29 September 2014

Anwar arah MB Selangor cungkil Khalid, dan Khalid pula menjawab, "silakan! suit yourself"

Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim berkata di Seberang Jaya dua hari lepas yang beliau telah memberikan arahan kepada MB baru Azmin Ali, untuk membongkar semua perjanjian dan projek yang diluluskan oleh TS Khalid Ibrahim semasa beliau menjadi Menteri Besar Selangor dahulu.

PKR akan membongkar semua nama-nama yang mendapat keuntungan dari semua projek kendalian Khalid Ibrahim dahulu kerana beliau mahu mempertahankan yang rakyat Selangor tidak tertipu dengan perbuatan bekas Menteri Besar yang beliau sendiri mencadangkan dahulu.

Di antara yang akan dibongkarkan ialah projek Kidex, Perjanjian air dengan Kerajaan Persekutuan serta pembinaan projek Langat 2. Beliau berkata setelah rakyat tahu keadaan sebenarnya baru lah mereka faham kenapa PKR membuat ‘initiative’ Langkah Kajang dahulu.

Kenyataan Anwar ini merupakan satu kenyataan untuk membina satu alasan yang kukuh untuknya bagi memberitahu rakyat Selangor kenapa beliau bertindak mengadakan 'Langkah Kajang' dahulu untuk menutup keaiban politik yang beliau telah lakukan terhadap Khalid. Khalid pula tidak mahu tunduk terhadap tekanan terhadap beliau untuk berhenti dan memberikan kerusi Menteri Besar itu kepada beliau atau isterinya sendiri.

Anwar sebenarnya telah memberikan gambaran yang sekarang beliau berpuas hati dengan perlantikan Azmin itu, walaupun Azmin tidak pernah dicalonkan oleh beliau atau PKR untuk mengganti dan mengambil alih Khalid Ibrahim.

Dalam reaksinya Khalid Ibrahim mengalu-alukan sesiapa atau mana-mana pihak termasuk SPRM untuk melakukan penyiasatan keatas beliau dalam semua yang beliau luluskan semasa menjadi Menteri Besar dan peguam beliau akan membuat kenyataan apabila sampai waktu dan masanya nanti. Pendeknya Anwar telah memberikan isyarat yang beliau akan mengarahkan Azmin untuk melakukan pembedahan terhadap pentadbiran TS Khalid Ibrahim dahulu.

Kenyataan beliau (Anwar) itu memberikan kefahaman yang beliau sedang berkuasa di Selangor dan Azmin itu hanyalah Menteri Besar yang beliau boleh kuasai dan tentukan hala tuju pentadbiran Selangor itu. Beliau memberitahu kita yang Azmin itu hanyalah ‘conduit’ kepada kehendak beliau sahaja. Ia juga memberitahu Khalid yang jika beliau bersetuju untuk menjadi ‘conduit’ beliau dahulu, Khalid mungkin tidak akan di ambil tindakan ke atas nya.

Isu ini akan menjadi ‘interesting’ dan kita mahu melihat sejauh mana isu ini akan berpanjangan kerana Khalid memberikan ‘welcoming reaction’ terhadap kenyataan Anwar itu. Siapa pun boleh menyiasat beliau termasuk SPRM, kata Khalid.

Bagi saya Anwar boleh lakukan penyiasatan terhadap segala yang dilakukan oleh Khalid jika ia diperlukan dan boleh memberitahu hasil penyiasatan beliau terhadap ‘salah laku’ bekas MB itu. Semuanya terbuka untuk disiasat seperti penyiasatan yang dilakukan terhadap beliau dalam isu sodomi beliau yang berturut kali itu. Kita perlu ingat yang Anwar sendiri telah disiasat dan telah terbukti bersalah di atas tuduhan sodomi itu. Sekarang beliau sedang berhadapan dengan perbicaraan di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 haribulan Oktober nanti.

Jika Khalid di dapati bersalah maka beliau akan menerima hukuman dari undang-undang seperti Anwar yang telah dihukum oleh undang-undang apabila tersabit kesalahan beliau dalam isu sodomi itu. Melakukan sodomi itu jika tidak lebih besar ia setara dengan kesalahan rasuah dalam kepimpinan negeri dan negara. Buat masa ini Anwar telah didapati bersalah tetapi Khalid belum lagi bersalah kerana penyiasatan belum pun bermula.

Tidak semua manusia boleh dikelirukan oleh sesiapa sekarang ini. Masa dan zaman sekarang tidak lagi sesuai untuk mengelirukan sesiapa oleh sesiapa. Ramai yang mempunyai ‘apprehension’ untuk memberikan sokongan kuat kepada Pakatan Rakyat kerana mereka tidak mahu melihat Anwar terus menerus mengelirukan rakyat.

Kita tunggu apa kesudahan kes rayuan Anwar di Mahkamah Persekutuan dan beliau elok menumpukan masa untuk menjaga kesnya yang bakal tiba itu dari memberikan tumpuan untuk menuduh orang lain salah mentadbir negeri Selangor. Isu yang beliau hadapi sekarang ini lebih besar dari isu yang akan dihadapi oleh Khalid jika benar Khalid ada melakukan kesilapan dan kesalahan.

Jika keputusan Mahkamah Rayuan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan maka Anwar tidak boleh lagi dijadikan pemimpin yang relevan kerana isu moral seperti ini tidak membolehkan sesiapa untuk mendekati kepimpinan mana-mana negara sekali pun.

Bagi Azmin, beliau tidak perlu terburu-buru untuk mendendami Khalid kerana jika salah langkah beliau itu, padahnya akan datang kepada beliau sendiri kerana Khalid mempunyai banyak ‘positive traits’ dalam diri beliau. Jika beliau dikorbankan kerana perbezaan pendapat atau kerana perlumbaan untuk berkuasa suatu hari nanti, kuasa yang ada kepada beliau itu sendiri akan memakan diri beliau kembali. Semasa itu nanti tidak ada siapa yang akan bersimpati terhadap beliau malahan rakan-rakan disekeliling beliau sendiri akan membunuh karier politik beliau itu.

Jangan menjadikan musuh orang lain sebagai musuh beliau kerana beliau mempunyai peluang yang amat baik untuk mendapat sokongan dari semua pihak jika beliau berdisiplin dan tidak terburu-buru untuk berdendam kerana kuasa politik itu. Azmin mempunyai peluang dan kemudahan untuk menjadi seorang pemimpin yang 'magnanimous' dan jika peluang ini tidak diambil kesempatan oleh beliau maka apabila sampai masanya nanti kita sendiri akan melihat apa yang akan terjadi kepada beliau.

Yang penting Azmin perlu mengambil sikap sebagai bapa kepada semua. 'Tampal segala yang koyak dan sambung segala yang putus'. Akhirnya nanti semua yang berpecah akan bertaut dan itulah sebersih bersih nama bagi Azmin tinggalkan dalam sejarah politik beliau.

Seperti perlumbaan seratus meter, bagaimana kita memulakan larian itu tidak penting. Yang penting kita sampai ke garisan penamat dengan berjaya. Dalam kehidupan kita, apa-apa kebaikan dan ubudiah kita itu adalah untuk saat kita diakhir hayat kita nanti, kita dihormati oleh masyarakat dan jiran tetangga kita.

Akhirnya kita akan mati dalam kalimah. Semua kerja baik itu adalah untuk mati dalam kalimah semasa akhir kalam kita nanti. Untuk itu satukan semua pihak, yang terpenting sekali ialah untuk mentautkan tiga tonggak utama dalam mentadbir sesebuah negeri yang berdaulat, iaitu Institusi Raja, Institusi Legislatif serta Eksekutif itu.

Bermaaf-maafan dengan pemimpin negeri yang lalu adalah sifat terpuji dan mereka yang tidak arif tentang ketuhanan seperti saya ini pun mengakui yang itu adalah tuntutan yang hak. Tidak perlu mendengar dan mengangguk dengan bisikan khatir yang sentiasa mahu melihat kamu dan rakyat serta semua pihak berpecah-belah untuk kepentingan individu yang lahap dan lapar dengan kuasa itu.

Ramai berada di depan kaca TV tempoh hari dan semuanya mendengar semua sumpah yang dilafazkan oleh Azmin di Istana Alam Shah Kelang dipagi Selasa itu.

28 September 2014

Tugas PAS ialah kerja dipenanggah, PKR dan DAP anggap PAS hanya sebagai garam dan perisa sahaja

Keseluruhan keadaannya, jika diteliti berdasarkan dengan apa yang berlaku sekarang ini, tidak salah jika saya katakan, perjalanan untuk Pakatan Rakyat untuk mencapai impian ke Putrajaya masih jauh dan masih di awang-awangan. Pakatan Rakyat belum lagi terbentuk diatas asas yang ‘promising’ untuk menjadi kerajaan yang mentadbir Putrajaya memandangkan pimpinan Pakatan Rakyat, khususnya PKR, tidak menampakan ciri-ciri sebagai pemerintah kerajaan negara.

PKR terutamanya masih bergelut dengan masalah dalaman yang serius dan ia tidak mungkin dapat membawa obor perubahan kepada politik negara kita lagi. Masakan parti yang bermasalah dalam kepimpinannya boleh menjadi pilihan rakyat kerana rakyat sedang tercari-cari siapa yang hendak menyelesaikan permasalahan yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO itu. Kita tidak boleh menggantikan UMNO yang uzur itu dengan sebuah parti yang juga uzur.

Kita tidak boleh menggantikan pemain bolasepak yang cedera dengan pemain yang patah kaki dan yang capek. Kita tidak boleh berimamkan seorang yang tidak dapat sujud kerana sakit dengan seorang imam yang mengidap penyakit ceret beret. Kita tidak boleh menyuruh pembuat kasut untuk membuat songkok dan sebaliknya kita tidak boleh meminta pembuat songkok membuat kasut.

UMNO dan BN jika diteliti dari sudut kepimpinan, mereka yang sudah hilang arah itu. Mereka sepatutnya diganti, bukannya sekarang, malahan mereka sudah patut diganti lebih satu dekad yang lalu. Tetapi rakyat masih tercari-cari pengganti kepada UMNO dan BN itu.

Sejak dua pilihanraya yang lalu rakyat cenderung untuk menukar kerajaan dengan Pakatan Rakyat, tetapi usaha itu gagal bukan kerana masalah orang ramai dan rakyat tetapi Pakatan Rakyat itu sendiri tidak bersatu dan berbelah-belah. Jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya tempoh hari, maka masalah yang mendatang akan lebih besar lagi.

Masalahnya Pakatan Rakyat itu tidak didaftarkan dan tidak ada satu parti di antara tiga parti itu menjadi pemimpin Pakatan Rakyat itu. Mereka bekerjasama di atas dasar sama besar dan sama dalam segala-galanya, walaupun ia tidak menjadi kenyataan. Untungnya pihak BN, UMNO menjadi tunjangnya, maka UMNO mempunyai suara dan pengaruh yang terbesar dalam BN itu.

Pakatan Rakyat di sebaliknya tidak dapat berjalan dengan mudah kerana semua parti di dalamnya mempunyai pengaruh yang sama untuk menghadapi UMNO dan BN itu. Ketiga-tiga parti ini hanya bekerjasama untuk mendapatkan undi semasa pilihanraya sahaja, bukannya untuk menonjolkan perjuangan sebagaimana yang mereka laungkan.

Mereka terpaksa mengambil hati rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat maka tentulah ada pihak di antara ketiga parti itu yang sentiasa terkorban dan dipermainkan oleh rakan-rakannya tentang perjuangan parti itu.

PAS merupakan parti yang sentiasa terkorban dalam Pakatan Rakyat. Tidak ada apa-apa tambahan kekuatan kepada PAS dalam Pakatan Rakyat dan salah satu contohnya ialah PAS telah kehilangan satu kerusi Parlimen dalam pilihanraya yang lalu sedangkan DAP telah menambah sembilan buah kerusi setelah satu kerusinya kembali ke pangkuan BN dalam pilihanraya kecil Teluk Intan beberapa bulan yang lalu.

Sesungguhnya kita tidak boleh menyalahkan parti seperti DAP untuk menentang perjuangan PAS untuk mendasarkan perjuangannya kepada Islam kerana DAP bukannya parti orang Islam. Memperjuangkan ciri-ciri Islam bukannya perjuangan mereka. Mereka hanya mahu mendapatkan undi dan sokongan orang Melayu dan Islam dan itu adalah kebijaksanaan mereka sendiri.

Kita tidak boleh marah kepada parti yang bukan dari pimpinan Islam itu jika mereka tidak mahu bersama dalam memperjuangkan nilai-nilai Islam itu. Mereka dan penyokongnya akan membuat berbagai-bagai tuduhan seperti PAS sendiri tidak faham Islam dan sebagainya dan bukan sedikit dari pimpinan Melayu yang sekarang menumpukan tenaga untuk memberikan persepsi parti serta pemimpin Melayu dan Islam itu bodoh (stupid).

Akhirnya sebanyak mana pun pengorbanan PAS itu, PAS tetap menjadi mangsa dan korban kehendak dan nafsu pimpinan DAP dan PKR. Apabila PAS memberikan pandangan yang berbeza sedikit dengan mereka maka keluarlah kenyataan-kenyataan seperti, Hadi tidak berpendirian, PAS khianati perjuangan Pakatan Rakyat dan PAS flip-flop dan sebagainya.

Hanya PAS tidak pandai untuk membalas kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat dari parti rakan-rakan mereka dengan bijaksana. Bagi PKR dan DAP hanya mereka sahaja yang berhak untuk membuat keputusan. Hak PAS hanya lah untuk menerima sahaja apa yang mereka mahukan kerana mereka berpendapat PAS boleh mengorbankan apa-apa perjuangan sekali pun untuk mendapat kemenangan beberapa kerusi dalam pilihanraya umum dan kecil.

'Langkah Kajang' dahulu contohnya, PAS tidak dirujuk dahulu untuk melakukannya. Semasa itu PAS terpaksa memberikan sokongan memikirkan semangat kerjasama dalam Pakatan Rakyat itu. PAS dikehendaki menyokong sahaja apa yang mereka mahukan tetapi jangan sekali PAS cuba untuk memberikan pandangan yang berlainan dengan mereka. PAS akan dianggap khianat terhadap perjuangan Pakatan Rakyat (jika ada pun perjuangan).

Perjuangan PAS dalam Pakatan Rakyat tidak akan kemana kerana rakan-rakan kongsi mereka akan melakukan ‘insubordinations’ terhadap setiap kemahuan PAS. Bagaimana PAS mahu memperjuangkan hudud dengan bekerjasama dengan penentang hudud yang tegar?

PAS hanya diperguna untuk menjadi 'penjunjung' mereka sahaja. Untuk kepentingan rakan-rakan ‘superficial’ mereka dalam Pakatan Rakyat, parti itu terpaksa mengalah dan akur terhadap nafsu mereka sahaja.

Ibarat kata, PAS itu 'hanyalah parti lilin, menerangi semua orang tetapi ia akan cair begitu sahaja akhirnya. PAS itu jambatan untuk pihak yang berkepentingan untuk menyeberang sahaja, atau hanya dianggap sebagai dahan bongkok untuk laluan kera-kera, monyet-monyet dan tupai-tupai sahaja'.

'Ibarat kenduri besar, PAS akan disuruh masak dan menghidang sahaja sebagai orang penanggah. Makan dan hidangan itu adalah PKR dan DAP. Selepas makan besar, PKR dan DAP akan pulang, dan PAS masih tinggal untuk tugasan membersih dan mencuci pinggan makan DAP dan PKR tadi'.

Bagi PKR dan DAP, PAS itu hanyalah sebagai garam. Dalam masakan garam itu penting, dan mesti ada dalam masakan itu. Tetapi garam itu tidak boleh lebih-lebih, nanti lauk dan gulai itu tidak boleh dimakan pula, terlalu masin. Garam itu hanya setakat sesedap rasa sahaja.

Raja-Raja Melayu pun dianggap mereka sebagai garam dan perisa masakan semata-mata.

26 September 2014

Harimau ganas didepan mudah dikendalikan, yang mengendap senyap-senyap itu merbahaya

PAS tewas dalam pilihanraya kecil Pengkalan Kubor, satu majoriti kemenangan bagi BN yang lebih membesar dari apa yang diperolehi oleh UMNO dalam pilihanraya yang lalu. Pada pilihanraya lalu UMNO telah berjaya dengan majoriti 1,700 undi dan ini bermakna kali ini majoriti tambahan bagi UMNO melebihi 900 undi. Ini merupakan satu keputusan yang telah dijangka tetapi apa yang tidak dijangka ialah kekalahan yang lebih besar dalam PRK kali ini.

Tetapi PAS telah berjaya mengekalkan kuota Exconya di Selangor dalam Barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor yang telah dicadangkan oleh MB Azmin Ali dan diperkenan oleh Tuanku Sultan Selangor. Ini bermakna ‘status Quo’ barisan Exco di Negreri Selangor dikekalkan dengan 4 dari PAS, masing-masing 3 dari PKR dan DAP untuk melengkapkan jumlah sepuluh orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terkaya itu.

Pertimbangan Menteri Besar Azmin untuk mengekalkan kuota yang telah sedia ada selama ini memberikan harapan yang Selangor akan kembali pulih dengan barisan yang baru ini, walaupun Azmin sendiri masih tidak nampak mendapat sambutan dari pimpinan partinya dan Pakatan Rakyat itu sendiri. Masih kita mendengar rungutan dari pimpinan PKR dan Pakatan Rakyat yang tidak berpuas hati dengan perlantikan Azmin Ali itu.

Masih ramai yang tidak berpuas hati dengan perlantikan beliau kerana perlantikan itu tidak menyampaikan hajat mereka untuk melihat Wan Azizah sebagai pengganti kepada TS Khalid Ibrahim. Walau apa pun yang terjadi satu hakikat yang perlu kita akui, kita tidak akan mendapat semua yang kita hajati. Doa itu tidak semua akan dikabulkan tetapi yang dikabulkan ialah hajat yang besar sahaja.

Hajat itu ialah untuk tidak mahu melihat mana-mana Menteri Besar yang mendapat persepsi sebagai Menteri Besar kawalan jauh. Betul atau tidaknya sesuatu persepsi itu bukan penting, yang pentingnya persepsi yang buruk tidak akan membawa kebaikan kepada kepimpinan negeri.

Azmin sendiri, jika beliau dilihat sebagai orang suruhan mana-mana individu akan akhirnya mendapat persepsi yang sama dan bukannya susah untuk melabelkan Azmin dengan persepsi itu kerana kerapatan beliau dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim. Tetapi saya berkeyakinan Azmin telah belajar dari kesilapan banyak pemimpin lain, maka sudah pasti Azmin akan lebih berhati-hati dan  bertindak dengan betul dan tepat untuk  Negeri Selangor.

Banyak pihak berkehendakan Azmin mengutamakan keperluan rakyat Selangor dan bukannya menumpukan politik untuk kepentingan seseorang yang lain. Azmin mempunyai peluang besar untuk memaparkan yang beliau bukannya seorang yang boleh dipiuh dan dipegang pemikirannya oleh sesiapa yang hanya mementingkan politik peribadi dan keluarganya sahaja.

Azmin terpaksa menafikan segala-gala tuduhan dan persepsi negatif yang kepimpinan PKR lebih cenderung untuk menumpukan perhatian kepada ‘reserve’ Negeri Selangor yang melebihi jauh dari RM3billion itu.

Apa yang perlu sekarang ialah bagi Azmin meyakinkan pimpinan besar PKR yang wang rakyat itu adalah wang rakyat dan bukannya untuk dijadikan ‘leverage’ politik PKR atau Pakatan Rakyat itu. Tentulah Khalid Ibrahim dahulu mampu untuk menggunakan wang ‘reserve’ itu untuk kepentingan politik partinya yang memecat beliau dahulu atau untuk kepentingan politik peribadi beliau kerana simpanan yang besar itu adalah hasil dari kerja keras beliau.

Tetapi beliau cekal dengan prinsip wang rakyat itu adalah wang rakyat, beliau telah menjadi korban oleh partinya sendiri. Tentulah isu-isu yang sengaja ditimbulkan terhadap beliau itu mudah diadakan secara ‘expedient’ kerana mencari kesalahan itu adalah perkara yang jauh lebih mudah dari mencari kebaikan seseorang itu. Mencari kesalahan Khalid itu sangat mudah kerana mencari kesalahan itu tidak perlu mempunyai pemikiran yang telus dan ikhlas, tetapi hanya dengan bekerjasama dengan manusia yang sarat dengan ‘evil elements’ di dalam jiwa mereka yang fakir itu.

Kita tidak tahu bagaimana cara Azmin hendak menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pimpinan PKR yang berada dikeliling beliau itu, kerana seperti yang saya sebut dalam posting saya beberapa hari yang lepas, musuh Azmin berada di dalam partinya sendiri dan bukannya dari PAS atau UMNO dan lain-lain. Yang paling merbahaya bukannya harimau yang mengaum kuat didepan beliau, tetapi yang paling merbahaya ialah harimau yang menghendap secara senyap-senyap untuk menerkam dan menerpa beliau dari belakang itu.

Tetapi jika Azmin lebih memberikan tumpuan kepada rakyat yang ramai tanpa mengambil kira kepercayaan politik dan cara hidup mereka, tentunya Azmin akan dipertahankan oleh mereka dan tidak akan memberi peluang kepada harimau-harimau yang mengendap untuk menerkam beliau dari celah-celah belukar dan semak itu.

Selalunya sesiapa yang bermesyuarat dan berunding didalam belukar dan semak itu, adalah tindakan yang tidak mempunyai niat dan matlamat yang baik.

24 September 2014

Zuraida Kamarudin bercakap tidak berfikir panjang, mulut lebih pantas dari otaknya

Zuraida Kamarudin, Ahli Parlimen PKR Ampang, memberikan pandangan kepada Azmin Ali agar PAS hanya diberikan ‘consolation seats’ dalam barisan Exco Selangor. Sebabnya mudah kerana PAS tidak memberikan sokongan kepada calon Menteri Besar dari PKR, Wan Azizah Ismail.

Pandangan Zuraida ini tidak mengejutkan dan beliau sedang menunjukan sikap mahu bermusuh berpanjangan kerana tidak sependapat di antara PKR dan PAS. Kita sebagai pemerhati, hanyalah membuat persepsi yang sikap dendam-mendendam yang ada di dalam dirinya itu tidak dapat disorokkan dan inilah contoh seorang pemimpin dari PKR yang selama ini disokong oleh ramai pengundi semasa pilihanraya yang lalu.

Inilah yang menyebabkan rakyat sudah mengetahui sikap sebenar pemimpin PKR apabila berhadapan dengan perbezaan pendapat seperti yang berlaku dalam isu pengganti Khalid Ibrahim dahulu.

Zuraida sepatutnya berfikir sebelum bercakap kerana kata-kata seorang pemimpin itu sentiasa dalam pemerhatian dan fokus rakyat yang ramai. Zuraida tidak begitu mahir untuk memberikan pemikiran yang meyakinkan sebagai seorang pemimpin. Kerjasama PAS bukannya dengan Wan Azizah, tetapi dengan PKR. PAS dari awal mahukan PKR jadi Menteri Besar dan Azmin merupakan calon yang dicadangkan oleh PAS. Azmin itu dari parti mana, Zuraida?

Malahan Azmin, Timbalan Presiden PKR itu tidak dicalonkan pun oleh PKR tetapi yang mencalonkan beliau ialah PAS. Bagaimana Zuraida tidak sampai pemikirannya sampai ke sini. PKR tetap dengan pencalonan tunggal, iaitu Wan Azizah dan sentiasa menafikan yang Azmin itu telah dicalonkan oleh PKR. PAS bukannya menolak PKR dari memegang jawatan Menteri Besar itu.

PAS hanya tidak menyokong Wan Azizah.Jika Azmin bersikap seperti Zuraida ini, beliau tidak perlu melantik sesiapa dari PKR untuk menjadi Exco kerana PKR tidak pernah mencalonkan beliau sebagai Menteri Besar. Azmin juga tidak perlu melantik exco dari DAP kerana DAP mahukan Wan Azizah sebagai Menteri Besar. Kita berharap Azmin tidak melayan pandangan politik kuning seperti yang ditunjukkan oleh Zuraida ini.

Tetapi akhirnya pencalonan PAS itulah yang diterima oleh Istana, dan calon itu adalah dari PKR. Namanya Azmin Ali. Jika inilah sikap dan caranya pemimpin seperti Zuraida ini memimpin, maka rakyat terpaksa berfikir kembali dalam pilihanraya yang akan datang samada untuk menyokong beliau atau pun sebaliknya kerana beliau telah menunjukan kesuntukan pemikiran sebagai seorang pemimpin.

Saya berharap media telah salah memetik kata-katanya itu. Jika kata-kata nya itu adalah benar dan tidak disalah petik, maka Zuraida boleh dianggap sebagai pemimpin PKR yang memberikan nasihat yang tidak sihat terhadap partinya, khususnya kepada Azmin Ali. Kita berharap Azmin tidak akan se naif Zuraida itu.

Inilah contoh pemimpin parti yang mengaku sebagai ‘alternative’ kepada UMNO yang kian uzur itu. Sekarang bukan UMNO sahaja yang uzur, PKR nampaknya lebih uzur lagi. Berapa ramai kah pemimpin dalam PKR yang mempunyai tahap pemikiran seperti Zuraida ini?

Jika ramai yang seperti Zuraida ini, bagaimana kah rakyat hendak yakin dengan parti yang beliau anggotai itu? Tak sedar dek untung!