13 December 2014

Najib, seperti tikus memperbaiki labu

UMNO sekarang dalam keadaan yang terburuk dalam sejarah penubuhannya dan penguasaannya keatas kerajaan. UMNO sudah tidak tentu rupa bentuknya lagi dan UMNO sedang teraba-raba dalam kegelapan. Pemimpin UMNO khususnya pucuk pimpinannya bukan tidak mahu berubah tetapi mereka tidak tahu cara untuk berubah dan apa yang mereka perlu ubah. Terlalu banyak untuk diubah, tidak tahu yang mana satu yang hendak diubah dahulu dan yang mana hendak diubah kemudian.

Kita tahu dan yakin, jika ini jugalah kumpulan yang diamanahkan untuk terus memimpin parti itu, UMNO itu sendiri akan terjun bersama mereka. Mereka sekarang tidak sedar yang mereka adalah ‘liability’ besar dan penyumbang kepada kehancuran parti itu dan bukannya pemimpin kepada negara lagi. Kita berterus teranglah, Najib dan kumpulannya tidak lagi mampu untuk membetulkan parti ini. Hanya jika kita berniat untuk merosakan negara dengan lebih teruk lagi sahaja, baru kita berikan tugas untuk menyambung amanah yang telah diberikan sebelum ini.

Semuanya dan serba-serbinya diambang kehancuran dan ia amat susah untuk memperbaiki segala kelemahan mereka dalam sekali gus. UMNO sudah terbiar oleh pimpinannya sejak tiga puluh tahun dahulu. Seperti yang disebut dalam posting sebelum ini, UMNO sedang dipimpin oleh mereka yang tidak mempunyai ‘talent’ untuk melalui proses memperbetulkan parti mereka.

Berlagak dan berlakon seperti pemimpin yang berkepimpinan, sudah tidak lagi dapat menyorokkan kemampuan dan nilai kepimpinan mereka yang lemah dan buruk itu. Mereka tidak pernah belajar kerana mereka tidak tahu apa yang hendak dipelajari dalam kepimpinan negara. Mereka tidak mampu untuk menjadi pemimpin sebenar maka mereka terus sahaja memaparkan nilai kulit sahaja dalam kepimpinan mereka. ‘They are not leaders; they are just acting like one’

Lagi mereka mengumumkan tindakan pembaik-pulihan, lagi dalam masalah yang mereka hadapi. Tidak payah disebut lagi segala masalah yang mereka hadapi dan mengulangi acapkali. Sekarang waktu untuk bertindak secara drastik untuk mendapatkan perubahan itu. Najib dan barisannya perlu dan wajar berundur jika mereka mahu dikenang sebagai penyelamat parti terbesar itu. Pengunduran Najib dan barisannya merupakan sumbangan terbesar mereka kepada negara.

Hanya dengan berundur sahaja yang membolehkan mereka dianggap sebagai penyelamat parti itu, kerana jika mereka masih kekal bergayut kepada parti itu, mereka sendiri merupakan penyumbang besar kepada kemusnahan parti yang memimpin kerajaan sejak merdeka dahulu.

UMNO sekarang ibarat telur dihujung tanduk. Ia juga boleh diibaratkan seperti kapal besar yang sudah berkarat terumbang ambing di lautan luas tanpa nakhoda. Oleh kerana nakhoda yang sudah hilang punca dan arah anak-anak kapal dan penumpang dalamnya sedang mabuk dan muntah-muntah kerana hala tuju yang tidak menentu.

Baru-baru ini terjadi peristiwa yang tidak pernah terjadi kepada mana-mana Perdana Menteri sebelum ini dimana seramai 25 orang manusia ternama telah menghantar surat terbuka kepada Perdana Menteri Najib, mengkritik PM secara terbuka. Semua orang tahu apa isi kandungan surat itu, tetapi yang saya hendak sebut ini ialah ia merupakan tanda dan bukti yang Najib sudah sepatutnya berhenti dan membiarkan sesiapa yang berpengalaman dari kalangan tokoh politik dan ‘planners’ untuk membawa negara ini kepada politik baru yang saya sebutkan tanpa jemu-jemu sejak beberapa lama dahulu.

Najib mesti jaga 'air mukanya sendiri' dan mengambil tindakan tokoh-tokoh besar negara itu dengan jiwa yang besar. PM dan kabinet hari ini wajar menerima hakikat yang barisan kepimpinan hari ini tidak boleh meneruskan kepimpinan mereka lagi. Penghantaran surat secara terbuka dengan berani ini adalah petanda yang rakyat sudah tidak lagi dapat menahan kelemahan kerajaan hari ini.

Semua pemain politik yang menguasai kerajaan hari ini wajar mengangkat bendera putih dan menyerah sahaja jika mereka masih ada saki baki harga diri mereka. Mereka adalah dikalangan yang bernama dan bergelar yang pernah menjadi Ketua-Ketua Jabatan pelaksana kepada kerajaan kita. Mereka terdiri dari bekas Hakim-Hakim, bekas Duta-Duta Besar Negara, bekas Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan bekas pegawai tertinggi angkatan tentera dan Polis dan berbagai-bagai lagi jabatan pertubuhan.

Ini merupakan undi tidak percaya yang dilakukan secara terbuka dan jika ia diarahkan kepada Perdana Menteri ia adalah juga arah kepada seluruh ahli-ahli jemaah kabinet yang mentadbir negara kita sekarang. Ahli-Ahli Jemaah Kabinet sekarang adalah kabinet lantikan Perdana Menteri, maka mereka juga wajar berhenti bersama PM yang melantik mereka.

Mereka yang menulis surat terbuka itu juga wajar memahami hakikat yang merosakan negara tidak mungkin boleh diyakini untuk memulihkan keadaan negara sekarang ini. Seperti yang disebutkan tadi jika kita bercadang dan berhajat untuk merosakan lagi negara sahaja baru kita boleh memberikan tanggungjawab membaik pulih negara itu dilakukan oleh mereka yang sedang memimpin negara sekarang ini. Mereka hanya berkebolehan untuk meranapkan segala fabrik politik, kerajaan dan kenegaraan sahaja.

Ada yang menganggap kepimpinan hari ini adalah makhluk perosak (pest) kepada negara ini. Meminta mereka memperbaiki negara serupalah seperti yang disebutkan oleh perbidalan, ‘seperti tikus membaiki labu’ sahaja.

3 comments:

Anonymous said...

AA, bila cerita pasal umno, kena ingat yg umno ni di tubuhkan dalam tahun 1988. umno yg kami tahu akan perjuangan untuk membela orang2 seperti kami sudah lama mati. kalau ditakdirkan umno 1988 ini mati, ia ibarat seorang yg mati muda, sbb anggota2 penting dalam badan sudah tidak berfungsi lagi.

Anonymous said...

Salam Tuan,
Sebenarnya yang mendapat mandat memerintah negara adalah PR 52%. Tetapi disebabkan oleh SPR yang curang dan kerajaan yang menipu, inilah akibatnya.Amanah yang sepatutnya di beri kepada orang lain tetapi di rampas oleh kerajaan Bn yang tak bertanggungjawab. Sebenarnya BN sudah kalah sejak PRU 13.Itu bukti nyata,tiada daleh lagi walau apapun alasanya.Hakikatnya Bn yang dapat 48% tak layak memerintah atas dasar apapun, hatta kononnya atas tiket melayu dan islam. Adakah yang mengundi dalam kalangan 52% itu bukan islam dan melayu?

Anonymous said...

PaK Aspan

Najib & Co tidak akan berundur sebab 'there is too much at stake.' Cuba fikir dalam sejarah Malaysia pernahkah pemimpin negara kita berkait akauntabiliti dengan tanngungjawab? Namun, pemimpin yang masih layak ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Cuma dia sahajalah yang mempunyai 'attributes' untuk menjadi PM.