23 August 2008

Apa itu 'pengorbanan'?

Sejak saya menyertai UMNO saya selalu mendengar istilah ‘pengorbanan’ yang diucapkan oleh para pemimpin.

Ungkapan ini juga selalu disebut oleh Abdullah Badawi dan Najib, tetapi apa dia pengorbanan mereka sampai ke hari ini masih tidak nampak dipandang dan tidak didengar oleh telinga.

Selalunya pengorbanan itu difahamkan sebagai tindakan untuk menidakkan kehendak diri kita walaupun kita gemar dan berkehendakkan sesuatu itu, semata-mata untuk kebaikan seseorang atau kumpulan dan pihak-pihak lain.

‘Pengorbanan’ juga difahamkan sebagai tindakan memisahkan kita daripada apa yang ada pada pihak yang lain semata-mata untuk kebaikan umum, dan ianya boleh datang dalam bentuk wang ringgit, harta benda bahkan nyawa sekalipun.

‘Berkorban apa saja, harta atau pun nyawa’ kata P.Ramlee dalam sebuah lagunya yang sangat popular dari dahulu hingga sekarang.

Untuk mencapai sesuatu yang baik mesti ada pengorbanan. Jika kita datang daripada keluarga yang miskin kita wajib berkorban untuk keluarga jika kita sudah keluar daripada kepompong kemiskinan itu.

Kita perlu korbankan sebahagian daripada harta atau wang ringgit kita untuk menaikkan taraf kehidupan ahli keluarga seperti adik-beradik, bapa atau ibu saudara, anak-anak saudara atau sesiapa yang hampir dengan kita.

Itulah didikan yang diberikan oleh ibu saya kepada saya dan adik-beradik yang lain. Ibu saya mengingatkan saya bahawa orang yang tidak mahu berkorban itu adalah manusia yang ‘berjiwa mati'.

Dalam konteks yang lebih besar jika kita seorang pemimpin perlu ada pengorbanan untuk kebaikan negara dan rakyat yang kita pimpin.

Almarhum Tunku Abdul Rahman pernah berkorban dengan menjual harta benda yang beliau ada semata-mata untuk menjayakan misi mencapai kemerdekaan negara.

Rumah dan ladang-ladang beliau terjual kerana hendak membiayai usaha mencapai kemerdekaan negara kita ini. Orang ramai pula berkorban dengan menjual emas dan mengisi tabungan mengikut tahap kemampuan pengorbanan mereka.

Onn Jaafar, Ghaffar Baba, Khir Johari, Senu A Rahman, Tun Dr Ismail, Tun Abd Razak dan yang lain-lain semuanya berkorban untuk negara Malaya dan Malaysia mengikut cara masing-masing untuk Negara.

Tengku Razaleigh (TR) mengorbankan jiwa raga beliau untuk negara sebaik sahaja kembali ke tanah air selepas menamatkan pengajian beliau di United Kingdom dengan desakan pemimpin-pemimpin semasa itu seperti Tunku A Rahman, Tun Razak dan Tun Dr Ismail.

Beliau diminta mengusahakan sesuatu bagi membina asas ekonomi orang Melayu yang begitu dhaif semasa itu yang rata-ratanya miskin dan tidak ramai yang berpelajaran.

TR terus sahaja menerima tanggungjawab yang sangat besar itu dan telah berjaya merubah kedudukan dan martabat bangsa Melayu ke tahap yang dihormati oleh masyarakat asing.

Bank Bumiputra, Pernas, KUB, Bank Islam, PETRONAS, PNB, ASNB telah dijayakan oleh beliau dan hingga ke hari ini orang Melayu telah dilihat sebagai bangsa yang telah keluar daripada kopompong kemiskinan seperti yang diidamkan oleh pemimpin-pemimpin besar negara semasa itu.

TR melaksanakan tugas atas tuntutan Negara dan beliau tidak dibayar imbuhan seperti gaji dan kemudahan-kemudahan yang lain semata-mata untuk berkhidmat kepada bangsanya yang sedang memerlukan pengorbanan beliau.

Ramai ahli-ahli UMNO yang masih muda tidak tahu bahawa TR telah bekerja untuk generasinya ‘free of charge’ dan tidak pun menghebohkannya kerana sifat beliau yang tulus untuk negara dan bangsanya.

Pengorbanan beliau bukan setakat itu sahaja, kerana beliau telah mengorbankan juga harta beliau untuk kepentingan UMNO.

Beliau memberikan tanah milik beliau kepada UMNO untuk membangunkan Bangunan UMNO (Putra World Trade Centre) yang dilihat megah dan gagah di kotaraya Kuala Lumpur yang kita banggakan hari ini.

Bagi pemimpin-pemimpin sekarang pengorbanan boleh diberikan dengan bermacam-macam cara untuk kebaikan parti, orang Melayu dan rakyat jelata amnya.

Untuk kebaikan negara dan rakyat amnya cara pengorbanan yang mampu dilakukan oleh Abdullah dan Najib ialah dengan mengundurkan diri daripada bergiat dalam parti kerana kegagalan mereka dalam memberikan pentadbiran yang baik kepada negara.

Berkorbanlah Abdullah, berkorbanlah Najib dengan meletakkan jawatan masing-masing supaya kami boleh membina kembali parti dan negara untuk generasi kita di hari muka.

Inilah waktunya Abdullah, Najib dan yang lain-lain untuk membuktikan bahawa mereka mampu berkorban untuk negara, dan bukannya setakat ‘menanam tebu di bibir sahaja’.

Janganlah perjudikan masa depan negara dan rakyat.


Sekian……………………….Aspan Alias

6 comments:

AZAI AZALI INC said...

Itu bezanya pemimpin UMNO sekarang dengan pemimpin UMNO dahulu.

azlan said...

Minta izin berpuisi;

Kau pinta PENGORBANAN
atas nama PERPADUAN
demi menyambung KEKUASAAN
lalu kau kumpul KEKAYAAN
untuk menaja KEMISKINAN
kau tinggalkanku sisa PERJUANGAN
dikala hampir ambang KEMUSNAHAN
tanpa teman memerangi KEZALIMAN

Anonymous said...

salam tuan aspanalias....

UMNO memang macam tu...mudah lupa....najib dok bercakap soal akhlak,akar budi bangsa,perhitungan moral tetapi anak sendiri maha suci peribadinya... tak tau la kalau mangkuk ni jadi PM satu hari...Ya Allah janganlah hendaknya engkau mengangkat manusia sebegini untuk menjadi khalifahmu di Malaysia...Amin..

pakbelalang said...

Pan,

Pemimpin yang "pekak, buta dan tuli" tak akan tahu apa itu istilah pengorbanan.

Depa tahu istilah "penyembelihan" sahaja. Pancung memancung sesama mereka. Akhirnya semuanya haprak dan HP6 dan jadi "bodoh stupid". Makan diri mereka sendiri!! Wal hasil balik hasil.

AZAI AZALI INC said...

Pemimpim ibarat Lanun... Yang naik Lanun yang turun pun Lanun...

Anonymous said...

aspanalias!!!

spa kata AAB,NTR dan pemimpin bn lain tak pernah buat pengorbanan???

ketahuilah bahawa tuan tidak boleh kata sebegitu kerana ada juga pengorbanan mereka itu...

YANG NYATA!!! MEREKA TELAH BUAT PENGORBANAN KHAZANAH RAKYAT UNTUK ANAK-BERANAK MEREKA....BUKANKAH ITU JUGA SATU PENGORBANAN???

Renungkanlah...

abu 'asim