26 March 2008

Najib membisu

Najib Razak menyepi seribu bahasa seolah-olah beliau sudah tiada lagi dalam politik tanahair.

Negara sedang dilanda krisis demi krisis tetapi tiada berita baik daripada beliau yang boleh menjadi penawar kepada rakyat khususnya ahli-ahli UMNO yang sedang menderita hasil kekalahan teruk pada pilihanraya yang baru selesai ini.

Najib sudah kembali menunjukkan sifat tidak bertanggungjawab beliau yang begitu terkenal dengan sifat pengecut dan bacul apabila berada di dalam sesuatu krisis.

Yang kedengaran hanya cakap-cakap yang tidak boleh dipakai daripada pemimpin ‘capcai’ di dalam UMNO seperti Mat Taib, Noh Omar, Tengku Adnan dan beberapa yang lain yang mana rakyat tidak hormat dan ambil pusing dengan kata-kata mereka.

Seorang lagi pemimpin yang sudah mula bercakap ialah Ahmad Zahid Hamidi yang tidak memberi apa-apa ‘consequence’ dengan memberi alasan lapuk kenapa pemilihan parti perlu ditangguhkan ke tahun hadapan.

Rakyat, khususnya orang melayu sedang dahagakan berita yang boleh menjadi ubat bagi penyelesaian kepada perasaan tidak menentu sekarang ini.

Pucuk pimpinan kita seperti Pak Lah dan Najib sudah nyata hilang punca dan tidak mampu untuk bertindak secara bijak setelah begitu lama duduk di atas singgahsana kepimpinan kita.

Saya sendiri selalu bersuara sejak beberapa tahun dahulu sehinggalah sekarang menzahirkan perasaan curiga saya tentang kemampuan mereka menerajui negara ini.

Mereka berdua ini sebenarnya bukanlah ‘material’ perdana menteri kerana pada asasnya mereka tidak mempunyai ‘attributes’ seorang pemimpin besar.

Mereka naik semata-mata budaya dan sistem pemilihan UMNO yang diubah sejak 1988 dahulu, di mana seseorang yang hendak menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi parti perlu mendapat pencalonan sebanyak 30%.

Akhirnya sistem ini menjadikan UMNO sebagai tempat paling enak bagi pemimpin-pemimpin yang lemah, rasuah dan yang menggunakan kuasa seluas-luasnya untuk kepentingan peribadi.

Malahan sistem dan budaya inilah yang menjadi penyumbang terbesar kepada kekalahan BN baru-baru ini kerana UMNO sudah menjadi lemah.

Pemimpin-pemimpin berbakat terhumban keluar daripada UMNO.

Akhirnya yang tinggal hanyalah sampah-sarap dari yang besar-besar hinggalah ke peringkat bawah yang tidak berguna kepada bangsa dan agamanya.

Mereka inilah yang UMNO tonjolkan kepada rakyat dalam pilihanraya baru-baru ini dengan janji-janji manis yang tidak pernah dikotakan.

Maka, rakyat menolak calon-calon BN termasuklah di kalangan ahli-ahli UMNO itu sendiri.

Penawaran Tengku Razaleigh untuk menerajui UMNO amat memberangsangkan ramai ahli UMNO dan rakyat jelata secara amnya.

Setidak-tidaknya ada juga seorang yang berani ke hadapan untuk membantu keresahan rakyat jelata yang merasakan kekosongan yang begitu ketara di peringkat pucuk pimpinan negara.

Beliau merupakan seorang ahli siasah yang berpengalaman dan seorang teknokrat yang telah meletakkan asas ekonomi negara yang teguh semasa beliau menjadi orang penting di dalam kerajaan dahulu.

Tuhan memanjangkan usia beliau, mungkin untuk dijadikan ‘medium’ Nya bagi menyelamatkan bangsa melayu yang keramat ini.

Semoga Tengku Razaleigh diberi kekuatan untuk mengharungi ranjau-ranjau sepanjang jalan beliau untuk menyelamatkan bangsa kita.

Sekian…………………………………………………………… Aspan Alias

2 comments:

shahbandarmalakat said...

Akum ,Pan.
sekali sekala layarlah

http://siraltalmustaqim.blogspot.com/
by shahbandarmalakat

teja said...

Salaam Saudara Aspan,

Saya sebagai org Melayu merasa was was utk menyokong Ku Li sebagai PM kerana latarbelakang beliau yg mempunyai isteri berbangsa Cina serta semangat Malaysian Malaysianya, tidak termasuk latarbelakang keluarga beliau yg lebih kebaratan. Beliau baru2 ini juga telah membuat pengumuman utk membuka UMNO utk bukan Melayu. Maaf saya katakan pemimpin begini saya masih tidak nampak perjuangannya utk org2 Melayu demi menjaga hak2 Ketuanan Melayu.

Wasalaam.