19 April 2008

Tun Salleh dikorbankan

Pengiktiraran kerajaan di atas salahlaku kerajaan kepada Tun Salleh Abas dan lima Hakim Mahkamah Agong pada tahun 1988 yang lalu sangat-sangat ditunggu oleh rakyat termasuk diri saya sendiri.

Setelah berlalu selama 20 tahun, kerajaan akhirnya menerima hakikat bahawa pemecatan Ketua Hakim Negara melalui Tribunal yang ditubuhkan secara tergesa-gesa pada 1 Mei 1988 itu merupakan contoh pencabulan yang serius ke atas sistem kehakiman negara.

Banyak pihak telah mentakrifkannya sebagai satu tamparan kepada Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang pada masa itu menasihati Yang di Pertuan Agong untuk menubuhkan Tribunal dengan kaedah yang tidak betul.

Malahan isu yang mutakhir ini digunakan oleh saki baki yang masih bersimpati kepada Pak Lah dan pimpinan pada hari ini sebagai usaha untuk menjatuhkan TDM di pandangan rakyat ramai.

Tetapi saya dan dan banyak pihak sebaliknya masih berpendapat bahawa TDM melakukan tindakan yang tidak bermoral itu dengan sokongan individu-individu yang sedang menerajui pimpinan negara hari ini.

PM kita hari ini, Tun Ghaffar, Anwar Ibrahim serta ramai lagi yang berada di dalam kabinet hari ini turut bertanggungjawab memandangkan mereka adalah penyokong TDM yang kuat dalam isu pemecatan Tun Salleh Abas dan rakan-rakannya.

Najib, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO ketika itu telah berucap berapi-api menyokong TDM dan tidak langsung berfikir yang tindakannya dan pemuda-pemuda lain akan menjahanamkan institusi kehakiman negara.

Malah tidak ada seorang pun pemimpin tertinggi semasa itu berusaha menasihati TDM untuk tidak melakukan tindakan yang hina itu.

Keseluruhan kepimpinan dalam majlis tertinggi parti begitu ghairah memberi sokongan ke atas pemecatan Hakim-Hakim Mahkamah Agong itu.

Semasa itu, pemimpin yang ada pada hari ini yang di antaranya sudah pun menjadi Perdana Menteri dan Timbalannya begitu kuat, lantang dan nyaring berpidato mengkritik pihak-pihak yang mempertahankan kedudukan Tun Salleh dan rakan-rakan beliau.

Waktu itu semua pemimpin UMNO sedang mencari jalan untuk mengambil hati TDM untuk keselamatan kedudukan mereka dan kesemuanya tidak peduli kepada bahaya yang sedang dihadapi oleh institusi kehakiman negara.

Pak Lah, Anwar, Najib dan semua ahli-ahli MKT penaja UMNO( Baru) sudah tidak lagi berfikir dan mereka telah menjadi ‘Burung Balam’ yang hanya menganggukkan kepala mereka siang dan malam terhadap TDM.

Pihak yang menentang pemecatan itu diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang ketika yang sama sedang berusaha mengumpulkan ahli-ahli UMNO yang tidak diterima oleh UMNO(Baru) supaya tidak lari menyertai parti PAS dan pembangkang yang lain.

TR telah dijadikan landasan oleh pemimpin-pemimpin UMNO(BARU) sebagai menunjukkan bukti kesetiaan kepada TDM supaya dapat ‘mencari makan’ dalam politik.

Saya akan menulis tentang isu Tun Salleh ini secara bersiri kerana isu ini adalah isu yang panjang yang tidak mampu saya menulis dalam satu rencana.

Saya akan menulis mengikut pemerhatian dan pengalaman sebagai seorang yang hampir kepada semua pemimpin baik yang terkorban dan yang dikorbankan oleh politik yang saya anggap kadangkalanya tidak bermoral.

Itulah sebabnya saya sentiasa mendampingi pemimpin yang terkorban hinggakan tidak ada masa untuk berdamping dengan pemimpin pemimpin yang sedang bertakhta seumur hidup siasah saya.

Malahan ramai yang berdamping dengan saya tidak lagi bersesuaian untuk bersahabat dengan saya apabila sudah dapat merasakan nikmat hidup yang berjaya dalam politik.

Memang saya adalah seorang kawan yang paling selesa bagi politikus yang terdampar ataupun bagi ahli politik yang belum menaiki tangga kejayaan.

Silalah tunggu tulisan bersiri saya tentang isu Tun Salleh Abas dan rakan-rakannya ini.

Isu ini berkaitan rapat dengan isu pembunuhan kejam ke atas UMNO oleh TDM yang disokong oleh pemimpin-pemimpin seperti Pak Lah, Najib dan Anwar Ibrahim dan lain-lain pemimpin yang pentingkan ‘tempolok’ sendiri.

Siri yang pertama akan menyusul besok.

Sekian sahaja, sehingga berjumpa lagi…………………………………….. Aspan Alias.

2 comments:

zainal mokhtar said...

Ese akan mengikuti posting siAspan mengenai Salleh Abbas ini kerana ese pun ada pendapat sendiri saperti post dlm blog ese zamyunus.blogspt.com. Ese tak ada kawan dengan mana bekas,sedang,atau bakal menteri, tapi cerita UMNO 'tu sikit-sikit ese ada dengar. Kadang-kadang cerita dari ulat-ulat di bawah 'ni sedap jugak.

GHAUS said...

Saya setuju 101% jika anda menulis kronologi pemecatan Tun Salleh Abbas,sebab semasa itu (sekitar tahun 1988)saya telah mengikuti perkembangan nya dan saya pernah mendapat kronologi bertulis pemecatan TSA dari sahabat yang deberikan oleh Dato' Marina Yusof kepada nya.Tapi malang nya,kertas itu telah hilang dek kerana berpindah rumah.Sekian terima kasih