30 August 2013

Masih adakah sebuah kerajaan yang mentadbir kita?

Walaupun negara telah selesai mengadakan pilihanraya, keadaan dan perasaan tidak menentu masih di rasakan dikalangan orang ramai. Rakyat merasakan keadaan lebih buruk, seolah-olah mereka tidak lagi ditadbir oleh sebuah kerajaan. .
Harga barangan masih tinggi. Keselamatan rakyat bertambah membimbangkan kerana setiap hari ada sahaja nyawa yang hilang dan harta benda dirompak melalui pecah rumah dan ragut. Dimana-mana kedengaran jenayah dilakukan dan melibatkan nyawa rakyat dari berbagai-bagai peringkat umur.

Dua hari lepas seorang eksekutif syarikat penerbangan berumur 30 tahun telah mati ditetak di hadapan rumahnya. Nyawa begitu murah dan jumlah kematian melalui kejadian jenayah ini nampaknya hampir sama dengan kematian bagi sebuah negara yang sedang menghadapi peperangan.

Rakyat merasakan kerajaan sudah bertambah miskin dan dalam pada itu mereka (Rakyat) akan berhadapan dengan GST dan lain-lain. Berbagai-bagai isu timbul dan yang terakhir timbul isu penayangan Tanda Putera, filem yang di kontroversikan oleh parti pembangkang. Di Pulau Pinang tayangan filem itu diharamkan dipanggung-panggung kerana kerajaan DAP negeri itu mempunyai kuasa untuk melarangnya dari ditayangkan. Segala yang berlaku mendapat reaksi yang negatif dari pihak yang bertentangan.

Jika benar Tanda Putera itu merupakan filem yang busuk dan tidak baik kerana dikatakan filem itu berunsur rasis, rakyat Pulau Pinang tidak dapat buktinya kerana filem itu di haramkan dari di tayangkan dipanggung-panggung di Pulau Pinang. Rakyat Pulau Pinang hanya mendengar sahaja tuduhan DAP itu, tetapi tidak mendapat peluang mendapatkan kebenaran dari tuduhan DAP itu kerana tidak berpeluang menontonnya.

Kempen untuk menaikkan semangat menyambut Hari Kebangsaan juga gagal kerana rakyat tidak berminat untuk turut serta menyemarakkan Hari Kemerdekaan itu. Rakyat sedang menunjukan sikap tidak berpuas hati terhadap kerajaan secara pasif dan tidak memberikan kerjasama terhadap apa sahaja yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

Rakyat sudah berpecah-belah kerana mereka memihak kepada parti dan pemimpin masing-masing. BN bermusuh dengan PR dengan hebatnya dalam pilihanraya dahulu maka rakyat sudah berbelah seolah-olah tidak akan ada amannya lagi. Dalam pada itu pemimpin besar yang membawa penyokong masing-masing untuk berkelahi dan mencerca diantara satu dengan lain dalam senyap-senyap telah mengadakan rundingan dan sedang berkira-kira membahagi-bahagikan jawatan Perdana Menteri.

Rata-rata orang bercakap yang UMNO diSelangor tidak perlu bimbang kerana dalam rundingan diantara Ketua Kerajaan dengan Ketua Pembangkang melibatkan pemindahan hal milik kerajaan kepada UMNO. Benar atau tidak berita ini tidak dapat diketahui. Tetapi cerita itu tersebar dikalangan penggiat politik di Selangor.

Pengikut yang bengkak-bingkik akan ditinggalkan dan mereka akan tetap berpecah diperingkat bawahan. Mereka ini semata-mata digunakan semasa pemimpin yang bernafsu besar ini ingin menggunakan mereka untuk menunjukan kekuatan mereka.

Mereka berunding seolah-olah negara ini mereka berdua sahaja yang punya dan mengharapkan segala yang mereka berdua persetujui itu wajib disokong oleh semua pihak yang bertelagah tadi. Rundingan itu merupakan rundingan diantara dua ‘desperados’ semata-mata dan hasilnya tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada negara.

Bagi pemimpin-pemimpin seperti ini kuasa itu adalah modal ‘business’ yang besar bagi mereka. Kalau tidak masakan mereka sanggup menggunakan pemimpin negara jiran untuk menjadi orang tengah untuk merapatkan kembali hubungan mereka semata-mata kerana kuasa. Mereka menamakan ini sebagai tindakan pembentukan kerajaan perpaduan.

Sebelum pilihanraya dahulu dijanjikan yang bantuan 1Malaysia, BRIM akan diteruskan selepas  pilihanraya dan kali ini kita tengoklah samada janji-janji itu akan terlaksana dalam masa terdekat ini. Mereka cuba menyelesaikan masalah dengan menyuap dan membeli masalah itu seolah-olah masalah-masalah itu boleh selesai dengan wang ringgit.

Bagi komuniti ‘professional’ yang mahir dengan kewangan pula isu perbincangan mereka tidak boleh lari dari isu hutang negara. Jika dikira sekali hutang-hutang melalui ‘off-budget agencies’ yang berjumlah lebih dari RM126 billion itu ia sudah melangkaui 68 peratus berbanding dengan GDP negara. Rakyat mempunyai persepsi jika tiada Petronas negara ini sudah menjadi sebuah negara muflis.

Laungan kejayaan negara dan cita-cita hendak menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju menjadi ejekan rakyat dimana-mana. Bagi pemimpin yang berkuasa mereka hanya mampu dianggap sebagai berkorban untuk negara dengan terus memegang kuasa dengan alasan ‘continuity’ kepimpinan agar apa yang di rancang untuk rakyat itu tidak terganggu perlaksanaannya.

Mereka tidak mahu menerima hakikat yang berundur dari memegang kuasa itu adalah pengorbanan yang paling suci untuk rakyat dan negara. Malahan ada pemimpin yang sudah bersara setelah memegang kuasa berdekad-dekad masih lagi sibuk berpolitik dan masih tidak berhenti memecah-belahkan kepimpinan negara dan mahu legasinya terus diperkokohkan.

Krisis keyakinan terhadap kepimpinan negara berlarutan dan sekarang seolah-olah negara kita tidak berkerajaan kerana negara ditadbir tidak selari dengan kehendak kepimpinan sebuah negara yang merdeka.

Masih tiada lagi keyakinan terhadap sistem pentadbiran sebuah negara merdeka. Semua institusi demokrasi sudah tidak lagi mendapat keyakinan rakyat untuk berfungsi secara betul.  Polis di persoalkan, mahkamah tidak di yakini lagi, badan pencegah rasuah tidak di hormati lagi, malahan tiada satu pun lagi institusi kerajaan mendapat keyakinan rakyat kini.

Rakyat terus dalam pencarian. Mereka yang terpapar dalam media massa setiap hari itu semuanya rakyat sedang persoalkan, baik yang sudah tua atau pun yang muda. Budaya dan pemikiran mereka sama sahaja.

Inilah akibatnya apabila pemimpin yang tidak bertanggungjawab dahulu, melakukan ‘pembunuhan politik’ terhadap mereka yang berkepimpinan. Hasilnya mereka yang telah dibenamkan politik mereka dan diambil alih oleh pemimpin seperti Najib dan Anwar Ibrahim serta pemimpin baik seperti Abdullah tetapi tidak punya kepimpinan. Semua mereka ini terbit dari acuan Dr Mahathir dahulu.

Yang ada kepada kita hanya satu sahaja pilihan, iaitu berdoa dan terus berdoa agar Tuhan datangkan seorang yang boleh dan berkemampuan untuk mengembalikan keunggulan kerajaan yang pernah kita alami semasa tiga Perdana Menteri yang pertama dahulu.

10 comments:

adam chin said...

Bro Aspan, we have a good BN government...but good for nothing bro! The leaders in the government are all the by product of TDM and that of course includes Anwar Ibrahim.

Cheers

Anonymous said...

Boh,
Air paip tak ada kat Klang ni? Sabotaj ke ni? Kata kapal bocor minyak , minyok masuk dalam empangan, macam katoon saja cerita.

Muhammad Shafri Husin said...

Salam... Artikel tuan akhir akhir ini lebih banyak menguntungkan kerajaan yang sedia ada...Bila tuan mengulangi Bn dan pakatan sama buruk...apa pilihan yang rakyat ada...rakyat akan terus bersama Bn...sebaiknya tuan terus mengajak rakyat memninggalkan Bn...walaupun tuan mersakan pengantinya belum diyakini...pucuk yang muda masih mudah untuk dilentur..atau terus untuk dipatahkan...berbanding pokok saka yang ada...sebagai veteran politik seharusnya tuan lebih kaya dengan strategi...wallaualam...terima kasih...Orang senaling...

Botak Chin, said...

Selagi BN dan PR terus berpolitik memperkukuhkan kekuasaan mereka rakyat akan terus berpecah.

Boleh tak PR menerima kekalahan di pru least dengan hati terbuka ?.Kami di Selangor ni ada masaalah ayer.Salah siapa ni ?.

Anonymous said...

Bila hasil bumi kering maka mereka kenakan gst kepada rakyat,

Anonymous said...

AA, Let's support Anwar in everything he does except to be the PM of this beautiful nation.

Anonymous said...

salam saudara Aspan,

meskipun kemelesetan dan kegawatan ekonomi kini membanjiri seluruh dunia, negara kita kini berada di persimpangan menjelang bajet 2014 nanti untuk membuat pertimbagan sama ada GST dan pengalihan subsidi patut dilaksanakan atau tidak.

dengan perlaksanaan GST dan pengurangan subsidi; kita boleh menjangka kadar inflasi kelak (2014 onwards) akan menjulang dan meningkat tinggi lebih daripada 10% secara praktik meskipun statistik akan menunjukkan sebaliknya.

sama ada pengagihan subsidi kepada rakyat miskin yang membawa pendapatan kurang daripada RM1500 sebulan sekarang tidak akan dapat menampakkan apa-apa pertolongan dalam jangka masa pendek kerana pengagihan subsidi dalam bentuk tunai kelak nanti adalah sekali sahaja tetapi peningkatan kos kerana GST dan sebagainya adalah selama-lamanya.

kita tidak payah melihat jauh kelak; apabila Australia intro GST 3-4% sedekad dahulu, ekonominya telah menguncup secara drastik selama 2 tahun. kelak kalau malaysia intro GST kepada kadar siling rata 6-7%; dengan kemelesatan dan kegawatan ekonomi global sekarang; meskipun ini dapat mengurangkan defisit current account balance Malaysia nanti; GDP Malaysia bakal akan meleset berturut-turut selama 2-3 tahun seterusnya.

tengoklah harga pasaran dan pendapatan FGV baharu ini; walaupun untung meningkat namun pendapatan secara kasar telah berkurangan akibat ketidakpastian dasar ekonomi global sekarang.

sama ada infrastruktur dan kebolehan rakyat Malaysia dapat menangkal kemelestan dan kegawatan ekonomi Malaysia dan global nanti kita hanya jadi komentator dari tepi saja.

salam 1Malaysia dari passerby

Anonymous said...

GST (dan juga TPPA).. drasa akn menyusahkan kami org² kampong yg punca pendapatan x menentu.. anak² perlu disuap... persekolahan.. blanja harian.. itu ini smua duit.. duit duit..

waktu skrg yg belum GST ni pun dh haru biru... mcamana plak slps GST nnti..!! hrga naik.. mcm² lgi naik..

ADA X PEMIMPIN DI ATAS SANA YG FAHAM KAMI ?..

##orgDB..

Anonymous said...

salam anon 0029;

takpe; warga-warga kampung dan luar bandar masa itu boleh mengigau dan komplen kuat dengan penjaga agama, bangsa dan negara dari UMNO nanti bila ubat ubat generik dan kenaikan harga barangan dan servis pasal TPPA dan GST nanti ya.

mungkin kerajaan BN kelak nanti akan bagi uang yang lagi banyak untik program BR1M seterusnya.

inilah visi dan tema aman dan sejahtera yang ditaja oleh puak umno untuk bumi melayu kini, seterus dan selamanya.

Anonymous said...

Sambutan kemerdekaan di Pulau Pinang pada tahun ini lebih meriah berbanding tahun2 terdahulu. Ini adalah kerana ada persembahan2 tambahan yang tidak ada pada tahun2 terdahulu. Mengapa saya kata begitu? Kerana saya tiap2 tahun mengambil bahagian di dalam perarakan sambutan hari kemerdekaan.