25 March 2008

Tepuk Dada Tanya Selera

Sekarang kita berada dalam situasi yang amat mengelirukan.

Pucuk pimpinan UMNO masih bertegas mengatakan bahawa mereka masih kuat dan diberi mandat untuk mentadbir negara walaupun 6 buah negeri telah jatuh ke tangan pembangkang.

Pak Lah dan Najib masih ingin berpaut pada kuasa dan rakyat jelas tidak gemar kepada mereka kerana tidak mahu menghadapi ahli-ahli UMNO dalam perhimpunan Agong Khas, sedangkan UMNO sedang menanah hasil daripada kelalaian mereka untuk memperkuatkan penerimaan rakyat terhadap UMNO.

Tidak semua ahli UMNO yang jumlahnya 3.2 juta memberikan undi kepada calon mereka terutamanya di Kedah, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Saya pernah memberi pandangan melalui tulisan saya dan juga melalui mesyuarat AJK Bahagian bahawasanya jumlah ahli yang ramai tidak semestinya mencerminkan kekuatan UMNO yang sebenar malahan ianya hanya akan lebih memberikan masalah kepada parti sekiranya tidak ditadbir dengan cekap.

Dengan wujudnya cawangan yang begitu banyak, sudah tentulah menjemput masalah pentadbiran yang rumit dan akhirnya percakaran untuk menjadi pemimpin di peringkat cawangan akan membawa padah kepada UMNO apabila menghadapi pilihanraya umum.

Yang penting di sini ialah UMNO perlu diketuai oleh seorang pemimpin yang dihormati rakyat serta mempunyai dasar kerajaan yang kuat yang boleh digunapakai dalam jangka masa panjang. Perlaksanaan dasar-dasar ini pula perlu dilaksanakan tanpa adanya elemen- elemen negatif seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Ini sangat berbeza dengan situasi sebenar sekarang ini kerana daripada apa yang kita perhatikan, elemen-elemen buruk ini jelas begitu ketara dalam pentadbiran kerajaan sejak dua dekad lalu sehinggakan rakyat sudah hilang kesabaran dan ahli-ahli UMNO sendiri sanggup beratur memberikan undi kepada pembangkang.

Parti pembangkang yang tidaklah sekuat mana, telah berjaya menembusi kubu-kubu kuat UMNO hasil daripada undi-undi protes terhadap UMNO yang berlaku di serata negara.

Orang bangsa asing khususnya Cina telah menolak BN secara total kerana tiada lagi keyakinan kepada pimpinan BN sedangkan selama ini BN bergantung kuat kepada undi-undi kaum Cina dan India.

Satu persoalan yang harus kita fikirkan sekarang ialah usaha kerajaan BN untuk mengurangkan undi kaum Melayu dalam penyelarasan kawasan parlimen selama ini sudah makan tuan.

Apabila kaum Cina dan India menarik balik sokongan berlakulah apa yang sedang kita lihat hari ini.

Di kawasan yang mempunyai lebih dari tiga puluh peratus pengundi kaum Cina, BN mengalami kekalahan dengan majoriti yang begitu besar kerana orang-orang Melayu juga memberikan undi kepada parti altenatif seperti PAS yang juga merupakan parti melayu.

Malahan penolakan terhadap kepimpinan Abdullah / Najib merupakan penolakan total dan BN cuma selamat dengan mendapat majoriti mudah kerana kejayaan BN di Sabah dan Sarawak.

Di semenanjung, BN hanya mampu untuk mendapat 86 kerusi sahaja.

Bagi ahli-ahli UMNO, nasib masa depan partinya kini bergantung kepada ahli-ahli biasa di cawangan-cawangan seluruh negara.

Jika mereka fikirkan UMNO yang mereka anggotai ini perlu diperkuatkan, mereka perlu mencari pemimpin yang tidak ada di dalam sistem UMNO pada hari ini.

Adalah amat mustahil bagi pemimpin yang telah ditolak mahu memperbetulkan keadaan UMNO pada hari ini.

Tidak mungkin Pak Lah dan Najib mampu memperbetulkan keadaan. Bagaimana mungkin orang seperti Tengku Adnan dan Muhammad Taib boleh meyakinkan rakyat.

Noh Omar yang banyak cakap akhir-akhir ini tidak mempunyai kredibiliti untuk bersuara bagi merawat UMNO kerana beliau sendiri sedang menjadi buah mulut rakyat di mana- mana.

Orang-orang seperti ini dibawa masuk oleh Pak Lah dalam kabinet dan UMNO dan rakyat tidak nampak ini satu tindakan yang tepat malahan ianya boleh membawa lebih masalah kepada krisis keyakinan yang sedang kita hadapi sekarang.

Kepada seluruh ahli UMNO kami berpesan, tepuk dada tanyalah selera.

Jika kita ingin melihat UMNO hilang dari arena politik tanah air tidak payahlah berbuat apa-apa. Hanya tunggu hari pemakamannya pada pilihanraya yang akan datang.

Itu sahaja buat hari ini……………………………………… Aspan Alias

No comments: