27 February 2012

Kalau benar selamat, kenapa Lynas bina kilang pemprosesan nadir bumi di Pahang?..bina sahaja lah di Australia

Kerajaan patut membatalkan niat untuk meneruskan pembangunan pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Advance Material Plant (Lamp), di Gebeng, Kuantan. Pemberhentian kerja pembinaan ini sepatutnya menjadi isu yang paling besar yang perlu diselesaikan secepat mungkin. Ini merupakan fokus rakyat dan secara keseluruhannya rakyat mahukan kilang pemprosesan nadir bumi di tutup serta merta.

Kerajaan patut merasakan denyut jantung rakyat dan tidak boleh mengambil ringan terhadap isu ini semata-mata kerana kepentingan beberapa orang yang berpengaruh di negara ini atau di Pahang khususnya. Biarlah berpuluh billion pun pendapatan yang di katakan akan diperolehi oleh negara, tolaklah operasi kilang pemprosesan nadir bumi ini. Carilah jalan atau perniagaan yang lain untuk dibina di Pahang ini bagi membangunkan negeri itu. Biarlah pembangunan sesebuah negeri itu tidak di cemari dengan bahaya pencemaran yang sangat merbahaya ini.

Nadir bumi yang dibawa masuk dari Australia ini membawa banyak persoalan yang mudah mendapat jawapannya. Kita tidak tahu apa sebenarnya penyebab yang kerajaan berkeras untuk meneruskan usaha pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi ini. Apabila nadir bumi dibawa masuk ke negara ini, sedangkan Australia yang mempunyai negara yang sangat besar itu mempunyai 2/3 keluasan bumi mereka yang tidak boleh didiami itu tidak mahu membina kilang pemprosesan nadir buminya sendiri.

Kalau Australia yang mengeluarkan nadir bumi itu tidak sanggup untuk membina kilang pemprosesan itu, kenapa negara kita yang sekecil ini sanggup menerima ‘export’ barangan merbahaya ini ke negara kita? Jika Lynas Australia mengatakan yang kilang itu selamat dan tidak akan mengeluarkan radiasi diudara kita, kenapa mereka mahukan dan berkeras untuk membinanya di Kuantan? Kenapa sanggup berbelanja berbillion-billion ringgit untuk mengeksportnya ke Kuantan dan menyebabkan rakyat kita keluh resah dengan kehadiran kilang ini di Gebeng?

Saya difahamkan yang tidak ada sebuah negara Afrika pun yang sanggup menerima nadir bumi dari Australia ini kerana mereka tahu dalam jangkamasa panjang ia akan merbahayakan kehidupan rakyat mereka. Dalam ratusan buah negara yang berkerajaan di dunia ini tidak ada negara yang mahukan kilang pemprosesan nadir bumi ini di bawa masuk ke negara mereka. Kenapa pula kita yang bersedia menerimanya? Banyak pendapat yang saya dengar kenapa kerajaan kita sanggup menerima dan membina kilang pemprosesannya di sini. Diantaranya ada pihak yang telah menerima wang besar untuk memudahkan Lynas membina kilang ini.

Kalau ini sebabnya maka ia lagi satu bukti yang rasuah itu boleh menjadikan pemimpin kita hilang pertimbangan dan akan melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral asalkan sahaja mendapat wang yang berkepul-kepul. Sekarang ini kita masih beruntung kerana ada pihak yang sedar dan insaf dan memberikan kesanggupan untuk mengadakan ‘rally’ membantah pembinanaan kilang itu.

Ia menunjukkan aspirasi rakyat yang sebenarnya dan jika kilang ini masih juga di teruskan maka rakyatlah yang akan membuat perhitungan kali ini. Rakyat sedar mereka adalah dari gulungan bawahan dan tidak ada mana-mana lagi negara tempat mereka berlindung. Tidak seperti mereka yang telah menerima wang brkepul-kepul tadi, mereka boleh mencari negara dan tempat lain untuk hidup senang lenang pada masa-masa yang akan datang.

Kita berharap pemimpin-pemimpin yang berkuasa supaya berkorbanlah kali ini untuk rakyat. Jika ada yang telah menerima wang sogokan, pulangkanlah balik kepada empunyanya dan hentikanlah kilang ini. Janganlah berniaga di atas perasaan rakyat. Hormatilah pandangan rakyat kali ini. Kalau selama ini tidak ada perasaan terhadap keresahan rakyat, kali ini belajar-belajarlah untuk berbuat baik kepada rakyat yang sedang terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi ini.

Hormatilah semangat demokrasi kita. Hentikanlah sikap angkuh dan sombong itu sehinggakan tidak mempedulikan perasaan rakyat khususnya disekitar kilang serta daerah-daerah yang bersekitaran kilang ini.

Pergi tanya kepada mereka di Australia itu, jika benar kilang ini selamat kenapa tidak bina sahaja di Negara mereka yang luas itu, yang siap dengan padang pasir yang hampir memakan keluasan 50 peratus dari keluasan negara itu? Kenapa pilih Gebeng? kenapa pilih Malaysia? Mentang-mentanglah di negara ini senang untuk berunding asalkan ada ‘fulus’ janganlah ambil kesempatan di atas kelemahan pemimpin kami di sini.

Himpunan Hijau yang diadakan semalam di Kuantan itu merupakan kemuncak dari rungutan rakyat yang tidak diberikan perhatian oleh pemimpin dan parti yang memerintah. Sekalung tahniah kepada YB Fauziah Salleh, ahli parlimen Kuantan yang telah tidak berhenti-henti memperjuangkan nasib masa depan rakyat Kuantan dan sekitarnya sejak tindakan Lynas ini membina kilang pemprosesan nadir bumi ini diluluskan oleh kerajaan ini.

Semoga YB mendapat hidayah dan sentiasa berada didalam perlindungan Tuhan Maha Esa. YB mesti faham, diakhir zaman ini amat payah untuk memperjuangkan kebaikan. Laluilah kesusahan ini dengan tenang. Hanya kesabaran sahaja yang akan membuahkan kejayaan untuk mempastikan keselesaan dan kesihatan rakyat dan generasi yang akan datang tidak dikorbankan oleh gulungan kapitalis yang tidak berperikemanusiaan ini.

Jika rakyat tidak mahu generasi kita menghadapi risiko yang amat merbahaya ini, hanya satu jalan sahaja untuk mempastikan kilang pemprosesan nadir bumi ini dihentikan, iaitu dengan menolak parti yang menganjurkan projek ini pada pilihanraya yang akan datang.

26 February 2012

Alangkah leganya jika terlepas dari cengkaman 'bapa-bapa ayam' ini

Selepas arahan dari Putrajaya, kini rakyat sedang berhadapan dengan isu berapa kah ‘settlement figure’ yang sebenarnya yang telah ditetapkan untuk penyelesaian diluar mahkamah diantara Tajuddin Ramli dengan MAS. Rakyat ingin tahu kerana semua wang yang terlibat dalam kes ini adalah wang rakyat. Tidak perlu menyalahkan sesiapa termasuk parti-parti pembangkang kerana apa yang berlaku dalam kes ini adalah di sebabkan oleh kelemahan dasar dan perlaksanaan kerajaan.

Semasa Tajuddin mengambil alih MAS dalam proses perlaksanaan dasar ‘pengswastaan’ kerajaan dahulu, banyak pihak telah membuat kritikan terhadap kerajaan pimpinan Dr Mahathir tetapi maklum sajalah Dr Mahathir tidak peduli dengan pandangan ramai kerana beliau berkata pengswastaan MAS itu adalah satu perkara yang ‘necessity’ untuk dilakukan.

Pandangan pihak lain tidak perlu diambil kira. Entah apa sebabnya MAS yang begitu berjaya semasa itu hendak diswastakan sedangkan syarikat penerbangan kepunyaan kerajaan itu sangat maju dan MAS adalah diantara syarikat penerbangan yang ‘premium’ dipesada antarabangsa. Hanya Dr Mahathir sahaja yang tahu kenapa ianya dilakukan.

Kita semua tidak boleh ambil tahu dan lagi pun bekas PM itu sangat kuat sokongan terutamanya dari UMNO semasa itu. Sokongan kuat orang Melayu semasa itu di ambil sebagai kelemahan Melayu dan beliau boleh melakukan apa sahaja walaupun ia bakal merosakkan sebuah syarikat penerbangan yang begitu maju. Tugas orang Melayu khususnya dalam UMNO hanyalah untuk mengangguk sahaja. Apabila datang kerugian besar beliau juga mahukan kita semua mengangguk dan pertahankan kesalahan yang sengaja dilakukannya sendiri.

Begitulah yang berlaku dalam banyak hal pelaksanaan dasar yang tidak menentu itu. Begitu jugalah dengan isu NFC sekarang. Muhyiddin dan ramai pemimpin UMNO menyalahkan pembangkang sedangkan isu ini timbul setalah membaca lapuran Ketua Audit Negara bukannya ditimbulkan oleh pembangkang. Seperti juga dalam kes MAS ini, isu NFC ini bakal membawa padah kepada negara dan rakyat dalam bentuk kerugian wang rakyat.

Sekarang banyak suara yang kita dengar supaya Dr Mahathir memberitahu segala-galanya secara terperinci tentang isu MAS ini. Pertamanya kenapa perlu MAS di swastakan dan kenapa diberikan pengswastaan itu kepada Tajuddin. Kenapa berikan pengswastaan ini kepada Tajuddin yang tidak ada rekod dan pengalaman didalam pengurusan syarikat penerbangan?

Apabila MAS menghadapi kerugian besar maka kerajaan mengambil tindakan untuk melakukan ‘bailout’ terhadap syarikat ini dan mengambil balik MAS dengan membeli sahamnya yang harga yang sama iaitu RM8 sesaham. Lagi sekali rakyat terpaksa membayar segala kerugian ini.

Kerajaan mengambil tindakan mahkamah terhadap Tajuddin dan Tajuddin telah diarah untuk membayar kembali kepada kerajaan sebayak RM580 juta tetapi Tajuddin telah bertindak dengan membuat ‘counter sueing’ terhadap kerajaan sebanyak rm13 billion. Di sinilah persoalan besar timbul. Kenapa Putrajaya mengarahkan supaya isu inidiselesaikan diluar mahkamah. Ini persoalan besar dan pertanyaan banyak pihak ini merupakan satu soalan cupu mas yang bernilai berbillion-billion ringgit.

Adakah kerajaan sudah sedar yang pihaknya akan kalah didalam kes ini dan rakyat akan tahu cerita sebenarnya? Kenapa hendak diselesaikan diluar mahkamah? Kalau hendak selesaikan diluar mahkamah berapakah jumlah yang terlibat, dan siapa yang akan membayar siapa? Adakah tindakan ini semata-mata untuk melindungi nama-nama individu pemimpin yang terlibat mengambil kesempatan dalam proses pengswastaan ini?

Bermula dari pengswastaan inilah MAS sudah menjadi syarikat penerbangan yang begitu kerdil dari pandangan industri penerbangan antarabangsa. Kini MAS hanyalah menjadi ulam dan makan kepada mereka yang sedang mengambil kesempatan ke atas kelemahannya. Kalau tidak masakan syarikat Air Asia yang hanya sedang menunggu untuk ‘bungkus’ boleh mengambil alih pegangan sahamnya yang terbesar didalamnya?

Siapa yang pandai sangat dalam Khazanah Nasional yang boleh merelakan keadaan ini berlaku? MAS ibarat seorang perempuan yang lemah yang boleh diperlakukan oleh ‘bapa-bapa ayam’ untuk dijadikan pelacur bagi kepentingan ‘bapa-bapa ayam’ yang sedang mencari makan dengan apa sahaja cara ini waimma melampaui batas-batas moral dan agama anutannya.

Sekarang Dr Mahathir tidak mahu bertanggungjawa apabila diminta berbuat demikian. Dia menyatakan yang beliau bukan mengetuai MAS dan tidak ada sebab untuk berbuat demikian. Ini merupakan kenyataan yang tidak bertanggungjawab sedangkan keputusan pengswastaan itu telah melalui persetujuan kabinet yang beliau menjadi pengerusinya. Betullah beliau tidak bertanggungjawab tetapi beliau mesti mengambil ‘accountability’ terhadap kes ini.

Saya telah menyebut isu ‘accountability’ ini banyak kali. Dr Mahathir perlu belajar untuk mengambil ‘accountability’ dari kepimpinannya. Lagi pun beliau akhir-akhir ini terlalu banyak membuat komen terhadap pihak lain maka elok Dr Mahathir menjawab persoalan terhadap kredibiliti kepimpinan beliau sendiri.

Di Korea apabila lima orang banduan lepas lari dari penjara, maka yang bertanggungjawab ke atas kelemahan itu adalah ketua pengarah penjara negara itu. Tetapi menteri dalam negerinya meletakkan jawatan kerana mengambil ‘accountability’ terhadap kejadian itu. Begitulah tinnginya nilai etika kepimpinan negara tersebut. Tetapi disini dalam sibuk mengaku yang kita sebuah negara yang akan masuk ke dalam kumpulan negara maju tidak lama lagi, sikap tidak mengambil ‘accountability’ ini masih menjadi budaya kepimpinan negara kita.

Bagi saya, isu penyelesaian isu MAS diluar mahkamah ini perlu dilakukan secara terbuka. Rakyat sudah jemu dengan perlakuan pimpinan BN sejak dua tiga dekad dahulu. Lepas satu isu besar, akan timbul lagi isu yang lain yang tidak henti-henti.

Sampai bila pimpinan kita bersikap seperti ‘bapa ayam’ yang melacurkan rakyat untuk kepentingan wang ringgit dan harta benda untuk keluarga mereka. Kalaulah Utusan sanggup membantu rakyat untuk membetulkan keadaan ini, alangkah baiknya. Tetapi akhbar itu sedaya upaya menutupnya dari pengetahuan rakyat yang ramai.

Sekarang ini terpulanglah kepada rakyat samada mahu terus menjadi mangsa ‘bapa-bapa ayam’ ini atau melakukan sesuatu dari ‘hegemony’ dan cengkaman ‘bapa-bapa ayam’ ini.

Satu lagi isu yang nyata, UMNO tidak mungkin kembali kepada parti perjuangan. Parti ini hanya merupakan parti sebagai modal peniagaan bagi sekumpulan kecil pemimpin-pemimpinnya.

23 February 2012

Budaya vandalisma semakin berkembang

Apabila terfikir kembali tentang isu penyenaraian Felda, saya tidak dapat melihat apa kah sebabnya yang kerajaan mahukan penyenaraian ini dilakukan dalam apa juga keadaannya. Saya tidak faham kenapa setiap badan-badan serta agensi kerajaan yang maju sentiasa berakhir dengan kerosakan.

Dulu MAS merupakan sebuah syarikat penerbangan yang premium jika berbanding dengan syarikat-syarikat penerbangan lain di dunia ini. Oleh kerana MAS begitu berjaya di bawah pengurusan Saw Huat Lai dan kemudiannya dikembangkan lagi oleh Tan Sri Aziz Abd Rahman maka setiap mata mereka yang meleleh air liur telah menjualkannya kepada Tajuddin Ramli. Sejak penyerahan MAS kerpada Tajuddin Ramli MAS telah menjadi apa yang kita lihat pada hari ini.

Dibawah pengurusan Tajuddin, MAS telah kerugian berbillion-billion ringgit sehinggakan kerajaan terpaksa melakukan ‘bail-out’ dengan membeli kembali saham-saham syarikat itu dengan harga yang sama yang dijual kepada Tajuddin sebelumnya. Kerugian yang dialami oleh MAS begitu besar sehinggakan MAS tidak lagi boleh bangun sampai ke hari ini.

Hari ini MAS telah dipergunakan oleh Air Asia, dalam satu ‘share swapping’ yang sangat menyedihkan mereka yang memahami keadaan sebenarnya. Tindakan “share swapping’ ini pula diberikan sokongan oleh pihak kerajaan (Khazanah). MAS mendapat hanya air lelehan dari Air Asia sahaja. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka yang telah kita berikan amanah untuk menjaga kepentingan rakyat itu tidak jujur dan hanya memikirkan kepentingan diri mereka sendiri.

Banyak lagi insiden-insiden buruk seperti ini telah dilakukan oleh pihak yang berkuasa. Sekarang ini penjenayah kolor putih ini sedang cuba untuk memerah dan merosakkan Felda pula. Di mana sahaja ada wang yang besar di situlah pemimpin berlumba-lumba untuk mengambil kesempatan.

Sesungguhnya Felda tidak payah disenaraikan terutamanya KPF itu. Jika sungguh niat pimpinan Najib ini ikhlas dan mahukan juga ada penyenaraiannya elok disenaraikan anak-anak syarikatnya yang banyak telah membuat keuntungan besar dalam mana KPF itu sendiri membeli saham dalam syarikat IPO yang baru itu. Ini lebih bermakna.

Tetapi masalahnya niat kenapa hendak menyenaraikan Felda serta koporasinya itu tidak dapat kita bayangkan. Tentulah ada niat yang terselindung hanya diketahui oleh mereka yang mempunyai niat yang tersembunyi itu.

Apa sahaja agensi kerajaan yang membuat banyak keuntungan di situlah ramai pemimpin berlumba-lumba untuk merosakkannya. Kadangkala saya terfikir juga yang pimpinan kita merupakan kumpulan yang suka melakukan vandalisma terhadap semua perkara yang baik dan kukuh yang telah dilaksanakan oleh pimpinan yang terdahulu.

ATAU dalam bahasa kasarnya mereka ini merupakan kumpulan ‘makhluk perosak’ yang tidak ingin melihat kejayaan kepada rakyat dan negara ini. Usahkan hendak membina kejayaan yang baru….yang sudah berjaya pun hendak dirosakkan.

22 February 2012

Peguam UMNO dan bekas Ketua Hakim Negara pula dapat projek besar

Di Malaysia ini semuanya boleh berlaku, kecuali bertanding Presiden UMNO. Rasuah boleh, menyalahgunakan kuasa boleh dan sudah menjadi biasa dan lazim, Pinjam wang kerajaan beratus juta yang sepatutnya digunakan untuk membiayai pemiliharaan lembu boleh digunakan untuk membeli kondominium mewah diseluruh dunia. Pemimpin-pemimpin dan menteri-menterinya boleh menerima komisyen pembelian kapal selam, kapal perang udara serta pembelian kapal perang dilaut. Kalau dikumpulkan jumlahnya mungkin berbillion ringgit, tetapi ia tidak mengapa kerana di Malaysia ini semuanya ‘Malaysia boleh’

Di Malaysia juga yang naik menjadi pemimpin itu ramai yang takut kepada isteri atau yang selalu ditakut-takutkan oleh isteri mereka. Mereka yang tidak takut isteri jarang yang dapat naik ke atas atau tidak naik langsung. Ada menteri susah hendak memberikan ‘appointment’ kepada sesiapa yang hendak berjumpa dengannya, tetapi apabila meminta berjumpa dengan pak menteri itu melalui isterinya, tidak sampai setengah jam menteri itu akan memberikan tarikh dan masa untuk berjumpa itu.

Semuanya boleh berlaku. Maklumlah kita mempunyai slogan ‘Malaysia boleh’. Semuanya boleh kecuali untuk berbeza dengan pimpinan UMNO. UMNO itu ‘supreme’, lebih tinggi dari Raja-Raja, kerana pada tahun 1993 dahulu UMNO telah menelanjangkan Raja-Raja seolah Raja-Raja itu lebih rendah dari manusia biasa seperti saya ini. Hanya sekarang baru kita mendengar UMNO kembali bercakap baik kepada Raja-Raja terutamanya setelah terdesak. Apabila terdesak UMNO akan berlindung di bawah ketiak Raja-Raja pula. Semuanya boleh.

Sekarang timbul pula satu lagi isu dalam lingkungan slogan ‘Malaysia boleh’, iaitu bekas Ketua Hakim Negara bersama peguam UMNO Hafirizam Harun telah dianugerahkan projek lebuhraya bernilai RM2.2 billion pula. Di seluruh dunia khususnya negara-negara maju hakim itu tinggi kedudukannya. Hakim-hakim itu tinggi darjat mereka di dalam hiraki masyarakat. Hakim itu mempunyai disiplin kehidupan harian yang amat tinggi dan ianya akan tetap begitu sehingga akhir hayat mereka. Tetapi oleh kerana slogan ‘Malaysia boleh’ bekas ketua hakim negara kita pun menjadi ahli perniagaan besar dan diberi pula konsessi lebuhraya bertol dilembah kelang.

Jauh sangat rendahnya kredibiliti Jabatan Kehakiman kita sampai bekas ketua hakim negara pun mendapat konsesi lebuhraya bertol. Kalau kita tegur perkara ini akan ada di kalangan penyokong-penyokong UMNO akan memberi jawapan seperti, “hakim pun nak makan juga. Takkan hakim nak jadi peon pula!”. Slogan ‘Malaysia boleh’ ini boleh mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.

Jika kita lihat hakim-hakim di India, England, Australia dan di mana-mana sahaja hakim-hakim tidak terlibat dengan perniagaan. Tetapi oleh kerana di sini perkara ini sudah menjadi biasa maka jika kita kritik isu ini, kita pula dianggap sebagai kumpulan yang salah. Itulah sebabnya saya pernah berkata UMNO ini merupakan agen yang membawa dalil-dalil hari hendak kiamat. Perkara yang salah dikatakan benar dan yang benar dianggap salah. Ini lah sumbangan besar UMNO, iaitu meruntuhkan etika ‘professionalism’ umat Melayu dan ini akan memakan masa puluhan tahun untuk membetulkannya kembali. Itu pun jika pemerintah yang sekarang ini tidak lagi diberi mandat.

Sememangnya pemerintah pada hari ini sudah kehilangan hidayah. Lagi ramai orang mengkritik lagi banyak perkara-perkara sumbang dilakukannya. Pimpinan tidak ada rasa malu dan segan membenarkan perkara seperti memberikan konsessi lebuhraya yang tidak beretika ini dilihat oleh rakyat seluruh negara dan juga masyarakat antarabangsa. Malahan inilah kejadian yang amat tidak senonoh yang dilakukan oleh pemerintah kerajaan yang mengaku sebagai kerajaan yang demokratik dan transparen.

Tidak ada lagi ketua hakim negara bagi negara maju yang mendapat konsessi lebuhraya sejurus selapas bersara dari perkhimatan awam. Bagaimanalah keadaaan negara jika mereka yang mempunyai mentaliti sebegini terus memerintah kita. Apakah yang akan terjadi kepada nasib masa depan generasi kita yang tidak mempunyai hubungan baik dengan mereka yang berkuasa itu?

Kita yang ramai-ramai dibawah ini disuruhnya bertungkus lumus untuk memenangkan mereka dengan bayaran RM500 tetapi apabila berkuasa mereka yang tidak pernah mengeluarkan peluh untuk UMNO pula yang mendapat habuan yang begitu besar. Pendeknya rakyat yang ramai ini diperlakukan seperti buruh kasar tetapi segala keuntungannya diberikan kepada rakan kroni dan yang hampir dengan pimpinan yang mendapat kemenangan tadi.

Kerja keras yang membanting tulang itu adalah kewajipan rakyat tetapi segala labanya adalah untuk kroni dan rakan-rakan mereka yang berkuasa. Orang Melayu dijadikan seperti hampas tebu, habis madu sepah dibuang. Pimpinan sampai hati melihat rakyat yang kebanyakkannya orang Melayu beratur dan berpanas berjam-jam lamanya untuk mendapatkan imbuhan serta upah menyokong mereka dengan RM500 setelah kekayaan mereka diperah dan di hisap oleh mereka yang berkuasa serta kroni-kroni belaan mereka.

Pimpinan tahu, kambing dan lembu yang ditambat itu mesti diberi makan. Maka itulah dia upahnya untuk makan lembu-lembu yang ditambat itu, iaitu wang ‘sogokan’ RM500. Ianya ibarat lembu yang telah membajak sawah seharian dan pulangannya hanyalah rumput-rumput kering yang disabit dan dikumpulkan ditepian laman rumah mereka. Sesekali diberikannya garam untuk menyihatkan tubuh badan lembu-lembu itu. Esok harinya lembu-lembu ini akan bekerja lebih kuat lagi untuk kepentingan tuan mereka yang berkuasa itu.

Dalam pada itu masih ada orang Melayu berbangga dengan kejayaan pemimpin-pemimpin mereka yang telah memerah keringat mereka untuk kepentingan pemimpin-pemimpin sokongan mereka.

Sedih juga melihat gelagat mereka ini, tetapi apa nak buat. Mereka sendiri yang suka dibohongi dan peralatkan pimpinan mereka. Masih ada dikalangan orang Melayu yang bertepuk tangan keriangan apabila pimpinan mereka menipu dan memperalatkan mereka sambil meraut segala harta benda mereka dan dibawa lari. Masih ada orang kita yang masih bersukaria kepala mereka di ‘gomeng-gomeng’ oleh pemimpin sebangsa mereka sejak dua tiga dekad dahulu. Nasib kaulah jang!

21 February 2012

Berniaga buluh kasap: hujung hilang pangkal lesap

Saya terbaca berita yang beberapa veteran UMNO telah bertemu secara tertutup untuk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang Melayu. Diantara yang hadir itu ialah Dr Mahathir Mohammad, Ibrahim Ali, Presiden Perkasa, TS Sanusi Juned, Datuk Khalid Yunus serta beberapa orang kuat Perkasa termasuk ketua wirawatinya dan pemuda kepada pertubuhan yang sangat ‘famous’ itu.

Saya bersetujulah apa yang mereka lakukan itu, tetapi yang saya nak sentuh kali ini ialah mereka yang berjumpa itu ialah dikalangan orang-orang yang telah memecah belahkan umat Melayu dahulu. Bermula dengan tindakan Dr Mahathir menggunakan peguam Sri Ram untuk mematikan UMNO dan terus menyekat usaha sekumpulan ahli UMNO untuk menghidupkan UMNO lama benar-benar telah memecah belahkan orang Melayu. Orang Melayu berada dalam dua kumpulan; yang satu adalah kumpulan yang sayangkan UMNO asal itu dan yang satu lagi kumpulan yang membawa ahli-ahli UMNO ke dalam pertubuhan baru yang bernama UMNO baru.

Dalam perpecahan inilah tersingkirnya Ketua Hakim Negara semasa itu, Tun Salleh Abas yang telah mengambil keputusan untuk membawa semua sembilan orang hakim-hakim Mahkamah Agong untuk menghakimkan kes tuntutan bekas ahli-ahli UMNO untuk menghidupkan parti itu. Dr Mahathir tidak bersetuju kerana beliau mahukan UMNO yang baru untuk menyingkirkan semua pemimpin yang tidak sebulu dengannya.

Maka berpecahlah orang Melayu khususnya ahli-ahli UMNO dalam banyak kumpulan. Selepas itu dipecahkan orang Melayu dengan Raja-Raja mereka dalam krisis UMNO dengan Raja-Raja Melayu dahulu. Sanusi Juned yang merupakan ‘general’ Dr Mahathir merupakan orang yang melaksanakan perintah Dr Mahathir untuk melupuskan UMNO untuk digantikan dengan UMNO yang ada pada hari ini. Salah seorang dari kumpulan itu Dato Haji Khalid Yunus telah membuat kenyataan pedas terhadap Raja-Raja Melayu sehingga tidak ada tolok bandingnya.

Sejak dari itu orang Melayu berpecah belah dan sekarang kumpulan ini jugalah yang berjumpa secara tertutup untuk membetulkan orang Melayu. Saya menganggap tindakan mereka ini tidak akan kemana-mana dan Melayu tetap akan berpecah belah sehinggalah pemimpin-pemimpin jenis ini tidak lagi terlibat dalam UMNO.

Elok ramai-ramai baca kembali akhbar-akhbar perdana seperti Utusan, dan kumpulan NST pada tahun 1993 untuk kepentingan mereka yang tidak berada atau bergiat didalam UMNO semasa itu. Kepada pemimpin seperti Hishamuddin, Shafie Apdal dan yang lain-lain yang tidak pernah menjadi ahli UMNO yang dulu elok baca semuanya ini.

Kepada semua yang garang-garang yang kononnya pejuang Melayu dan UMNO elok memulakan membaca semuanya ini kerana ia akan menjadikan mereka lebih faham kenapa orang Melayu kini berpecah belah. Sekarang orang melayu sudah jemu dengan perpecahan ini, maka mereka sekarang mahu bersatu kembali tetapi bukannya dibawah UMNO. Mereka sudah letih dengan kerenah kepimpinan UMNO yang bercakap tentang perjuangan orang Melayu tetapi sampai sekarang orang Melayu tidak kemana jua.

Tempoh 54 tahun dengan retorik kosong ini sudah cukup untuk orang Melayu bersabar. Jika UMNO diberikan kuasa lagi kali ini dalam pilihanraya sekali lagi isu yang sama akan kita dengari dan begitulah sampai bila-bila.

Akhirnya orang Melayu ini akan masuk angin keluar asap. Berniaga pula ibarat berniaga buluh kasap; hujung hilang, pangkal lesap.

20 February 2012

Budaya samseng : Itulah dalil jelas nak kehilangan kuasa

Hari ini saya mendengar apa yang berlaku di Semberong, Johor malam tadi. Mengikut
laporan, kereta ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, telah dibaling dengan berbagai-bagai objek pada 11.30 malam tadi dan ini merupakan satu budaya yang sedang terbentuk didalam UMNO, iaitu budaya samseng. Budaya memaki hamun dalam UMNO sudah meningkat kepada budaya samseng pula.

Tidak perlu seseorang itu untuk memihak kepada mana-mana pihak tetapi jika benar perkara ini berlaku, maka sahlah UMNO sedang membentuk satu budaya samseng, sebagai satu lagi kaedah untuk menakut-nakutkan orang ramai dari menyokong pihak yang menentang BN. Pelakuan kumpulan yang mengganggu program pihak PR ini adalah satu tindakan yang telah keluar jauh dari moral politik apatah lagi yang melakukan perkara yang tidak bertamaddun ini adalah di kalangan pemuda Melayu.

Tindakan mereka ini dibiarkan sahaja oleh pihak penguatkuasa undang-undang, iaitu pihak polis kita. Politik ini adalah perang psikoloji bukannya peperangan terbuka seperti peperangan tentera diantara dua negara yang bersengketa. Apa yang dilakukan oleh pihak yang menyokong parti pemerintah ini menunjukkan indikasi yang amat jelas, yang parti pemerintah sedang berada didalam keadaan yang panik kerana takut dengan sokongan pihak alternatif yang kian hari kian membesar dan kuat.

Yang amat menjijikkan pihak tertentu tidak dapat menerima hakikat yang mereka adalah seperti telur dihujung tanduk bersabit dengan sokongan rakyat terhadap mereka. Oleh kerana sudah terlalu biasa dengan kuasa sejak berdekad-dekad dahulu, kehilangan sokongan dan kuasa ini amat memedihkan mereka. Sakitnya ibarat memisahkan kulit dengan daging.

Bahagian Semberong ini adalah kawasan yang diwakili oleh Hishamuddin Husein, menteri dalam negeri negara kita. Apa yang berlaku ini memang menjejaskan imej menteri itu, apatah lagi tindakan polis mendiamkan sahaja apa yang berlaku dihadapan mata kepala mereka itu adalah menakutkan kepada sesiapa yang kuat berfikir tentang masa depan anak-anak dan generasi kita.

Setelah kita mencapai kemerdekaan selama 54 tahun, kita masih lagi terbelenggu dengan budaya samseng yang menjijikkan ini semata-mata untuk mendapat kemenangan undi didalam pilihanraya. Kalau beginilah keadaannya, apakah perbezaannya diantara pemerintahan diktator dengan pemerintahan demokrasi? Kalau begini keadaan elok kita haramkan sahaja semua parti dalam negara ini dan kepada siapa yang sedang memerintah, perintahlah negara ini sesuka hati seperti mentadbir reban ayam mak bapak kita.

Bagi saya kelakuan dan gelagat samseng ini adalah kerja yang amat hina sekali dan tidak pula mendapat teguran dari parti mereka. Takkanlah untuk mengekalkan kuasa ahli-ahli serta penyokong parti pemerintah sanggup menjadi kumpulan haram samseng dan mengganggu kegiatan parti lain. Bagaimana kah negara dan rakyat untuk membuat persediaan untuk menjadi rakyat negara maju yang berpendapatan tinggi jika masih terkongkong dengan budaya rakyat negara dunia ketiga. Tidak hairanlah kenapa setangah rakyat kita berpendapat yang negara kita ini adalah negara Zimbabwe atau Congo yang berlainan namanya.

Bagaimana kita boleh mengaku yang negara kita adalah negara yang aman sedangkan samseng-samseng berkeliaran disana-sini untuk memerhatikan segala kegiatan yang asasi bagi rakyat yang inginkan perubahan. Keinginan perubahan yang sedang dilakukan oleh rakyat ini adalah hak mereka. Negara ini bukannya BN yang punya tetapi dipunyai oleh semua rakyat yang berbagai kaum, agama, budaya dan cara hidup mereka.

Sampai bila mereka hendak terus berkuasa dengan menakut-nakutkan rakyat? Pemimpin BN khususnya UMNO nampaknya sudah hilang hidayah sehinggakan cara samseng kini menjadi begitu lumrah. Bulan lepas dua kejadian di mana usaha setengah pihak untuk menganjurkan perkumpulan untuk politik diganggu di Selangor sehinggakan ada yang telah dimasukan ke hospital kerana kecederaan yang di alami hasil dari tindakan samseng ini. Entah apa imbuhan yang mereka dapat dari tindakan samseng mereka ini tetapi ia nyata merupakan satu budaya yang ketinggalan zaman.

Rakyat harus melakukan sesuatu untuk menolak budaya ini. Semua diantara kita tahu bagaimana hendak melakukannya. Kita lakukan penolakan ini dengan cara yang paling berhemah dan kita tidak boleh terikut-ikut dengan budaya samseng yang menjijikan ini. Hanya lakukan sesuatu yang dihalalkan oleh undang-undang didalam peti undi semasa pilihanraya nanti.

Kita ambil tindakan dengan memberikan reaksi terhadap kegiatan samseng ini dengan cara yang terbaik sesuai dengan ‘attribute’ manusia yang merupakan secantik-cantik kejadian Tuhan ini.

Pihak yang cuba membetulkan keadaan ini jangan sesekali menggunakan kata-kata kesat dan tindakan samseng seperti yang dilakukan oleh mereka yang sedang merasa tertekan ini. Kita mesti yakin jika sesuatu pihak itu berkelakuan seperti samseng ini sahaja sudah menunjukkan yang mereka sedang berada dihujung hayat kuasa yang ada pada mereka sekarang ini.

Jika kita dinesta dan dihamburkan dengan kata-kata kesat hanya beristighfar banyak-banyak. Kita tunjukkan perbezaan diantara kita dengan mereka. Perbezaan inilah yang sedang diperhatikan oleh rakyat ramai sekarang ini.

19 February 2012

Debat CSL vs LGE : MCA tunjukkan lagi sikap chauvinisnya

Perdebatan diantara Lim Guan Eng (LGE) dan Chua Soi Lek (CSL)semalam menampakkan sikap serta pandangan MCA dan Presidennya yang ‘flip-flop’. Pandangan Soi Lek jelas menunjukkan lidah bercabang-cabang diantara parti terbesar dalam BN, UMNO dan MCA. Saya tidak tahu mengapa CSL memberanikan diri untuk berdebat dengan topik sistem dua parti atau sistem dua bangsa dengan Setiausaha Agong DAP itu. Dari awal lagi saya telah menelah yang MCA akan gagal untuk meyakinkan orang ramai yang parti itu adalah sebuah parti yang hampir hilang seluruh kerdibilitinya dimata rakyat ramai.

Kita boleh mempelajari beberapa perkara dalam perbahasan ini. Pertamanya ia menunjukkan yang MCA lah yang anti Islam dengan menjadikan perhubungan baik di antara PAS dan DAP sebagai isu besar dalam perdebatan itu. Bagi MCA, PAS itu adalah parti Islam dan kerjasama DAP dengan PAS itu hanya akan menjadikan DAP sebagai keldai politik PAS untuk kepentingan PAS dan Islamnya.

Dengan kenyataan CSL itu maka hilanglah isu DAP anti Melayu dan Islam itu kerana MCA menganggapnya sebagai satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bagi MCA ia mahukan DAP menolak PAS kerana PAS adalah parti Islam yang didominasi oleh orang Melayu Islam. MCA tidak selesa melihat kerjasama DAP dengan parti Islam ini dan ia menunjukkan yang anti Melayu dan anti Islam itu adalah MCA. MCA masih tidak menyedari yang isu rasis dan agama ini adalah isu yang tidak lagi laku kepada generasi sekarang ini.

UMNO pula selalu menyatakan tentang isu ini bertentangan dengan pandangan MCA. Oleh kerana permainan politik yang dianggap tidak bijak UMNO sebaliknya menuduh PAS diperguna oleh DAP pula. Ini menunjukkan yang parti-parti komponen dalam BN masih mahukan cara mengekalkan kuasa dengan memecah belahkan kerjasama yang terjalin diantara parti-parti dalam pakatan itu.

CSL menggunakan isu kerajaan Perak yang diketuai oleh seorang pemimpin PAS (Nizar) walaupun DAP telah memenangi 18 kerusi dalam pilihanraya yang lalu, sedangkan PAS dan PKR hanya memenangi 13 kerusi. CSL telah cuba membuktikan tuduhan beliau yang DAP diperguna oleh PAS sehinggakan calon PAS telah menjadi Menteri Besar Perak sedangkan majoriti kemenagan itu adalah dari pihak DAP. CSL lupa yang UMNO mempunyai majoriti kerusi di Pulau Pinang semasa BN mentadbir negeri itu sedangkan Ketua Menterinya di wakili oleh parti Gerakan.

Dalam kes di Perak CSL mesti faham yang jawatan Menteri Besar mesti seorang Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Undang-Undang tubuh negeri itu maka itulah sebabnya Nizar Jamaludin telah dilantik menjadi Menteri Besar negeri itu sehinggalah BN melakukan rampasan kuasa mengikut pintu belakang dua tahun dahulu.

Dalam kes di Perak itu ia dapat membuktikan yang DAP menjunjung perlembagaan negara dan negeri dan sanggup merelakan seorang Melayu menjadi Menteri Besar walau pun parti itu memenangi kerusi yang lebih dari parti-parti lain dalam komponen PR itu. Oleh kerana itu UMNO, BN dan orang Melayu keseluruhannya tidak ada sebab untuk merasa sangsi untuk memberikan sokongan kepada DAP dari sekarang ini.

Sesungguhnya tuduhan MCA dan UMNO terhadap DAP yang bersalah-salahan itu hanya menunjukkan ketakutan MCA terhadap sokongan rakyat berbilang kaum terhadap DAP sekarang ini. Dengan kata-kata CSL semalam ia membuktikan yang MCA sudah terasa ‘desperate’ untuk mendapatkan sokongan rakyat terutamanya kaum Cina kepada parti itu walaupun CSL memainkan isu rasis yang begitu menebal dalam perbahasan itu. BN tidak dapat memberikan pendapat dan pandangan yang sama terhadap DAP; UMNO menuduh DAP rasis dengan mengatakan parti itu memperkudakan PAS dan sebaliknya MCA pula menuduh DAP diperkudakan oleh PAS.

Parti-parti dalam BN begitu gelisah dengan sikap parti-parti dalam PR mampu untuk bertoleransi diantara satu dengan lain didalam gabungannya. Kesemua parti dalam PR adalah parti ‘multiracial’ yang menjadi cara yang terbaik untuk negara dalam zaman sekarang ini. MCA dan UMNO amat resah jika politik rasis ditolak rakyat kerana dengan penolakkan isu-isu rasis ini ia akan menghilangkan ‘confort zone’ BN yang selama ini kekal di atas isu perkauman yang menebal. Lagi berpecah rakyat dengan isu perkauman lagi mudah untuk BN mengekalkan kuasa.

Rakyat sudah mula merasakan nikmat hidup bertoleransi diantara rakyat yang berbilang kaum dan agama. Rakyat tidak mahu lagi diperkotak katikkan oleh politik yang berbau perkauman kerana mereka sedar yang akan menerima kebahgiaan atau celaka didalam hidup adalah mereka sendiri (rakyat) bukannya pemimpin-pemimpin yang sudah kaya raya seperti Qarun di zaman Firaun dahulu.

Jika kita dengar pandangan sempit dan chauvinis MCA ini kita akan kerugian terus terusan. Sikap bermuka-muka MCA sangat jelas kerana suatu masa yang tidak berapa lama dahulu MCA telah mengingatkan PAS yang DAP menentang hukum hudud dan PAS perlu berwaspada terhadap DAP. Tetapi semalam MCA telah menakutkan orang Cina supaya tidak menyokong DAP kerana PAS akan melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan Kedah. Entah mana satu sikap sebenar MCA dan CSL. Sekejap begini sekejap begitu. Mungkin kita patut meminta CSL membuka mulutnya lebar-lebar bagi kita melihat apakah jenis lidah yang ada didalam mulutnya itu dan berapa cabang lidahnya.

Bagi DAP, parti ini sedang mendapat sokongan semua pihak setelah puluhan tahun bersusah payah berjuang dengan tohmahan dan momokan parti-parti yang berkuasa. DAP sangat ditakuti oleh banyak pihak kerana parti itu sedang menjadi parti yang sedang meningkat kepopularitinya di kalangan semua pihak. Adalah amat tidak bermoral bagi mana-mana pihak yang menganggap DAP sebagai chauvinis kerana yang chauvinis sebenarnya ialah BN; UMNO dengan chauvinis Melayunya dan MCA dengan chauvinis cinanya.

Isu rasis tidak lagi mendapat tempat dihati rakyat yang ramai. MCA tidak akan berjaya untuk melabelkan DAP sebagai parti chauvinis kerana DAP sekarang sudah mula mendapat kepercayaan rakyat berbilang kaum. Dengan kemasukan ramai orang-orang Melayu didalamnya, ia amat menggerunkan MCA dan parti-parti dalam komponen BN. MCA tidak boleh disertai oleh orang Melayu kerana parti itu hanya untuk orang Cina. Itulah sebabnya MCA sedang berusaha keras untuk mendapat sokongan orang Cina yang rata-rata memberikan sokongan bukan sahaja kepada DAP, tetapi juga kepada PAS.

Jika rakyat menolak isu rasis untuk hidup aman dan damai dinegara kita ini maka semua parti-parti rasis dalam BN akan mati tegak dan tidak menjadi relevan lagi dalam jangka masa yang singkat ini.

Apa yang perlu dilakukan oleh DAP ialah untuk meneruskan pentadbiran kerajaan bersama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat secara adil dan berjuang habis-habisan untuk mengecilkan atau menghapuskan ketirisan yang berlaku dalam pentadbiran BN selama ini.

Walaupun ia memakan sedikit masa untuk memberikan bukti tentang ketelusan pantadbiran PR, ia akhirnya akan disedari oleh rakyat jelata, empunya negara yang kita semua cintai ini. Tiada siapa yang bertanggungjawab kepada negara kita selain dari kita rakyat yang ramai ini.