13 February 2011

Saya kehilangan seorang lagi sahabat

Saya seisi keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga kepada sahabat saya yang saya kenali sejak 1981 dahulu, YB Dato' Zaharudin Kasim yang telah menghembuskan nafasnya yang terakhir petang semalam setelah berada di dalam keadaan kesihatan yang uzur sejak beberapa lama.

Kepulangan beliau menambahkan bilangan sahabat-sahabat seangkatan yang telah pergi buat selama-lamanya dan ini membayangkan kepada sesiapa yang seangkatan dengan saya itu sudah jauh masuk ke dalam usia yang menghampiri ke penghujungnya. Hanya kita tidak tahu saat dan waktunya bila kita akan dipanggil oleh Maha Pencipta kerana masa dan ketika kita dipanggil itu adalah hakNya semata-mata.

Saya hanya bertemu beberapa kali sahaja sejak beliau kembali ke Pahang kerana dipiih untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang yang mewakili DUN Kerdau sejak pilihanraya umum yang lalu dan Zahar sentiasa memberitahu saya bahawa beliau tidak sesihat seperti dahulu. Kali terakhir saya bertemu Zahar ialah semasa beliau dimasukkan ke rumah sakit di Kuala Lumpur tahun yang lepas.

Kesihatan beliau mula terganggu sejak kematian isteri beliau beberapa tahun dahulu dan beliau adalah seorang sahabat yang tidak pernah lupa kepada kawan-kawan dan saya tidak pernah mengalami rasa kecil hati dengan beliau kerana beliau adalah seorang yang mudah memahami jiwa sahabat-sahabat yang hampir dengan beliau secara peribadi.

Marilah kita bersama-sama sujud, bertawajjuh serta bertawassul ke hadzirat Allah swt mendoakan roh beliau agar berada sebaris dengan roh-roh para aulia dan ambia seterusnya dicucuri rahmat dari Allah swt serta syufaat Rasullallah saw.

Al-fatihah.

1 comment:

Anonymous said...

sayang jugak kau kat member lama yang masih sokong UMNO dan najib dan tun M.