08 January 2015

TDM mewariskan pemimpin-pemimpin pelapik, bukan pimpinan pelapis

Najib adalah seorang Perdana Menteri yang paling tidak secocok dengan keadaan dan situasi di negara ini. Berbagai-bagai isu dilemparkan terhadap beliau termasuk lemparan yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir tentang perilaku Najib yang tidak sensitif dengan keadaan politik negara ini. Apa pun isu yang dibesarkan terhadap beliau tidak menampakkan yang beliau sedar yang beliau merupakan seorang pemimpin yang paling tidak bertanggungjawab dalam sejarah negara, tetapi beliau tetap dengan sikap bebalnya.

Beliau merasakan tidak ada siapa yang mampu menahan beliau dari apa yang beliau hendak lakukan atau yang dilakukan oleh isterinya. Beliau seperti seorang maharaja yang besar dan kesangsaraan rakyat tidak membuatkan beliau hari ini menjadi pemimpin yang lebih baik dari semalam. Malahan beliau bertambah bebal dan menganggap isu yang dimainkan rakyat itu tidak akan membawa apa-apa ‘consequence’ kepada beliau.

Diharapkan kepada sesiapa yang telah membentuk kepimpinan Najib pada hari ini akan merasakan kekesalannya kerana memberikan laluan kepada pemimpin yang sudah tidak sedar akan apa yang beliau lakukan setiap masa dan waktu itu. Beliau seolah-olah sedang mabuk dan tidak menyedari apa yang beliau lakukan terhadap negara. Seorang pemabuk selalunya akan melakukan apa yang beliau suka tanpa merasa bersalah.

Isu beliau sentiasa segar, silih berganti setiap minggu dan bulan. Kadangkala beberapa isu datang sekali gus terhadapnya. Dalam keadaan negara dilanda banjir beliau masih bermain golf dengan pemimpin dan mentornya Obama dan setelah sedar beliau kembali tetapi jet mewah kerajaan yang membawa beliau ke Hawaii itu tidak pulang bersamanya tetapi jet itu telah terbang mengelilingi dunia dari AS ke Dubai, Bangkok dan seterusnya kembali ke negara.

Siapakah yang menggunakan jet tersebut sudah diketahui umum dan perlakuan membelanjakan wang rakyat yang sedang sengsara sekarang masih dilakukan seolah-olah wang itu adalah wang emak atau bapanya serta datuk neneknya.

Najib merupakan seorang Perdana Menteri yang paling mahal untuk ditanggung oleh rakyat.dan jika beliau lebih lama duduk di kerusi Perdana Menteri itu kita akan menanggung bebanan besar untuk menurut kemahuan nafsu dan kehendak beliau.

Tetapi entah apa sebabnya tiada seorang pun yang berbunyi dan memberikan teguran dari kalangan ahli-ahli jemaah kabinet negara mahupun dari parti yang beliau ketuai. Selagi tiada tindakan dilakukan terhadap Perdana Menteri ini, selagi itulah negara akan dibebankan dengan masalah besar yang tidak akan dapat diselesaikan.

Sebagai Menteri Kewangan, kita juga mahu tahu apakah tindakan beliau dalam menghadapi penurunan nilai ringgit dipasaran wang antarabangsa. Semalam ringgit sudah mencecah ke peringkat RM3.55sen bagi setiap dollar Amerika, malahan dalam pertengahan dagangan semalam ia pernah mencecah ke peringkat RM3.59 bagi satu dollar Amerika.

Kejatuhan harga minyak mentah Brent telah turun ketahap USD 53 dan ini semua perlu pencerahan dari Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri yang tidak lekat di negara ini. Beliau berada luar negara tanpa hentinya. Apakah agenda beliau dengan kekerapan keluar negara sekarang ini, hanya beliau sahaja yang boleh menjawabnya.

Presiden AS pun tidak keluar negara sekerap Perdana Menteri Malaysia. Perdana Menteri China pun tidak keluar negara sekerap Najib. Sikap buruk Perdana Menteri sudah sampai ke tahap yang tidak boleh dibiarkan lagi dan mereka yang boleh melakukan apa-apa tindakan untuk menyekat sikap buruk Perdana Menteri ini harus melakukan sesuatu untuk kebaikan negara.

Berada di luar negara dengan alasan melakukan diplomasi melalui permainan golf ini merupakan satu alasan yang tidak boleh diterima. Jika golf itu menjadi tumpuan beliau beliau sepatutnya bersara sahaja dan berikan tumpuan terhadap golf sahaja. Moga-moga tidak berapa lama dari sekarang beliau boleh menjadi pemain golf professional dan boleh menyertai European PGA atau US PGA dan beliau akan tetap mendapat perhatian dunia dalam permainan golf professional itu.

Beliau seolah-olah mahu lari dari tanggungjawab membetulkan keadaan negara dalam situasi politik dan ekonomi dunia yang tidak menentu ini. Di manakah slogan-slogan besar ciptaan beliau berada sekarang. Di mana slogan rakyat didahulukan itu? Di manakah slogan pencapaian diutamakan itu. Di manakah perginya ETP dan banyak lagi program yang beliau umumkan setiap bulan dahulu? Di manakah pencapaiannya? Bagaimana dengan NKRA beliau sendiri dan bagaimana pula prestasi barisan kabinet beliau?

Setakat manakah pencapaian matlamat untuk menjadikan negara ini negara maju dengan penadapatan yang tinggi menjelang tahun 2020 itu? Sekarang kita sudah berada dalam tahun 2015. Rakyat masih susah dan apakah formula atau magik yang akan beliau lakukan untuk mencapai pendapatan purata rakyat sebanyak USD 15 ribu setahun itu?

Rakyat sudah terlalu kenyang dengan janji-janji Najib selama ini? Najib sudah hilang kawalan terhadap negara dan kini seolah-olah kita tidak mempunyai kerajaan yang mentadbir rakyat dan negara lagi.

Najib bertindak dan bercakap tidak berpijak kepada bumi yang nyata. Najib seolah-olah sudah menjadi ‘makhluk perosak’ kepada negara kerana setiap perlakuannya membuatkan rakyat tidak senang duduk dibuatnya. Sememangnya kita tahu yang Najib itu seorang yang lemah dari dulu. Tidak pula kita menyangka yang beliau begitu teruk dan tidak mempunyai apa-apa nilai kepimpinan bagi negara majmuk seperti negara kita ini.

Siapakah yang menjadikan Najib pemimpin dahulu sepatutnya merasakan yang sudah sampai waktunya untuk melakukan sesuatu bagi menolak ketepi Najib ini. Bagaimanakah pemimpin yang membina Najib sampai ke hari ini boleh lelap dan nyenyak tidurnya, tidak dapat kita ketahui.

Dalam isu kelemahan kepimpinan hari ini mungkin Najib tidak bersalah keseluruhannya, mungkin yang paling bersalah ialah pemimpin yang membiarkan dan membantu Najib naik ke tangga politik sampai tahap yang tertinggi ini.

Orang yang saya maksudkan itu ialah Tun Mahathir. Tidak pula diketahui samada TDM sedar yang beliau tidak mempunyai banyak waktu untuk membetulkan kesalahan beliau membina seorang demi seorang pemimpin yang tidak memberikan faedah kepada negara ini.

Malahan kepimpinan beliau telah mewarisi kepimpinan acuan beliau yang tidak mempunyai apa-apa nilai kepimpinan kerana mereka itu bukannya pemimpin tetapi hanyalah barisan pengampu dan pembodek semata-mata. Penulis-penulis sejarah akan mempunyai banyak modal untuk menulis tentang warisan Dr Mahathir kepada kita sekarang ini.

Masalahnya, Dr Mahthir tidak membina kepimpinan pelapis untuk negara. Apa yang beliau lakukan ialah hanya membina pemimpin pelapiknya sahaja. Akhirnya barisan pelapik inilah yang menguasai negara, dan inilah yang kita rasai sekarang.

6 comments:

Anonymous said...

Tuan Aspan,

Ramai pengkagum TDM menjadi kurang rasional lantaran gagal menilai kelicikan bekas PM ini. Pemuja disekeliling beliau leka terus memuja apatah lagi kalangan mereka yang mendapat faedah bukan sedikit disepanjang era kekuasaan bekas PM itu. Tidak sukar untuk kita kenali siapa mereka mereka ini kerana kelompok inilah yang akan menjadi apit kiri dan kanan tekong berkenaan tiap kali beliau bersuara. Nama nama seperti Tun Daim, Datuk Kadir Jasin, Sanusi Junid adalah segelintir dari mereka dari kelompok berkenaan.

Perlu diingat bahawa TDM berundur sebagai PM bukanlah atas faktor kerelaan walau pun beliau sering memberi contoh bahawa pengundurannya adalah atas faktor kerelaan. Hakikatnya kedudukan TDM selaku PM diakhir eranya sudah terlalu genting khususnya selepas pemecatan TPM ketika itu, Dato Sri Arwar Ibrahim sehingga membawa kepada pembentukan Gerakan Reformasi.

TDM sebenarnya licik. Beliau sebenarnya tidak mahu penggantinya seorang yang terlalu cerdik dan bijak. Atas sebab itu tokoh2 yang berkebolehan dan berdaya kepimpinan tinggi seperti Tengku Razaleigh, Musa Hitam dan mahu pun Anwar Ibrahim sendiri bukan menjadi pilihannya. TDM mahu penggantinya adalah seorang yang menurut katanya dan memimpin Malaysia dibawah bayangannya setelah beliau mengundur diri.

Kerana itu TDM lebih rela TUn Abdullah dan kemudiannya Dato Najib diletak dipuncak menara selagi mereka ini kekal memberi keuntungan kepada beliau dan legasinya. TDM mahu penggantinya dapat memberi jaminan pengekalan legasinya selepas ketiadaan beliau. Justru kita dapat perhatikan anotasi dan nada serangan TDM terhadap penggantinya ada pasang surutnya, dan ia akan surut umpama banjir bersilih ganti bila TDM mendapat sebahagian apa yang dikehendakinya.

Saya bersetuju bahawa kelemahan kepimpinan Malaysia hari ini sedikit sebanyak disumbangkan oleh peranan TDM yang tidak ikhlas dalam menentukan calon penggantinya. Malah beliau juga adalah orangnya yang telah mematikan karektor karektor pimpinan Melayu yang hebat yang harus kita ada selepas peninggalannya. Malangnya kerana kepentingan diri, ego dan sifat dendam yang menebal dalam diri beliau, TDM sanggup membunuh beberapa pimpinan Melayu yang berpotensi dan berketerampilan.

Serangan TDM ke atas 2 pengganti yang dipilihnya sendiri adalah bukti betapa caca marba nya fikiran tokoh yang memanjat usia nyanyuk ini. Bayangan ketakutan atas kesilapan silam terhadap kesilapan beliau mwencaturi perjalanan politik Dato Anwar Ibrahim membuat beliau serba tidak kena dan sering melenting setiap kali melihat ruang yang terbuka untuk Dato Anwar Ibrahim meloloskan diri. Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa TDM mahukan seorang pengganti yang dapat membendung kemaraan Anwar. Inilah prasyarat paling penting, bukannya seseorang yang dipilih berdasarkan merit.

Hal ini jelas dapat kita lihat bila Dato Anwar Ibrahim dibebaskan diera Tun Abdullah yang akhirnya membawa kepada penggantian Dato Najib selaku PM. Saya optimis Dato Najib akan mengalami nasib serupa Tun Abdullah jika Anwar Ibrahim gagal ditangani sebagaimana yang dimahukan TDM.

TDM hari ini berterusan bertindak berpaksikan dendam kesumat. Tiada keikhlasan dalam tindak tanduk beliau. Kerana itu setiap pengganti yang direstuinya tidak mampu memberikan yang terbaik buat negara ini malah kian merosakkan tanah air ini. Negara Malaysia kerugian kerana tokoh tokoh yang berpotensi dan berjiwa rakyat telah "dimatikan" oleh TDM dan juak juaknya lantaran sikap dendam kesumat yang tidak berkunjung padam sehingga membawa kepada timbulnya kes kes pelik dan anih yang menjadi bahan ketawa dunia.

Selagi dendam kesumat dan sifat ego kekal tersemat di dada TDM, kita selaku rakyat Malaysia jangan berharap dan bermimpi bahawa pemilihan PM berikutnya oleh TDM ini akan menjanjikan cahaya di hujung terowong. Tanpa keihklasan dan hati yang bersih, calon pilihan TDM tetap akan mengulangi kelemahan 2 PM selepas beliau.

Anonymous said...

Saudara AA

Gema "biarkan!, biarkan!" dari cerita Si Luncai semakin hari semakin kuat.

Anonymous said...

Tuan,
Masaalahnya sekarang, dalam kepimpinan. UMNO Najib adalah yg paling bagus, yg lain lagilah haprak.

Anonymous said...

Hishamudin dah boleh dah ganti Najib tu supaya cepat sempurnanya kejatuhan umno.

Anonymous said...

Tuan AA,
Kata orang Perak, Pelapik periuk tu lekor. Periuk tengah panas letak atas lekor. Lekor-lekor yang di doktrin kan oleh TDM semuanya punching bag beliau bila di lantik jadi PM.
Bapa borek anak tak semestinya rintik kerana Tun Abdul Razak tak sama sifatnya dengan Najib.
Amat malang bagi rakyat Malaysia 53% yang tak memilih BN pada PRU 13 dulu di paksa menerima PM OKU seperti Najib. Dan lagi malang buat BN bila hanya beberapa kerat ahli UMNO yang kononnya berjumlah 3 juta ++ memilih Najib sebagai Presiden UMNO dan terpaksa menerima sebagai PM..
Sehingga PRU 14, sekiranya Najib terus menerajui Malaysia, Rakyat Malaysia mungkin akan menerima musibah hutang negara yang mencapai tahap trillion ringgit. Negara kita mungkin menjadi seperti Greece yang mengalami kemuflisan akibat belanjawan melebihi pendapatan..
Sampai bila kah Najib nak bersara..?

Tunggu...

Mangsa Banjir.

Anonymous said...

Sdr Shahbudin,

Peranan dan sumbangan TDM kepada pembangunan dan kemajuan Malaysia haruslah kita akui. Memang beliau telah berjasa. Namun kita tidak boleh memejam mata terhadap kesilapan dan onar yang telah dilakukan oleh TDM khususnya dalam pencabulan Undang Undang dan Sistem Kehakiman di Malaysia yang akhirnya sehingga kini kita jelas dapat melihat bagaimana hukum dan undang undang di Malaysia ini telah dipermain dan dirogol secara meluas oleh pengganti pengganti TDM dan juak juaknya. Kita perlu terima hakikat ini.

Malangnya cerdik pandai seperti Daim dan Dato Kadir sendiri cuma bijak menjulang sisi positif TDM sebaliknya menimbus terus sisi gelap yang ada pada TDM. Adalah mustahil mereka mereka yang menjadi pengkagum TDM ini menjadi buta lalu gagal menilai TDM secara menyeluruh, tetapi sebaliknya sentiasa menyanjung bekas PM Malaysia satu ini.

Kita sering dihidangkan dengan kritikan dan komen2 negatif kelompok pengkagum TDM keatas pengganti pengganti beliau. Hampir mustahil untuk kita temui tulisan tulisan negatif mereka tentang TDM. Ini yang agak anih sedangkan 1 Malaysia tahu apakah bentuk kerosakan besar yang telah disumbangkan oleh TDM sepanjang tempoh beliau sebagai PM Malaysia. Apa sebenarnya kelompok pengkagum TDM ini mahu sebenarnya? Mahu melihat Malaysia lebih baik terurus di masa hadapan atau mengharap sesuatu yang mereka sendiri lebih tahu?.

Jika ihklas mahu Malaysia lebih cemerlang dan dihormati dimasa hadapan, selaku rakyat negara ini, peranan kita seharusnya ikhlas dan perlu berani mengatakan sesuatu hitam jika benar ia hitam. Jangan kerana ada kepentingan tertentu, yang hitam kita hebahkan ia sebagai putih. Perlu berani berkata dan menulis yang benar. Tapi mengharapkan sikap ini ada pada cerdik pandai kelompok pengkagum TDM bagaikan mengharapkan kucing bertanduk. Mereka mereka ini tak ubah bagaikan "macai Dato Najib" yang mereka sendiri lantang mengkritik walhal mereka lupa bahawa mereka hebat berkokok tapi najis menyaluti tubuh sendiri.

Kepada kelompk cerdik pandai pengkagum TDM, suluh suluhlah diri sendiri. Menulislah dengan ikhlas tanpa ada perasaan untuk membodek atau bias jika anda semua ikhlas mahu membantu negara bangun kearah yang lebih baik.