24 December 2006

17. Melayu Dalam Pencarian

Saya pernah menulis tentang pemikiran orang melayu yang sudah berubah sejak akhir- akhir ini. Mereka sudah mula tercari-cari alternatif kepada UMNO yang mereka rasakan sudah tidak peduli tentang menifestasi mereka yang inginkan pemerintah yang telus dan jauh daripada perkara mungkar. Malah seorang teman pernah berkata “UMNO dan Rasuah itu ibarat aur dengan tebing, saling memerlukan antara satu sama lain.” Tanpa UMNO rasuah susah hendak berkembang, dan tanpa rasuah UMNO susah hendak kekal memerintah.

PAS merupakan alternatif yang paling hampir kepada mereka. Malahan di kalangan wargakota, PAS mendapat tempat yang selesa di sanubari mereka. Mereka tahu bahawa PAS kecundang dalam banyak pilihanraya kerana peranan media perdana yang telah memburuk-burukan imej PAS pada pandangan mata orang ramai, sedangkan PAS adalah parti halal yang dibenarkan mentadbir kerajaan persekutuan sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

Sebagai ahli UMNO saya terasa juga cemasnya, tetapi saya nampak pucuk pimpinan tidak menampakkan perasaan cemas mereka maka saya pun berdiam diri. Sebenarnya PAS sudah banyak berubah daripada parti ‘orthodox’ kepada parti yang boleh membawa selera rakyat khususnya kaum melayu. Kalau dahulu parti ini sentiasa membawa imej pembangkang, tetapi sekarang parti ini sudah mula membawa imej alternatif. PAS sedar, selagi mereka membawa imej pembangkang, selagi itulah mereka akan menjadi pembangkang hingga akhir zaman. Sekarang dengan penyertaan ramai cendiakawan melayu, maka PAS sudah mula menampakkan imej alternatif kepada UMNO dewasa kini. Mereka sekarang sudah bersedia menampilkan muka-muka yang berkemampuan dan boleh mentadbir negara dengan baik.

Mereka sedar keadaan pada hari ini sangat subur untuk PAS mendapatkan sokongan pengundi dan kita perlu akui bahawa mereka boleh memerintah jika ada sokongan. Kita dalam UMNO tidak boleh memomokkan lagi PAS pada hari ini kerana masalah dalaman yang dihadapi UMNO sendiri. Rakyat susah hendak percaya jika pemimpin kita dalam UMNO memainkan isu-isu keburukan PAS kerana yang akan bercakap bagi pihak kita adalah dari mereka yang sudah hilang ‘credibility’.

Orang melayu selama ini tidak mahu menghampiri PAS kerana ‘disposition’ PAS yang tidak secucuk dengan orang melayu. Contohnya saya dan ramai yang lain tidak mahu bersama-sama PAS kerana saya tidak mahukan orang-orang Melayu hilang identiti mereka dengan memakai jubah. Orang melayu dijadikan tuhan dengan identitinya sendiri. Saya tidak mahu melihat identiti Arab di sini. Sudah elok dan molek tuhan jadikan kita sebagai orang melayu; kenapa perlu kita tunjuk imej orang Arab?

Kita dijadikan tuhan berbeza-beza dan bersuku-suku untuk kita mengenali dan menghormati antara satu sama lain. Bukannya hilang akidah kita dengan menjaga keperibadian unggul orang-orang Melayu. Tuhan bukan tengok dari pakaian kita, tuhan tengok dari iman, amalan dan ubudiah kita. Kita diminta berzikir dan bertawajjuh kepada-Nya bukan untuk tempelan-tempelan semata-mata. Fardhu ain merupakan perkara wajib untuk kita dilihat sebagai muslim, tetapi yang lebih penting ialah fardhu kifayah kerana itulah yang akan membawa kita ke syurga. Jubah tidak mampu membawa kita ke syurga, kerana jubah juga merupakan pakain Abu Jahal, kerana Abu Jahal itu adalah orang Arab.

Tetapi pada hari ini PAS sudah mula berubah. Pemimpin-pemimpin muda sudah mula menyertai parti itu dan kecenderungan orang-orang terpelajar untuk menyertai parti itu begitu ketara. Antara nama yang saya minati di dalam PAS ialah seperti Husam Musa, Dr Hatta, Dr Hasan Ali, Dr Rosli Yaacob, Mahfudz Omar dan Nasharuddin Mat Isa. Imej mereka sudah menampakkan kepimpinan. Mereka sudah berpakaian kemas dan mudah untuk berinteraksi. Walaupun saya ahli UMNO tetapi saya memberikan tabik hormat kepada pimpinan baru PAS pada hari ini. Zaman pemimpin PAS yang berpakaian kasut koyak dan berbau badan sudah menjadi sejarah. Sebaliknya, kita ahli UMNO yang sudah mula berpakaian yang tidak kemas kerana sudah kurang mendapat projek, kerana projek-projek adalah untuk segelintir pemimpin sahaja.

Jika UMNO masih belum bersedia untuk berubah, maka peluang untuk kita menjadi parti pembangkang terbuka luas. Kalau perlu diturunkan pemimpin yang merosakkan parti maka kita turunkan mereka. Rakyat sudah lama bersabar dan apabila sampai ke tahap yang tidak memungkinkan mereka bersabar lagi, UMNO akan mendapat hukuman daripada rakyat.


WASSALAM.

2 comments:

Hydrocodone said...

vO0Qy0 The best blog you have!

JohnBraun said...

hRwLNO write more, thanks.