18 September 2015

UMNO kehilangan identiti, Najib tak mungkin mampu mengembalikannya

Ralli baju Merah yang diadakan dua hari lepas sudah berlalu. Seramai 80,000 orang Melayu telah berhimpun dan masing-masing pemimpin berucap dalam nada perkauman yang menebal. Perhimpunan itu kononnya ialah reaksi terhadap ralli Bersih 4 yang diadakan pada 29hb dan 30 Ogos yang lalu. Jika ia benar merupakan reaksi terhadap perhimpunan Bersih 4 baru-baru ini, maka perhimpunan baju merah itu hanyalah untuk mempertahankan Najib yang kini berhadapan dengan tuntutan rakyat supaya Najib berundur dari jawatan yang beliau amat sayangi itu. 

Perhimpunan Baju Merah adalah perhimpunan orang Melayu sedangkan perhimpunan Bersih 4 ialah perhimpunan berbilang kaum bagi menuntut Najib berundur dari memimpin negara. Apapun sebabnya persoalan yang timbul sekarang adalah apakah faedah-faedah yang didapati dari perhimpunan orang Melayu yang dianjurkan dari belakang oleh UMNO itu? Ia membawa lebih banyak keburukan dari kebaikan. 

Yang terbaik ialah jika ada apa-apa tuntutan dari rakyat ia wajar diwakili oleh rakyat berbilang kaum kerana kumpulan yang berbilang kaum itu adalah elemen penting  bagi menampakkan yang rakyat berbilang kaum itu bersatu dan berpadu serta selenggang dan sehayun dalam apa sahaja yang dituntut itu. Elemen itu nampak jelas dalam perhimpunan Bersih 4 dan perhimpunan Bersih yang sebelumnya. Himpunan Baju Merah dua hari lepas yang menggambarkan orang Melayu sahaja yang bermasalah dan masalah yang ditampilkan tidak lain dari permainan isu perkauman yang menebal seolah-olah kaum Melayu itu boleh hidup tanpa adanya kaum lain di negara ini. 

Slogan dan kain rentang yang menyuburkan perasaan benci membenci di antara kaum sangat jelas di lihat dalam perhimpunan Melayu baju merah itu. Telah menjadi pengetahuan umum perhimpunan itu adalah perhimpunan anjuran UMNO dan diberikan bantuan kewangan dari UMNO. Perhimpunan anjuran UMNO itu amat mahal harganya kerana ramai-ramai yang datang itu dibayar elaun dan perjalanan percuma. Selain dari itu makan dan minum serta baju T percuma dan berbagai-bagai 'hand-outs' yang lain.

Tetapi sedarkah pemimpin-pemimpin UMNO ini yang perlakuan mereka ini telah menghilangkan kewibawaan mereka sebagai pemimpin parti yang memerintah? Tindakan mereka ini telah menghilangkan identiti UMNO itu sendiri serta kewibawaan pemimpin yang memimpin parti itu?

Hilang segala imej dan keyakinan ramai yang UMNO itu adalah parti yang memimpin semua kaum. UMNO kini hanya memimpin orang Melayu dan sifatnya kini hanyalah parti yang dipimpin oleh mereka yang chauvinis. Semakin terhakis kepercayaan rakyat yang UMNO tidak seperti dulu di mana parti itu adalah parti orang Melayu tetapi ia adalah juga parti yang menjaga semua rakyat yang lain.

Itulah sebab utama kenapa berlakunya perhimpunan Bersih 4. Bersih 4 itu kalau kita tinjau dari sudut yang betul, tidak ada siapa yang boleh menafikan yang ianya berlaku kerana mereka mahukan pimpinan yang memerintah bersifat pemimpin untuk semua kaum. Kalau kita ambil secara positif ianya adalah kumpulan yang bukan hendak membuang atau mengenepikan UMNO tetapi mereka mahukan pimpinan UMNO yang boleh diterima oleh semua masyarakat negara ini. Ia bermakna mereka tidak mahu pimpinan UMNO dibawah Najib kerana masalah ini tetapi mereka mahu pimpinan dari parti yang sama yang lebih diterima oleh semua kaum.

Itu sebabnya ramai dikalangan pemimpin UMNO yang sedar tentang keadaan ini mahukan Najib berundur bagi mengelak dari UMNO itu terbuang kerana pemimpin yang tidak baik dan kotor sedang menempel pada batang tubuh parti itu dan tidak mahu bercerai dari memimpinnya. Justeru itu seandainya pemimpin hari ini diganti dan dianjakkan kepada pemimpin Melayu yang diyakini oleh semua kaum, maka keadaan sekarang akan menjadi lebih baik bagi orang Melayu dan semua kaum di negara ini.

Rakyat tidak mahu lagi diminta untuk bersatu tetapi kesatuan kita di bawah ini diperguna untuk mereka melakukan kerja rasuah tanpa halangan dan tidak terbatas. Kita tidak mahu bersatu di bawah kepimpinan yang tidak jujur. Bagaimana kita untuk katakan pemimpin kita terutamanya yang dipucuk kepimpinan sekarang ini yang sarat dengan isu-isu rasuah dan keji ini. Bagaimana rakyat mahu mempertahankan kepimpinan yang tidak berjaya menjaga imej yang baik dan sentiasa dalam keadaan defensif dalam semua isu yang menakutkan rakyat itu? UMNO di bawah Najib tidak akan berjaya untuk mencapai matlamat UMNO yang 'ultimate' iaitu membentuk negara yang bersatu padu yang selalu disebut sebagai 'national unity' itu. Sesungguhnya UMNO sudah hilang segala identitinya.

Imej yang ada kepada mereka yang memimpin kerajaan pada hari ini bukannya imej UMNO yang sebenarnya. Kita rakyat yang ramai ini sentiasa cuba diperbodohkan setiap masa dan mereka menganggapkan yang rakyat ramai ini tidak mempunyai otak, sebaliknya penuh dengan pasir dalam kepala kami. Najib tidak boleh hidup tanpa berbohong dalam semua isu terhadap beliau. Seorang Perdana Menteri yang 'average' tidak akan berhadapan dengan isu panas seperti beliau.

Jika wang yang beliau simpan sebanyak RM 2billion di Singapura boleh dibekukan oleh 'monetary authority of Singapore' apa kah ini masih melayakkan beliau terus memimpin kita? Dari segi moral dan etikanya beliau sudah tidak layak untuk memimpin lagi. Di negara-negara maju orang seperti Najib ini sudah lama berhenti dan berehat dan buat kerja lain untuk membantu membina negara. Jika Najib benar-benar jujur mahu melihat negaranya maju beliau perlu berkorban dan bersara sahaja. 

Telah disebut oleh blog ini acapkali, ada pemimpin boleh menyumbang terhadap negara dengan memegang jawatan dan ada pemimpin hanya boleh menyumbang terhadap negara dengan meletakkan jawatan. Masing-masing ada cara dan peranan masing-masing untuk menyumbang kepada negara. Bagi Najib sumbangan beliau kepada negara ialah dengan melepaskan semua jawatan beliau dalam kerajaan dan parti dan bersara. Nescaya rakyat akhirnya akan menerima tindakan beliau itu sebagai sumbangan besar beliau kepada negara kita ini.

Najib patut sedar yang tidak ada tempat awam yang kita tidak mendengar soalan di antara satu dengan lain yang berbunyi, 'bila si Najib ini hendak berhenti hah?'. Bagaimanakah Najib hendak mendapatkan keberkatan dari kepimpinannya jika semua rakyat jelas tidak mahu beliau berada di tempatnya lagi? Yang tinggal menyokongnya hanya mereka yang menjaga kepentingan diri dan mereka adalah dari kumpulan elit UMNO itu sahaja. 

Di mana-mana rakyat sedang menunggu beliau bersara dan elok jika beliau memahami keadaan ini dan penuhi kehendak rakyat itu. Tidak berguna beliau mundar mandir ke Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan sokongan dengan memberikan janji yang berbagai yang semua orang tahu beliau tidak akan mampu menguruskan nya. Tindakan membeli masa ini akan akhirnya menjatuhkan beliau sendiri. 

Janji-janji terhadap Sabah dan Sarawak itu dibuat di waktu yang genting, bak kata orang 'sudah hendak berak baru menggali lubang.'. 

7 comments:

Anonymous said...

APA dia takut, duit dah ada. Nanti dia buat macam TaksiƱ laa...

Anonymous said...

Pak Aspan

Berilah Najib dan kabinetnya memerintah sehingga PRU14 agar rakyat boleh menurunkan dan tidak membenarkan mereka kembali berkuasa.

Itu saja kuasa yang rakyat ada..... melalui peti undi


Azampatim

Da Man said...

Duit tu dah kena freeze, perancangan Allah mengatasi perancangan najib

Balogue Leiatt said...

Yg jadi masaalahnya gang mafia melayu ni akan dpt kuasa bukan melalui peti undi

Anonymous said...

Najib harus undur.Kita ganti dengan PM baru yg lebih berkredibiliti.Najib undur barulah umno boleh bangkit semula.

Anonymous said...

Kalau benar UMNO ada 3,000,000 ahli, yang hadir tu dalam puluh ribu, dan katakanlah SEMUA yang hadir tu ahli UMNO, bolehkah kits simpulkan bahawa tak sampai 2% yang sokong?

Anonymous said...

DAP tidaklah serasis begini seperti yang difahami ramai masyarakat tertentu termasuk saudara penulis. Sebaliknya cuba kita lihat dan nilai sepanduk2 dan placard2 yang dibawa himpunan merah, ia memberi gambaran yang cukup jelas bahawa mereka itu lebih .....