Dalam taklimat tertutup dengan
perwakilan UMNO semalam. Presiden parti itu telah menyebut untuk memberikan
peluang yang lebih mudah bagi gulungan professional untuk menjadi ahli dengan
membuat permohonan menjadi ahli. Sekarang permohonan menjadi ahli secara
on-line supaya lebih ramai gulungan itu menjadi ahli dan seterusnya
memperkuatkan parti untuk menghadapi rakyat dalam pilihanraya nanti.
Bagi pimpinan UMNO ini beliau
memberikan sebab yang salah satu dari kelemahan parti ialah kerana kepayahan
untuk menyertai UMNO selama ini. Ini
adalah cara untuk menjayakan usaha meremajakan parti dan isu ini merupakan isu
yang lama. Elok kita bahaskan isu ini dengan terbuka dengan penuh kejujuran dan
berpijak di bumi yang nyata.
Adakah dengan penyertaan gulungan
professional ini mampu untuk memberikan lonjakan sokongan kepada parti ini
setelah begitu teruk sejak dua penggal pilihanraya yang lalu. UMNO merupakan
parti yang terbesar tetapi sejak sepuluh tahun dahulu parti ini telah merosot
sokongan ramai terhadapnya. Jumlah ahli yang besar tidak memberikan apa-apa
faedah kerana ia boleh menjejaskan dan mengelirukan parti itu sendiri.
UMNO telah keliru selama ini dan
menyangkakan yang parti itu kuat kerana jumlah ahlinya yang begitu besar. UMNO
ibarat tubuh yang besar tetapi terlalu banyak penyakit yang dihidapinya dan sampai
kini masih tidak dapat disembuhkan.
Sejak tiga empat hari ini, banyak
publisiti telah dibuat bagi membuat laporan tentang agenda perhimpunan agung
kali ini yang penuh dengan perancangan dan agenda besar bagi memperkasakan
parti dan kali ini tag-line nya ialah untuk meremajakan UMNO. Beginilah
situasinya setiap tahun sehari dua sebelum perhimpunan agung itu tetapi keadaan
tetap sama dan tidak ada perubahan dan jika ada perubahan pun ia adalah perubahan
yang lebih teruk dari tahun-tahun sebelumnya.
Meremajakan parti tidak boleh
membawa apa-apa kebaikan jika parti itu sudah dipandang remeh oleh rakyat ramai
lebih-lebih lagi sekarang ini. Masalahnya ialah UMNO sudah tidak diyakini oleh
rakyat yang ramai malahan ia juga tidak diyakini oleh sebahagian dari jumlah 3.5
juta ahli itu. Malahan dalam pilihanraya dahulu ramai ahli-ahli UMNO tidak
memberikan sokongan kepada UMNO itu sendiri.
Tidak guna mempunyai ahli yang
ramai dan mempunyai gulungan professional di dalamnya jika parti itu sudah
tidak diyakini ramai. Seperti yang blog ini sebut UMNO sedang menghadapi krisis
keyakinan yang sangat teruk dan apa sahaja yang dibuat oleh UMNO tidak lagi di
hiraukan oleh orang ramai.
UMNO itu tidak diyakini kerana manusia
pemimpin yang menerajui parti itu. Jika pimpinan yang sama cuba membawa
perubahan tidak ada yang percaya ia akan berjaya seperti yang berlaku sebelum
dan tahun-tahun yang lampau. Tidak masalah bagi parti UMNO itu, tetapi yang
bermasalah ialah mereka yang memimpinnya dan sekali gus ia menjejaskan sokongan
ramai terhadapnya.
Saya secara terbuka acapkali
menyebut, jika parti terbesar ini masih dipimpin oleh yang ada pada hari ini
ia akan gugur bersama pemimpinnya. Dan secara jujurnya apakah masalah yang
sebenarnya dalam UMNO ini? Jawapannya ialah rakyat tidak mahu UMNO kerana rekod
integriti kepimpinan sudah terjejas dan jika pemimpin yang sama membuat laungan
untuk mentransformasikan parti, tidak siapa yang akan percaya dan meyakininya.
Orang biasa yang ramai-ramai ini
tidak dapat digula-gulakan lagi kerana inilah janji-janji pemimpin kita setiap
kali perhimpunan UMNO diadakan. Sekarang ini pemimpin-pemimpin yang sama sedang
berjanji lagi dan adakah salah jika rakyat tidak mempercayainya lagi. Selama ini
UMNO telah berjaya besar dalam menggula-gulakan rakyat tetapi kali ini rakyat
tidak mahu lagi percaya dengan apa-apa tindakan pimpinan UMNO, kerana kepada
mereka hasilnya adalah ‘predictable’, iaitu walhasil balik asal ‘and business
as usual’.
Seperti yang blog ini selalu
tekankan kekuatan UMNO bukan boleh dipulihkan dengan kemasukan bilang
professional atau menambah ahli yang ramai, tetapi ialah keyakinan rakyat
terhadap parti itu.
Banyak parti-parti yang berjaya
di negara-negara maju tidak mempunyai ahli yang ramai tetapi ahli-ahlinya
walaupun sedikit tetapi mereka adalah dari gulungan yang ‘talented’ untuk
memperkayakan perjuangan parti itu. Itulah cara mereka meremajakan parti
pimpinan mereka dan memerintah negara dengan aman dan damai.
Bawalah seramai mana ahli-ahli
professional ke dalam UMNO selagi imej dan persepsi rasuah masih melekat dengan
kuatnya kepada parti itu selagi itulah parti itu akan mengalami kemerosotan
sokongan ramai. Selagi UMNO dipersepsikan sebagai parti yang dipimpin oleh
mereka yang fakir jiwa, parti itu akan terus merosot sokongannya dari rakyat
ramai.
UMNO sepatutnya menumpukan tenaga
dan usaha untuk memulihkan penyakit dan bukannya untuk menghilangkan sakit.
Memakan ubat tahan sakit sahaja tidak akan menghilangkan penyakit parti itu.
Mengubati penyakit dengan menghilangkan sakit adalah dua perkara yang
berlainan.
Sesungguhnya penyakit UMNO itu
adalah dibatang tubuh dan daya pemikiran pimpinan dan barisannya di majlis
tertinggi parti itu. Rakyat biasa memandang barisan pimpinan UMNO itu dengan
pandangan yang rendah. Penyakit dalam UMNO itu merupakan penyakit yang mudah
merebak. Walaupun ada pemimpin-pemimpin yang muda berada di dalam barisan
pimpinan tertinggi parti itu, mereka ini juga tidak lagi efektif kerana
termakan dan terpengaruh dengan budaya dan nilai kepimpinan yang lain dalam
parti itu.
Kehadiran seorang dua yang muda
dan berpendidikan yang tinggi dalam parti itu tidak dapat mengubah parti itu
kerana parti itu dan pimpinan tertinggi parti itu tidak mempunyai roh perjuangan
dan kepimpinan yang kuat dan betul. Mereka dalam pimpinan tertinggi merupakan
barisan pimpinan yang keliru dan tidak memandang ke dalam untuk bertanya
bagaimana mereka boleh berada ditempat yang mereka tidak sepatutnya berada.
Percayalah selagi perubahan dan
tindakan untuk berubah itu masih diusahakan oleh mereka yang merosakkan parti
ini, selagi itulah segala apa yang dilaungkan dalam perhimpuna besok lusa ini
akan gagal dan ‘business will be as usual’.
Kenapa lah pimpinan tertinggi parti tidak berhenti mengingati kita yang jika UMNO kalah kali ini, Melayu dan Islam akan hanyut. Kenapa mereka tidak berkata, 'kami akan mengundurkan diri agar Melayu dan Islam tidak hanyut dan dibangsatkan' di masa-masa akan datang?
2 comments:
Pak Aspan
No one dares to tell the emperor that he is stark naked!
Pak AA, betul tu, Umno tak akan berubah. Parti itu mempunyai pemimpin yg bebal...kan?
Post a Comment