26 December 2006

18. Demokrasi dan semangatnya

Kita telah memilih demokrasi sebagai cara memerintah negara dan sistem ini digunapakai oleh banyak negara-negara maju terutamanya di barat. Prinsip asas kepada demokrasi ialah kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan untuk rakyat. Dengan kata lain, setiap rakyat berhak memilih siapa dan parti apa untuk memerintah mereka melalui proses pilihanraya. Siapa yang mendapat sokongan majoriti dialah yang menjadi pemerintah selama mana yang diperuntukkan oleh perlembagaan sesuatu negara itu. Pendeknya ‘majority rules’.

Di dalam sesebuah negara demokrasi, rakyat dibenar dan digalakkan untuk bebas bersuara serta memberi pendapat secara terbuka. Demokrasi membenarkan rakyat berpersatuan untuk memperjuangkan kehendak dan kemahuan ahli-ahli. Selain dari itu, rakyat bebas untuk mengamalkan agama masing-masing serta dilayan sama rata dan saksama. Yang dipilih pula menghormati kumpulan minority.

Itu merupakan demokrasi yang tulen, ala Westminster Abby. Walau bagaimnpun sistem demokrasi tidak semuanya mengikut ala Westminster Abby di England, kerana banyak negara mempunyai latarbelakang politik yang berbeza dan tidak memungkinkan cara demokrasi di barat itu boleh menjaga kesetabilan negara dan rakyatnya. Banyak negara terutamanya di timur jauh demokrasinya dipimpin bagi memudahkan proses pembinaan demokrasi ketahap yang lebih ideal dapat dilaksanakan secara beransur-ansur.

Tetapi yang lebih penting dalam demokrasi ini ialah memperkayakan semangat demokrasi itu. Semangat ini perlu dipupuk oleh pemimpin yang telah dipilih melalui peti undi tadi. Yang mendapat undi majoriti tidak semesti yang terbaik. Banyak pemimpin pemimpin negara demokrasi, walaupun telah dipilih, menghadapi situasi yang tertekan setelah memerintah kerana kegagalan memenuhi harapan rakyat yang memberi undi di dalam pilihanraya umum. Rakyat yang diberi hak bersuara tadi kadangkala mengadakan demonstrasi jalanan bagi menuntut pemimpin yang mereka pilih dahulu supaya meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada pilihanraya yang baru diadakan.

Di sinilah semangat demokrasi jika ditadbir dan diterbiahkan secara baik boleh menyelamatkan keadaan. Ianya banyak bergantung kepada tahap moral seseorang pemimpin itu tadi. Bagi seseorang pemimpin yang mempunyai moral dan akhlak yang tinggi, dia tidak akan berasa terkilan untuk berundur semata-mata untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara tadi. Mereka tidak akan mendabik dada mengatakan kepada umum yang dia bukannya Presiden atau Perdana Menteri satu penggal atau perkataan-perkataan yang serupa itu. Pemimpin itu patut tahu yang bukannya dia yang menentukan samada dia akan menjadi Perdana Menteri satu penggal atau dua tiga penggal. Itu adalah hak rakyat untuk menentukannya. Dengan kata-kata itu, maka dengan mudah sahaja rakyat ‘menyelami air di dalam tunggak’ dan faham betapa jeleknya pemimpin yang mengaku mentadbir negara yang demokrasi.

Datuk Husein Onn adalah pemimpin demokrasi yang boleh dijadikan contoh yang paling baik. Semangat demokrasi beliau adalah tulen. Semasa beliau mengambil alih kepimpinan negara beliau mewarisi masalah berhubung dengan isu Dato Harun Idris, ketua pemuda UMNO ketika itu. Sedikit sebanyak beliau tahu yang ada segelintir rakyat dan ahli UMNO tidak bersetuju dengan beliau walaupun beliau mendapat sokongan padu dari Majlis Tertinggi dan Badan-Badan perhubungan UMNO. Beliau dapat merasakan yang perasaan itu wujud di bawah dan sebahagian kecil rakyat jelata. Beliau mengakui yang Dato Harun Idris juga mempunyai penyokong yang besar.

Kalau hendak dikirakan kekuatan Datuk Husein tiada siapa yang boleh menyangkalnya. Maklum sajalah beliau Perdana Menteri. Kuasa yang ada di tangan beliau bukan kepalang besarnya. Kumpulan yang tidak puas hati tadi telah mencalonkan Tuan Haji Sulaiman Palestin, ketua penerangan UMNO untuk mencabar beliau sebagai presiden parti, sebagai tanda protes pada pemilihan parti pada tahun 1978. Tuan Haji Sulaiman hanya mampu meraih hanya 125 undi yang kebanyakkan datang dari perwakilan Selangor dan selebihnya memberi sokongan kepada Datuk Husein Onn.

Walaupun beliau mendapat begitu besar sokongan, beliau merasakan yang beliau perlu hormat kepada pihak minoriti tadi. Beliau tahu ada tanda-tanda sebahagian rakyat tidak menyokong beliau. Di atas semangat cintakan Parti, rakyat dan negara beliau telah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden yang disandang beliau pada pemilihan pada tahun 1981 dan memberikan jawatan beliau kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad. Beliau meletakkan jawatan dengan diiringi tangisan rakyat dan ahli UMNO sendiri. Walaupun banyak bahagian UMNO yang menghantar memorandum meminta beliau meneruskan memimpin kita beliau tetap dan bertegas untuk bersara. Seluruh rakyat amat merasakan kehilangan beliau ketika itu. Seluruh rakyat mendoakan kesejahteraan beliau.

Itulah satu insiden yang masih jelas dalam ingatan saya sebagai perwakilan dari bahagian Kuala Pilah waktu itu. Sifat ‘Gentleman’ beliau begitu tinggi dan inilah contoh yang patut diteladani oleh pemimpin pada hari ini. Beliau bersara dan menjalani hidup secara simple selepas itu, sehingga akhir hayat beliau, tanpa kapalterbang jet tanpa kapal-kapal mewah di mana-mana lautan.

Semoga roh beliau diletakkan sebaris dengan roh-roh yang mukmin serta aulia- aulia allah. Amin, Yarabbal aalamin.

WASSALAM.

2 comments:

Hydrocodone said...

77FxVu The best blog you have!

JohnBraun said...

kS3hX3 write more, thanks.