24 March 2008

Perhimpunan Agong Khas UMNO - Cara Penyelesaian

Seruan Tengku Razaleigh supaya UMNO mengadakan perhimpunan khas wajar mendapat sokongan ahli-ahli UMNO.

Ini adalah disebabkan kekalahan UMNO/BN di Semenanjung begitu teruk yang memerlukan perhimpunan ini diadakan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh UMNO dan kepimpinannya.

Pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO tidak boleh lagi mengelak daripada menerima cadangan ini jika mereka mahu melihat UMNO dan calon-calonnya diterima oleh rakyat dalam pilihanraya yang akan datang.

Rakyat telah menzahirkan penolakan mereka terhadap UMNO atas sebab krisis keyakinan kepada pucuk pimpinan parti kita.

Pemimpin sekarang perlu sedar, yang kuasa untuk memaksa ahli-ahli UMNO menyokong mereka tidak mencukupi, dan terpaksa menerima hakikat bahawa yang penting untuk menerima mereka ialah rakyat.

Oleh yang demikian, Abdullah/Najib patut bertanggungjawab atas kekalahan ini.

Perlu diingat, di semenanjung ini BN hanya mampu untuk memenangi 85 kerusi sedangkan Barisan Rakyat telah memenangi 80 kerusi.

Kerusi-kerusi BN yang lain diberikan oleh saudara-saudara kita dari Sabah dan Sarawak.

Cadangan TR untuk mengadakan Perhimpunan Agong Khas ini adalah penyelesaian yang tepat yang memang menjadi amalan mana-mana negara demokrasi di dunia ini.

Kita tidak perlu mendengar nasihat daripada para pemimpin yang berkepentingan peribadi seperti Tengku Adnan Mansor, Noh Omar, Muhammad Taib dan beberapa orang yang lain.

Mereka inilah yang merupakan penyumbang besar kekalahan BN kerana pandangan masyarakat terhadap mereka amat rendah.

Masyarakat tidak dapat menerima T.Adnan sebagai calon sedangkan dia menjadi ‘star’ dalam isu VK Lingam, dan cerita-cerita penyalahgunaan kuasa di Kementerian Pelancongan.

Muhammad Taib masih lagi mengingatkan rakyat kepada kes membohongi Sultan Selangor, dan kes kriminalnya di Australia dan berbagai-bagai lagi cerita semasa beliau menjadi Menteri Besar.

Noh Omar pula membuatkan rakyat teringat kepada kekecohan di Kementerian Dalam Negeri semasa beliau berada di sana.

Malahan mereka tidak sepatutnya berada di tempat mereka sekarang ini kerana rakyat masih lagi bercerita tentang rekod yang negatif terhadap mereka.

Isu-isu seperti inilah yang membuatkan rakyat merasa jemu dan memberontak dalam pilihanraya baru-baru ini.

Kita tidak perlu mengambil pusing tentang pandangan mereka, kerana kita tidak boleh menerima pandangan daripada mereka yang membuat masalah.

Tujuan kita memanggil Perhimpunan Agong ini ialah untuk menyelesaikan masalah yang mereka-mereka ini lakukan.

Kepada ahli-ahli UMNO di cawangan, saya menyeru supaya menggunakan hak saudara untuk meletakkan parti kita ke landasan yang betul setelah begitu lama dilalaikan oleh pemimpin-pemimpin yang ada sekarang.

Pemimpin-pemimpin besar kita masih mengaku kuat sedangkan kita sudah hilang kuasa di 5 buah negeri, dan jika dicampurkan dengan Wilayah Persekutuan kita sudah kehilangan 6 negeri.

Jika kita masih lagi mendengar nasihat orang-orang seperti Tengku Adnan, Noh Omar dan Muhammad Taib, dalam pilihanraya yang akan datang kita akan kehilangan pula Negeri Sembilan yang sudah hampir-hampir kalah baru-baru ini

Kita juga akan kehilangan kuasa di Melaka dan Pahang.

Semasa itu, rakyat akan memandang UMNO seperti anjing kurap yang melata di tepi jalan.

Mereka ini jugalah yang akan mecari makan dengan parti-parti yang menang ketika itu nanti.

Kepada T.Adnan, Noh Omar dan Muhammad Taib kita ucapkan ‘selamat cari makan’.

Bagi kami, tiada jalan lain selain daripada berjuang terus bagi mengembalikan UMNO ke tahap yang gemilang seperti suatu ketika dahulu………………….


Aspan Alias

No comments: