31 August 2015

Siapa sebenarnya yang membawa risiko besar kepada negara?... Bukankah Najib sendiri?

Rali Bersih 4 tamat tengah malam tadi dan peserta rali beransur-ansur berundur setelah melaungkan perkataan keramat 'merdeka' tepat 12 tengah malam tadi. Ada yang menafsirkan sejumlah empat ratus ribu telah menyertai rali tersebut tetapi saya lebih cenderung untuk menganggarkan seramai 350,000 sahaja. Jumlah itu sudah cukup meyakinkan kita yang kehendak ramai untuk Najib berhenti dan bersara begitu jelas dan susah hendak dinafikan.

Apa pun yang dikatakan oleh pihak yang memerintah, Bersih 4 telah berjaya mengumpulkan begitu ramai penyokong yang datang dari jauh dan dekat, pendeknya Bersih 4 itu berjaya dan niat serta hajat untuk membuktikan yang Najib sedang menghadapi krisis keyakinan itu amat ketara. Katalah kehendak hati yang tidak bersetuju dengan rali ini, ia merupakan organisasi yang amat sempurna secara relatifnya.

Keadaan terkawal dan dari awal lagi mereka yang menyusun rali ini telah memberikan jaminan yang rali itu adalah perhimpunan yang bertujuan yang aman semata-mata. Mereka hanya hendak menunjukkan sikap mereka terhadap kepimpinan Najib dan rakan-rakannya dalam kabinet negara itu. Mereka mahu menunjukkan dengan jelas kepada Najib yang beliau perlu memujuk semua anggota kabinetnya untuk berhenti bersama-sama beliau dari menguasai kerajaan Persekutuan.

Rakyat bertambah risau kerana jika matlamat mereka ialah untuk hidup dalam keadaan yang aman dan damai dan menuntut Najib untuk bersara bagi mendapatkan kedamaian yang diidamkan oleh rakyat itu. Tetapi mereka bertambah runsing dan risau apabila kelihatan Najib akan menurunkan dan mewariskan kepimpinan negara kepada Ahmad Zahid Hamidi dan inilah yang digerunkan oleh rakyat biasa negara ini. 

Jika Zahid yang mewarisi kepimpinan lemah Najib ini, Zahid akan menjadikan negara lebih celaru dengan sikap dan sifatnya yang 'bodoh sombong' dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menakut-nakutkan rakyat. Kenyataan-kenyataan beliau tanpa 'decorum' nyata jelas kenyataan kerasnya itu adalah semata-mata untuk menutupi kekurangan yang ada kepada diri beliau sendiri.

Dalam ucapan hari kemerdekaannya Najib telah menzahirkan kerunsingan beliau jika BN dan UMNO khususnya akan kalah dalam pilihanraya yang akan datang dan terus menyalahkan rakyat yang berjiwa memberontak itu. Tetapi tidak nampak dalam diri beliaulah yang masalah dan risiko kekalahan BN dalam pilihanraya itu adalah hasil dari kelemahan dan kekurangan kepada kepimpinan beliau.

Beliau tidak mahu menerima yang satu-satunya jalan yang tinggal bagi mempastikan kemenangan UMNO dan BN itu ialah dengan mengajak semua barisan kepimpinan beliau di dalam kabinet itu berhenti dan bersara dari memegang jawatan dan tanggungjawab yang mereka tidak mampu untuk melaksanakannya itu.

Sesungguhnya beliaulah yang bertanggungjawab menjadikan kerajaan menghadapi risiko ditumbangkan oleh rakyat didalam pilihanraya yang akan datang. Najib tidak boleh membiarkan negara terumbang ambing kerana diri beliau dan kabinet beliau yang beliau lantik itu.

Perhimpunan Bersih yang begitu besar sambutannya memberikan implikasi yang besar terhadap kepimpinan Najib ini dan beliau sepatutnya mendengar desakan rakyat dari menyalahkan rakyat diatas kecelaruan yang kita hadapi ini.

Lain orang lain caranya untuk memberikan bakti kepada negara. Jika Tunku Abdul Rahman memberikan jasa kepada negara dengan mengetuai usaha dan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan, Najib pula hanya boleh menaburkan bakti kepada negara dengan berhenti sahaja dari terus mentadbir negara yang sedang kehausan kepimpinan ini.

Yang penting bagi seseorang pemimpin ialah dia meninggalkan jasa kepada negara. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa. Najib sepatutnya menunjukan jiwa besar beliau dengan mengumumkan kepada rakyat yang beliau bersama kabinetnya berhenti semata-mata untuk menstabilkan politik dan kepimpinan negara. Mengakui kelemahan sendiri dan berundur merupakan satu tindakan yang sangat dihargai oleh rakyat dan ia akan dikenang buat selama-lamanya oleh rakyat dan penulis sejarah negara kita.

Malahan tindakan Najib untuk berundur secara terhormat itu boleh dijadikan contoh oleh kepimpinan yang akan datang yang mengakui kelemahan dan kesalahan itu akan menjadi isu yang positif bagi seseorang yang berjiwa besar dengan mengakui kelemahan sendiri itu.

Hentikanlah sikap menjadikan jawatan dan pengaruh dalam kuasa kerajaan sebagai modal perniagaan itu. Ia adalah terlalu hina dan jauh sekali untuk memperolehi keberkatan dari Tuhan semesta alam itu. Najib sepatutnya bertanya kepada dirinya sendiri samada beliau mampu untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara ini misalnya. Jika jawapannya 'tidak mampu' maka beliau sepatutnya menyerahkan jawatan itu kepada pemimpin yang lebih berkemampuan dari beliau dan kabinetnya.

Beliau sendiri tahu yang beliau tidak mampu untuk penyelesaian itu.

7 comments:

Anonymous said...

Letak jawatan perlu diikuti dengan pulangkan semula rm2.6 billion tu. Saya nampak Najib akan temui jalan buntu jika sahabat2 nya dalam kabinet tak beri akujanji yang dia tidak diganggu dalam persaraannya. Jika ini tidak ada Najib tak akan menyerah kalah lebih baik ikut jalan Muammar Daddafi.
Kalau dia ada maruah dan integriti dah lama dia letak jawatan tetapi masih bertahan memberi berbagai alasan yang singgung hati Rakyat.Kita tumpukan perhatian kita keatas BN dan Umno samaada bersama dengan rakyat atau menyebelah Najib...
Kalau tak ada perubahan rakyat perlulah fikirkan untuk BERSIh 5 dengan satu matlamat iaitu Najib mesti letak jawatan.

Anonymous said...

Kenapa najib tidak mahu lepas kan jawatan? Kerana dia tahu bila tiada kuasa bermcm2 yg menanti beliau dan isterinya. Ini amat menakutkan beliau sbb najib bukan seorg pejuang sejati. Mana mungkin beliau tidak sedar kesalahan dan kesilapan beliau sendiri kan? Tetapi beliau mengambil jalan yg penuh ranjau dan duri iaitu menjadikan rakyat musuh seterunya. Ini kesilapan besar beliau. Bayang2 kesalahan terus menghantui nya. Jadi atas nasihat,bagi beliau inilah yg terbaik...berjuang habis2an...kononnya!
Mentadbir negara bukan semudah di fikirkan,apatah lagi negara seperti msia yg d ditunjangi pelbagai kaum. Setiap isu2 pasti di diperhalusi agar tidak di jadikan satu alasan...racist. Jadi utk berlaku adil perlu punyai keberanian dan pengalaman. Beliau amat kurang dlm istilah ini....keberanian. Lebih suka menurut....jadi ini tidak sesuai utk menjadi pemimpin. Pemimpin adalah pencetus kpd sesuatu...sentiasa mempunyai idea dan mempunyai pandangan yg jauh ke hadapan serta sentiasa lapang dada utk berbincang dgn barisan kabinetnya. Berterus terang adalah satu kewajipan.
Kabinetnya pula harus sentiasa bersedia dgn pandangan bernas supaya sentiasa kelihatan bersedia. Di sinilah letak kelemahan najib yg cukup ketara....yg cuma perlu kesetiaan bukan kebijaksanaan. Apakah beliau rasa hina jika ada org lain lebih bijak dari beliau? Jawapan itu hanya beliau saja yg tahu. Sepatutnya beliau bangga dgn barisan menteri yg bijak kerana ini memudahkan lagi serta meringankan beban beliau utk mentadbir.
Jadi bila terbukti sekarang beliau adalah liabiliti terbesar negara dan umno...apa yg boleh beliau lakukan? Setakat ini tindakan2 beliau tidak mencerminkan kematangan dlm membuat keputusan hingga masalah peribadi beliau pun di jawap oleh org lain. Mana mungkin begitu.....sbb itu satu isu mempunyai pelbagai jawapan.....apa akan rakyat fikir? Sudah tentu rasa di perlekeh dan di perbodohkan....
Jalan terbaik bagi beliau samada suka atau tidak WAJIB meletak jawatan kerana kepercayaan rakyat terhadap beliau telah terhakis sama sekali. Itu lah FAKTA yg beliau harus akui secara jujur.
Sekian.
Terima kasih.

Anonymous said...

Kubur siapa yang akan dikencing oleh saudaranya nanti? Kita tunggu

Anonymous said...

Bersih 4 melihatkah penyertaan masyarakat cina yang lebih dominan. Ini menunjukkan orang-orang cina lebih prihatin dan peka ke atas keadaan negara masa ini. Sama seperti keadaan orang-orang Melayu yang peratus mendaftar menjadi mengundi yang rendah berbanding orang-orang Cina. Orang-orang Cina mula melibatkan diri secara aktif dalam politik dengan lebih lagi kerana mereka sedar kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang lemah, rasuah dan menyalahgunakan kuasa. Menteri2 yang dilantik kebanyakkannya yang lemah pemikirannya termasuk Zahid yang kelihatan seperti badut atau kadok naik junjung. Najib wajar disingkarkan dengan segera demi menyelamatkan politik orang-orang Melayu.

aauuww said...

Najib tidak akan meletak jawatan PM...Dia akan terjun bangunan atau telan pil tidur untuk mati dari menghadapi pengadilan mahkamah.

Anonymous said...

Million of Malaysian should no longer tolerate one man to destroy the nation.

Anonymous said...

Aku manusia biasa yg dilahirkan dlm zaman sebelum kemerdekaan. Aku tahu susah senang, aku jg turut merasai susah senangnya hidup dlm zaman mengejar kemerdekaan. Dalam enam orang Perdana Menteri itu, aku terasa sangat bahagianya sekali di bawah "Bapa Pembangunan" Apa tidak nya jasanya itu aku boleh lihat dan aku ikut merasai nikmat pembangunan itu. Baik di bandar dan diluar bandar. Aku tahu adanya pembangunan itu melalui guru2ku yg jelas sekali juga melalui wayang pacak di kampung ku.

Adoh, sekarang di zaman pembangunan moden ini aku sudah terasa pula akan pengkhianatan oleh bangsa ku sendiri Melayu terutama pemimpin2 negara yang penuh korupsi dan bodoh, apatah lagi yg tidak menyayangi bangsanya sendiri. Aku takut negara yang ku cintai ini lebur selebur2nya. Maka menangislah anak cucuku. Kenapa sampai begitu, mereka akan bertanya dan terus memberontak dalam sedeh dan sayu bukan kah negara ini 58 tahun yg lalu ibubapa bangsanya yg memerintah nya.

Wahai bangsa Melayu masih ada sedikit lagi baki perjuangan, kenapa tidak sama kita bangkit mempertahankannya dari terus dinodai oleh bangsa bangsat Melayu kita juga. Bangkit lah bangsa ku, ayuh demi anak cucu kita juga. Jangan kita tinggal kan mereka menangis ibarat "Ayam di kepok mati kelaparan, itek di air mati kehausan "