27 October 2008

UMNO - Barang tiruan yang tidak tahan lama

Kita orang Melayu sudah patut membuat persediaan berpolitik tanpa kekuasaan UMNO dalam jangka masa yang terdekat ini.

Mahu tidak mahu kita wajib menerima hakikat bahawa UMNO sudah sampai ke penghujung hayatnya dan ramai berpendapat bahawa UMNO akan akhirnya mati dalam era pentadbiran Najib dan Muhyiddin sekiranya mereka ini benar-benar akan menjadi pemimpin kita Mac ini.

Orang tua-tua selalu bercakap, “kalau nak makan apa-apa pun sekaranglah masanya, kerana jika kita dah mati kita tak akan dapat lagi makan-makan seperti ini”.

Begitulah juga dalam UMNO, jika kita nak puas berpolitik dalam UMNO sekaranglah masanya. Kalau nak ambil kesempatan untuk membolot segala kepunyaan kami itu, bolotlah sekarang, sebab UMNO akan ditalkinkan dalam pilihanraya yang akan datang.

Secara moralnya UMNO memang sudah tiada lagi; yang ada hanyalah sebuah parti yang menggunakan nama keramat UMNO itu yang sedang menempa sejarah kehancuran dalam keadaan hina sekali.

UMNO yang sebenarnya tidak seperti apa yang kita lihat sekarang ini. Betullah kata ramai pemimpin veteran yang sudah pergi yang berbunyi, “barang tiruan memang tidak tahan lama.”

Bagi mereka UMNO ini adalah UMNO tiruan. Dalam UMNO asal, ahli yang pertamanya ialah Onn Jaafar bukannya Dr Mahathir Mohammed.

Sejarah pun sudah diubahnya, dan janganlah kita marahkan Singapura memulakan sejarahnya dari tahun 1819 semasa Sir Stamford Raffles menemui Singapura.

UMNO yang ‘ori’ itu pendaftarannya adalah pada tahun 1946 tetapi UMNO tiruan ini pendaftarannya adalah Februari 1988 sahaja.

Penubuhan UMNO asal adalah diasaskan atas penyatuan persatuan dan kelompok Melayu yang pelbagai untuk bersatu mencapai perjuangan Melayu sedangkan UMNO tiruan ini diwujudkan bagi menyelamatkan seorang dua yang ingin kekal rakus berkuasa.

UMNO asal bertegas mempertahankan Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan keluhuran Perlembagaan sedangkan UMNO tiruan ini mencabul kedaulatan Raja-Raja Melayu dan meletakkan Raja-Raja Melayu di pinggiran.

Dalam UMNO tiruan ini perlembagaan diubah dan ditukar seperti menukar seluar dalam untuk disesuaikan bagi kepentingan pemimpin-pemimpinnya dan bukannya untuk menjaga kepentingan parti.

UMNO asal dihormati oleh rakyat berbilang kaum kerana maruah dan martabat pemimpin mereka dijaga rapi sedangkan UMNO tiruan ini dipimpin oleh manusia yang tidak dapat sanjungan rakyat malahan menjadi bahan cacian di merata tempat.

Saya pernah menulis dalam blog ini yang perbezaan antara UMNO asal dengan UMNO tiruan ini adalah seperti perbezaan antara Ziela yang pelakon itu dengan Ziela, maskot Tahun Melawat Malaysia yang diperkenalkan oleh Sabaruddin Cik dahulu.

Ziela, orang utan yang menjadi maskot itu berbulu seluruh badannya sedangkan Ziela yang asal hanya berbulu di tempat-tempat tertentu sahaja.

Walaubagaimanapun, kedua-duanya bernama Ziela dan tentu kita tahu dan faham bahawa kita sekarang bersama Ziela yang asal atau Ziela yang maskot itu.

Sekarang Ziela maskot itu sudah mati di Zoo Negara. Persoalannya sekarang ialah samada UMNO tiruan ini akan mati menuruti Ziela maskot itu ataupun tidak. Nampaknya potensinya besar.

Kalau masih tidak dapat membezakan kedua-duanya nasib perjuangan kita akan terkubur.

Kita patut mula berfikir bagaimana kita hendak berpolitik tanpa UMNO yang akan kalah dalam pilihanraya yang akan datang.


Sekian……………………………………..Aspan Alias

5 comments:

Anonymous said...

sdr aspan,
anda telah cuba dan terus mencuba untuk membuka 'mindset' orang orang melayu tapi saya kira belum satu di terima guna untuk memperbetulkan kemelut UMNO dan ahli ahlinya sehingga kini (mungkin dulu,kini dan selamanya).
sememangnya parti sebahagian orang orang melayu malaysia ini mahu kemelut itu terus kekal.penipuan dan rasuah perlu kekal. kejujuran dan amanah hanya perkataan perkataan dalam kamus dan bukan untuk di praktik.etika dan moral ialah perkataan perkataan asing (alien) yang tidak di fahami langsung. walau saudara cuba memberi contoh dan perbandingan ianya hanya mungkin di fahami oleh ahli ahli hantu sahaja. biarlah bulu bertompok tompok atau pada bahagian tertentu sahaja ataupun berbulu seluruhnya namun kemaluan terpampang jua.andainya mereka ini faham dan mengerti istilah tiruan sudah pasti mereka akan rasa MALU menyambut ulang ulang tahun sehingga lebih 50 tahun kerana yang asal itu ditamat riwayatnya pada tahun 1988 juga iaitu pada uhsia 42 tahun.dan yang tiruan ini baru beruhsia 20 tahun.antara hidup dan mati pun tak tahu macam mana nak tadbir negara? adakah kita pernah menyanyi 'happy birthday to you' pada yang telah meninggal?

Alias Mohd Yusof said...

Selalunya setiap parti itu membawa moto perjuangan yang indah-indah semasa mula ditubuhkan.
Seperti jugalah parti UMNO yang berjuang demi bangsa, agama dan negara.
Tetapi akhirnya orang ramai akan menilai parti dengan melihat kepada tindak tanduk pemimpin-pemimpin parti tersebut.
Bila pemimpin-pemimpin parti melakukan amalan-amalan buruk, ini akan mencemarkan nama parti dan orang ramai yang cintakan nilai-nilai baik akan mula menjauhkan diri dari parti tersebut. Akhirnya parti tersebut hanya dihuni oleh orang-orang yang bermoral rendah.
Bila keadaan ini berlaku sukar untuk mencari orang baik dan berkebolehan untuk memimpin parti.

pakbelalang said...

Ada tak Ziela, orang utan tak berbulu? Maknanya orang utan "togel" ! Macam mana rupa Ziela orang utan tak berbulu? Cantik tak? Kena tanya Husin Lempoyang.

perfectwater75 said...

Salam Aspan,

Saya sikit hairan kenapa Pedaftar Pertubuhan boleh meluluskan UMNO yang tak ori ini untuk menggunakan segala hakmilik UMNO asal...Mungkin saudara boleh carikan peruntukan tertentu dalam akta pertubuhan yang boleh menafikan UMNO(Baru) atau UMNO (Spray) terus memperbodohkan ahlinya mempercayai bahawa UMNO kini adalah parti yang lain dari segi sejarah dan pengasas dan segalanya..

mohon mencadangkan,
thx!

pakbelalang said...

Pan,

Bagilah can orang Muar jadi TPM. Orang Muar bukan calang-calang orang. Orang Muar terer-terer !! Tengok je lah arwah Che Gu Kahar, kawan baik awak !! Semangat perjuangannya kental. Itu lah kualiti orang Muar. Pandai berpolitik. Tidak ada musuh sama sendiri. Mee Bandung tetap makan sama-sama. Pagi-pagi makan satay sama-sama cerita pasal politik rengan-rengan. Ada sokong PAS ada sokong UMNO tapi masih tegor sapa dipasar atau di masjid. Itulah keunikan orang Muar. Best !!!