30 May 2014

Apa pasal senyap aje isu hudud sekarang ini

Isu hudud nampaknya sudah mula reda dan PAS pun sudah kurang bercakap tentang hudud kebelakangan ini. Mungkin kerana pilihanraya Teluk Intan yang menyebabkan PAS sudah kurang bercakap tentang hudud ini kerana kepentingan pilihanraya di kawasan majoriti Cina itu yang sudah pasti tidak mahu hudud dilaksanakan.

Ramai yang bersetuju dengan hudud ini menganggapkan yang PAS sudah sepatutnya memulakan penerangan tentang hudud yang selama ini menjadi perjuangan mereka. Tetapi apa yang jelas akhir-akhir ini nampaknya PAS sendiri tidak bercakap lagi tentang hudud itu. Malahan TGNA sendiri meminta supaya isu hudud  tidak disebut dalam PRK Teluk Intan sekarang ini.

Kita mesti ingat yang memulakan isu hudud ini adalah PAS dan tidak kurang yang menyokongnya, tetapi mereka yang menyokong sekarang sudah ada yang merasakan mereka telah terdorong untuk menyokong dan sudah terasa mereka akan kecewa kerana PAS sudah berehat untuk bercakap dan menyusun tata-cara bagi perlaksanaannya.

Rupa-rupanya perjuangan ada rehatnya. Ada masa perlu diperjuangkan dan ada pula masanya untuk tidak memperkatakannya. Isu ini begitu hangat dan telah berjalan jauh, malahan sepatutnya sekarang ini sudah ada rangka penerangan yang patut diketahui umum tetapi kita masih tertunggu-tunggu bila isu ini akan digiatkan semula.

Kalau isu GST mudah untuk diterangkan kenapa isu hudud ini susah sangat untuk diterangkan jika pihak yang ingin melaksanakan undang-undang Islam ini sudah memahami segala-galanya tentang hudud ini terutamanya dalam hal perlaksananaannya.

Apakah PAS sendiri sudah merasakan was-was tentang kejayaan usaha melaksanakan undang-undang Islam ini? Kita tidak mengatakan yang undang-undang ini perlu dilaksanakan secara tergesa-gesa tetapi eloklah diberitahu kami yang menyokongnya bagaimana cara dan bila dalam jangkaan PAS yang hukum ini akan terlaksana.

Setidak-tidak perancangannya wajar diberitahu rakyat sekarang ini agar dapat orang ramai memberikan pandangan tentang perlaksanaannya asalkan sahaja ia tidak keluar dari parameter hukum syariat agama ini.

Justeru  sekarang ini apa yang sangat perlu bagi PAS menjawabnya ialah samada parti itu benar-benar serius untuk perlaksanaannya atau hanya untuk meriuhkan keadaan rakyat yang masih ramai berbelah bagi tentang perlaksanaan hukum ini.

Isu ini jika terus senyap seperti hari ini maka kita tidak hairan jika PAS akan berhadapan dengan desakan rakyat untuk perlaksanaannya dan akhirnya ia akan menghilangkan banyak keyakinan orang ramai terhadap PAS.

Apa rakyat takuti PAS bercakap tentang isu ini sebelum mereka benar-benar bersedia untuk perlaksanaannya. Yang akan menghadapi masalah nanti bukannya pihak-pihak mana, tetapi yang akan menerima beban politiknya nanti ialah parti PAS itu sendiri.

Kita takut jika orang ramai akan menganggap PAS seperti 'menceduk masakan yang belum sempat masak' sahaja. Jika PAS gagal melakukan apa yang dijanji dan diperjuangkannya, maka ia akan dianggap kemenangan bagi mereka yang tidak selesa dengan hukum Islam ini.

Lain-lain perkataan PAS telah memulakan isu untuk menggagalkan parti mereka sendiri. Itu yang kita takutkan, bukannya semata-mata untuk mencari salah terhadap parti itu.

Elok PAS membuat penegasan, jika hendak laksanakan hudud ini, buat lah dengan serius, jika tidak batalkan sahaja rancangan perlaksanaannya. 

Janganlah ada masa tidak boleh bercakap tentangnya dan ada masa boleh disebut pula. Kalau benar-benar serius, apa yang hendak ditakutkan ada pihak yang tidak bersetuju dengannya. 

Ini bukannya isu politik, tetapi isu agama, kerana kita mempunyai agama yang sarat dengan perlembagaan agamanya dan undang-undang Tuhan. Jika ia menjejaskan perlembagaan negara, PAS patut memberikan penyelesaian untuk mencari 'point of reconciliation' diantara perlembagaan sekarang dengan undang-undang hudud yang mereka berjanji untuk melaksanakannya.

6 comments:

Kalam Putih said...

Sebelum ini PAS sudah kurang bercakap tentang negara Islam, kini hudud, lepas ini entah apa pulak.... Apa yg boleh diperhatikan satu persatu prinsip perjuangan PAS telah tergadai menyebabkan ramai umat Islam semakin hilang keyakinan terhadap perjuangan PAS. PAS mesti segera sedar dengan perkara ini..

Anonymous said...

Saya tidak nampak PAS sudah berhenti berkenaan hudud. Bbrp seminar telahpun di adakan dan terbaru di kelantan. Jawatankuasa teknikal telah pun ditubuhkan dan diberi mandat utk perbetul/perbaiki mana yg perlu. Biarlah mrk melakukan kerja mereka dan kita tengok sejauh mana outputnye. Bagi pihak yg sering melaungkan freedom of religion, mengapa apabila umat islam ingin melaksanakan tunntutan agamanya ssering dinafikan.....

looes74 said...

Aspan,
Your good friend from NS has spoken

http://www.themalaysianinsider.com/opinion/zan-azlee/article/if-a-pig-drank-from-a-river

Hisham Rais from Jelebu

Anonymous said...

Orang macam Aspan patut berhati-hati takut nanti terdorong mempertikaikan pelaksanaan hudud.Bila hajat atau niat telah diberikan maka kini masa membuat kerja. Takkan semua nak lapor pada orang macam Aspan. Bersihkan hati, tuluskan tekad untuk benar-benar bersama mereka yang inginkan pelaksanaan hukum hudud ini.Insya Allah Allah bersama kita.

Aspan Alias said...

Anon 22:50,

Alhamdulillah lah jika benar serius dalam usaha perlaksanaan hudud itu.

Jangan berundur lagi...laksanakan betul betul.

Hanya saya takut ia terjadi seperti banyak janji-janji partilain, tetapi tidak jujur untuk melaksanakannya.

Itu sahaja...

Mat Manan said...

Lebai PAS mesti punya lah dop pertegak benang basah ,PAS ni mcm2..idea nk kaperkan org pun dia,nak buat hudud x jadi,kronikan sumber balak pun dia..pastu ramai yg suka menjual hadis nak membenarkan hujah yang lemah..Akhirnya PAS akur bhwa cara politik org kaper tu juga cara mereka..betul lah kata pak Aspan,deme ni berjuang ada rehat..kah kah kah..