Kebimbangan orang ramai terhadap
keadaan yang berlaku dinegara ini sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Kehilangan
pesawat MAS MH370 sejak 10 hari lalu sesungguhnya mengusutkan pemikiran rakyat
terutamanya kepada ahli-ahli keluarga penumpang dan anak-anak kapal pesawat
itu.
Berbagai-bagai teori dan
tanggapan terhadap kehilangan pesawat ini kita dengari dan yang terakhirnya
kita difahamkan oleh pihak pemerintah yang pesawat itu telah di rampas oleh
orang yang mahir mengendalikan pesawat secanggih itu dan kini tumpuan pencarian
kehilangan itu di Kazahkstan dan persekitaran negara itu.
Namun belum ada kepastian tentang
tanggapan ini dan rakyat terus merasakan kebimbangan terhadap keselamatan nyawa
manusia di dalam pesawat itu. Rakyat seluruh negara dan dunia terus berdoa
untuk keselamatan penumpang-penumpang dan anak-anak kapal itu.
Selain dari itu kita sedang
menghadapi serangan jerebu yang sudah melepasi hampir dua minggu dan tidak ada
penyelesaiannya sehingga saat ini. Rakyat merasa resah kerana keadaan ini boleh
mengganggu kesihatan anak-anak yang ke sekolah dan mereka yang mudah terganggu
kesihatan mereka. Banyak tugas dan tanggungjawab harian tidak terlaksana dengan
baik kerana kehadiran jerebu itu.
Politik negara juga berjerebu dan
tidak habis-habis ahli dan penggiat parti politik bertengkaran lebih-lebih lagi
dengan kedatangan hari mengundi dalam PRK Kajang yang telah di paksa oleh PKR
untuk diadakan. Walaupun ia satu tindakan yang tidak jujur tetapi oleh kerana
itu yang dikehendaki oleh pemain politik tertentu untuk kekal relevan maka kita
ikuti sahajalah kehendak mereka itu.
PRK ini terpaksa mereka lakukan
kerana sememangnya setengah pemimpin yang bermasalah, mereka mengambil
kesempatan diatas keresahan ramai itu sebagai alasan untuk mereka mendapat
perhatian ramai walaupun ia memberi masalah kepada rakyat. Begitulah,
masing-masing mempunyai cara masing-masing untuk hidup dalam politik ini.
Keadaan sudah terbalik. Selalunya rakyat yang membawa masalah kepada pemimpin,
tetapi dalam kes Kajang ini pemimpin yang bermasalah telah membawa masalah
mereka kepada rakyat.
Apa pun, ini adalah isu politik
dan pihak yang bermasalah pun boleh memberikan sebab dan alasan kenapa PRK itu
perlu diadakan. Hanya rakyat sahaja dijadikan alat untuk kepentingan individu
yang terdesak untuk mencapai matlamat peribadinya dan ia tidak kena mengena
dengan kepentingan parti PKR itu. PKR sememangnya sudah memenangi kerusi itu
dalam PRU yang lepas dengan majoriti yang amat selesa.
Jerebu politik ini menyebabkan
semakin hari semakin terasa oleh rakyat bahawa mereka (rakyat) perlu melakukan
‘soul searching’ secara intensif kerana pimpinan parti politik sedang mengambil
kesempatan diatas sokongan rakyat untuk bermain dengan politik peribadi yang
tiada hadnya. Pemimpin seperti ini bukannya mendapat sokongan dari kerja dan
jasa mereka yang ‘organic’ kepada rakyat tetapi semata-mata diatas sentimen
permusuhan diantara seorang pemimpin dengan pemimpin yang lain.
Isu penghakiman Mahkamah Rayuan
terhadap Anwar dua minggu lepas menjadi isu dan dijadikan penghakiman itu untuk
menuntut rakyat berarak untuk mempertahankan Anwar. Mahkamah dikehendaki
menyebelahi Anwar sahaja. Jika mahkamah tidak memihak kepada Anwar itu tidak
adil, dan rakyat mesti memberontak. Jika mahkamah memihak kepada pembangkang
dalam puluhan kes saman termasuk saman terhadap Utusan Melayu, mereka tidak
pula meminta orang ramai berarak untuk menentang keputusan itu.
Sekarang Anwar sedang memfailkan
rayuan daripada Mahkamah Persekutuan, tetapi tidak pula pihak ini sedar yang Mahkamah Persekutuan itu adalah dari badan kehakiman yang sama. Jika Mahkamah Persekutuan tidak memihak kepada beliau nanti, sekali lagi mereka akan
memberontak.
Itu sebabnya ‘attribute’ yang
paling penting yang perlu ada kepada seseorang pemimpin, atau yang berhajat
hendak menjadi pemimpin, jangan sekali-kali menghampiri kerja dan kegiatan yang
boleh dipersoalkan kewibawaan masing-masing. Jangan memberi senjata tajam
kepada pihak lawan untuk menikam kita kembali, dan dalam kes ini Anwar lalai dalam
menjaga kewibawaan kepimpinannya dan menzalimi dirinya sendiri.
Anwar telah ‘dipatuk sebanyak dua
kali oleh ular dari lubang yang sama’ dan itu bukannya mudah untuk
mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap beliau. Beliau tidak boleh
menyalahkan pihak lain diatas nasib yang menimpa beliau itu. Bolehlah diajak
orang ramai menganggap itu fitnah tetapi disebaliknya ramai yang lain akan
menganggap tuduhan mahkamah berkonspirasi dengan pihak kerajaan itu sebagai
fitnah pula.
Rakyat perlukan pembelaan, bukannya
meminta rakyat berarak membela individu pemimpin yang bermasalah yang tidak
berkesudahan. Sampai bila rakyat disuruh untuk menyelesaikan masalah peribadi
pemimpin. Sampai bila rakyat hendak diajak berarak dan memberontak dan kalau
sampai pun ke penamatnya apakah keadaan yang akan kita alami?
Rakyat sudah mula merasa jemu
dengan tindakan bertempek ke hulu ke hilir melaungkan tuduhan yang mahkamah berat
sebelah dan sengaja membuat keputusan untuk menekan politik Anwar. Mula-mulanya
rakyat ada yang percaya tetapi akhirnya rakyat akan sedar juga yang tindakan
itu hanyalah tindakan seorang pemimpin yang ‘survival’ nya hanya dalam keadaan krisis.
Segala krisis diambil kesempatan.
Krisis dalam partinya sendiri pun diambil kesempatan dengan niat mengorbankan pemimpin
negeri yang telah mentadbir negeri dengan cemerlang yang dipuji oleh
keseluruhan rakyat negeri itu.
Malahan dalam kempen PRU yang
lepas kecemerlangan pentadbiran MB Selangor ini merupakan satu testimonial yang
mampan dan telah menyumbang kepada kekuatan Pakatan Rakyat di seluruh negara,
lebih-lebih lagi di Selangor itu sendiri. BN hanya mampu untuk mempertahankan
12 kerusi sahaja di seluruh negeri terkaya itu.
Tetapi apabila sampai waktu
pimpinan tertinggi parti mahu menyelesaikan masalah kepimpinannya, pemimpin
kerajaan negeri yang dipuji selama ini mula dipersoalkan semata-mata kerana
kemahuan politik seorang yang lain.
Buat baik pun salah, buat jahat
pun salah. Semuanya serba salah. Akhirnya Pakatan Rakyat tidak mempunyai
pemimpin yang boleh dijuarakan sebagai pemimpin utama negara.
3 comments:
Sudahlah di luar penuh dengan 'jerebu' Kita serabutkan diri pula dengan 'jerebu' dalam diri. Akhirnya negara dan rakyat Malaysia hanya menjadi bahan ketawa dunia.
terima kasih atas tulisan tuan. Saya mohon izin memaparkannya ke dalam blog saya: suaramuhajirin313.blogspot.com
Wahai saudara Aspan,
Politik negara tidak pernah ke tahap seperti ini sebelum ini. Pemimpin semakin takabur. Jerebu dan MH370 adalah contoh musibah musibah Tuhan sebagai tanda yang Dia Maha Besar lagi Maha Menjadikan. Bila dah mcm ni, barulah semua teringat dekat Dia dan bersujud. Bila 'sakit' dan 'masalah' dah hilang, mereka akan kata 'ok dah tu, rilek je'. Secara hakikat, mereka buat Tuhan tu hanya tempat refer masalah. Sungguh takabur sekali mnusia.
Pemimpin semakin kronik; kita bercakap benar, dia kata kita cemburu tak dapat bertanding. Kita bercakap benar lagi, body languagenya mengatakan kita tidak se'popular'nya. Kita hanya berdiam diri, dia terbayang bayang yang kita sabotage dia. 'Hantu' dalam diri masih lagi tidak boleh dibuangnya.
Sesungguhnya pada saya secara personal, pemimpin yang 'perasan' sememangnya membuat orang menyampah. Perasan orang nak jadi mcm dia dan juga perasan seperti selebriti. Macamlah handsome, cantik, gah dan kaya mana pun. Lainlah kaya mcm Tiger Woods dan David Beckham. Tak payah nak mencuri. Style pun style, handsome pun handsome. Kaya dengan duit sendiri.
Kita hanya boleh beristighfar memandangnya dan mereka sesungguhnya tidak boleh marah jika kita tidak memandang mukanya kerana kita hanya memandang ke arahnya berserta 'A'uzubillahiminsyaitanirajim' di dalam hati. Sesungguhnya, bila dah terasa orang cemburu bila niat yang di beri lain, itu sudah ditahap bahaya. Reference nya seperti di bawah.
Reference dari buku tasawuf: Kalau bersyariat tanpa hakikat, hukumnya fasik, dan kalau berhakikat tanpa syariat, hukumnya zindiq. Salah satunya sahaja tidak berguna.
Post a Comment