07 December 2011

Kalau pilihan kali ini salah lagi, salahkan diri sendiri

UMNO mengakui yang pilihanraya kali ini merupakan ibu kepada semua pilihanraya. UMNO menganggap ia sebagai ibu kepada semua PRU kerana UMNO menganggap pertukaran pemerintahan dari mereka kepada pihak lain itu merupakan satu jenayah dan tidak boleh dan tidak patut berlaku.

Kepada negara-negara lain yang mengambil demokrasi sebagai cara politik mereka, pertukaran pemerintah itu adalah perkara biasa dan ia nya adalah hak rakyat ramai untuk menentukkan kepada siapa yang mereka hendak berikan mandat untuk mentadbir mereka. Di antara parti buruh dan conservative di Britain tidak tahu berapa kali pertukaran pemerintahan di antara kedua-dua parti itu dan sekarang pula adalah kerajaan campuran conservative dengan liberal democrat.

Di negara kita lain pula keadaannya. Pada UMNO rakyat mesti mendengar semua cakap dan arahan mereka. Hak rakyat hanyalah untuk pergi ke peti undi dan pangkah lambang dacing sahaja….tidak payah berfikir dan tidak payah membuat penilaian terhadap mereka. Rakyat hanya diarah untuk jadi burung balam sahaja…mengangguk walaupun tidak bersetuju.

Jika ada rakyat yang berbeza pendapat atau pun menyebelahi parti-parti lain rakyat ini akan dikatakan pengkhianat, pembelot, anti Melayu, anti Islam, DAP mengkristiankan orang Melayu, DAP nak jadikan negara ini negara republik dan sebagainya. Walaupun DAP parti halal, siapa yang menyertainya adalah pengkhianat dan pembelot seperti yang di ungkapkan oleh Muhyiddin Yassin. Saya tidak tahu parti halal itu adalah parti pembelot.

Rakyat, khususnya orang Melayu ditakut-takutkan oleh UMNO yang Melayu akan hilang di dunia ini dan hanya UMNO sahajalah yang berkebolehan untuk menyelamatkan orang Melayu….seolah-olah tidak ada elemen-elemen lain yang boleh menyelamatkan bangsa yang di pimpinnya seperti kehendak tuhan dan afa’al tuhan. Pemimpin-pemimpin UMNO pergi sejauh menuduh DAP sebagai pencetus 13 Mei dan isu inilah yang di timbulkan setiap kali pilihanraya tiba.

Pemimpin mereka akan berkata yang UMNO sahaja yang boleh memberi mereka makan. UMNO sahajalah yang boleh melanggar undang-undang kerana pengaruh UMNO boleh memberikan ‘immunity’ kepada penjenayah kolar putih. Hanya UMNO yang boleh memberikan pinjaman ratusan juta jika isteri atau suami mereka berada di dalam kabinet.

Jika Shahrizat Jalil itu hanya seorang bidan di klinik desa, suaminya tidak akan dapat mendapatkan pinjaman RM250 juta dan membelanjakan wang hasil pinjaman mudah dengan interest hanya 2 peratus itu untuk membeli kondominium, dua lot tanah di Putrajaya, kereta Mercedez dan bercuti keluar negara serta mengerjakan Umrah. Hebat betul bila dapat jadi menteri walaupun mengikut jalan belakang.

Hanya UMNO boleh melanggar undang-undang dan perjanjian dan hanya UMNO boleh memasukkan atau mengeluarkan sesiapa dari penjara. Hanya UMNO boleh melakukan penderhakaan terhadap Raja-Raja Melayu seperti yang berlaku pada tahun 1993 dahulu yang di ketuai oleh Dr Mahathir Mohammed. UMNO merupakan satu ‘tool kit’ untuk sesiapa yang memegang parti ini tetapi sekarang ini sudah terlalu banyak trend yang membuktikan rakyat sudah berani menentang ‘hegemony’ UMNO ini. Kenapa rakyat sudah berani?

Jawapannya ialah kerana rakyat sudah tahu rupa-rupanya negara ini mereka yang punya, bukannya kepunyaan UMNO seperti yang mereka sebut dari dahulu hingga sekarang. Rakyat sudah insaf yang segala yang UMNO katakan itu kebanyakkannya merupakan tindakkan menyesatkan pemikiran mereka.

Rakyat baru sedar sekarang ini UMNO hanya mempunyai 56 kerusi parlimen di Semenanjung dan 13 lagi kerusi di Sabah dan jumlahnya hanyalah 69 kesemuanya. Rakyat sudah mulai sedar yang UMNO bukanlah parti yang memimpin parlimen itu dalam erti kata yang hakiki. UMNO hanyalah parti yang sudah begitu kecil penyertaan dan Dewan parlimen jika dibandingkan dengan masa-masa yang lalu. UMNO sekarang sudah menjadi parti yang menadah tempurung untuk mendapatkan lanjutan kuasa yang mereka telah alami sejak dulu lagi.

Rakyat sudah sedar yang rupa-rupanya UMNO bukanlah parti yang ‘invincible’ dan boleh diketepikan oleh rakyat apatah lagi dalam keadaan UMNO yang paling lemah dalam sejarah 23 tahun kewujudan parti itu. Baru sekarang UMNO hendak mencari calun-calun boleh menang tetapi sayangnya ia dilakukan semasa parti itu sudah tidak ‘winnable’ lagi. UMNO sesungguhnya sedang menghadapi krisis keyakinan yang paling teruk dalam sejarahnya.

Sebagaimana yang saya katakan tadi, di Semenanjung UMNO hanya mempunyai 56 kerusi dan ditambah dengan 13 kerusi dari Sabah yang belum tentu dapat bertahan atau tidak ke mana. Rupa-rupanya UMNO hanya mempunyai 20% suara dalam parlimen dan tahulah kita sekarang kenapa pemimpinnya bercakap bergegar-gegar dalam semua perjumpaan dalam persediaan menghadapi rakyat dalam tempoh yang terdekat ini.

Barulah rakyat sedar yang BN selepas pilihanraya ini hanya ada satu parti di Semenanjung ini kerana MCA dan Gerakan sudah hampir pupus dari scenario politik perdana negara ini. MCA dibawah kepimpinan CSL yang famous itu merupakan zaman yang paling getir dalam sejarah parti itu. Dijangkakan hampir semua baki-baki kerusi MCA itu akan hilang dan parti itu tidak akan lagi menjadi parti yang mempunyai apa-apa 'consequence' selepas ini.

Jika UMNO keseluruhan hilang 10 lagi kerusi kali ini ianya memberi makna yang UMNO sudah sampai ke penghujung hayatnya. Kalau UMNO mendapat kurang dari jumlah kerusi yang mereka menangi di dalam pilihanraya dahulu, waimma dengan hanya satu kerusi tambahan UMNO sudah boleh kita anggap secara ‘conclusive’ yang parti itu sudah mati dari segi hakikatnya.

Kalau keadaan itu berlaku keyakinan ahli-ahli UMNO sendiri akan menurun, apatah lagi bagi Melayu atau rakyat yang tidak menyertai mana-mana parti. UMNO sudah hilang kelayakan untuk memimpin BN kerana parti yang angkuh ini hanya mempunyai 23% perwakilan di parlimen. Apabila BN kehilangan komponen yang kedua terbesar dalam BN iaitu MCA maka BN tidak lagi mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin komponen yang suatu ketika dahulu gagah dan perkasa. UMNO tidak akan lagi dihormati dan disegani oleh parti-parti komponen yang berada di dalam BN keseluruhannya.

Itulah sebabnya saya pernah berkali-kali mencadangkan supaya negara ini mempunyai politik yang baru. Kita terpaksa mencari seorang pemimpin Melayu yang dihormati oleh semua kaum samada cina, India mahu pun semua bangsa di Sabah dan Sarawak.

Kita terpaksa memulakan keadaan politik baru yang di pimpin oleh seorang yang berpengalaman untuk berbincang dengan ketua-ketua semua kaum seperti yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman dahulu. Dalam proses ini maka terpaksalah setengah pihak untuk berkorban bagi menjamin kestabilan politik negara di masa-masa yang akan datang.

Pengorbanan boleh dilakukan dengan pengunduran pemimpin-pemimpin parti yang menjadi isu terbesar yang menyebabkan komponen yang memimpin negara tidak diyakini rakyat lagi.

Latar belakang politik hari ini tidak membolehkan lagi UMNO menjadi tunjang kepimpinan negara. UMNO seperti yang berlaku di Selangor hanya menjadi penghasut dengan mencari cari siapa yang mahu berhadapan dengan kamera TV untuk membuat bantahan kepada perkara dan isu yang kecil terhadap kepimpinan Khalid Ibrahim. Di P Pinang, di Kedah dan Kelantan hanya UMNO dan pemimpin mereka hanya mencari kesalahan-kesalahan pentadbiran negeri pimpinan PR itu seperti orang mencari kutu.

UMNO dan BN tidak pula membuat demonstrasi terhadap parti dan pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kerugian PKFZ yang melibatkan RM12 billion. PKFZ merupakan ibu kepada segala skandal pemimpin menjahanamkan wang rakyat. Skandal yang begitu besar skalanya ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan MCA, termasuk melibatkan PM semasa itu yang begitu lalai dan tidak bertangjawab terhadap kos pembelian tanah yang begitu tinggi.

Ahli-ahli UMNO serta pemimpin UMNO Selangor yang tidak terlibat dengan skandal ini untuk berdemonstrasi besar-besaran jika benar ahli-ahli UMNO benar-benar hendak mencari ketelusan dan kejujuran pimpinan semasa BN berkuasa itu.

Oleh itu rakyat Selangor terutamanya wajar membawa kes ini ke mahkamah rakyat dan membuat keputusan yang jelas di dalam pilihanraya yang akan datang. Jika UMNO hilang 10 kerusi parlimen dan MCA kehilangan keseluruhan kerusi-kerusi yang berbaki sebanyak 15 lagi itu, maka BN akan berhadapan dengan akhir kalam politik mereka.

Tetapi itu adalah biasa sebagai sebuah negara demokrasi. UMNO boleh duduk di kerusi-kerusi pembangkang di dalam semua dewan legislatif negeri-negeri dan persekutuan. Apa salahnya duduk di bangku pembangkang pula kali ini.

Kalau kita main gasing kedua-dua belah pihak mesti mengambil giliran untuk memusing gasing dan memangkah gasing-gasing itu. BN selama ini hanya di pihak yang memangkah, kali ini BN patut bersetuju untuk memusing pula. Itulah demokrasi.

Kita tengok pula, jika Pakatan Rakyat memimpin Putrajaya, berlaku kah atau tidak pinjaman mudah sebesar RM250 juta dari kerajaan untuk memelihara lembu seperti yang dilakukan oleh BN yang sedang mentadbir Putrajaya sekarang ini.

Kalau PR memerintah adakah kejadian seperti membeli peralatan ketenteraan yang di gandakan harganya berlipat kali untuk kepentingan syarikat kroni seperti yang berlaku sekarang ini?

Jika pihak PR menjadi PM akan adakah PMnya menggunakan harta rakyat dalam jumlah berbillion ringgit untuk menyelamatkan perniagaan anaknya yang kerugian besar dalam perniagaan perkapalannya seperti yang pernah berlaku beberapa tahun dahulu?

Agak-agaknya kalau pemimpin PR menjadi Menteri Besar mana-mana negeri adakah agaknya MB itu tertangkap menghantar wang sebanyak RM10 juta keluar negara secara haram melalui penggurup wang yang ‘dubious’ seperti yang dilakukan oleh seorang MB tidak berapa lama dahulu?

Banyak lagi persoalan tetapi masa dan ruang tidak memberikan saya peluang untuk menyenaraikannya satu persatu. Tetapi secebis yang di sebutkan itu sudah cukup untuk membuat keputusan secara ‘conclusive’ dalam pilihanraya yang akan datang.

Yang penting, keputusan kita mestilah satu keputusan yang akan dapat menghindar apa yang saya sebutkan tadi berulang lagi. Jika mereka yang melakukan itu masih mendapat mandat jangan bersungut lagi. Salahkan diri sendiri.

13 comments:

Anonymous said...

Saddam dengan bongkak mengatakan peperangan dengan AS adalah ibu kepada semua peperangan. Saddam mudah diratah AS dan akhirnya tumpas.

Dalam sukan SEA baru-baru ini, pihak Indonesia mengatakan pingat emas bola sepak adalah ibu kepada semua pingat. Indonesia tumpas di gelanggang sendiri.

UMNO bagaimana setelah mengatakan PRU ke-13 ibu kepada semua pilihan raya?

orang kampong said...

salam,pak Aspan.sungguh hebat kupasan bapak.kalau wang sejumlah rm12b, berapa banyak batuan rumah dll keperluan untuk simiskin ya pak.

Memang UMNO sial said...

Sejak kebelakangan ini saya merasakan UMNO seolah2 menjadi seperti agama baru anutan orang2 Melayu diakhir zaman.

Apa jua perbuatan salah laku yang dibuat oleh orang2 UMNO semuanya jatuh halal belaka. Contoh terbaru adalah kes lembu Sharizat.

Masih ingat kah kita kes lembu Menteri Besar Selangor Dato Khalid Ibrahim tidak lama dulu..? Beliau telah disiasat secara habis2an oleh SPRM didalam tuduhan menggunakan duit kerajaan negeri bagi membiayai 10 ekor lembu korban untuk diagih2kn kepada para pegundi2 beliau di Bandar Tun Razak Cheras.

Masih ingatkah kita dimana SPRM menyiasat Tok Guru Nik Aziz yang dikatakn dibiayai oleh pihak ketiga semasa beliau mengerjakan ibadah haji 2 tahun yg lepas..??

Teo dikatakan membunuh diri dipejabat SPRM berhubung dengan kes songlap duit peruntukan RM2,000dari kerajaan negeri..??

Apa yg orang lain buat jatuh haram semua... UMNO semua halal.

Aduhaiii... Melayu Munafikun. Allah knows the best

Anonymous said...

Salam Saudara Aspan,

Kebanyakan rakyat Malaysia sudah tahu dan dengar betapa koruptsinya kepimpinan UMNO.

Negeri Selangor yang termaju/kaya dalam Malaysia, sudah cukup mampu untuk memberi kesejahteraan dan kehidupan yang selesa untuk rakyatnya,tetapi bila UMNO/BN memerintah habis kekayaan itu dirompak oleh mereka dan suku-sakat mereka.

Wahai rakyat Selangor!!! bangkit, bangun, sedarlah kita adalah rakyat yang bijak dan cerdik, mari beramai-ramai sisihkan manusia UMNO/BN dari bumi Malaysia dalam PRU 13 nanti.

Wahai rakyat Malaysia amnya bila mengundi dalam PRU 13 nanti, jangan langsung memangkah dacing berwarna biru dan putih, simbol kedurjanaan.

Selamat tinggal UMNO/BN.

Anonymous said...

Sanga tepat pandangan Tuan tentang UMNO dan gelagat kepimpinan mereka yang seolah hilang punca dan panik kerana takut hilang kuasa. Hilang kuasa bermakna segala kemewahan, penyelewengan akan terbongkar. Segala kesalahan rasuah dan salahguna kuasa akan di bawa kemuka pengadilan. Itulah sebabnya pemimpin dan ketua UMNO sedang gila meroyan dan menjerit-jerit dalam dewan saja. kalau ke mahkamah nanti macam manala agaknya ?

Anonymous said...

Salam tuan,

Dulu jika ada Perhimpunan Agung Umno (PAU) saya tak miss mesti hadir. Itu dulu.

PAU hari ini mengingatkan saya filem alibaba dgn 40 penyamun. Penyamun-penyamun dalam filem alibaba akan berhimpun didalam gua selepas setiap kali selesai menyamun. Didalam gua tersebut penyamun akan mengagih-agihkan hasil samun dikalangan mereka. Setiap kali agihan dilakukan ada saja yang tidak berpuas hati. Ada yang menjerit, terpekik, terlolong kerana merasakan hasil rompakan masih tidak cukup untuk mereka. Keputusannya, mereka berikrar, bersumpah akan menyamun dengan lebih banyak dan rakus lagi. Bunuh, bakar, dera, cela, rogol,hina, liwat,fitnah, tuduh sesiapa saja yang cuba menghalang. Biar gempaq satu kampung betapa kejamnya mereka. Biar semua orang takut dan gerun dengan kekejaman mereka.

Hari ini penyamun-penyamun tersebut berhimpun beramai-ramai tapi kali ini di gua PWTC. Dengan mengamalkan kaedah yang sama dan masih tidak berpuas hati dengan hasil rompakan mereka. Pendekkan cerita Ketua lanun mengarahkan Timbalan Ketua Lanun untuk mengenalpasti lokasi-lokasi dengan membuat 'pangkah' lokasi-lokasi termasuk EPF, Khazanah, Felda, MAS, PKFZ, dan sebagainya. Siapa halang, bunuh, cerca, fitnah, liwat, bunuh mereka,guna C4, Mahkamah, AG, Polis, SPRM, SPR, Imigresen, ISA, Auku. Biar mereka sedar siapa ketuanan lanun selama ini.

Maka selepas keputusan Tok Ketua yang maha bijaksana maka seluruh penyamun-penyamun yang berada di PWTC terus berpesta sakan meraikan kegemilangan nenek moyang mereka.

Drp; Zuki Ahmad

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara Penulis dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Terima kasih sekali lagi atas tulisan yang sungguh bermanfaat ini. Ya, sebenarnya, secara logiknya, hidup ini sendiri bagaikan roda; adakalanya ke atas dan sebaliknya ... Namun, sebagaimana yang saudara katakan, hanya pihak yang takutkan bayang-bayang sendiri sahaja yang gerun menghadapi ini semua.

Sekilas coretan, tentera Islam juga pernah kalah dalam peperangan setelah menang sebelumnya. Kenapa? Jawapannya, kerana mengingkari arahan Rasulullah SAW akibat keasyikan meraih harta rampasan perang. Bukankah itu sejarah Perang Uhud yang umat Islam, rata-ratanya, termasuk mereka, tahu dan sedia maklum? Namun, sayang, nama aja Islam, tapi, ... Yalah, kalau cakap terang-terang nanti, kena tahan kat ISA pulak-la, kan?

Nah, lihat juga akan sejarah demokrasi moden seperti yang saudara katakan. Kalau saudara telah berjaya memberikan contoh kerajaan England yang sering bertukar tangan, bagaimana pula dengan kuasa besar dunia, Amerika Syarikat? Bukankah pilihanraya mereka jauh lebih teratur, dijalankan setiap 4 tahun sekali, tanpa mengira bagaimana keadaan dan situasi semasa? Bukankah juga kita saksikan Democrat dan Republican silih berganti menerajui Congress dan White House?

Namun, sayang jutaan kali, kita sering mendakwa kita ini negara Islam contoh, untuk selama 54 tahun, tetapi, hakikatnya, maaf sekali lagi, jauh terpesong, seandainya inilah budaya yang diamalkan mereka. Juga, kita baru sahaja menyambut Ma'al Hijrah; dengan itu, hijrah apa namanya ini kalau Perhimpunan Agung parti menjadi pentas mencanang billionan, malah, trillionan kelemahan dan kesalahan sesama manusia, yang kebanyakannya tak berasas sama sekali? Oleh itu, bersamalah kita renung dan fikirkan semula agar jangan "tersalah 'PANGKAH'". Akhir kata, maaf sekali lagi seandainya terdapat unsur kurang elok pada komentar ini. Namun, saya tidak sekali-kali berniat memperlekeh sesiapa. Cuma, siapa makan cili, ... Faham-faham aja-la, kan? Dengan itu, bersamalah kita berhijrah agar mereka akan terhijrah dari Putrajaya agar mereka tidak sewenang-wenangnya bertindak seolah-olah merekalah Tuhan yang patut disembah.

Terima kasih.

Anonymous said...

Salam,

Mungkinkah ini satu lagi cara untuk merompak harta rakyat kebanyakkan? Fikirkan.


Perbankan islam adalah satu sistem yang semakin berjaya. Banyak bank (baca sistem kapitalis, untung semata-mata) yang semakin galak dengan sistem ini. Kenapa? Adakah kerana mereka ingin memenuhi tuntuntan Islam? Saya fikir tidak. Kita di kurniakan akal oleh tuhan untuk berfikir dan mencari yang terbaik. Lihat contoh ini.....katakan saya meminjam dari bank RM 200,000.00 untuk 25 tahun. Jika sistem coventional saya akan bayar balik sejumlah RM 386,700 dan jika sistem islamik pula sejumlah 463,200 (berdasarkan kadar pinjaman semasa). Dengan lain kata, untuk rumah yang sama jenis dan saiz, Yap Ahhhh Loyyyy dan Pak Raja Lela bayar harga yang berlainan. Pak Raja Lela RUGI RM 76,500. Ini satu hal. Ini antara sebab utama kenapa banyak bank menawarkan perbankan islam. Atas nama islam kita diperbodohkan. RM 76,500 adalah satu bentuk kerugian yang dialami oleh seorang peminjam. JIka kita jual rumah ini, katakan harga pasaran 500,000.00 selepas ditolak bayaran bank, Pak Raja Lela dapat RM 36,800. dan Yap Ahhh Loyy pula dapat RM 113,300. Fikirkan. Katakan kita ada 1 juta peminjam untuk perumahan sahaja. Jumlah kerugian yang di tanggung oleh umat islam di malaysia sahaja secara kolektifnya ialah 76,500,000,000.00 iaitu 76.5 billion. Inilah sebabnya sistem perbankan islam sangat berjaya. Kita di rompak dengan kerelaan kita, dengan sistem yang kita cipta sendiri.

Noor M.

Red Alfa said...

Salam Saudara Aspan

Pada PAU 2011,ada pemikiran dan usaha mencuba memberi sedikit warna keIslaman kepada kepimpinan UMNO tetapi jelas lebeh hanya menampakkan dengan kemunafiqannya.

Apa yang ditayangkan adalah perangai buruk dan jelek disisi Islam: ketidak adil serta kemungkaran tidak diketengahkan untuk diberi kutukan malah dengan beberapa berdaleh sahaja telah dijadikan semuanya halal dan tiada pula yang haram.

Memfitnah dibuat secara bersenang melawak dan dengan tohmahan keji untuk mengapi-apikan kebencian antara persuadaraan sesama rakyat Malaysia dan menjadi-jadikan dan mempuak-puakkan musuh dan bermusuhan.

Dengan cebisan tayangan atau snapshot ini pada PAU telah dapat memberikan gambar perwatakan Islam UMNO yang sebenarnya dan menunjukkan mana cara dan apa dijadikan peralatan UMNO memperjuangkan Islam dan kesejahteraan masa depan di negara ini.

Masehkah kita tak nampak dan maseh lagi menduga apa yang Allah SWT telah menunujukkan apa itu kebaikan dan mana yang salah untuk umah di Malaysia seterusnya?

IbnAbdHalim said...

UMNO yang kenal dan mengamalkan demokrasi ialah UMNO yang dimatikan oleh Dr. Mahathir Mohamed. UMNO yang ada sekarang tak mengenal demokrasi langsung namun mendabik dada konon ialah parti yang paling demokratik di dunia.

Anonymous said...

Banyak la komen korang..itu salah,ini salah...itu korup,ini munafik..cakap mmg senang bai..berpijak la di bumi nyata..seolah2 UMNO tu jijik sgt la ya..segala sistem seolah2 tak berjalan ya...Cuba imbas masa korang masih kecil,sekolah,kolej,universiti,kerja dan hidup bertambah senang kan?..siapa yg membantu?..jgn kufur nikmat brader..jgn cuma cakap pasal Islam berdegar2..hakikatnya iman masih seperti buih...moral of the story...be rasional & realistik..jgn emosional bro..

Anonymous said...

16:47:00 GMT+08:00

Wa suker dengan nasihat lu brader...jangan kufur nikmat!...jgn cuma cakap pasal Islam berdegar2..hakikatnya iman masih seperti buih...

Cuba brader kasi nasihat ini kat kak Ijat kita. jangan kufur nikmat. Diberi pinjaman RM 250 untuk buat inkubator daging lembu agar kita dapat mengurangkan import...bukan suruh beli kondo mewah, tanah dan kereta mercedes.

Cuba brader sound kat pemimin-pemimpin besou parti brader yang berdegar-degar cakap pasal Islam, pasal nak pertahan islam semasa PAU baru-baru ini. Sambil cakap nak pertahan islam, pi rasuah, dok menterdarah duit rakyat nak erkayakan diri & kroni,dok salah guna insitusi negara untuk mengekalkan kuasa.

cakap pasai sekolah,universiti, kemajuan negara, pembangunan - itu dah memang jadi tanggungjawab kerajaan. Lainlah kalau semua kos untuk semua itu duit parti hangpa, boleh le cakap camtu.

Hangpa ingat kerajaan UBN je ke kena buat semua tu. Kerajaan lain dalam dunia ini samada Islam atau kapiaq tak buat semua itu untuk rakyat depa kaaa.

Bingai punya hujahan...

Wak Kasim

Red Alfa said...

@anon 16:47

Kalau iman bak buih kerana kita kufur nikmat,apakah pada iman dia kalau dia telah mengkhianat amanah dengan mencuri dan merompak hak dan harta rakyat yang kian ramai terus miskin dan ada yang jadi papakedana kerana hak-hak mereka terabai dan tidak terbela sepertimana yang dia banyak dan sungguh-sungguh berjanji?

Perangai dan sifat seperti dia itulah yang memang patut dipandang jijik dan dia ditolak sebagai pemimpin selama-lamanya.