22 April 2008

Najib hilang kelayakan

Komen Tun Dr Mahathir (TDM) yang Najib tidak boleh menjadi Perdana Menteri semasa di Manchester, England, dua hari yang lepas adalah satu komen yang menjadi perbualan orang ramai di banyak tempat.

Topik ini merupakan topik yang releven kerana rakyat sedang mencari dengan serius pemimpin gantian kepada Abdullah Badawi yang telah hilang kewibawaannya.

Najib dikatakannya sebagai seorang ‘yes man’ yang tidak mampu untuk berbuat sesuatu untuk memainkan peranan memperbetulkan keadaan yang tidak baik dalam kepimpinan.

TDM telah membayangkan yang beliau secara peribadi sudah tidak lagi memilih Najib sebagai pemimpin yang ‘viable’ untuk mentadbir negara dan Malaysia berkehendakkan Perdana Menteri yang mempunyai attribute yang istimewa untuk mentadbirnya.

Apa pun pandangan pengkritik TDM terhadapnya, ramai yang bersetuju dengan pandangan beliau kerana memilih seorang yang tidak pandai membuat keputusan dalam sesuatu krisis boleh membawa negara ke arah kehancuran.

Sebagai seorang Perdana Menteri, dia akan berhadapan dengan banyak masalah dalam dan cabaran-cabaran luar negara seperti tekanan dan pengaruh kuasa-kuasa luar yang berniat jahat terhadap negara kita.

Banyak negara menjadi mangsa percaturan kuasa-kuasa asing kerana kelemahan peribadi pemimpin mereka yang tidak ada kebijaksanaan membuat keputusan bagi pihak negara.

Pemimpin yang lemah ini selalunya hanya bijak untuk membuat keputusan bagi pihak peribadinya sendiri.


Kelemahan peribadi mereka akan dijadikan senjata oleh kuasa-kuasa besar untuk memaksa sesuatu negara membuat keputusan mengikut telunjuk mereka.

Pada pandangan ramai yang berfikir secara serius dalam hal kenegaraan melepaskan tanpuk pentadbiran negara kepada Najib akan menerbitkan rasa was-was terhadap kemampuannya menjadi Perdana Menteri yang berdisplin.

Segala tuduhan terbuka yang dilemparkan terhadapnya oleh pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Anwar sehingga hari ini tidak mendapat reaksi yang memuaskan daripadanya.

Jika tuduhan-tuduhan itu merupakan tuduhan liar beliau sepatutnya bertindak tegas setidak-tidaknya membawa Anwar ke mahkamah untuk membersihkan namanya.

Itulah sebabnya rakyat mempunyai ‘apprehension’ yang begitu kuat untuk menerima beliau sebagai pimpinan alternatif kepada Abdullah Badawi.


Apabila ada perasaan seperti ini di kalangan rakyat, maka amatlah tidak wajar untuk Najib mengambil alih kepimpinan walaupun ditawarkan kepada beliau.

Jika Najib tidak mampu untuk berkhidmat kepada negara kerana kekurangan ‘attribute’ sebagai Perdana Menteri, beliau boleh memberikan pengorbanan kepada negara dengan menjauhi dirinya dari kerusi nombor satu negara itu.


Sekarang ini rakyat tercari-cari pengganti kepada kepimpinan lemah Abdullah Badawi dari luar barisan Majlis Tertinggi Parti, kerana keseluruhan pimpinan yang ada telah membawa kegagalan kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya baru-baru ini.

Kali ini pertukaran pimpinan tidak boleh hanya diputuskan oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi atau di kalangan segelintir manusia ekskusif, tetapi mestilah dibuat dengan mengambil kira pandangan masyarakat ramai.

Jika pandangan masyarakat ramai diketepikan maka kita akan pasti menghadapi krisis keyakinan yang berterusan dan akan terus ditolak rakyat dalam pilihanraya yang akan datang.

Kita hanya boleh mengenepikan pandangan pihak yang ramai dalam proses mencari pengganti Abdukkah Badawi ini jika kita (BN) memilih untuk memerintah hanya sehingga pilihanraya yang akan datang sahaja.

Pemimpin-pemimpin UMNO setiap peringkat perlu bertindak berani kali ini dan pimpinan teringgi tidak boleh menyekat usaha ahli-ahli parti di peringkat bawahan memainkan peranan untuk menyelesaikan krisis yang kita sedang hadapi sekarang.

Menyambut saranan Tengku Razaleigh Hamzah supaya UMNO mengadakan Perhimpunan Agong Tergempar (EGM) adalah wajar sebagai jalan terbaik untuk memulihkan semangat ahli-ahli parti dan mencari penyelesaian terhadap kemelut yang kita hadapi ini.

Sekian sahaja………………………………………………. Aspan Alias

1 comment:

Anonymous said...

Bukan yes-man saja but yes darling...!!..sebab tu Datin makin muda and macam Emelda Marcos....

mbahLanang