalsuan fakta dan tidak payah diulas dengan panjang lebar. Isu ini adalah ‘desperate political move’ dan ini merbahayakan negara. Orang Islam ada hak untuk mempertahankan agama Islam itu sebagai agama rasmi negara, tetapi untuk menuduh orang kristian berhasrat untuk menjadikan agama mereka sebagai agama rasmi negara adalah satu ‘tahyulan’ yang sangat gila dan tidak masuk akal.

Akhirnya perpaduan di antara kaum dan agama akan gagal untuk dicipta, perpaduan di antara sesama orang Melayu dan Islam pun akan gagal kerana mereka tahu yang cerita ini adalah cerita ciptaan pihak yang ingin memecah belahkan rakyat kerana sudah beransur kehilangan sokongan.

Bagi saya unsur yang membawa cerita dongeng merbahaya ini mesti kita abaikan kerana kita sedang mempunyai masalah yang sedia ada. Jangan pula ada pihak yang lain yang membelahkan kita lagi.

Tidak ada siapa yang cuba untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara. Isu ini hanya di ada-adakan untuk mengawal perasaan takut yang sedang di alami oleh satu pihak. Mereka takut tersungkur di depan mata rakyat.

Orang Islam dan kristian sekarang ini bukannya gulungan yang bodoh lagi. Mereka tahu maksud dan tujuan pihak yang menghangatkan isu ini.

It’s all politically motivated. That’s it.

Boleh kah BN menang besar dengan menggunakan isu moral?

Nampak cara pemimpin besar kita bercakap dan bergerak pilihanraya semacam dah nak dekat sangat. Kalau dikaji pula cara bergerak pemimpin pembangkang juga menambah keyakinan kita yang waktu untuk memilih siapa yang akan memerintah dan mentadbir negara sudah semakin hampir.

Yang paling menarik sekali ialah isu-isu yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak yang sedang berlumba-lumba mendapatkan keyakinan rakyat semakin panas dan menarik perhatian ramai termasuklah diri saya. Saya dapat agak banyak pandangan dari kawan-kawan yang serius memberi pandangan yang serius baik buruknya sesuatu isu bagi kedua-dua belah pihak itu.

Nampaknya BN/UMNO memberikan keutamaan kepada isu moral untuk menjauhkan pengundi dari parti-parti pembangkang. Isu video seks dan sodomi memainkan peranan utama di pihak BN untuk menagih sokongan yang kian menurun untuk kembali kepada pihak pemerintah kerajaan Persekutuan itu. Ramai pemimpin setiap peringkat BN khususnya UMNO merasakan kali ini isu terhadap Anwar bak kata orang minang merupakan isu yang ‘mangkuih’ bagi BN.

Beberapa pemimpin UMNO yang selalu bersama saya begitu berkeyakinan yang isu video yang dikaitkan dengan Anwar itu akan membawa kembali BN dengan kemenangan di setiap kerusi yang BN telah kalah dahulu. Begitu ‘confident’ sekali mereka ini. Isu moral terhadap Anwar merupakan isu yang memberikan semangat kepada mereka untuk mendapatkan kembali sokongan ramai terhadap BN. Saya hanya mendiamkan diri sahaja kerana keadaan yang sebenarnya berlaku di bawah ini bukannya seperti yang mereka sangka.

Tetapi oleh kerana mereka menganggap mereka pandai dan bijak saya hanyalah menganggokkan kepala sahaja….dan itu pun yang pemimpin-pemimpin UMNO suka…just say ‘yes’. Pemimpin-pemimpin UMNO selalunya berasa rimas kalau kita membuat perbahasan terhadap isu yang mereka bahaskan. Berkata benar adalah satu kesalahan besar kepada pemimpin-pemimpin dan penyokong UMNO dan BN.

Saya cuba juga untuk memberikan pandangan yang berbeza dengan mengatakan kalau BN menggunakan isu moral untuk ‘admonish’ pembangkang ianya akan merugikan BN akhirnya. Tetapi mereka tetap merasakan mereka telah melakukan perkara yang terbaik buat UMNO dengan menggunakan isu moral untuk menjatuhkan parti-parti pembangkang. Kalau sudah begitu..gasak dialah. Saya hanya berkata dalam hati saya, “May God bless you!”.

Saya hanya berdiam diri selepas itu sambil membaham karipap-karipap tebal yang mereka pesan yang masih ada di hadapan saya itu sampai habis. Habis sahaja karipap-karipap itu saya terus sahaja meminta diri kerana waktu untuk menghantar cucu saya mengaji Quran sudah sampai. Menghantar cucu pergi mengaji lebih berfaedah dari mendengar cerita dongeng yang hanya memberi ‘amusement’ kepada diri mereka sendiri.

Saya merasakan kita hanya membilang ‘buah kerayong’ sahaja setakat ini. Di situ kita menang, di sana kita menang, di sini kita menang besar dan keseluruhannya kita dapat kemenangan 2/3 di DUN Selangor.

Rata-rata di kalangan orang UMNO mereka percaya yang isu moral yang dilabelkan terhadap pemimpin pembangkang itu sangat mujarab untuk mendapatkan sokongan ramai. Kita tidak mengambil isu yang baik dan mengambil isu moral untuk menjatuhkan PR. Sesungguhnya ini adalah isu yang ‘counter productive’ bagi UMNO dan BN kerana ia hanya membuatkan rakyat berasa mual dan jelek.

Menggunakan isu moral yang tidak ada batas itu memakan diri UMNO sendiri. Rakyat bertanya bagaimana pihak yang ditolak rakyat kerana isu moral yang nyata boleh menggunakan isu moral untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat? UMNO/BN tidak ada isu moral kah?

Bukankah isu rasuah itu merupakan isu moral yang paling rendah sekali sehinggakan rakyat mempunyai persepsi yang UMNO itu adalah rasuah dan rasuah itu adalah UMNO. Apa yang membezakan di antara isu seks dengan isu rasuah? Bukankah rasuah itu merupakan kerja hina yang disamakan sebagai mereka yang memakan daging saudaranya sendiri?

Kenapa BN berani-beraninya menggunakan isu moral sebagai senjata yang mereka percaya sebagai senjata yang paling ampuh bagi BN? Rakyat lebih berminat untuk melihat harta yang mereka amanahkan kepada pemimpin itu dijaga dengan baik seperti yang diamanahkan? Rasuah merupakan dosa besar terhadap rakyat. Jika Anwar melakukan sodomi terhadap 50 orang, kerajaan BN pula seolah-olah membuntutkan 28 juta rakyat Malaysia melalui rasuah.

Isu moral hanya akan menjadi isu yang sesuai untuk dimainkan oleh UMNO jika UMNO sendiri tidak bergelumang dengan isu moral. Masalahnya kita merasakan isu moral ini hanya layak untuk di isukan terhadap pembangkang sahaja. BN di sebaliknya seperti mempunyai kekebalan dalam hal rasuah, jenayah, merogol , membunuh dan sebagainya.

Rasuah berlaku dari atas sehingga ke bawah, dari penggubal dasar sehingga ke pelaksana. Bagaimana pimpinan kita hendak memberi alasan kepada rakyat terhadap isu pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan di peringkat bawah seperti di pejabat-pejabat kerajaan di daerah-daerah yang mempunyai lessen kelas F untuk berlumba dengan kontraktor sepenuh masa misalnya.

Moral yang rendah ini sudah menusuk dengan begitu dalam di dalam sistem perlaksanaan dasar yang telah ditetapkan. Bagaimana Najib hendak menjelaskan kenapa Menteri-Menteri Besarnya yang begitu kaya raya walaupun baru sahaja menjawat jawatan yang di amanahkan rakyat itu?

Bagaimana Najib hendak memberikan alasan kenapa bekas pemimpin utama negara menggunakan wang rakyat sehingga melebihi RM 1 billion untuk menyelamatkan perniagaan anaknya yang gagal? Boleh kah isu ini di tutupi oleh Najib dan barisan kepimpinannya? Berlambak-lambak isu moral terhadap kita boleh di jadikan isu besar oleh pihak lain, tetapi kita masih lagi percaya isu jam omega dan video seks akan memberikan kita kemenangan. Takkanlah jam omega boleh kita jadikan isu untuk memilih kerajaan.

Kenapa payah sangat untuk menyelesaikan isu pemimpin MCA dan UMNO yang terlibat dengan kes PKFZ yang melibatkan RM12 billion itu. Ini semuanya isu moral yang melibatkan kehilangan wang rakyat yang berbillion ringgit. Sebaik manakah taraf moral pihak kita untuk mengisukan pihak lain dengan isu sejelek ini. Kita beriya-iya mengatakan berzina itu berdosa besar tetapi tidak pula mengisukan rasuah dengan menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan anaknya itu tidak pula dikatakan berdosa.

Kita masih lagi berfikir di takuk lama. Ramai di antara kita masih menganggapkan orang ramai masih lagi menerima apa sahaja yang kita perkatakan. Kita masih beranggapan yang orang ramai masih lagi menerima apa sahaja isu yang kita perbesarkan terhadap pembangkang. Kita begitu marah dan kecewa jika orang ramai tidak percaya kepada kita. Kita tidak sedar yang kita sedang menghadapi krisis keyakinan terhadap parti dan kepemimpinan kita sendiri dalam isu moral ini.

Jadi persoalannya sekarang apa kah yang dimaksudkan oleh PM Najib yang BN akan menggunakan apa juga cara bagi mengambil kembali pemerintahan Selangor itu?

Hendak menggunakan ugutan? Najib dah ugut bangsa Cina dengan memberikan amaran yang Cina tidak akan diwakili di dalam kerajaan jika MCA tidak mendapat sokongan Cina di dalam pilihanraya yang akan datang. Pimpinan Dewan Assembly Hall Cina Kuala Lumpur dan Selangor telah pun menjawab yang mereka tidak perlukan wakil di dalam kerajaan jika MCA mewakili mereka. Mereka telah pun menolak MCA secara terbuka.

Nak lakukan rampasan kuasa seperti yang kita lakukan di Perak? ATAU nak guna bomoh dan ilmu hitam?

06 May 2011

Satu pendapat: 'If you want to damage the country give it to UMNO to rule, if you want to make it worst give it to UMNO to repair'

Dato Seri Najib berkata yang UMNO akan melakukan segala-galanya dan apa jua caranya untuk menawan kembali negeri Selangor dalam pilihanraya yang akan datang. Ramai yang menghubungi saya untuk bertanya maksud ‘at all costs’ yang disebut oleh PM Najib itu.

Adakah PM Najib memberi isyarat yang cara yang dikatakannya itu tidak dibatasi oleh undang-undang dan etika demokrasi? Saya menjawab, “manalah saya tahu. Takkan orang pencen yang duduk di rumah sahaja boleh mengetahui apa yang akan dilakukan oleh Najib bagi UMNO kembali ke Selangor untuk memerintah”.

Kalau dikira dari sudut matematiknya UMNO amat sukar untuk mendapatkan kembali negeri terkaya itu. Kita perlu mengkaji sebab yang menyebabkan UMNO Selangor itu rebah semasa pilihanraya yang lalu. Selangor memang sebelum ini merupakan kubu kuat BN khususnya UMNO dan tidak siapa pun terfikir yang UMNO akan mengalami kekalahan dalam mana-mana pilihanraya.

Dalam keadaan itu sekali pun kita telah menyaksikan UMNO tumpas dalam pilihanraya 2008 yang lalu dan hilang kuasa mentadbir negeri itu di tangan Pakatan Rakyat. Selalunya jika sesebuah parti memerintah kerajaan negeri, parti pemerintah itu susah untuk digulingkan kerana ‘networking’ yang terbina itu akan menjadi mantap dari masa kesemasa.

Kerajaan negeri selalunya akan menguasai pengaruh pemikiran rakyat di setiap kampong melalui JKKK yang merupakan struktor pentadbiran yang terendah di dalam sistem kerajaan kita. Tentunya rakyat yang kesemuanya ditadbir oleh JKKK ini akan menerima segala bentuk bantuan pembangunan kerajaan negeri kerana JKKK inilah saluran bantuan kepada rakyat akan disampaikan oleh kerajaan negeri.

Mahu tidak mahu kerajaan negeri Selangor telah menunjukan prestasi yang agak lebih baik dari apa yang diusahakan oleh kerajaan yang terdahulu. Jika kita lupakan isu politik partisan, maksud saya lupakan bab UMNO atau PR, Khalid Ibrahim merupakan Menteri Besar yang lebih berdedikasi dari MB-MB yang terdahulu. Jika kita dengar isu keburukan Khalid ia selalunya dinyanyikan oleh kumpulan politik yang bertentangan semata-mata untuk mendapatkan perhatian rakyat.

Satu perkara lagi yang menjadi perhitungan rakyat ramai ialah tentang momokan terhadap PR yang dimainkan oleh media perdana sejak berdekad-dekad dahulu yang tidak ada parti selain dari UMNO mampu memerintah sudah jelas tidak diterima rakyat lagi kerana momokan itu sudah terbukti meleset dari pandangan rakyat. Parti-parti pembangkang sekarang semua ada pengalaman memerintah sejak pilihanraya 2008 yang lalu dan nyata momokan terhadap PR sebelum ini tidak boleh lagi dijadikan isu oleh UMNO dan BN sekarang ini.

Kalau ada pun isu yang dimainkan oleh UMNO terhadap kerajaan PR Selangor ia hanyalah isu-isu yang dicari dan dibelek untuk diisukan seperti orang mencari kutu dalam rambut. Segala isu-isu remeh akan ditimbulkan untuk diskredit kerajaan negeri itu khusunya terhadap MBnya sebagai cara mendapatkan kembali pentadbiran kerajaan negeri itu selepas pilihanraya yang akan datang.

Yang menjadi perhatian sekarang siapa yang akan menerajui Selangor jika BN mengambil alih? Khir Toyo atau Noh Omar atau pun Mohd Zain Mohammed? Ramai berpendapat yang jika salah seorang dari nama ini dijadikan ketua untuk membawa perubahan di negeri Selangor, BN tidak akan mendapat sokongan kerana mereka bukanlah ‘material’ untuk membawa perubahan.

Mereka merupakan pemimpin-pemimpin yang telah membawa masalah kepada negeri itu yang menyebabkan BN tersembam di dalam pilihanraya yang lalu. Bagaimana pula mereka pula yang hendak membawa perubahan? Jika ini lah orang-orangnya yang akan dinamakan sebagai pengganti kepada kerajaan sekarang maka adalah tidak salah jika kita anggapkan yang ia akan terhempas sebelum terbang.

Rakyat sentiasa bertanya jika mereka yang telah merosakan sistem politik negeri itu bagaimana pula mereka yang kehadapan kononnya untuk memperbaiki keadaan yang dituduh sebagai tidak baik. Ada seorang rakan saya berkata, “If you want to damage the state give it to UMNO to rule, if you want to make it worse give it to UMNO to repair”.

UMNO, kepada rakyat khususnya rakyat Selangor telah melihat bukti yang semasa memerintah negeri itu banyak ketidak telusan pimpinan di lihat oleh rakyat maka itulah sebab yang besar kenapa rakyat memilih pembangkang dalam pilihanraya yang lalu. Sekarang puak ini jugalah yang sedang berusaha untuk mengambil alih kerajaan Selangor.

Kita akui, didalam politik segala kemungkinan boleh berlaku tetapi kemungkinan itu tentulah beralaskan kepada situasi yang boleh diambil kira dengan tepat. Bagi Selangor kemungkinannya ada tetapi ia amat tipis selagi tidak ditentukan siapa yang akan menerajui kerajaan jika diberi mandat oleh rakyat.

Selain dari itu isu nasional juga memainkan peranan yang penting dalam penentuan samada Selangor mampu ditawan oleh BN. Isu video seks jelas menjadi ‘counter productive’ bagi BN. Rakyat menjadi mual dengan isu itu diperbesarkan dengan keterlaluan. Ini yang BN gagal untuk memahaminya.

Buat masa ini saya secara peribadi lebih cenderung untuk melihat UMNO memusatkan tumpuannya kepada negeri-negeri lain yang masih dikuasainya agar negeri-negeri itu tidak hilang dari genggaman parti lawan.

Ramai pendapat umum bahawa N Sembilan, Pahang dan Trengganu adalah negeri-negeri yang keberangkalian akan kalah adalah besar. Isu yang terbesar bagi ketiga-tiga buah negeri ini adalah sama; iaitu isu kepimpinan Menteri Besar mereka.

Ramai bertanya kenapalah ketiga MB ini masih berada di Pejabat Menteri Besar sedangkan pilihanraya sudah hampir tiba. Tetapi kalau rakyat menolak nanti, rakyat dan parti pembangang juga dipersalahkan.

UMNO tidak pernah bersalah. Yang lain semuanya bersalah termasuk mereka yang mengkritik untuk memperbaiki parti itu.