20 September 2014

Jalan yang hak itu berduri-duri, jalan yang bathil itu dipenuhi keju dan roti yang enak

Tok Guru Haji Hadi Awang (TGHA) dalam ucapan penggulungan Muktamar partinya berkata beliau tidak dapat mengikut tindakan DAP dan PKR dalam isu Menteri Besar Selangor kerana jika diikuti, PAS terpaksa mengorbankan banyak prinsip perjuangan parti.

PAS telah melalui waktu yang pahit dalam menghadapi isu Menteri Besar Selangor kerana PAS mempunyai pendirian yang berbeza dalam isu ini. TGHA berkata apabila kita ada Raja yang mengetuai Agama Islam dan berkaitan dengan Melayu, PAS tidak boleh berpeluk tubuh dan terpaksa membuat pendirian.

Pendirian itu sejajar dengan prinsip perjuangan partinya sambil bekerjasama dengan dua parti lain, iaitu DAP dan PKR yang mempunyai prinsip yang berbeza diantara satu parti dengan parti yang lain. TGHA telah bertegas untuk tidak mahu lagi partinya dijadikan sebagai 'alat dan kenderaan' bagi parti-parti lain untuk mencapai matlamat dan tujuan yang terlalu berbeza dengan matlamat PAS itu sendiri.

TGHA juga melahirkan rasa kecewa beliau dengan tindakan dua orang ADUN dari PAS yang dengan tergesa-gesa menandatangani akuan bersumpah untuk memberikan sokongan kepada Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor. Sikap tidak bertanggungjawab dua ADUN itu tidak dapat diterima oleh TGHA dan beliau beranggapan mereka sebagai pemimpin yang boleh dijual beli dalam perjuangan mereka. TGHA bertanya, mana yang lebih kuat bai’ah atau akuan bersumpah?

TGHA menambah yang beliau tidak sanggup mengenepikan asas dan prinsip parti itu semata-mata kerana hendak mendapat kuasa. Lain-lain makna kata-kata TGHA itu ialah kita tidak boleh mengambil pendirian tindakan menghalalkan cara dalam mendapat kuasa.

Apa pun kerjasama diantara ketiga-tiga parti itu bukannya kerjasama yang ‘formal’ kerana Pakatan Rakyat tidak terdaftar. Ia hanyalah kerjasama dalam usaha memenangi pilihanraya sahaja. Itu sebabnya dalam Pakatan Rakyat, DAP menentang penubuhan negara Islam sedangkan PAS bermatlamatkan untuk mencapai taraf negara Islam.

Mencari ‘reconciliation’ diantara prinsip DAP dan PAS tentang isu kerajaan negara Islam ini tidak mungkin dapat dicapai sampai bila-bila kerana PAS tidak mungkin duduk berbincang kepada mereka yang anti-negara Islam itu.

PAS tidak mungkin betul jika parti itu mengharapkan DAP untuk menyelesai dan mencapai matlamat dan ‘ultimate’ PAS dalam memperjuangkan Islam itu. PAS mesti memahami yang didalam Islam itu sendiri perlu mempunyai ‘point of reconciliation’ diantara hukum syariat dan perlaksanaan prinsip Islam yang berdasarkan kepada hukum fekah dan hakikat dan ini memerlukan teman dan taulan yang memahami kedua-dua elemen didalam Islam itu.

PAS sudah mulai sedar yang berkompromi dengan prinsip perjuangannya semata-mata untuk mendapat sokongan maka akhirnya parti itu akan dipermainkan oleh rakan sendiri dan menggunakan parti itu sebagai ‘papan landasan untuk menyiang ikan dan memecahkan tulang-tulang yang keras’ sahaja.

TGHA berkata dalam Muktamar dua hari lepas yang PAS wajar kembali untuk menyandarkan harapan kejayaan perjuangannya dalam keredhoanNya maka amat wajar dari syariatnya melakukan apa yang sepatutnya dilakukan mengikut kehendakNya bagi menyediakan tempat rahmat itu sampai dan diletakkan olehNya.

PAS sepatutnya memerangi perlakuan mana-mana pihak untuk mendapatkan laba dengan cara yang tidak diredhoiNya dan agama telah menetapkan cara syariatnya segala perkara yang boleh dijadikan tanda arah untuk melalui jalan yang di redhoi itu.

Bagi mereka yang inginkan rahmat ia juga telah ditentukan syaratnya. Untuk mendapatkan rahmat dan keredhoan pemimpin itu wajar menjauhi kumpulan yang dipandu oleh nafsu semata-mata, kerana nafsu itu adalah alat panduan ‘evil and devilish elements’.

Jika pemimpin itu sentiasa dikellilingi oleh kumpulan yang sentiasa memperjuangkan ‘evil courses’ tidak akan sampai keredhoan yang dicari itu. Hanya jika kita telah terjumpa hikmahnya jangan sekali-kali berundur dari melakukan tindakan yang benar walaupun ia perit untuk dilakukan.

Jalan untuk mencari kebaikan dan keredhoan itu semestinya jalan yang amat sukar. Untuk mendapatkan hasil yang tidak diredhoi dan yang boleh memusnahkan manusia itu mudah untuk dicari dan dijumpai.

Jalan ke syurga itu dipenuhi dengan onak dan duri dan sebaliknya jalan ke neraka itu dipenuhi oleh keju dan roti yang enak-enak. Tetapi jika PAS merasakan terlalu payah untuk melalui jalan yang diredhoi itu, masa masih banyak untuk melalui jalan yang dipandu oleh yang bathil dan kufur yang luas dan terbuka itu. tentu ia akan disambut dengan gegak gempita dari mereka yang menaja kebathilan itu.

Itu PAS sendirilah yang menentukan jalan mana yang hendak dilalui mereka.

Musuh Azmin adalah pimpinan PKR sendiri, bukannya UMNO atau PAS

PKR nampaknya dalam kepanasan. Kepanasan itu bukan kerana kemungkinan jawatan Menteri Besar itu akan jatuh ke tangan PAS tetapi yang lebih memanaskan keadaan ialah kerana ada ura-ura untuk melantik Timbalan Presiden parti itu untuk menggantikan Khalid Ibrahim. Azmin Ali pernah dicadangkan oleh PAS sebagai salah seorang dari calon yang patut dipertimbangkan untuk menjawat jawatan itu.

PKR sedang memohon untuk mengadap Kebawah Duli Tuanku Sultan Selangor untuk ‘mendapatkan nasihat’ dan mereka tetap dengan keputusan untuk menamakan hanya seorang calon, iaitu Wan Azizah menggantikan Khalid Ibrahim. Jika Azmin dipilih untuk menggantikan Khalid maka keadaan ini lebih membimbangkan PKR (Anwar) dari perlantikan calon dari PAS.

Semua orang tahu yang jika Azmin menjadi pengganti Khalid Ibrahim ia akan merupakan permulaan bagi Azmin memimpin parti itu dalam pemilihan parti itu yang akan datang. Kita terdengar tindakan PKR memaksa Azmin untuk menolak keputusan Tuanku Sultan jika beliau (Azmin) diplih sebagai pengganti Khalid itu semata-mata untuk memperkuatkan kehendak PKR (Anwar) agar Wan Azizah menjadi pilihan untuk menggantikan Khalid Ibrahim itu.

Bagi saya, Azmin sepatutnya telah dilantik menjadi Menteri Besar sejak dari tahun 2008 lagi. Tetapi oleh kerana keperluan parti itu semasa itu maka Khalid telah dipilih untuk jawatan itu dan telah terbukti menjadi sebuah negeri yang paling telus pantadbirannya jika dinilai secara relatifnya dengan mana-mana negeri yang lain. Sebagai pemerhati dari luar, saya berpendapat Azmin adalah sinonim terhadap pembangunan PKR sejak ia mula didaftarkan dan seterusnya bergerak.

Malahan Azmin telah memimpin PKR diperingkat Timbalan Presiden dan menjadi Pengerusi PKR sejak dari dulu lagi. Jika Azmin menjadi pengganti Khalid sepatutnya tidak memberikan apa-apa masalah kepada PKR terutamanya dalam keadaan dan sinario politik Selangor pada hari ini. Apabila isu Azmin sendiri menjadi hangat diperbahaskan oleh pimpinan dan ahli PKR sendiri, ia jelas yang perjuangan PKR ialah untuk Anwar dan keluarganya semata-mata.

Jika inilah keadaan dalam PKR apalah sangat kedudukan mereka yang lain dalam Pakatan Rakyat itu? Diantara mereka pun boleh dikorbankan demi untuk keluarga Anwar. Kita tidak tahu apakah reaksi PKR jika Dr Idris, ADUN Ijok menjadi pilihan Tuanku pula? Jika Dr Idris tidak juga menjadi kesukaan pucuk pimpinan PKR, maka jelas semua tenaga dan riuh rendah berdemonstrasi selama ini hanya lah untuk Anwar dan keluarganya.

PKR tidak mahu sesiapa selain dari Wan Azizah walaupun jika yang dilantik itu datangnya dari PKR juga. Jika keadaan sedemikian maka untuk melantik pengganti Khalid ini tidak semestinya datang dari PKR kerana PKR itu hanyalah untuk kepentingan peribadi pucuk pimpinannya dan bukannya untuk berjuang memperbaharui kesucian dan kebersihan dalam pentadbiran kerajaan kita.

Maka jelas PKR bukan sahaja tidak sehaluan dengan PAS dalam isu perlantikan Menteri Besar yang baru ini, parti itu juga sedang berperang sesama sendiri dan cantas-mencantas diantara mereka sendiri.

Maka ‘langkah Kajang’ Mac yang lalu telah merosakkan PKR itu sendiri. PKR (Anwar) tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak selain dari menyalahkan mereka sendiri. Justeru PKR wajar menumpukan kepada mengembalikan keyakinan ramai yang parti itu wujud semata-mata untuk kepentingan negara dan bukannya untuk kepentingan peribadi pemimpin yang dalam kedahagaan kuasa yang ‘obsessive’ dan tidak bersempadan.

Justeru itu, musuh Azmin bukannya UMNO, PAS atau rakyat Selangor, tetapi musuh beliau yang sebenarnya ialah pemimpin-pemimpin dalam PKR itu sendiri. Selama ini Azmin hanya digunakan oleh pemimpin-pemimpin dalam partinya sendiri untuk menjadi 'pengandar dan pemikul bebanan' mereka sahaja. Nak sebut dengan istilah ‘kaldai’ untuk mengangkut bebanan, takut pula terlalu kasar didengar orang, tetapi seolah-olah macam itulah keadaannya.

Susah untuk mengembalikan keyakinan itu, tetapi cubalah! Sesungguhnya Azmin bak kata ramai orang awam dimana-mana berpendapat, ‘it’s not that bad a choice for the new Menteri Besar’. 

Kenapa mereka berpendapat begitu? Jawapannya mudah kerana beliau telah berkorban begitu besar terhadap PKR yang beliau sama-sama wujudkan itu.

19 September 2014

PAS dalam proses introspeksi

Apa yang diberitakan berlaku dalam muktamar PAS semalam tidak perlu digusarkan oleh ahli-ahli dan pimpinan PAS yang masih berada dalam landasan perjuangan asalnya. Isu caci-mencaci yang sedang berlaku dalam PAS terhadap Timbalan Presidennya Mat Sabu itu mungkin ada hikmahnya. Kadangkala apabila kita berada di dalam keadaan yang kita rasakan kuat kita terlupa dari mana kita datang dan kemana kita hendak tuju.

Tindakan Mat Sabu sentiasa membuat kenyataan yang bercanggah dengan pucuk pimpinan serta majlis syura parti itu merupakan perkara yang patut disyukuri. Dengan kenyataan Mat Sabu itu menunjukkan yang PAS perlu berhati-hati dengan keadaan sekeliling termasuk mereka yang sedang berada dikedudukan yang tinggi dalam parti itu.

Selalunya yang boleh menjatuhkan kita ialah mereka yang rapat dengan kita, kerana yang jauh dari kita tidak mungkin mampu menjatuhkan kita kerana berada jauh dari mereka. Sebagai orang luar PAS sendiri terkejut dengan kenyataan-kenyaatn Mat Sabu yang lebih cenderung untuk mempertahankan parti-parti komponen lain dari mempertahankan parti sendiri dan itu adalah perkara yang biasa di zaman moden dan ‘serba maju’ ini.

Selalunya pemimpin seperti ini akan terkeluar secara ‘natural’ dan tindakan sebahagian perwakilan dalam muktamar tahunan PAS itu merupakan permulaan untuk pimpinan seperti ini untuk tidak diyakini lagi oleh ahli-ahli pertubuhan itu dan rakyat ramai yang memerhati dengan minat itu.

Tindakan Mat Sabu itu mempunyai hikmah besar untuk parti itu. Tindakan songsang beliau itu menyedarkan ahli-ahli PAS yang parti itu sedang sarat dengan barisan pemimpin yang mempunyai kesetiaan kepada pemimpin atau parti lain. Banyak pertubuhan politik yang menjadi mangsa agen-agen luar yang mendapat imbuhan dalam berbagai-bagai bentuk yang menyebabkan mereka lebih bersetia dan sanggup menganggap parti yang mereka anggotai itu tidak lagi betul dan sanggup bercanggah pendapat dengan pucuk pimpinan mereka.

Tetapi PAS masih bernasib baik dengan apa yang berlaku di Selangor kerana dalam menyelesaikan masalah Selangor itu terkeluar toksik-toksik yang berbisa yang berada dalam parti itu.

Semasa perjuangan Nabi Muhamad s.a.w dahulu pun ada elemen-elemen seperti ini dikalangan mereka yang sudah beragama masih tidak jujur dengan apa yang diperjuangkan oleh Nabi Muhamad s.a.w, apa sangatlah parti-parti politik yang dianjurkan oleh kita makhluk yang serba lemah ini. Abdullah bin Ubai telah melakukan ‘insubordination’ secara halus terhadap junjungan kita dan jika ia dilakukan oleh Mat Sabu terhadap pucuk pimpinan parti PAS itu, ia merupakan perkara yang tidak boleh dianggap mengejutkan.

Yang perlu bagi ahli-ahli PAS ialah sentiasa memantau apa yang sedang berlaku dalam parti itu apabila sudah ternyata elemen-elemen yang boleh menghancurkan parti itu sememangnya ada dalam PAS sekarang ini. PAS itu parti yang baik, hanya beberapa orang pemimpin mereka sudah berubah sikapnya kerana mungkin sudah merasakan nikmat sedikit sebanyak yang menyebabkan mereka tidak lagi cekal dengan perjuangan mereka. Mereka lebih rela melakukan tindakan seolah-olah sebagai tindakan mensabotaj partinya sendiri demi untuk memberikan ‘amusements’ kepada parti atau pemimpin dari luar PAS itu sendiri.

Apa yang berlaku sekarang ini mungkin berlaku secara ‘natural’ dan proses pembersihan parti itu dari kotoran yang sudah mula mereka dalam pertubuhan politik tertua negara itu.

Orang Islam bukan senang untuk dipecahkan jika mereka betul-betul mengikut ajarannya secara betul. Orang yahudi tidak dapat mengalah Islam sampai bila-bila tetapi mereka akan melakukan banyak cara dan kaedah lain untuk melemahkan Islam itu.

Pertamanya mereka akan memesongkan akidah dan nilai agama kita pada persepsi orang Islam sendiri yang boleh menyebabkan perpecahan kepada umat Islam itu. Mereka tahu yang apabila agama dan keyakinan kita kepada Tuhan itu mampu dilakukan dengan membeza-bezakan persepsi mereka terhadap agama mereka, yahudi itu sudah berjaya sebenarnya.

Bagi memecah-mecahkan silaturrahim diantara jemaah yang pernah bersatu itu ialah dengan mengumpan kedudukan dan wang ringgit serta keuntungan peribadi kepada mereka untuk mengubah dan membezakan persepsi pimpinan yang menjadi sasaran yahudi dan nasrani itu. Jika Mohamad Sabu sudah menjadi ‘trojan horse’ bagi pihak lain dalam Pakatan Rakyat, seperti yang dituduh oleh sebahagian perwakilan muktamar PAS, itu bukannya perkara yang ‘uncommon’ dalam mana-mana pertubuhan politik terutamanya dinegara ini.

Bagi parti-parti dalam Pakatan Rakyat itu, mereka mengakui yang PAS sangat penting bagi mereka untuk menguasainya secara halus. PAS merupakan sumber sokongan dari kaum Melayu dan mereka merasakan jika PAS tidak memberikan sokongan secara membuta tuli kepada mereka, Pakatan Rakyat tidak akan mampu kekal dengan sokongan yang sedia ada.

Maka tidak boleh salahkan PKR dan DAP jika berniat untuk menguasai PAS melalui penguasaan pimpinan diperingkat tertinggi parti itu. Jika boleh sememangnya DAP dan PKR mahu PAS menyokongnya seratus peratus waimma dengan pengorbankan perjuangan asas parti Islam itu. Jika pimpinan tertinggi PAS boleh dikuasai mereka, maka mereka sudah pasti mendapat sokongan membabi buta dari parti yang mereka kuasai secara halus itu sehinggakan mengorbankan segala perjuangan asal PAS itu.

Kesedaran setengah ahli-ahli dan pimpinan PAS tentang bahaya penguasaan pihak lain dalam parti itu maka PAS boleh melakukan baik pulih untuk menyelamatkan parti itu dari tersungkur di masa hadapan.

Banyak negara telah jatuh hasil dari wujudnya tindakan ‘espionage’ yang dilakukan oleh negara lain didalam negara mereka. Banyak negara yang melakukan ‘espionage’ dinegara asing itu selalunya akan menggunakan rakyat tempatan yang mahir melakukan ‘espionage’ itu.

Jika ‘espionage’ berlaku diperingkat negara, tindakan ini juga boleh berlaku di dalam mana-mana parti politik dengan menggunakan ahli-ahli dan pemimpin parti itu.

Isu ini isu biasa, hanya PAS bernasib baik kerana tersedar cepat dan masih mempunyai masa untuk membetulkannya. Pastinya PAS akan melakukan 'soul searching' dan introspeksi yang intensif dan serius selepas ini. Saya percaya parti ini mampu untuk mengatasi masalah yang boleh dianggap serius ini….insyaallah.

18 September 2014

Isu Selangor: Disangka panas hingga ke petang,hujan pula di tengah hari

PAS bertambah jelas yang parti itu masih mahukan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan tidak payah kita sebut kenapa parti itu tidak mahu Khalid diketepikan dan digantikan dengan Wan Azizah.

Seperkara yang kita harus menerimanya ialah Akuan Bersumpah 30 ADUN untuk menyokong Wan Azizah itu tidak boleh diguna pakai selagi ia tidak di buktikan di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor yang bakal bersidang November ini.

Dalam waktu yang sama bukan seorang dua dari mereka yang menandatangani Akuan Bersumpah itu akan bersama memberikan sokongan kepada usul tidak percaya kepada Menteri Besar Khalid, kerana beberapa orang yang telah melahirkan akan tidak mahu bersama dengan Pakatan dalam penentuan usul itu nanti.

Jika usul itu dicadangkan oleh PKR dan DAP November nanti, ia tidak semestinya mendapat 30 orang yang menandatangani Akuan Bersumpah itu menyokong usul undi tidak percaya itu. Maka jika itu berlaku niat dan kemahuan PKR untuk meletakkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar akan gagal.

Setengah berpendapat yang semasa itu tidak ada lagi Pakatan Rakyat di Selamgor untuk dipertimbangkan oleh Tuanku Sultan sebagai satu identiti tetapi di sebaliknya parti-parti dalam Pakatan Rakyat akan mengemukakan cadangan bagi pihak parti masing-masing. Itulah pendapat setengah pemerhati politik yang memberikan pandangan dalam isu ini.

Tetapi hakikatnya Pakatan Rakyat tidak pernah wujud di Selangor atau di mana-mana kerana kewujudan PR itu bukan kewujudan secara formal kerana Pakatan Rakyat tidak pernah terdaftar sebagai entiti badan politik di Pendaftar Pertubuhan. PR itu hanya gabungan tidak formal diantara tiga parti dan bekerjasama untuk mendapatkan sokongan rakyat secara umumnya sahaja.

PAS itu bersendirian sebagai entiti pertubuhan politik. Begitu juga PKR dan DAP, maka tidak timbul masalah PAS keluar Pakatan Rakyat kerana PAS tidak berada dalam pertubuhan induk politik yang terdaftar. Setelah Khalid Ibrahim dipecat, PKR hanya mempunyai 13 kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor, satu kerusi melebihi UMNO yang mempunyai 12 buah kerusi dalam Dewan Legislatif itu.

Maka PKR tidak mempunyai ‘clear majority’ dan moralnya tidak lah parti yang terkuat untuk dianggap sebagai pihak yang mempunyai ‘consequence’ besar di Selangor kalau dikira dari kehadiran parti-parti secara individu di Dewan Legisltif Selangor sekarang ini.

Penyelesaian di Selangor masih jauh untuk dimuktamadkan. Jauhnya adalah sejauh ‘Langkah Kajang’ dimulakan dahulu. Jika ditoleh ke belakang nampak begitu jauh pilihanraya Kajang dahulu berlaku, dan jika memandang ke hadapan terlalu sayup dan jauh dari mendapat hasil yang diharapkan dengan pilihanraya kecil Kajang dahulu. Hasilnya masih belum pasti diperolehi. Takut-takut ibarat 'berniaga buluh kasap, hujungnya hilang pangkalnya lesap'.

Itu pun harapan untuk mencapainya semakin hari semakin menjauhi kemahuan PKR yang disokong DAP itu. Bak kata pepatah Melayu, ‘malang itu tidak berbau’. Kita tidak tahu apa yang berlaku dalam perjalanan kita yang jauh itu. Dijangkakan ‘panas hingga ke petang, tetapi hujan pula di tengah hari’.