07 January 2015

Isu banjir: kita hanya mampu berdoa dan bermunajat sahaja

Banjir telah berlaku dalam kadar yang sangat besar dan yang belum pernah kita alami sejak puluhan tahun dahulu. Hujan lebat telah mengakibatkan banjir yang sangat besar itu dan apa yang kita mahu tahu kenapa ia berlaku dengan begitu besar sehinggakan ia idak dapat mengawal kerosakan harta benda rakyat dan awam dan kos kerugian tentunya melibatkan puluhan billion ringgit.

Kenapa begitu. Bukankah hujan lebat terutamanya dipantai timor itu sememangnya merupakan fenomena tahunan dan tidak pernah ia tidak berlaku sejak dari dulu. Jika dahulu banjir dijadikan pesta untuk kanak-kanak dan dewasa bermain air, kini banjir telah menjadi ganas dan memusnahkan apa sahaja yang ada kepada rakyat yang terlibat, tidak kira mereka kaya atau pun miskin.

Sejak Adam dan Hawa lagi hujan sememangnya turun dengan kadar yang besar disetengah tempat tetapi kenapa kali ini ia turun tetapi memusnahkan harta benda rakyat dan harta awam dengan begitu besar? Kenapa air yang turun itu tidak terkawal lagi arusnya dan kenapa bumi tidak lagi dapat menampung hujan yang turun itu dan mengalir dengan deras ke lembah-lembah tempat kediaman manusia?

Jika dahulu air yang besar tidak mengalir dengan cepat ke lembah-lembah dan tanah yang rendah kenapa sekarang seolah-olah air itu tidak dapat menahan dari mengalir laju dan memusnahkan semua kehidupan dan ternakan serta harta benda umat yang berada dalam kawasan air bah itu?

Berbagai-bagai kenyataan kita dengari dari pihak kerajaan yang banjir itu adalah kerana jumlah air hujan yang turun itu terlalu besar dan itulah sebab utamanya kenapa banjir dan bah berlaku. Seperti yang disebutkan tadi hujan lebat itu bukannya datang kali ini sahaja. Hujan yang lebat itu datang sejak waktu Adam dan Hawa dijadikan Tuhan lagi dan sejak dunia ini wujud. Tetapi kenapa sekarang ini ia memberikan impak besar dan memusnahkan kehidupan orang ramai terutamanya dikawasan-kawasan yang terlibat.

Tuhan telah menyediakan tempat air yang jatuh melalui hujan itu dengan pasak-pasak bumi yang asli, iaitu pokok-pokok dan pohon yang rimbun untuk menampung jumlah air yang ditutunkan Tuhan itu. Itu sebabnya kita sejak dari dulu lagi telah memberikan peringatan yang kita tidak wajar melanggar kemahuan dan teguran Tuhan yang menebang serta menebas pokok-pokok dan pohon-pohon serta hutan rimba itu adalah salah dan berdosa besar.

Tetapi teguran dan pandangan pihak yang bertanggungjawab dan memahami sistem ekoloji bumi ini yang pembalakan yang terlalu berluas-luasa di negara ini akan akhirnya membawa padah yang tidak dapat diukur lagi jumlah kemusnahannya. Nyata sekali banjir ini adalah hasil dari kerja tangan manusia yang rakus dan menebang dan menebas pohon-pohon dan hutan belantara untuk mendapatkan laba besar hanya dengan menggunakan kekayaan sumber alam kita.

Pembalakan di negara kita ini dilakukan oleh semua pihak dan dari setiap lapisan sosial rakyat. Ia dilakukan oleh orang biasa sehingga kepada tahap sosial yang tertinggi iaitu yang mendiami Istana-Istana indah di negara ini. Tidak ada mana pihak yang mampu untuk menyekat mereka yang begitu berpengaruh ini dari menebang dan menebas hutan belantara, pasak bumi ciptaan Tuhan yang Maha Esa itu. Rakyat selama ini hanya melihat tanpa mampu berbuat apa-apa segala tindakan mereka yang berpengaruh dan berkuasa membotakkan hutan belantara di negara ini.

Jika rakyat biasa seperti kita ini membuat kenyataan yang membangkang tindakan mereka ini, kita juga yang akan menerima hukuman dan padah dari mereka yang berkuasa ini.

Bukan rakyat tidak tahu yang sebahagian dari hasil dari pembalakan ini dihabiskan ditempat-tempat dan pusat perjudian yang terkenal di dunia ini, tetapi apakan daya, kata orang 'kita ini mentimun mereka itu pisau'. Apa pun timun jugalah yang menerima padahnya jika cuba untuk menegur dan menahan dari mereka yang berkuasa ini membotakkan hutan belantara ini.

Sekarang ini berbagai-bagai pihak sedang berusaha untuk membantu ratusan ribu manusia yang terlibat dengan bah besar ini. Tidak dapat dipastikan samada pemulihan keadaan dari kehancuran akibat banjir ini akan selesai sebelum banjir akan kembali tiba pada musim tengkujuh yang akan tiba lagi setiap tahun.

Akibatnya sekarang ini rakyat biasa berperang untuk menyelamatkan kehidupan mereka tetapi manusia yang menjadi penyebab kepada banjir ini bersuka ria dan berjoli di atas kesengsaraan rakyat yang ramai-ramai dalam kesusahan ini.

Kedatangan banjir kali ini ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Sedang rakyat bergawat dengan kos sara hidup yang tinggi dengan kedatangan GST dan berbagai-bagai lagi datang pula banjir yang telah meragut banyak nyawa dan menanggung kesusahan hasil dari banjir pula.

Setelah ‘ditimpa tangga’, apa pula yang akan menimpa kita selepas ini. Yang pastinya banjir dan bah akan sampai lagi pada penghujung tahun ini. Dalam pada itu hutan belantara masih rakus di tebang dan ditebas dan akan menyumbang lagi kepada pengaliran air yang tidak terkawal dalam jumlah yang lebih besar lagi.

Hanya Tuhan sahaja yang boleh membantu kita selepas ini. Kita memerlukan rahmat dan syufaat dari junjungan besar kita sahaja untuk memperbetulkan keadaan ini. Bila rahmat dan syufaat itu akan tiba tidak siapa yang tahu.

Kita hanya mampu berdoa dan bermunajat sahaja.Samada kita dapat memulihkan keadaan sebelum sampainya musin tengkujuh yang akan datang, sama-samalah kita tunggu dan lihat.

1 comment:

Mummy Dina said...

Betul..kita hanya mentimun..terpaksa redho shj..doalah senjata yg terbaik utk kita semua..

Sedih dan pilu sgt bila mengenangkan nasib kanak2 yg dhaif yg ditimpa dugaan bah pula..mampukah mereka bersekolah..:(