30 June 2012

Marina dan Ambiga 'bertambat bulu', Mahathir susah hati

Dalam politik anak dan bapa juga ada yang tidak sehaluan. Dalam interview Dr Mahathir dengan Mob TV, beliau telah menegur anaknya Marina supaya berhati-hati dengan tindak tanduknya (Marina) kerana tindak tanduk Marina itu akan menjejaskan parti pemerintah iaitu UMNO serta menjejaskan juga politik ahli keluarga beliau. Mahathir begitu sangsi akan tindakan Marina bergiat dan menyokong Bersih 3.0 dan Bersih yang sebelumnya itu akan menjejaskan politik adiknya Muhkriz.

Pandangan Dr Mahathir terhadap anaknya itu ada benar dan salahnya. Jika Mahathir lebih memikirkan politik peribadi dan keluarga beliau maka kata-kata beliau itu benar dan betul seratus peratus. Memang banyak pun yang memberi pandangan yang Mahathir ini tidak payah diambil pusing nasihat dan kata-katanya kerana anak beliau sendiri telah menunjukkan sikap ‘anti establishment’ dan Marina telah menunjukkan banyak contoh sikap tidak sehaluan dengan kerajaan BN sekarang ini.

Tetapi jika Mahathir mampu memandang dari sudut lain, iaitu sudut memperjuangkan kebenaran, apa yang dilakukan oleh Marina itu patut direstui oleh Mahathir kerana beliau sepatunya faham yang Marina itu adalah pejuang kepada tuntutan yang diperjuangkan oleh Bersih dan banyak NGO-NGO yang lain. Mahathir sepatutnya merasa bangga dengan ketegasan anak perempuannya itu jika beliau (Mahathir) mengakui kebenaran yang diperjuangkan oleh Marina itu.

Tetapi nampaknya Mahathir lebih cenderung untuk menjaga kepentingan politik anak lelakinya, Mukhriz dan beliau tidak pertimbangkan kebenaran yang diperjuangkan oleh Marina yang mendapat perhatian banyak pihak sambil memberikan sokongan kepada pejuang  reformasi pilihanraya itu.

Bagi Mahathir kebenaran dalam isu ini ialah menjadikan Mukhriz sebagai pemimpin politik besar dan sebesar mana pun kebenaran yang diperjuangkan oleh anak perempuannya Marina itu tidak mendapat perhatian beliau. Bagi Mahathir kebenaran itu ialah kuasa dan tidak yang lain. Mahathir semalam mengakui yang beliau akan menyokong Mukhriz jika UMNO menurunkan anak emasnya itu bertanding di salah satu kawasan DUN di Kedah untuk menjadi Menteri Besar Negeri Jelapang Padi itu.

Niat Mahathir untuk meninggalkan warisnya dalam politik tanah air itu sememangnya telah dihidu oleh semua orang dan pengakuan beliau itu tidak mengejutkan sesiapa. Malahan mata Mahathir akan tertutup rapat jika beliau meninggal dunia selepas melihat anaknya itu menjadi orang besar negara seperti beliau. Tuduhan ramai terhadap Mahathir yang beliau membuat ‘bising’ sekarang ini adalah untuk kepentigan keluarga beliau.

Mahathir tentunya mahukan anaknya menjadi seperti Najib dan Hishamuddin yang kedua-duanya adalah anak-anak kepada bekas Perdana Menteri negara. Jika Mahathir berjaya untuk menjadikan anaknya itu pemimpin besar dan akhirnya menjadi Perdana Menteri maka beliau akan berjaya untuk menyambung tradisi yang pemimpin-pemimpin yang akan datang  mesti datang dari keluarga bekas-bekas Perdana Menteri.

Itulah sebabnya Mahathir begitu marah apabila Mukhriz mendapat nombor tercorot dalam pemilihan Ketua Pemuda Malaysia apabila undi beliau jauh kebelakang daripada undi-undi yang diperolehi oleh Khairy dan Khir Toyo dalam pertandingan itu. Yang Mahathir marah sekali ialah terhadap menantu Pak Lah yang telah berjaya mendapatkan undi tertinggi dalam pemilihan Ketua Pemuda itu.

Akhirnya Marina sendirilah yang berhak untuk memilih di antara kebenaran atau politik adik beradik dalam isu ini. Jika Marina memilih untuk mencari kebenaran maka tindakan beliau sekarang amatlah benar dan betul.

Tetapi jika Marina memilih untuk mementingkan politik bapanya dan adik beradiknya eloklah beliau (Marina) mengikut sahaja kata-kata ayahanda beliau itu. Tetapi saya yakin Marina akan terus memilih kebenaran kerana saya rasa beliau tahu yang kebenaran itu akan timbul akhirnya.

Tetapi jika Marina mengikut kehendak bapanya itu janganlah putuskan hubungan baik dengan Ambiga yang telah terjalin begitu rapat selama ini. Marina dan Ambiga itu bersahabat baik. Baiknya Ambiga dengan Marina itu seperti orang ‘bertambat bulu’. Itu kata orang tua-tua dahulu.

28 June 2012

Pemuda tidak bergerak, Najib pula macam Syawal dalam Ahmad Albab

Beberapa orang bertanya kepada saya samada saya benar-benar yakin yang BN akan kalah dalam pilihanraya yang akan datang ini. Mereka bertanya samada saya hanya berkata-kata untuk menyedapkan hati saya. Mereka bertanya samada saya komited dengan apa yang saya katakan yang UMNO Baru akan tumbang dalam pilihanraya ini.

Jawapan saya senang sahaja. Yang pasti UMNO Baru sudah pun tumbang kerana sekarang ini kita tidak nampak lagi ciri-ciri UMNO yang ada pada UMNO Baru yang tertubuh pada bulan Februari 1998 itu. Nama UMNO itu memang ada tetapi UMNOnya sudah tidak ada lagi.

Jika benar UMNO itu masih ada, kita tidak akan mengalami keadaan kegusaran di kalangan pemimpinnya kerana UMNO itu pada hakikatnya merupakan parti baik pada asalnya. Tetapi segala apa yang ada pada asasnya dalam UMNO itu sudah tidak wujud lagi. Jika UMNO itu masih wujud pilihanraya sepatutnya telah diadakan tetapi oleh kerana ‘attribute’ UMNO itu sudah tidak wujud lagi maka pilihanraya masih belum dapat di adakan.

Saya berkata demikian kerana UMNO yang hakiki itu tidak takut untuk memanggil pilihanraya kerana UMNO itu mempunyai ‘attribute’ yang baik pada asalnya dan rakyat tidak teragak-agak untuk menyokongnya. Tetapi parti yang bernama UMNO sekarang ini sentiasa dalam kegelisahan untuk menghadapi rakyat dan jika ia berada di dalam kegelisahan itu bukannya UMNO.  UMNO itu hanya wujud pada kulitnya sahaja.

Lagi pula kita boleh lihat sekarang, kita  tidak melihat ahli-ahli UMNO memakai baju-T parti itu lagi. Tidak seperti dulu.. ahli-ahli UMNO sendiri malu untuk mengenakan baju-T parti itu kerana mereka tahu parti itu menjadi alat dan bahan lawak oleh rakyat yang sudah bermaklumat. Mereka tidak lagi memandang tinggi kepada UMNO itu dan ini disedari oleh pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti itu sendiri.

Kalau dahulu anak-anak muda berbangga mengenakan pakaian yang berlambangkan UMNO tetapi kini mereka tidak mahu mengenakan pakaian berlambangkan UMNO itu dikhalayak ramai. Selalunya apabila ‘mood’ pilihanraya sampai anak-anak muda akan mengenakan pakaian UMNO itu dengan bangga dan megah.

Sekarang ini pemuda-pemuda UMNO sendiri menyorok-nyorok apabila mengenakan pakaian UMNO itu. Ini  merupakan keadaan yang sangat berlainan semasa dahulu. Itulah sebabnya saya katakan UMNO itu sudah mati dan tidak bernyawa lagi. Dalam pada kita sedang tertunggu-tunggu pilihanraya ini, kita tidak mendengar suara Ketua Pemuda nya akhir-ahir ini.

Saya kadang-kadang tidak teringat kepada Ketua Pemuda UMNO Kebangsaan kerana sudah lama kita tidak mendengar suaranya sekarang ini. Dalam pengalaman dahulu, dalam keadaan  sekarang pemuda itulah yang nampak bergerak dan bergiat di mana-mana. Jika scenario ini berterusan maka saya berkeyakinan yang UMNO akan menjadi sejarah tidak lama lagi. Ketua Pemuda UMNO tidak nampak dimana-mana akhir-akhir ini. Mungkin beliau tidak berapa sihat agaknya.

Kita tidak nampak lagi pemuda-pemuda di cawangan-cawangan bergerak seperti dahulu. Yang bergerak sekarang hanyalah Presidennya dan kadangkala Timbalam Presidennya sahaja. Bagaimana sebuah parti yang mengaku gagah  perkasa tidak bergerak diperingkat akar umbi?

Sekarang ini hanya Najib sahaja yang berusaha melakukan semua kerja sedangkan ahli-ahli dan pimpinan di bawah tidak berbuat apa-apa.. Najib ini seperti peranan Syawal ibni Zulkaedah di dalam filem arahan P. Ramlee, Ahmad Albab… semua kerja Syawal yang buat..Najiblah manager, Najib jugalah postman, Najib jugalah kerani dan Najib jugalah jadi jaga! Syawal berkahwin dengan Mastura dengan mas kawinnya FREE.

UMNO mempunyai ahli seramai 3.3 juta orang, tetapi tidak bergerak diperingkat akar umbi. Jadi UMNO itu ibarat seorang yang gemuk dan mempunyai tubuh yang besar tetapi mereka tidak dapat bergerak kerana berat badan yang keterlaluan. Ia seolah-olah seorang badan yang besar tetapi apabila berjalan mengheret kaki dan tidak berdaya untuk membuka langkah.

Sesungguhnya UMNO mampu jika pemimpin-pemimpin sekarang mahu berkorban untuk menyelamatkan parti itu. Tetapi semua tahu yang mereka (pemimpin-pemimpin) tidak mahu berkorban untuk keselamatan parti mereka. Mereka sanggup melihat parti mereka tersungkur, namun untuk berkorban tidak sekali.

Barisan pimpinan tertinggi UMNO masih dalam ‘denial syndrome” dan tidak mahu mengaku yang mereka sedang ditolak oleh rakyat yang mengundi. Keahlian yang ramai berjuta orang itu tidak dapat membantu pimpinan untuk memenangkan UMNO itu. Malah keahlian yang ramai itu menjadi beban kepada parti itu dengan masalah dalaman yang berlaku disetiap peringkat parti itu.

Jika keahlian yang ramai itu boleh diharapkan untuk memenangkan UMNO tidak mungkin parti itu menjadi sebegini lemah. ‘Bottom line’nya ialah apakah keputusan rakyat apabila sampai dalam bilik mengundi itu.

Apabila sampai dalam bilik mengundi, semasa itu tidak ada lagi ahli UMNO atau apa-apa parti sekali pun. Pengundian akan digerakkan oleh perasaan yang ada dalam naluri masing-masing pengundi.

Kita mesti ingat seramai 1.5 juta ahli UMNO memilih untuk menyokong calon pembangkang dalam PRU yang lalu. Apakah UMNO mampu untuk menghalang perkara yang sama dari berlaku dalam PRU yang akan datang ini? ‘Intuition’ saya berkata tidak ada siapa yang mampu untuk menghalang ahli-ahli UMNO memberikan undi kepada calon pembangkang.

Najib dan Muhyiddin tidak mampu untuk menghalangnya walaupun berbagai-bagai cara untuk membeli perasaan rakyat sedang dilakukan oleh mereka. Kebarangkalian andaian saya ini salah adalah kecil. Walau bagaimana sesiapa pun boleh tidak bersetuju dengan pandangan saya ini.

Saya bukan orang pandai tetapi pengalaman menghadapi isu ini ada sikit-sikit kepada saya dan ramai lagi dari kalangan orang UMNO sendiri. Begitulah jawapan saya kepada beberapa orang yang bertanya saya semalam.

27 June 2012

Ambiga 'ayam tambatan' kepada transformasi pilihanraya negara

Datuk Ambiga Sreenevasan, Pengerusi bersama Bersih 3.0, sudah menjadi seorang yang paling popular dan beliau sudah pasti menjadi seorang yang ‘of consequence’ dalam politik negara kini. Ambiga bukan seorang ahli politik dan beliau tidak bercadang dan terfikir untuk  berkecimpung dalam arena yang beliau tidak pandai untuk turut serta.

Beliau merupakan ketua kepada sebuah NGO yang inginkan pilihanraya diadakan dan dilaksanakan secara bersih. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab,  beliau bersama rakan-rakan beliau dan disokong oleh majoriti rakyat yang inginkan satu pilihanraya bersih, secara tidak langsung beliau merupakan seorang yang paling berpengaruh dalam negara kita.

Perjuangan beliau di dalam NGO Bersih itu mendapat pengiktirafan antarabangsa dan beliau telah mendapat beberapa anugerah di atas peranan beliau dalam membina sebuah masyarakat yang ‘civil’. Beliau mendapat penghormatan untuk bertemu dengan Presiden Obama dari  Amerika Syarikat yang  tidak mudah di perolehi oleh ramai pemimpin negara kita. Dr Mahathir sendiri terpaksa menggunakan ‘lobbyist’ ternama dan terpaksa membayar ber‘million’ ringgit untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat suatu ketika dahulu.

Tetapi oleh kerana Ambiga adalah rakyat Malaysia dan ditadbir oleh UMNO Baru pula, Ambiga menjadi sasaran dan kecaman dari pihak pemerintah negara kerana di Malaysia ini, sesiapa yang tidak sehaluan dengan tindakan kerajaan, berpotensi untuk dihina dan dinesta. Yang terakhir sekali, seorang ahli Legislatif UMNO Baru , Mohamad Aziz, telah meminta Ambiga digantung kerana bertindak mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 hb April yang lalu.

Di negara kita membuat tuntutan yang asas bagi membina demokrasi yang sebenarnya akan dianggap sebagai petualang. Pihak pemerintah telah melakukan banyak perkara yang  tidak senonoh tetapi mereka tidak boleh dipanggil petualang. ‘Superlatives’  yang buruk-buruk itu hanya untuk pemimpin pembangkang dan individu yang tidak bersetuju dengan kerajaan. ‘Saying right things is totally forbidden under BN rule’ kata seorang sahabat saya yang agak ‘learned’ orangnya.

Kenyataan seorang ahli Legislatif dari Sri Gading yang mahu Ambiga digantung dua hari yang lepas, mendapat reaksi yang hangat dari banyak pihak termasuk dari MIC, parti komponen BN sendiri. Presiden MIC sendiri telah membidas Mohamad Aziz kerana kenyataan beliau itu. Tingkah laku Mohamad Aziz itu amat buruk sekali dan tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang menjadi ahli kepada dewan legislatif yang mulia itu.

Tetapi di dalam Dewan Parlimen itu bukan Mohamad Aziz sahaja yang mempunyai moral rendah seperti beliau (Mohamad) tetapi memang kita nampak beberapa orang lain yang duduk di dalam Parlimen untuk menunjukkan ketololan mereka. Mereka-mereka ini mempunyai mulut yang terlalu cepat dari keupayaan berfikir. Sikap dan perangai mereka itu sedikit sebanyak telah merendahkan martabat ahli-ahli Legislatif dari BN itu sendiri kerana BN lah yang mencalunkan mereka untuk duduk dalam Dewan Parlimen itu dalam pilihanraya yang lalu.

Saya sendiri begitu ‘conclusive’ dalam memberikan persepsi yang agak ‘drastic’ tentang budaya dalam UMNO Baru itu. Di dalam UMNO Baru itu bukan tidak ramai yang bertaraf bijak pandai. Ada peguam yang bertaraf Phd dan ramai lagi yang setaraf dengannya. Tetapi jika kita lihat sepandai mana pun mereka atau setinggi mana pun kelulusan mereka itu mereka akan menjadi lesu dan kadangkala menjadi bodoh apabila bergiat di dalamnya.

Seorang yang berfikiran tajam akan bertukar menjadi seorang  yang mempunyai  daya pemikiran yang tumpul apabila menyertai UMNO Baru dan diberi pula jawatan-jawatan yang besar-besar di dalam kerajaan.

Tetapi pemikiran rakyat telah berkembang jauh kehadapan dari pemikiran ahli-ahli UMNO Baru lebih-lebih lagi kepada pemimpin-pemimpin mereka. UMNO Baru selama ini tidak berusaha untuk mencari kepimpinan yang bersih kerana pimpinan yang bersih tidak akan membenarkan mereka melakukan perkara-perkara yang berbentuk jenayah terhadap rakyat yang terus-menerus berlaku sehingga kehari ini.

Di dalam sanubari rakyat sekarang mereka berkata-kata, ‘enough is enough. And let's go for a change, a complete change’ Rakyat dahagakan perubahan. Dalam rakyat mahu melihat perubahan maka adalah ‘natural’ seseorang yang telus dan berani seperti Ambiga itu akan menjadi termasyur dan menjadi contoh kepada mereka (yang inginkan perubahan).

Jika ada ketidakadilan yang dilakukan terhadap Ambiga,  penentangan rakyat terhadap pihak yang berkuasa akan terus bertambah dan bercambah. Selagi Ambiga masih bertegas untuk mendapatkan pilihanraya yang adil dan saksama, orang ramai akan tetap menyokong beliau.

Cadangan supaya Ambiga dihukum gantung itu pandangan orang tidak siuman

Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April yang lalu telah menjadi mimpi ngeri pihak kerajaan BN. Perhimpunan itu telah berlalu begitu lama tetapi rasa ngeri dan gerun itu masih lagi tidak susut.dan ramai pemimpin UMNO Baru masih lagi menunjukkan perasaan takut mereka.

Perhimpunan itu tidak lebih daripada menuntut perkara yang ‘basic’ dalam pilihanraya yang lazim diamalkan oleh mana-mana kerajaan yang demokrasi. Oleh kerana Kuala Lumpur telah dibanjiri oleh tiga ratus ribu lautan manusia yang memberikan sokongan untuk pilihanraya yang bersih mereka (UMNO) Baru tidak dapat menyorokkan rasa takut mereka. Tetapi hakikatnya sekarang ini UMNO memang ada sebab untuk berasa takut, kerana parti itu akan mengalami kekalahan jika tidak dilakukan tindakan yang ‘unorthodox’ untuk menyelamatkan parti itu.

Rasa takut dan ngeri itu begitu jelas sehinggakan pemimpin-pemimpin besar UMNO Baru termasuk Dr Mahathir menuduh perhimpunan itu adalah bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan demonstrasi jalanan. Semua orang tahu bahawa kekecohan itu dimulakan oleh pihak polis dengan menggunakan agen ‘provocateurs’ untuk memulakan tindakan ganas polis itu.

Dengan melakukan itu dapatlah mengalihkan kesalahan kepada penganjur Bersih yang mereka (penganjur) telah melakukan usaha menggulingkan kerajaan dengan cara ganas. Bagi saya hanya orang yang berjiwa kecil dan pengecut sahaja sanggup memberikan tuduhan buruk itu kepada penganjur dan peserta perhimpunan itu.

Kalau cerita ini dibuat 20 tahun dahulu mungkin ia termakan oleh orang ramai, tetapi sekarang ini adalah zaman maklumat dan tidak semudah itu untuk UMNO Baru dan kerajaan untuk mengalihkan kesalahan itu kepada pihak lain. Walau bagaimana pun masih ada sebahagian kecil yang percaya tentang cerita yang dibuat oleh pimpinan negara pada hari ini dan kita tidak boleh berbuat apa-apa. Memang ada kumpulan yang seronok dibohongi dan suka menyokong orang yang membohongi mereka itu.

Yang terakhir semalam kita terbaca seorang ahli Parlimen yang bernama Mohamad Aziz meminta Ambiga Sreenevasan, penganjur perhimpunan Bersih 3.0, digantung sampai mati kerana kononnya telah melakukan ‘treason’ terhadap negara dengan mengadakan perhimpunan untuk menjatuhkan kerajaan melalui kekerasan. Mohamad Aziz berkata yang Datuk Ambiga telah melakukan ‘treason’ kerana cuba menjatuhkan kerajaan Yang diPertuan Agong.

Kita tahu Mohamad Aziz sedang cuba untuk mendapatkan tempat dalam pilihanraya dan beliau bertindak menunjuk garang bagi pihak parti dan pemimpinnya di atas sana. Tetapi sepatutnya tidaklah sampai ke tahap sebegitu rendah dengan membuat cadangan yang tidak masuk akal itu. Carilah jalan lain untuk mendapat perhatian pucuk pimpinan parti beliau.

'Treason' terhadap negara memang satu kesalahan besar, tetapi tidaklah sampai penganjur perhimpunan Bersih pun dianggap sebagai kesalahan ‘treason’. Sesungguhnya apa juga keburukan yang dilakukan terhadap kerajaan Yang di Pertuan Agong itu secara moralnya adalah tindakan ‘treason’.

Rasuah yang berluas-luasa yang dilakukan oleh pimpinan kerajaan itu juga merupakan ‘treason’ terhadap negara dan Yang di Pertuan Agong. Mencuri wang kerajaan adalah satu kesalahan besar terhadap negara dan Yang di Pertuan Agong. Kalau begitu Ahli Parlimen Sri Gading itu patut seru supaya diambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin-pemimpin yang rasuah kerana itu merupakan tindakan ‘treason’ terhadap negara dan rakyat yang di bawah naungan Yang di Pertuan Agong itu.

Membeli alat persenjataan negara kita dengan harga yang berganda untuk mendapatkan komisyen besar misalnya adalah satu tindakan ‘treason’ terhadap negara. Meluluskan pinjaman beratus juta dari rakyat untuk memilihara lembu tetapi digunakan wang pinjaman itu untuk membeli hartanah dan kondominum itu lebih besar kesalahan kepada negara dan mereka juga perlu diambil tindakan kerana melakukan jenayah ‘treason’ terhadap negara.

Menggunakan wang rakyat hampir dua billion ringgit untuk menyelamatkan perniagaan anak itu merupakan tindakan ‘treason’ dan pemimpin ini juga patut diambil tindakan terhadap beliau.

Pendeknya apa-apa tindakan yang rasuah itu adalah tindakan ‘treason’ dan mereka wajar diambil tindakan undang-undang kerana jenayah ini. Mohamad Aziz patut melakukan instropeksi diri sendiri. Manalah tahu jika ada kesalahan-kesalahan besar yang beliau sendiri lakukan itu sebagai ‘treason’.

Oh ya, satu lagi yang Mohamad Aziz patut lakukan ialah untuk membawa Dr Mahathir dan keseluruhan pimpinan UMNO Baru yang telah menderhaka kepada Raja-Raja Melayu dalam krisis perlembagaan pada tahun 1993 dahulu. Kejadian itu merupakan insiden yang tidak ada tolok bandingnya terhadap negara yang dilakukan oleh UMNO Baru semasa parti itu terdesak pada tahun 1993 itu.

Untuk pengetahuan pemimpin-pemimpin UMNO Baru yang suntuk fikiran, Bersih 3.0 itu telah menggariskan lapan tuntutan untuk pilihanraya yang bersih dan adil. Tunaikan tuntutan itu, serah kepada rakyat untuk memilih dalam pilihanraya nanti.

Bagi PR jika kalah mereka tidak akan melakukan kerja ganas tetapi kecenderungan pihak BN yang melakukan keganasan jika kalah dalam pilihanraya itu jelas ada. Sekarang pun penyokong-penyokong UMNO Baru pun sudah mula melakukan tindakan jenayah melalui budaya ‘gangsterism’. Itu mereka (BN) belum kalah lagi. Kalau benar-benar kalah nanti tidak tahu apa pula jenayah yang mereka akan lakukan.

Sudah menjadi ‘attribure’ UMNO Baru dan BN; semasa berkuasa melakukan jenayah, apabila hilang kuasa pun kecenderungan untuk melakukan jenayah itu pun sudah mula kita lihat di banyak tempat di negara kita sekarang.

26 June 2012

Hanya 'mutu mengenal manikam', bukannya 'Muthu mengenal Maniam'

Saya bersetuju dengan Dr Mahathir bahawa kita tidak perlu mengikut jejak cara Arab Spring untuk menjatuhkan kerajaan, kerana di antara Malaysia dan negara-negara arab itu berbeza. Di negara-negara arab itu tidak ada demokrasi dan saya bersetuju dengan Dr Mahathir itu.

Kita tidak mahu terjadinya Arab Spring di sini untuk mendapatkan kuasa. Kita memilih untuk mendapatkan kuasa melalui pengiraan undi di dalam pilihanraya yang diadakan secara demokratik. Tidak ada siapa yang mahukan kekecohan dalam politik ini, lebih-lebih lagi pihak pembangkang.

Kerana tidak mahu berlakunya Arab Spring itulah, rakyat mendesak kerajaan untuk membetulkan sistem pilihanraya di negara kita ini. Negara kita telah melalui pilihanraya demi pilihanraya sejak merdeka tetapi rakyat sekarang sedar bahawa sistem pilihanraya dan demokrasinya yang telah terlaksana selama ini tidak sampai ke tahap yang munasabah. Ianya berat sebelah dan sentiasa memberikan kelebihan kepada BN sahaja.

Pihak kerajaan yang ‘incumbent’ tidak mahu melaksanakan sistem pilihanraya dengan betul kerana sistem yang betul akan menjatuhkan keyakinan rakyat terhadap BN dan akhirnya akan kehilangan kuasa yang mereka tamakkan selama ini. Rakyat tidak mendapat penerangan dengan adil kerana kerajaan tidak membenarkan parti pembangkang untuk menyampaikan perancangan dan kempen mereka melalui media massa perdana contohnya.

Di setiap pilihanraya pihak pembangkang tidak dapat bertanding dan bersaing di atas ‘level playing ground’ dan ini tidak lagi disukai rakyat yang kian hari kian bermaklumat dan pandai menilai baik buruk setiap pihak; tidak kira parti yang memerintah atau pun parti yang membangkang. Dalam pada pihak kerajaan menghambat segala maklumat dan pengetahuan kepada rakyat, pihak pembangkang dapat juga memenangi empat buah negeri-negeri di Semenanjung Malaysia ini dan telah mampu memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang ditadbir oleh BN.

Tidak ada sesiapa pun mahukan cara mengambilalih kuasa dengan mengikut cara Arab Spring itu dan itulah sebabnya kerajaan sepatutnya memberikan keadilan kepada pihak pembangkang untuk merapati rakyat untuk memberikan pilihan kepada rakyat untuk menilai pihak mana yang lebih bersesuaian mengikut keadaan semasa pilihanraya itu diadakan.

Dr Mahathir berkata rakyat tidak perlu melakukan peralihan itu sambil beliau bertanya, ‘buruk sangatkah BN sekarang ini?” jawapannya ada kepada rakyat... Mahathir mungkin kata BN itu lebih baik daripada Pakatan Rakyat. Tetapi itu pandangan Dr Mahathir. Pandangan rakyat mungkin lain pula. Itulah sebabnya kerajaan sepatutnya melaksanakan pilihanraya ini dengan adil dan saksama supaya rakyat dapat mengadili keadaan semasa itu nanti.

Apabila rakyat dibenarkan untuk mendapatkan maklumat secara adil, maka mereka (rakyat) boleh memberikan penilaian samada untuk mendengar kata-kata atau kempen Dr Mahathir atau untuk mendengar pandangan pihak pembangkang. Yang pentingnya dalam demokrasi setiap rakyat mesti diberikan peluang untuk mendengar pandangan dari kedua-dua belah pihak secara bebas dan beretika.

Kalau media itu adil maka pembangkang tidak payah berkempen dan berceramah dan BN pun tak payah untuk membawa pemimpin-pemimpin besarnya berkempen dengan ‘aggressive’ di setiap tempat kerana jika BN berkempen ia adalah kempen yang sangat mahal harganya dan ia melibatkan wang rakyat.

Contohnya, apabila Najib dan Muhy melawat dan berkempen di Perak sahaja, belanja untuk membeli karipap sahaja memakan belanja puluhan ribu ringgit. Karipap-karipap itu tidaklah tembam macam mana pun. Itu tidak termasuk belanja untuk menaikkan khemah dan sewaan bas yang beratus buah untuk membawa orang ramai datang mendengar temberangnya disetiap tempat beliau melawat. Jumlah perbelanjaannya sampai ke tahap jutaan ringgit.

Oleh itu Dr Mahathir jika benar beliau jujur beliau sepatutnya meminta pimpinan yang ada sekarang memberikan liputan yang adil di antara pihak kerajaan dan pembangkang. Tetapi beliau sendiri tidak mahu melakukan perkara yang baik ini kerana pihak yang memerintah begitu banyak perkara yang hendak dilindungi dari pengetahuan rakyat. Apabila kita tuduh begitu Mahathir dan pimpinan yang ada sentiasa menafikan yang kerajaan tidak ada apa yang hendak diselindungkan.

Jika tidak ada apa yang hendak diselindungkan apa perlu takut dengan liputan diberikan kepada pihak pembangkang. Tetapi pimpinan BN akan berkata yang pembangkang akan membuat fitnah melalui media massa perdana itu. Jika benar pembangkang membuat fitnah bukankah itu baik untuk BN kerana pembangkang melakukan fitnah itu melalui media massa perdana yang ditonton oleh semua rakyat. Apa yang kerajaan takut sangat?

Saya tidak menjangka yang BN yang berkuasa sekarang ini akan memberikan kelonggaran ini, tetapi insyaallah kebenaran akan timbul juga akhirnya. Malahan sekarang rakyat nampak pembohongan BN dan pemimpin-pemimpin mereka melalui media massa perdana itu dan itu sahajalah tempat pembangkang untuk berpaut. Pembangkang tahu dan berkeyakinan yang media massa perdana itu ‘bias’, justeru apa pun yang dikatakan oleh mereka melalui media massa arus perdana itu sudah dianggap sebagai pembohongan oleh kebanyakan rakyat.

Kepada Dr Mahathir, beliau tidak perlu khuatir akan datangnya cara Arab Spring untuk mengambilalih kuasa dari BN itu. Itu tidak mungkin terjadi di sini kerana rakyat mahukan pengambilalihan kuasa itu melalui pilihanraya yang adil dan saksama.

Jika Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh, beliau sepatutnya mendesak supaya kerajaan menerima dan melaksanakan lapan tuntutan Bersih 3.0 yang lalu. Tetapi kita tahu mereka (BN) tidak akan memenuhi tuntutan-tuntutan itu. Sedangkan tanpa memenuhi tuntutan itu pun BN akan tewas apatah lagi jika mereka secara “gentleman’ memenuhi tuntutan itu.

Apa yang dikatakan oleh Mahathir itu benar, tetapi beliau jugalah yang tidak akan bersetuju untuk melaksanakan pilihanraya secara bersih kerana sudah terlalu biasa mendapat kuasa melalui cara yang tidak bersih.

BN menganggap jika mereka boleh mendapat kuasa melalui cara kotor, apa perlunya mendapatkan secara bersih? Yang pentingnya mendapatkan kuasa dengan cara apa pun seperti yang dijanjikan oleh Najib beberapa bulan dahulu.

Hanya kali ini rakyat diharap mampu menilai pihak mana yang lebih baik. Bak kata perpatah, ‘hanya mutu mengenal manikam’, bukannya ‘Muthu mengenal Maniam”.

24 June 2012

Ali Hamsa! Lepaskan jawatan KSN, bertanding atas tiket BN!

Baru sehari dua menjadi Ketua Setiausaha Negara )KSN) Dr Ali Hamsa sudah bercakap politik,  sedangkan beliau adalah ketua kepada 1.4 juta perkhidmat awam yang sepatutnya tidak menyebelahi mana-mana pihak dan bekerjasama dengan sesiapa atau mana-mana parti yang dipilih rakyat. Kakitangan kerajaan merupakan pelaksana kepada apa-apa dasar yang telah digubal oleh sesiapa yang memerintah yang diberikan mandat oleh rakyat.

Dr Ali menyeru kepada semua kakitangan kerajaan supaya memberikan sokongan kepada kerajaan yang ada pada hari ini dan jangan mendengar janji-janji kosong dari pihak pembangkang. Walaupun beliau berasa berterima kasih kepada kerajaan kerana dijadikan KSN manggantikan KSN yang lama ia tidak bermakna Dr Ali boleh menafikan hasrat rakyat yang ramai yang merupakan empunya kepada negara ini.

Penjawat awam itu pun kepunyaan rakyat dan dibayar gaji mereka oleh rakyat termasuk gaji Dr Ali itu sendiri. Penjawat awam seperti Dr Ali ini nampaknya mesti melalui kurusus sivik yang asas untuk memahami apakah jenis negara dan sistem yang ada yang beliau akan tadbir ini.

Malaysia tidak lagi mempunyai KSN sehebat Abdullah Ayub, Abd Kadir Shamsuddin, dan beberapa orang yang lain semasa pentadbiran Mahathir Mohamad. Dari menjadi seorang yang ‘impartial’ Ali Hamsa menjadi seorang ahli politik. Jika begitulah keadaannya maka kita layan KSN ini sebagai seorang ahli politik.

Seruan yang pertama saya jika didengari elok Ali Hamsa meletakkan jawatan dan bertanding diatas tiket BN dan berkempen keseluruh negara untuk membuktikan yang parti pembangkang memberi janji kososng. Inilah yang menyebabkan kerajaan sekarang sudah menjadi haru biru kerana mereka bercakap tentang isu yang mereka tidak sepatutnya bercakap.

Sekarang kita lebih diyakini bahawa kita mempunyai sebab yang lebih besar kenapa BN mesti ditolak oleh rakyat kali ini. Sikap seorang penjawat awam berpangkat KSN ini amat memalukan. Mentang-mentanglah beliau melangkahi ramai penjawat awam yang lebih berkelayakkan dari beliau, beliau memilih untuk mengampu dan membodek pimpinan yang ‘incumbent’.

Kita ingatkan apabila Sidek bersara,  kita akan mendapat seorang KSN yang lebih mulia tetapi nampaknya hari demi hari kita mendapat pentadbir yang lebih keliru seperti beliau (Sidek).

Segala-galanya sudah menyimpang jauh. Pastikanlah yang PRU13 ini akan mengubah segala-galanya. Setidak-tidaknya kita akan ganti seorang KSN yang tidak sewel seperti ini.

23 June 2012

Kita perbaiki kelemahan kita sendiri untuk kebaikan perjuangan

Bertemu rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa merupakan salah satu keseronokan yang saya alami sejak kembali keluar ke merata tempat dan negeri di dalam negara dalam siri memenuhi jemputan berceramah. Di mana-mana saja saya pergi, saya menemui sahabat-sahabat lama yang kadangkala saya sudah tidak mengenali mereka kerana sudah dua dekad tidak berjumpa. Saya berasa sangat bersemangat apabila mereka menunggu saya di lapangan terbang untuk menjemput saya ke tempat-tempat ceramah yang telah ditetapkan.

Semalam saya telah dihubungi oleh Dato' Rosli Ibrahim, seorang pemimpin PAS dan bekas ADUN di Kelantan. Kami sudah tidak berhubung selama dua puluh tahun dan beliau memanggil saya untuk datang memberikan penerangan tentang penyertaan saya dalam DAP kepada orang ramai di kawasan Melor. Beliau meminta saya untuk memberikan penerangan dan mengatasi isu PAS dikudakan DAP dan DAP mengudakan PAS seperti yang dihebohkan dan diisukan oleh pihak BN itu.

Selain daripada seronok menjawab isu-isu berbangkit apa yang menyenangkan saya ialah saya dapat menemui ratusan malahan ribuan rakan-rakan lama. Di antara mereka ada yang sudah bergelar dan bernama, ada yang masih seperti biasa tetapi yang lebih saya gembira ialah mereka mudah untuk menerima penerangan saya tentang isu-isu yang berkaitan dengan DAP dan Melayu yang telah dijadikan isu oleh pihak yang sedang berkuasa.

Tidak ramai yang menentang tentang penyertaan saya dalam DAP malahan mereka mudah untuk menerima hakikat yang kita tidak boleh menjadikan isu rasis sebagai isu lagi. Kita tidak akan mendapat negara yang aman jika kita tidak membuangkan perasaan yang rasis kerana isu rasis ini adalah isu yang digunakan oleh pihak pemerintah untuk mendapatkan sokongan bulat orang Melayu. Bagi saya hanya pihak desperado sahaja yang bergantung kepada isu rasis ini.

Rakan-rakan saya yang menanti saya di mana-mana sekali pun mengakui bahawa pihak pemerintah sekarang dalam keadaan panik kerana mereka tidak dapat menyelesaikan isu krisis keyakinan yang BN sedang hadapi. Rakan-rakan saya ini mengakui yang BN menghadapi isu krisis kepimpinan ini dengan tidak dapat mencari jalan penyelesaiannya.

Bagi sesuatu pihak yang tidak dapat menyelesaikan isu kepimpinan ini, ianya memberikan jawapan yang jelas kepada kita. Ianya menunjukkan bahawa mereka sebenarnya tidak tahu apa masalah yang dihadapi oleh rakyat. Apabila kita tidak tahu masalah yang timbul adalah mustahil bagi kita untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Kita mesti faham apa masalah sebenarnya sebelum kita berfikir untuk menyelesaikannya. Itulah saya selalu berkata yang pimpinan BN hari ini sudah hilang hidayah dan punca bagaimana untuk terus mentadbir negara dengan baik. “We must understand problems up to specific first before we even start thinking of solving it”. Itu kata-kata pengkaji subjek pengurusan yang semua pihak faham.

Saya tidak lupa menyatakan kepada sahabat-sahabat yang ribuan yang kembali menemui saya bahawa krisis yang dihadapi oleh pimpinan BN hari ini bukan sahaja dalam kepimpinan parti mereka. Mereka juga sedang menghadapi krisis keyakinan terhadap agama yang mereka anuti. Apa tidaknya? Mereka sudah tidak berapa yakin yang kita orang Islam percaya kepada adanya pahala dan dosa serta ada neraka dan syurga.

Jika mereka tidak mempunyai krisis terhadap keyakinan tentang adanya syurga dan neraka ini, mereka tidak akan melakukan rasuah dan salahguna kuasa. Mereka telah cuba difahami oleh agama kita yang rasuah itu besar dosanya dan ia sama seperti kita memakan daging saudara kita sendiri.

Apabila kita tidak yakin terhadap agama kita sendiri bagaimanakah pimpinan berjaya untuk mendapatkan keyakinan terhadap mereka? Mereka tidak mahu menerima dan meyakini diri mereka yang semua agama pun menyeru kepada nilai-nilai baik.

Itu sebabnya kita melihat bahawa kerajaan Pulau Pinang amat dicemburui oleh pihak pimpinan kerajaan sebelumnya kerana kejayaan pimpinan PR negeri itu melaksanakan kepimpinan mengikut kehendak Islam dan agama-agama yang lain yang meningkatkan nilai-nilai ‘spiritual’ kepada kepimpinannya. Jika saya berkata begini ada pihak yang berkepentingan akan menafikannya dan mengkritik saya.

Bagi saya parti dan ahli sepatutnya memberikan sumbangan terhadap masing-masing. Sebagai seorang bekas ahli UMNO yang telah begitu lama dalam parti itu tentulah banyak budaya dan nilai parti itu yang masih terlekat kepada diri saya. Oleh itu saya tentulah terpaksa melakukan ‘adjustment;’ dengan budaya yang ada dalam DAP itu dan parti tentulah akan memberikan dan membentuk diri saya dengan nilai dan budaya parti itu.

Saya sanggup untuk membuat ‘adjustment’ tersebut kerana keyakinan saya terhadap parti itu yang telah membuktikan kebaikan sebagai parti yang akan bersama-sama mentadbir negara dengan baik dan adil. Saya menyebut ini kerana saya serius dalam memperjuangkan sebuah negara yang kepimpinan yang beretika dan bersih dari rasuah yang begitu serius ‘consequence’nya jika tidak diperbaiki.

Saya bersama rakyat yang ramai untuk melepaskan kerinduan untuk hidup di dalam sebuah negara yang bersih daripada elemen yang buruk ini yang akhirnya akan membunuh tamadun yang telah terbina selama ini.

Berbalik kepada perjumpaan dengan ramai rakan-rakan karib di seluruh negara ini saya tidak lupa untuk bercakap dan berbincang tentang isu ini. Setakat yang saya alami sejak empat lima bulan yang lepas saya mempunyai keyakinan yang mereka menilai dan memberikan tumpuan untuk mendengar pandangan saya dan saya tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan dorongan dan sokongan daripada mereka.

Insyaallah selagi tubuh badan dan pemikiran saya masih sihat saya rela untuk menghabiskan masa dan waktu untuk memperjuangkan usaha untuk mendapatkan sebuah pentadbiran yang baik serta bersih daripada segala elemen-eleman negatif yang selalu memperdayakan rakyat yang ramai ini.

Selari dengan itu saya sendiri sedia untuk memperbaiki segala kelemahan yang jika ada dalam diri saya sendiri. Bersama-sama kita untuk memperbaiki diri kita sendiri serta kebaikan perjuangan untuk memperbaiki keadaan politik dan siasah negara.

22 June 2012

Kekalahan BN bukan perkara pelik

Sesudah lima puluh empat tahun berkuasa dan bermaharajalela, UMNO Baru akan sampai ke penghujungnya dan sudah terlalu banyak dalil dan tanda-tanda yang menunjukkan ia akan berlaku. Tidak payah disebut dan diulangi kali ini kerana kenyataan itu sudah dirasai oleh ramai rakyat dan ia dirasakan di dalam naluri mereka yang memerhati keadaan ini.

Ia tidak usah disedihkan kerana ia perlu berlaku bagi menjauhkan negara daripada terjerumus ke lembah kerosakan kepada budaya politik negara kita yang kita sayangi ini. Parti Liberal Demokrat Jepun (LDP) telah tumbang setelah memerintah negara matahari terbit itu selama lima puluh tahun.

LDP merupakan parti yang telah berjasa kepada negara Jepun. LDPlah yang telah membangunkan Jepun dengan begitu pantas setelah negara itu mengalami kekalahan yang menghinakan dalam peperangan dunia ke-2 dahulu. Negara Jepun yang telah hancur lebur hasil dari ledakan bom atom di Hiroshima yang menjadi penyebab kepada kekalahan Jepun itu, telah dibangunkan kembali oleh LDP sehinggakan Jepun menjadi kuasa ekonomi yang besar di dunia ini.

Jasa LDP kepada negaranya begitu ‘quantifiable’ kerana dalam tempoh lima dekad dalam pentadbiran dan pemerintahan parti LDP itu, Jepun telah menebus kekalahan yang dialaminya yang begitu hina, menjadi sebuah negara yang tidak boleh ditinggalkan dalam segala urusan antarabangsa, khususnya dalam bidang ekonomi dan perdagangan antarabangsa. Keributan kecil di Jepun boleh menjejaskan keadaan ekonomi dan seterusnya politik dunia, lebih-lebih lagi rantau Asia ini.

Pemimpin LDP tahu dan faham apa yang mereka lakukan dan mereka tidak melakukan sesuatu tindakan itu berdasarkan kepada politik kepartian semata-mata. Jepun khususnya pimpinan LDP membangunkan negara bukan kerana diasaskan kepada kepentingan kepartian LDP semata-mata tetapi berdasarkan kepada matlamat yang ‘ultimate’ bagi rakyat dan negara iaitu untuk mencapai pembangunan negara (nation building) dalam erti kata yang sebenarnya.

Negara Jepun setelah mengalami kekalahan peperangan dunia kedua tidak menunggu lama untuk memperbaiki keruntuhan hasil dari peperangan itu. Jepun terus sahaja membangunkan industri negaranya dengan memilih ‘formula’ dan pendekatan yang radikal dan prakmatik.

Yang pertama dilakukan oleh Jepun ialah untuk membangunkan industri ‘precision’nya dengan disampingi oleh ‘R&D’ nya kerana mereka tahu yang cara untuk menyaingi pembangunan negara-negara lain yang sedang membangun dengan pesatnya ialah dengan mencapai ‘perfection’ yang tinggi. Jepun tahu yang cara untuk mencapai ‘competitiveness’ yang tinggi ialah untuk membina industri kepada produk-produk yang mampu di‘export’ dan mudah diterima oleh pasaran antarabangsa.

Jepun di bawah pimpinan LDP sedar bahawa negara itu tidak mempunyai kekuatan ‘export’ untuk apa-apa komoditi kerana Jepun merupakan negara secara ‘geographic’nya merupakan negara yang tidak mempunyai keluasan untuk kediaman yang besar. Jepun hanya  mempunyai satu pertiga  kawasan negaranya yang boleh didiami oleh manusia dan negara itu tidak  mempunyai hasil bumi yang besar seperti di negara kita ini.

Mahu tidak mahu Jepun terpaksa menumpukan usahanya untuk pembangunan industri sahaja semasa itu. Pembangunan industri ‘precision’ itu telah membantu pembangunan industri yang lain kerana kos pengeluaran barangannya menjadi rendah kerana kos yang dibelanjakan terhadap ‘capital goods’ dalam sesuatu  pengeluaran itu menjadi rendah. Ini ialah kerana mesin-mesin untuk mengilang itu dikeluarkan oleh negara Jepun sendiri hasil dari ‘R&D’nya yang berjaya itu.

Di sebaliknya, di negara kita sampai ke hari ini kita belum pun lagi mempunyai industri Malaysia itu sendiri. Malaysia belum lagi mempunyai barangan industri kita sendiri untuk di‘export’ atau menjadi kegunaan masyarakat antarabangsa. Kesemua industri yang ada di negara kita hanyalah merupakan industri ‘footloose’ yang boleh dipindah dan dianjak kemana-mana oleh pengilang-pengilang antarabangsa yang ada disini.

Malahan banyak di antara kilang-kilang gergasi kepunyaan negara lain yang beroperasi di negara kita telah memindahkan operasinya di negara-negara jiran kita seperti Thailand dan Vietnam.

Begitulah besarnya jasa LDP kepada negara Jepun tetapi setelah memerintah selama lima dekad rakyat menolak parti itu kerana kepentingan negara dan rakyat. LDP telah melakukan kesilapan demi kesilapan kerana mereka (LDP) telah mengambil segala-galanya ‘for granted’ kerana telah terlalu biasa dengan kuasa yang rakyat mandatkan.

Rakyatnya mementingkan kepentingan negara sebagai perkara yang utama. LDP sudah mula diselaputi oleh kegiatan rasuah dan salahguna kuasa dan kadar rasuahnya tidaklah sebesar apa yang berlaku di negara kita. Itu pun rakyat Jepun menolaknya setelah berjasa kepada Jepun selama lima puluh tahun.

Itulah sebabnya jika UMNO Baru mengungkit-ngungkit apa yang mereka telah lakukan terhadap rakyat dan meminta rakyat mengenang jasanya untuk meneruskan kuasa itu, ia merupakan satu penganiayaan kepada negara sendiri. UMNO Baru mahukan rakyat mengenagkan jasa-jasa lama dan melupakan sahaja isu rasuah yang berluas-luasa yang mereka lakukan. Bagi UMNO Baru ‘aku boleh rasuah kerana aku telah lama berjasa’ itu merupakan budaya dan pemikiran yang amat hina terhadap rakyat.

UMNO Baru telah mengungkit sampai ke perkara yang kecil dan di kampung saya suatu ketika dahulu pemimpin UMNO Baru mengungkitkan bantuan gigi palsu sebagai cara untuk menyambung sokongan terhadap mereka (UMNO) Baru.

Kita perlu mengambil contoh yang baik seperti contoh yang dilakukan oleh rakyat Jepun. Mereka (rakyat Jepun) mengutamakan nasib dan masa depan negara. Mereka tidak termakan dengan cerita jasa lama dan membiarkan negara mereka dipunah-ranahkan oleh pemimpin-pemimpi parti yang telah berjasa lebih besar kepada rakyatnya dari jasa UMNO Baru kepada rakyat Malaysia.

Kita juga elok mengkaji apa yang berlaku kepada Parti Kongress India yang telah ditumbangkan oleh rakyat negara India setelah hampir lima dekad berjasa kepada negara demokrasi terbesar di Asia itu. Semuanya mengambil giliran untuk turun apabila masanya tiba.

Begitu juga Parti Golka dari Indonesia. Ini semuanya merupakan contoh-contoh yang hampir dengan kita yang sejarahnya masih baru dan muda. Kita  tidak payah membaca tentang sejarah lama seperti kejatuhan Empire Roman dan sebagainya.

Apa yang berlaku di sekeliling kita sudah memadai untuk dijadikan contoh dan teladan.

20 June 2012

Penilaian terhadap UMNO/BN ialah kepada kadar rasuah dan isu rasis

Saya selalu berkata UMNO Baru sudah hilang hidayah dalam mentadbir negara. Bagi UMNO Baru modalnya hanyalah satu iaitu isu pembangunan dan gula-gula kewangan terhadap rakyat. Bagi UMNO Baru kerajaan yang baik itu ialah kerajaan yang boleh membina lapangan terbang, membina sekolah, melebarkan jalan, menyediakan bekalan air dan api letrik dan sebagainya. UMNO Baru tidak lagi memahami bahawa pembangunan fizikal itu hanyalah sebahagian yang kecil daripada apa yang dikatakan sebagai ‘nation building’ itu.

Itulah sebabnya UMNO Baru dan pemimpin-pemimpinnya tidak terlepas daripada mengungkit apa yang telah dilakukan terhadap rakyat dan negara. Suatu ketika dahulu bantuan subsidi gigi palsu pun dijadikan umpan untuk orang-orang kampung mengundi parti itu di dalam pilihanraya. Di kampung saya suatu ketika dahulu bantuan lembu pawah juga menjadi isu untuk memaksa orang memilih BN.

Semuanya itu adalah pembangunan yang menggunakan wang rakyat dan pemimpin yang dipilih itu juga dibayar gaji dan elaun oleh rakyat. Tidak sedar mereka itu yang nasib mereka itu adalah di tangan rakyat tetapi mereka tetap mengatakan bahawa pembangunan itu semua adalah budi kerajaan BN. Mereka tidak pernah untuk kembali berfikir yang mereka itu duduk di atas singgahsana kuasa itu adalah pemberian rakyat.

Sesiapa juga atau parti mana pun yang diberi mandat akan melakukan pembangunan kerana harga pembangunan itu dibayar oleh rakyat, bukannya oleh UMNO Baru atau pemimpin mereka. Di Pulau Pinang dan Selangor, misalnya pembangunan rakyat dibiayai oleh rakyat negeri-negeri itu melalui segala bentuk cukai yang dikutip dari rakyat.

Kerajaan kedua-dua negeri itu telah berjaya melakukan apa yang dilakukan oleh kerajaan BN selama ini malahan ianya dilakukan dengan lebih baik dan transperan dari kerajaan BN dahulu. Rasuahnya tiada lagi seperti yang begitu lazim semasa BN memerintah negeri-negeri tersebut. Pemimpin BN persekutuan tidak pula mahu menyebut peranan besar yang diberikan oleh kedua-dua kerajaan PR ini terhadap negara.

Elok pemimpin BN membuat kenyataan yang kedua-dua kerajaan negeri PR ini menyumbang sebanyak 40% dari hasil GDP negara. Itulah salah satu sebabnya rakyat di kedua-dua buah negeri ini tidak mahu lagi dijaga dan ditadbir oleh BN kerana kerajaan BN telah menyalahgunakan sumber kewangan negara yang 40% darinya adalah sumbangan kerajaan dan rakyat kedua-dua buah negeri ini.

Belanja lawatan Najib dan Muhyiddin ke seluruh negara yang memakan belanja ratusan juta ringgit itu pada hakikatnya adalah dibiayai oleh sumber kewangan dari kerajaan yang mana 40% darinya adalah sumbangan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang. Bayangkan satu lawatan PM akan membelanjakan jutaan ringgit. Maklum sajalah peruntukan menyewa bas yang beratus buah dan kadangkalanya ribuan buah untuk mengangkut rakyat untuk datang menyambut PM itu sahaja memakan belanja ratusan ribu jumlahnya.

Itu belum lagi belanja sewaan kerusi dan khemah yang banyak. Sewa kerusi yang lazimnya hanya 0.65 sen bagi sebuah kerusi kroni UMNO Baru yang menyediakan kerusi itu akan tekan harga dari penganjur sebanyak RM1.70 sen. Kalau jumlah kerusi yang disewa itu sebanyak 20,000 buah bayangkan berapa harganya. Karipap yang sebesar ibu jari itu ditekan harganya sehingga satu ringgit bagi satu karipap bayangkan harga yang perlu dibayar untuk menyediakan 100,000 karipap. Kalau karipap itu tebal dan tembam tak apa juga!

Apabila habis upacara baru sedar semuanya adalah pembaziran kerana jumlah orang yang datang memberikan sambutan itu jauh lebih kecil dari yang dijangkakan. Semuanya ini pembaziran besar. Lawatan PM dan DPM ini tidak memberi apa-apa kebaikan selain daripada menghabiskan karipap sahaja. Ingat, rakyat dari negeri PR juga membayar cukai dan penyumbang besar kepada kantung kewangan negara.

Mahal betul untuk mengekalkan kuasa dan kosnya itu ditanggung oleh rakyat. Budaya ini wajar dihentikan kerana ia merupakan pembaziran kepada sumber kewangan rakyat dan negara. Sesungguhnya lawatan peribadi itu yang penting, tetapi yang lebih penting ialah dasar-dasar yang baik dan implimentasinya yang cekap.

Yang patut turun kepada rakyat ialah dasar yang diimplimentasikan dengan baik dan cekap terhadap rakyat  Rakyat merasakan yang dasar-dasar itu benar-benar sampai ke bawah bukannya dapat bersalam dengan PM dan isterinya.

Setakat bersalaman dengan orang ramai bukan lagi cara politik zaman moden ini. Cara itu memang telah diamalkan sejak zaman berzaman, tetapi inilah yang kita dapati sekarang ini. Politik menjadi permainan yang mengelirukan semata-mata kerana budaya bersalaman tetapi tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat jelata.

Sudah lima puluh lima tahun pemimpin turun bersalaman tetapi rakyat masih tidak berpuas hati kerana salam yang tidak membawa apa-apa faedah kepada mereka (rakyat).

BN dan UMNO Baru  tidak sedar bahawa penilaian (judgement) terhadap pimpinan mereka ialah kepada dua perkara penting. Pertamanya ianya akan dinilai dari tahap rasuah yang diamalkan oleh UMNO Baru dan pimpinannya serta kerajaan yang melaksanakan dasar yang digubal.

Keduanya sejauh mana kejayaan perhubungan di antara kaum di negara ini. Apabila isu perkauman dimainkan oleh UMNO Baru dengan begitu nyata maka itulah yang menyebabkan pola dan ‘tendency’ pengundian didasarkan kepada kaum dan ‘ethnic’ dan apabila perkara ini berlaku maka perhubungan kaum akan menjadi begitu tegang seperti yang kita lihat dan alami sekarang ini.

Itulah sebabnya sekarang parti-parti dalam PR sedang mendapat sambutan daripada rakyat yang dahagakan ‘national unity’ yang sebenarnya.  Rakyat tahu mereka (rakyat) tidak akan mendapat keharmonian ini selagi UMNO Baru masih berkuasa selepas pilihanraya nanti. UMNO Baru terlalu rasis untuk kepentingan Melayu kononnya, tetapi Melayu tidak ke mana juga. Takkan Melayu boleh meletakkan nasib masa depannya kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sejemput itu.

Melayu yang mendapat habuan besar terus menerus hanyalah Melayu yang menjadi ahli ekskusif kepada parti itu yang jumlahnya boleh dikira dengan jari sahaja. UMNO Baru sendiri telah mengabaikan orang Melayu sendiri, tetapi masih menyanyikan lagu rasis ini kerana pilihanraya akan datang tidak lama lagi.

19 June 2012

PRU13 - Lakukan perubahan tanpa was-was

Berbagai-bagai analisis yang kita dengar berhubung dengan keputusan pilihanraya yang akan datang ini. Banyak pihak yang membuat analisis ini secara formal atau secara rambang berdasarkan kepada ‘mood’ yang berada di bawah ini. Saya tidak membuat apa-apa analisis secara formal tetapi saya tahu PR akan menawan mandat rakyat kali ini. Lain-lain perkataan ianya adalah pertukaran kerajaan dari BN kepada Pakatan Rakyat.

Pertukaran ini tidak boleh dianggap ganjil kerana mana-mana kerajaan akan bertukar akhirnya jika kita memilih demokrasi sebagai cara pentadbiran negara. Negara yang tidak demokratik pun mesti mengalami pertukaran kerajaan tetapi negara-negara seperti ini selalunya berhadapan dengan keadaan huru-hara sebelum pertukaran itu dapat dilakukan.

Di negara-negara Arab demokrasi tidak wujud dan kebanyakan negara rantau itu dikuasai oleh ‘absolute monarchy’ yang autokratik. Tetapi dengan berlakunya ‘Arab Spring’ baru-baru ini di beberapa buah negara rantau itu, terbukti bahawa kerajaan tetap bertukar walaupun cara mana sekali sesebuah negara itu diperintah. Memang ‘natural’ yang segala-galanya akan berubah dan tidak ada yang kekal. Perubahan merupakan fenomena yang tidak dapat kita elakkan di dalam dunia ini.

Begitu juga di negara kita...perubahan itu nampaknya sudah tidak dapat dielakkan lagi. Kita tidak boleh menganggap yang apa yang berlaku di tempat dan negara lain tidak akan berlaku di negara kita. Bermacam-macam analisis sedang kita dengar di mana-mana. Ada yang mengatakan bahawa BN akan menang dalam PRU ini tetapi kemenangannya amat tipis, lebih tipis daripada apa yang dicapai oleh Pak Lah pada tahun 2008 yang lalu.

Sesetengahnya pula berpendapat bahawa PR akan berjaya mendapat mandat dari rakyat dengan majoriti yang tipis. Walau apa pun pandangan banyak pihak lain saya tetap merasakan bahawa BN kali ini akan direhatkan oleh rakyat untuk mengambil masa memperbaiki 'penyakit-penyakit terminal' yang dihadapi oleh ‘coalition’ itu setidak-tidaknya selama tempoh lima tahun.

Kali ini rakyat pula yang akan membetulkan segala kesilapan dan kesalahan kerajaan yang memerintah hari ini. Rakyat telah sedar bahawa jika mereka (rakyat) tidak melakukan sesuatu untuk kepentingan rakyat dan negara mereka (rakyat) khuatir yang negara kita akan mengalami apa yang dialami oleh banyak negara yang hancur lebur kerana kelalaian semua pihak untuk menjaga negara mereka dengan baik dan bertanggungjawab.

Rakyat mahu kembalikan negara ‘back to basic’. Rakyat mahukan mereka (rakyat) diberikan keamanan dan kesenangan berfikir. Rakyat mahukan tiada lagi kegiatan tidak bertanggungjawab pemerintah berlaku dengan sewenang-wenangnya di hadapan mata mereka kerana itu semua menyemakkan pandangan dan kehidupan mereka. Rakyat yang sudah lama bersabar dengan tingkah dan laku UMNO Baru serta BN sejak hampir tiga dekad yang lalu sudah hilang kesabaran dan mereka telah membayangkan dengan jelas yang kali ini adalah giliran mereka untuk membetulkan keadaan buruk ini.

Rakyat tidak mahu lagi mereka dipecah dan diperintah oleh BN lagi. Mereka mahu bersatu tetapi bersatu di luar BN khususnya UMNO Baru. Rakyat sudah tidak lagi mahu mendengar hujah-hujah UMNO Baru untuk meminta rakyat mengekalkan mereka kerana mereka sudah jemu dengan hujah yang sama sejak puluhan yang lalu. Setiap kali pilihanraya sampai UMNO Baru selalu memainkan isu perkauman dan UMNO Baru merasakan jika ada perpecahan di antara kaum, itulah kesempatan bagi mereka (UMNO) Baru untuk mengambil kesempatan menyatukan rakyat khususnya orang Melayu untuk terus mendokong mereka tanpa had.

Sudah terbenam dalam benak pimpinan UMNO Baru yang orang Melayu khususnya boleh ditakut-takutkan dengan isu perkauman dan UMNO Baru tidak putus-putus mahu mengekalkan perasaan takut orang Melayu untuk menghadapi kehidupan masa depan tanpa UMNO Baru. Mereka diyakinkan yang ‘there is no life’ after UMNO Baru. UMNO Barulah segala-galanya. UMNO Barulah yang berhak untuk menentukan baik buruk kehidupan orang Melayu dan UMNO Barulah yang menjadi penentu selamat atau tidaknya kehidupan orang Melayu.

Kuasa politik yang dipegang oleh UMNO Baru dimanipulasi oleh pemimpin-pemimpin dan kroni-kroni pimpinan dan yang amat menyakitkan hati rakyat ramai ialah keputusan parti dan pimpinan ditentukan oleh ‘seekor dua’ kroni yang berada di sekiling pucuk pimpinan negara. Sementara mengaut segala kekayaan negara, mereka memberikan cebisan kepada rakyat yang dibiarkan berada di dalam budaya menadah tangan memohon ikhsan dari pemimpin yang mereka (rakyat) berikan mandat itu.

Rakyat digula-gulakan dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500, maka beraturlah rakyat di tengah panas terik matahari untuk mendapatkan tempias daripada kekayaan kroni-kroni ini. Dengan RM500 itu dapatlah rakyat membasahkan tekak untuk beberapa hari, tetapi oleh kerana kekeringan tekak rakyat sejak beberapa lama itu jumlah yang sejemput itu ibarat menyiram secawan air di padang pasir yang kering kontang sahaja.

Lepas ini pula akan dikeluarkan sedikit lagi bantuan BR1M ini dan ini sajalah caranya UMNO Baru untuk mempertahankan kuasa…beli, beli dan membeli sokongan. UMNO Baru sentiasa membeli perasaan rakyat, dan jiwa orang ramai. Bagi UMNO Baru pimpinan Najib ini cara yang paling mudah tanpa menggunakan pemikiran, ialah dengan membeli perasaan rakyat. Apabila duit yang sejemput itu rakyat dileterkan supaya menggunakan wang itu dengan berhemah dan berwasatiyah.

Dalam ramai-ramai manusia di negara ini adakah Najib orangnya yang betul untuk menasihatkan orang lain untuk berbelanja secara wasatiyah? Kalau Tok Guru Nik Aziz yang bercakap tentang wasatiyah ini, boleh juga diterima. Tetapi Najib yang telah membelanjakan wang rakyat untuk kegunaan beliau sendiri yang berjumlah berbillion-billion ringgit itu tidak layak untuk bercakap tentang berbelanja secara wasatiyah itu.

Bagi Najib kita semua mesti berbelanja secara wasatiyah tetapi beliau membelanjakan wang rakyat seperti wang ibu bapa beliau sahaja…tanpa malu dan silu. Beliau tidak sedar bahawa rakyat sedang memerhatikan tingkah beliau setiap waktu dan masa.

UMNO Baru sedar bahawa rakyat sudah jemu dengan kehadirannya sekarang. Dalam keadaan keadaan ini UMNO Baru dan pimpinan sudah hilang segala punca untuk meyakinkan rakyat sekali lagi. Apabila seorang pimpinan kehilangan punca maka segala tindakan mereka tidak akan lagi tepat dan betul. Seseorang yang dalam kegelisahan akan selalunya kehilangan punca dan hidayah.

Kalau pun mereka terjumpa dengan ‘formula’ yang baik, masa tidak mengizinkan lagi kerana untuk meyakinkan rakyat ia memakan masa yang panjang. Itu sebabnya kita membaca setiap hari, banyak kali pemimpin-pemimpin bercakap bercanggahan di antara satu dengan lain dan ini membuatkan rakyat bertambah keliru. Hidup dalam keadaan was-was adalah tegahan agama kita…bagaimanakah UMNO Baru untuk meminta rakyat ramai untuk menyokong mereka tanpa was-was sedangkan mereka sendiri dalam keadaan was-was dalam semua keputusan penting terus-terusan.

Segala tindakan pimpinan adalah dalam keadaan was-was sentiasa dan itu jugalah yang membuatkan mereka (pimpinan) sentiasa ‘flip-flop’ dalam banyak keputusan penting yang mereka ambil.

“In actuality UMNO Baru leaders have lost all plots to manage the nation,” kata seorang pemimpin UMNO Baru itu sendiri dalam pertemuannya dengan saya baru-baru ini.

“Bro, I appreciate your courage and your intelligibility of thought by joining DAP,” katanya kepada saya serius.

18 June 2012

Najib yang paranoid

Najib dalam keadaan tidak menentu dan masih tidak dapat menetapkan tarikh pilihanraya. Beliau masih berusaha untuk mendapatkan sokongan rakyat yang sudah semakin ketandusan untuk parti yang dipimpinnya dan setiap hari dengarnya beliau sentiasa berada di kaca TV untuk berkempen menjelang tibanya pilihanraya ini. Pengumuman demi pengumuman dibuat melalui ‘acronym’ yang besar-besar tetapi tidak juga nampak hasilnya.

Tetapi yang lebih jelas Najib sudah begitu ‘paranoid’ terhadap Anwar Ibrahim seolah-olah Anwar akan menyiat-menyiat kulit dari dagingnya (Najib). Begitu ramai yang menjadi paranoid dengan Anwar dan Najib bersama Dr Mahathirlah yang menghadapinya yang paling jelas. Ini bukan isu Anwar. Sebenarnya ini adalah isu rakyat dan BN yang sudah hilang keyakinan mereka (rakyat).

Semalam Najib mengkritik Anwar kerana beliau (Anwar) telah mencadangkan supaya negara memohon bantuan IMF semasa beliau menjadi Menteri Kewangan sebagai cara penyelesaian terhadap krisis ekonomi yang kita hadapi pada tahun 1997 dahulu. Najib telah menuduh Anwar telah cuba untuk menggadaikan kedaulatan negara kepada IMF tetapi Mahathir telah membantahnya dan bertindak dengan tidak meminjam dari perbadanan kewangan antarabangsa itu.

Ini dijadikan sebagai isu politik oleh Najib kerana BN sudah tidak lagi tinggal banyak modal kempen untuk menghadapi pilihanraya yang tidak lama lagi akan tiba. Dalam kita menghadapi kemerosotan ekonomi mana-mana negara semasa itu, pemimpin-pemimpin negara telah mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi negara.

Jika Anwar mencadangkan untuk mendapatkan bantuan IMF itu semata-mata untuk mencari jalan penyelesaian kepada kegawatan ekonomi negara semasa itu dan bukannya untuk menjual kedaulatan negara kepada IMF dan pihak luar. Kenyataan Najib ini hanyalah kenyataan politik yang sempit dan beliau merasakan isu ini mudah untuk meyakinkan pengundi untuk percaya kepada kenyataan beliau itu.

Cuba kita perhatikan di keliling kita khususnya negara-negara Asia yang hampir kesemuanya menghadapi masalah kegawatan pada masa itu. Korea Selatan, Indonesia dan beberapa negara lain telah menerima bantuan IMF untuk menyelesaikan masalah kegawatan ekonomi negara masing-masing. Cuba kita lihat negara-negara itu sekarang ini.

Korea Selatan yang meminjam dan meminta bantuan IMF sekarang ini telah jauh lebih maju dari negara kita dan telah pun menyelesaikan hutangnya kepada IMF. Begitu juga Indonesia yang mana IMF merupakan badan yang menyelamatkan ekonominya semasa kegawatan itu.

Kalau kita ambil contoh kedua-dua negara ini, Malaysia telah ketinggalan dalam bidang ekonomi jauh di belakang mereka. Tidak timbul isu menjual maruah dan kedaulatan negara mereka, malah negera-negara itu lebih berdaulat dari kedaulatan yang ada kepada negara kita. Kedudukan ekonomi Indonesia dan lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan ekonomi negara Korea Selatan, Malaysia jauh ketinggalan di belakang, malahan kita hanya setaraf dengan kedudukan negara Myanmar yang baru sahaja mengenali apa itu ekonomi.

Malaysia yang bercakap besar tidak ada di mana-mana di kalangan negara yang menunjukkan prestasi pembangunan pesat seperti yang berlaku di Vietnam dan negara-negara serantau yang lain. Kita masih lagi menyanyikan slogan-slogan yang selama ini membuktikan kesemuanya itu merupakan slogan-slogan kosong yang tidak membawa apa-apa faedah kepada negara.

Isu yang dibanggakan kerana menolak bantuan IMF itu adalah satu isu yang bodoh sombong dan tidak membuktikan kebaikannya. Korea Selatan begitu prakmatik dan telah keluar dari kemelut kewangannya dan sekarang sedang meninggalkan kita jauh di belakang dalam semua bidang kenegaraan. Jika kita tidak payah menerima bantuan IMF itu, ia bukannya satu kesalahan tetapi tidak boleh menyalahkan orang lain jika bantuan dari perbadanan kewangan antarabangsa itu dijadikan satu 'alternative' untuk penyelesaian kemelut kewangan Asia pada masa itu.

Najib bolehlah menggunakan isu negara tidak memerlukan bantuan IMF itu sebagai satu cara untuk meyakinkan rakyat untuk menyokong pentadbiran beliau, tetapi Najib tidak sedar yang isu-isu lain yang begitu besar yang kita hadapi masih tidak mendapat perhatian dari pentadbirannya sehingga ke saat ini.

Yang orang ramai tahu sekarang, hanya satu perkara, perubahan tidak boleh tidak mesti dilakukan. Negara mesti diselamatkan daripada dikuasai oleh pimpinan pada hari ini…itu sahaja.

17 June 2012

Fokus PRU 13 - Interview Zairil dan Aspan Alias, Melayu dan DAP

Tun Mahathir tidak perlu gundah gulana kerana beliau tidak pernah bersalah

Dr Mahathir bin Mohamad adalah Perdana Menteri negara selama 22 tahun dan telah secara zahirnya bersara daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 30hb Oktober 2003. Tetapi jelas beliau belum bersara dari politik.  Beliau masih bermain politik dan panggilan ramai yang beliau sebagai negarawan itu agak tidak tepat. Beliau masih lagi seorang ‘politician’ yang giat, dan beliau belum lagi sampai ke taraf seorang negarawan.

Tidak salah beliau mahu terus berpolitik kerana ini negara demokrasi dan rakyat sedang memperjuangkan demokrasi itu dengan gigih. Hanya Mahathir sahaja yang bermain politik tidak demokratik. Demokrasi itu boleh dipanggil demokrasi jika beliau yang mendapat keuntungan. Jika politik itu tidak kena kepada kehendak beliau segala sistem yang telah wujud sebagai institusi demokrasi akan beliau runtuhkan.

Tidak payah mengulangi apa yang beliau telah lakukan kerana itu semua sudah menjadi pengetahuan umum dan ini jugalah yang sedang menghantui kehidupan dan pemikiran beliau sekarang ini. Apa yang telah beranak-pinak di dalam fikiran beliau sekarang yang selama ini tidak keluar, kini sudah beliau zahirkan melalui penulisan beliau dalam blog beliau baru-baru ini.

Pandangan beliau di dalam penulisannya itu amat menarik perhatian kerana apa yang beliau perkatakan itu memang telah menjadi perbualan ramai sejak beliau bercakap setiap hari akhir-akhir ini. Sebagai seorang PM yang sudah bersara daripada jawatan, beliau masih bercakap dengan tidak ‘magnanimous’ sekali walaupun beliau dipanggil sebagai seorang negarawan oleh sesetengah pihak.

Media-media arus perdana, dan salah satunya tentulah Utusan Malaysia yang kini dikenali sebagai akhbar ‘Utusex Malaysia’ seperti yang digelar oleh anak-anak muda sekarang. Sebab apa akhbar ini diberi gelaran ini tidak saya ketahui tetapi begitulah yang saya dengar ramai orang bercakap. Saya pun tidak mahu hendak mengambil ‘pot’ dengan panggilan dan gelaran itu. Agaknya panggilan itu terbit kerana dalamnya mungkin banyak cerita sex. Saya tidak tahu kerana saya sudah tidak membaca akhbar itu sejak tahun 90-an lagi.

Bekas PM negara Mahathir menulis luahan hatinya di dalam blog beliau sambil berkata bahawa PR akan mengambil tindakan terhadap diri beliau dengan memenjarakan atau mengambil tindakan mati terhadap segala ‘misdeeds’ beliau semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dahulu. Beliau membayangkan ketakutan beliau yang beliau akan diambil tindakan seperti apa yang dilakukan oleh rakyat Mesir terhadap Mubarak dan sebagainya.

Tentunya ini merupakan permainan dalam pemikiran beliau sebegitu lama dan bolehlah kita anjurkan bahawa Mahathir begitu risau terhadap apa yang akan berlaku kepada nasib beliau jika PR diberi mandat oleh rakyat di dalam pilihanraya ini. Dengan pemikiran begini ia menampakkan sikap beliau yang semua orang adalah seperti beliau, berdendam kesumat terhadap seteru politik beliau selama ini.

Sesungguhnya apa yang ingin dilakukan oleh pihak ‘alternative’ ialah untuk mengembalikan demokrasi dengan memulihkan sistem itu ke tahap yang baik seperti yang pernah negara alami selama ini. Sistem itu hancur apabila Mahathir telah meranapkan sistem demokrasi negara kerana beliau tidak sesuai dengan sistem yang menjadi amalan mana-mana negara yang bersistem.

Semasa beliau menjadi pemimpin negara sistem itu adalah sistem dia sendiri. Mahathir tidak kekal lama kalau beliau bersifat ‘gentleman’ dan mengikut sistem biasa demokrasi. Di negara Jepun pernah Perdana Menterinya bertukar dua kali dalam setahun, tetapi negara itu tetap utuh dan rakyatnya hidup seperti biasa. Kerana apa? Kerana sistem itu yang menentukan keadaan bukan pemimpin yang menentukan sistem.

Oleh kerana sistem demokrasi negara telah dianjak dan dialih maka negara kita di bawah pentadbiran Mahathir tidak mempunyai sistem dan sistem yang ada hanyalah sistem Mahathir. Mahathir pantang jika kehendaknya dilarang oleh sistem. Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa untuk memecat PM maka dicerobohnya sistem beraja itu kerana yang penting kepada beliau jangan ada sistem yang menghalang kehendak beliau.

Dalam mentadbir negara dengan sistem peribadi beliau maka beliau mampu melakukan segala-galanya tanpa takut dan ragu kerana beliau menguasai sistem negara. Oleh kerana bersikap bermaharaja lela beliau itulah, maka banyak perkara yang beliau lakukan terhadap negara yang salah, tetapi sistem pentadbiran beliau tidak membolehkan beliau dan sesiapa di dalam kerajaan tidak terkawal oleh undang-undang.  

Walaupun beliau telah melakukan perkara yang salah dan bertentangan dengan undang-undang yang biasa, Mahathir tidak termasuk dalam sistem kawalan undang-undang kerana pada Mahathir undang-undang itu adalah beliau sendiri. Itu sebabnya Mahathir adalah seorang pemimpin yang boleh ‘berjalan di atas air’ selama beliau berkuasa kerana semua undang-undang berada di dalam tangan beliau.

Mahathir itu adalah undang-undang, undang-undang itu adalah Mahathir. Undang-undang itu hanya untuk musuh dan seteru beliau tetapi tidak untuk diri beliau. Beliau lebih kebal daripada tindakan undang-undang sedangkan Raja Melayu pula sebaliknya tidak kebal daripada undang-undang dengan tertubuhnya 'special court' untuk Raja-Raja Melayu.

Itulah sebabnya Mahathir akhir-akhir ini bercakap lebih banyak daripada pimpinan negara yang lain. Belum pun hilang dengung kata-kata yang diluahkannya hari ini, besok beliau bercakap lagi dan akhirnya ‘through his own admission’ sebenarnya beliau terlalu takut jika PR memerintah dan pemulihan sistem itu akan memerangkap beliau kerana kesalahan-kesalahan yang beliau tahu telah beliau lakukan dengan sewenang-wenangnya semasa dalam kuasa dahulu.

Kita tidak mendengar mana-mana pemimpin dari pembangkang yang menjanjikan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada Mahathir atau mana-mana pemimpin BN sekarang ini jika PR mendapat mandat rakyat. Apa yang dijanjikan oleh pimpinan pembangkang ialah untuk memulihkan kembali sistem yang telah dihancurkan oleh Mahathir dahulu.

Apa yang akan dihadapi oleh semua pihak yang bersalah itu bukannya pemimpin yang mengambilalih itu, tetapi hanya menghadapi sistem yang biasa di dalam sesebuah negara yang merdeka dan demokratik. Sistem itulah yang menentukan samada seseorang itu akan menghadapi tindakan undang-undang atau sebaliknya, tidak kira dari pihak yang hilang mandat atau yang sedang mendapat mandat.

Sistem itu tidak mengenal sesiapa. Ia hanya mengenal apa yang sistem itu patut lakukan sahaja. Itulah sebabnya kita jangan melanggar undang-undang semata-mata kerana kita berkuasa sebabnya bak kata perbilangan ‘what goes around comes around’.

Sistem merupakan elemen penting untuk menjadikan negara kita dihormati oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa. Keutuhan semua sistem dan institusi demokrasi negara amat penting dipertahankan untuk menjadikian negara kita sebuah negara yang benar-benar berdaulat atau sebaliknya.

Sistem itu bukan kepunyaan sseorang pemimpin. Ia adalah kepunyaan negara dan rakyatnya. Jika benar Mahathir tidak melakukan apa-apa kesalahan tidak ada sebab beliau membuat kenyataan yang menjadi polimik di mana-mana sekarang ini. Malahan beliau tidak akan merasa sedikit pun keresahan jika rakyat memberikan mandat kepada PR kali ini.

Lagi pun rakyat berhak untuk memberikan mandat itu kepada mana-mana pihak yang mereka yakini. Rakyat tidak mampu untuk mengekalkan mandat semata-mata untuk menjaga serta menutupi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan kepada negara.

Pandangan saya kepada Dr Mahathir, beliau tidak perlu resah dan gundah kerana beliau sendiri mengaku yang beliau tidak pernah melakukan kesalahan semasa memerintah dahulu. Bagaimana sistem yang baik dan betul mampu untuk melakukan apa-apa tindakan kepada beliau yang tidak pernah melakukan kesalahan itu?

15 June 2012

Bolehkah Muhy berjaya kali ini?

Nampaknya Muhy berjaya dan pelannya untuk mengambilalih kepimpinan UMNO Baru nampaknya akan menjadi. Semasa keputusan pilihanraya umum 2008 yang lalu, saya dan ramai yang lain berpendapat Pak Lah mesti meletakkan jawatan beliau kerana prestasi BN dalam pilihanraya itu amat menyedihkan parti. Dengan keputusan buruk UMNO Baru dalam pilihanraya itu Pak Lah merupakan seorang PM yang mendapat dua keputusan pilihnraya yang sangat ‘extreme’.

Dalam pilihanraya 2004, iaitu pilihanraya yang diketuai oleh Pak Lah buat pertama kalinya sebagai PM negara, beliau telah mendapat mandat 90% sokongan rakyat, dan ianya merupakan mandat yang terbesar selepas pilihanraya 1955 dalam mana Perikatan hanya kalah satu kerusi sahaja di Pulau Pinang. Calon Perikatan tunggal yang kalah dalam pilihanraya itu ialah Sulaiman Palestin, calon Pulau Pinang Selatan.

Kejayaan Pak Lah mendapat mandat besar dalam pilihanraya 2004 itu adalah kejayaan yang tidak susah untuk ditafsirkan. Pertamanya, rakyat semasa itu menunggu dengan sabar untuk Mahathir meninggalkan kuasa kerana sudah terlalu lama dan membosankan, maka sesiapa sahaja yang mengambilalih tentunya mendapat sokongan besar asalkan sahaja dapat menyaksikan Mahathir meninggalkan kuasa.

Keduanya, rakyat terutamanya yang bukan Melayu memberikan sokongan kepada Pak Lah kerana imej Pak Lah sebagai seorang yang lembut dan membawa imej keagamaan dan rakyat mengharapkan budaya dan ‘political spirit’ yang lebih baik daripada Mahathir akan wujud. Maka apabila Pak Lah membawa negara kepada pilihanraya umum pada 2004 maka rakyat telah menumpukan untuk menerima keadaan dan ‘environment’ baru, lantas memberikan dukungan bulat kepada BN.

Tetapi apabila Pak Lah mengambilalih dalam masa yang tidak seberapa, rakyat menyedari bahawa Pak Lah yang berimejkan bersih itu tidaklah sebersih yang diharapkan dan masa itulah bermulanya BN hilang sokongan dari ramai rakyat semua kaum terutamanya kaum bukan Melayu.

Dalam UMNO Baru  pula ramai telah memberikan tekanan kepada Pak Lah terutamanya Mahathir sendiri yang didukung oleh konco-konco beliau dan Mahathr sendiri telah mengambil tindakan drastik dengan meninggalkan UMNO Baru sebelum menghadapi pilihanraya umum ke-12. Buat pertama kalinya UMNO/BN telah kehilangan kemenangan tradisi 2/3 di Dewan Parlimen dan di sinilah bermulanya Muhyiddin bermain politik kerana kedudukan beliau sebagai Naib Presiden yang senior dalam hieraki parti.

Najib yang ketika itu merupakan Timbalan Presiden, merasakan masanya sudah tiba untuk mengambil kesempatan untuk mengambilalih kepimpinan kerana keadaan semasa itu amat sesuai untuk beliau bertindak untuk mengambilalih Pak Lah kerana kegagalan Pak Lah mempertahankan majoriti tradisi 2/3 di Dewan Parlimen.

Muhy juga melihatnya sebagai peluang untuk meningkatkan kedudukan beliau sebagai Timbalan Presiden dan serta-merta menonjolkan Najib sebagai penerju mengambilalih tempat Pak Lah kerana Muhy yakin Najib tidak akan kekal lama dengan masalah peribadi yang ada kepada Najib yang suatu ketika nanti boleh menjadi isu yang akan menyebabkan Najib terpaksa meninggalkan jawatan PM itu dan seterusnya untuk beliau mencapai ‘ultimate’ beliau untuk menjadi PM.

Sekarang apa yang dirancang oleh Muhy itu nampaknya berjaya kerana Najib pada pandangan ramai ahli-ahli UMNO Baru akan terpaksa melepaskan jawatan beliau seperti apa yang dialami oleh Pak Lah dahulu. Sejarah yang masih muda itu akan berulang kembali. Persediaan untuk melakukan apa yang berlaku kepada Pak Lah dahulu sudah pun bermula dengan langkah-langkah awalnya dan hanya yang memahami keadaan sahaja yang boleh membaca keadaan ini dengan baik.

Tetapi Muhy harus bertanya, samada BN masih akan kekal atau pun tidak sebagai pemegang mandat Rakyat kali ini? Jika BN gagal kali ini untuk memenangi mandat rakyat mengambilalih Najib, bermakna mengambilalih  kerusi ketua pembangkang. Soallah diri masing-masing dan jawablah sendiri.

14 June 2012

Akaun Anwar akaun Muhy

Sekarang timbul pula cerita akaun induk Anwar Ibrahim seperti yang disebut oleh Datuk Murad, bekas Naib Governor BNM. Murad berkata ini berlaku semasa Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan Malaysia dahulu. Isu ini merupakan isu yang sudah lama, dan mahkamah telah pun memberikan keputusannya yang perkara itu tidak wujud. Tetapi di dalam negara kita yang tidak wujud pun boleh diwujudkan dan yang wujud boleh di‘tidakwujudkan’. Inilah agaknya konsep ‘Malaysia Boleh!’ Semua boleh berlaku.

Tetapi tidak mengapalah jika isu itu ditimbulkan kerana pilihanraya pun sudah hampir. Semuanya akan timbul. Saya pun hendak juga tahu berapa banyak wang yang ada di dalam akaun induk Anwar itu jika akaun itu benar wujud. Anwar sendiri pun bersetuju untuik membukanya tetapi kenalah ada syarat sikit. Syaratnya TS Muhy pun kenalah buka akaunnya juga.

Setiausaha Agung PKR, Dato' Saifuddin Nasution, semasa berucap bersama saya di Klang baru-baru ini juga telah bersetuju untuk Anwar membuka segala-galanya dengan syarat Muhy, Najib, Hishamuddin, Khairy dan beberapa orang pemimpin BN sendiri bersetuju untuk membuka akaun masing-masing bersama dengan Anwar Ibrahim. ‘Once and for all’ kita selesaikan isu ini serta-merta.

Saya menyebut isu ini kerana cara berpolitik hari ini sangat tidak beretika terutamanya dari pihak UMNO/BN. Murad jelas dipergunakan oleh setengah pihak kerana politik setengah pihak. Saya tidak nampak Murad sebagai seorang yang mempunyai kejujuran tetapi itu tidak siapa boleh memperbaiki dirinya kerana itu sudah menjadi naluri bagi seseorang yang terdesak.

Anwar memberikan reaksi beliau dengan meminta semua pihak membuka akaun masing-masing dan Muhy kata beliau mempunyai kredibiliti yang meragukan. Anwar berkata beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan beliau sebaliknya tahu siapa Muhy ini. Jika sewa rumahnya pun ada pihak yang membayarnya, bayangkan apalagi yang tidak dilakukan oleh Muhy.

Anwar nampaknya serius dan meminta Muhy menunjukkan akaun peribadi beliau sendiri. Bagi saya yang masih berada di dalam pencarian ini, saya amat bersetuju dengan cadangan Anwar itu kerana amat penting segala-galanya diketahui umum kerana mereka-mereka ini adalah penjawat awam. Saya rasa perkara ini wajar dilakukan dengan segera seboleh-bolehnya sebelum pilihanraya umum nanti.

Anwar sudah pun bersetuju untuk membuka akaunnya maka sekarang giliran Muhy pula untuk menyatakan pendirian beliau samada bersetuju untuk melakukan perkara yang sama. Jika Muhy tidak pernah melakukan rasuah inilah masanya untuk beliau membuktikannya kepada orang ramai yang bakal mengundi nanti.

Bagi orang biasa di tepian masyarakat ini saya tidak mungkin mampu untuk membuktikannya tetapi saya juga hendak muktamadkan pandangan saya tentang ‘conduct’ Muhy yang banyak diperkatakan ramai semasa beliau menjadi MB Johor dahulu. Saya juga hendak tahu juga siapa yang membayar sewa rumah beliau seperti yang disebut oleh Anwar Ibrahim itu. Jika benar dakwaan Anwar itu, tentulah Muhy seorang yang amat miskin kerana sewa rumahnya pun ada pihak yang membayarnya. Tentulah orang yang membayar itu sangat baik orangnya.

Kalau begitu elok Muhy memohon dari pihak berkuasa untuk memohon rumah murah atau pun bantuan PPRT dari Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Kita tidak boleh membiarkan TPM kita itu, dalam kesusahan dan jangan dibiarkan orang lain membayar sewa rumahnya.

Dalam pada itu kita tunggu kesudahan kepada isu ‘akaun Anwar dan akaun Muhy’ ini.