09 September 2010

Hari ini hari bantai (mantai), besuk Hari Raya.

Esok adalah Hari Raya Aidilfitri, dan hari ini dinamakan hari bantai. Hari bantai itu adalah hari yang terakhir berpuasa dan hari umat Islam membeli lauk pauk untuk menyambut Hari Raya yang menjelang.

Dikampong-kampong hari bantai ini adalah hari yang sangat menghiburkan dalam mana penduduk setempat melakukan penyembelihan kerbau dan lembu untuk bekalan kepada orang-orang setempat bagi memasak sop (rebusan)dan rendang, dan suri-suri rumah membakar lemang serta memasak ketupat.

Rendang daging dan ayam juga merupakan masakan yang lazim dimasak oleh suri-suri rumah dan ibu-ibu kita bagi merayakan Hari Raya yang mulia ini. Sudah menjadi tradisi yang anak-anak yang berkerja dibandar-bandar balik kekapong untuk merayakan Hari mulia ini dengan ibu bapa dan sanak saudara yang terdekat.

Hari bantai ini juga merupakan hari yang paling sibuk dijalan dan lebuh raya. Warga kota balik kekampong halaman dengan membawa kuih muih serta barang-barang keperluan untuk ibu bapa dikampung.

Dibandar pula mulai lengang, hanya sebahagian kecil warga kota yang tidak balik kekampong seperti saya kerana ketiadaan lagi ibu bapa untuk untuk merayakannya bersama.

Ini merupakan tahun kedua saya dan anak-anak tidak pulang kekampong sejak kembalinya ibu yang amat saya sayangi menghadap tuhan yang Maha Esa. Sudah dua tahun saya merayakan hari raya hanya berama anak-anak diSubang Jaya sendirian.

Sejak dua tahun ini juga saya adik beradik tidak lagi mendengar ibu yang selalunya sibuk mengatur segala-galanya untuk kami, baik dari atur-cara lawatan diHari Raya serta makan minum kami.

Selalunya kami adik-beradik dengan anak-anak isteri masing-masing akan berkumpul dirumah ibu kami didalam hiruk pikuk anak-anak masing-masing dan saya masih tidak dapat melupakan bagaimana ibu saya melayan dan bergurau dengan cuc-cucunya yang melebihi 30 orang serta cict-cicitnya yang seramai 3 orang itu.

Tiada lagi ibu yang mengasing-asingkan lauk pauk untuk kami adik beradik untuk dibawa pulang kerumah masing-masing sesudah dua tiga Hari Raya berlalu. Bagi diri saya semenjak ketiadaan ibu saya Hari Raya tidak memberi apa-apa kepada saya.

Sebagai anak yang sulung saya tidak dapat melupakan zaman-zaman kami membesar didalam tanggungan ibu seorang. Dialah ibu dan dialah bapa yang membesarkan kami tanpa mengenal siang dan malam sejak kematian bapa saya awal tahun 1966 dahulu.

Ibu saya bukanlah calang-calang ibu yang telah membesarkan kami dengan penuh kesabaran melalui dan merintasi halangan kemiskinan sejak kematian bapa yang yang masih muda semasa itu.

Hujan tidak menghalang, panas ditidak menghambat ibu untuk bekerja mencari rezki disawah dan diladang peninggalan datuk saya semata-mata untuk mempastikan kami adik beradik mendapat pelajaran sebagai bekal hidup untuk kami.

Setiap tahun dihari bantai inilah hari dalam mana ibu saya sibuk mengaturkan segala-galanya untuk anak-anak dan cucunya. Dihari ini jugalah ibu saya membakar lemang sambil dibantu oleh adik perempuan dan adik-adik saya yang lain.

Sejak tiadanya ibu saya dan sebagi abang yang tua kepada adik-adik, sedikit sebanyak saya sudah merasakan bagaimana rasa kasih dan sayang kepada adik-adik serta anak-anak saudara saya yang begitu ramai.

Tetapi saya tidak mampu melakukan seperti apa yang dilakukan oleh almarhum ibu bagi menzahirkan rasa kasih sayang itu. Itulah sebabnya saya sentiasa mengingati ibu kami yang amat kami kasihi itu lebih-lebih lagi dihari seperti hari ini.

Tetapi sekarang, saya hanya menumpang gembira melihat rakan-rakan dan teman-teman yang masih bergembira beraya dan meraikan hari lebaran bersama ibu bapa kesayangan mereka. Bagi saya semua itu sudah berlalu.

Ibu saya pernah menasihati anak-anak saya; “kalau kau masih beribu dan berbapa ingatlah kepada mereka sentiasa seperti ibu bapa kau meningati uwan ini. Jangan lalai dan jangan hidup untuk melepasi pucuk masing-masing!”

Apabila sudah tidak beribu lagi, barulah saya menyedari yang selama ibu masih hidup, rupa-rupanya saya tidak ubah seperti anak kecil walaupun kami sudah berjanggut dan bermisai.

Patut pun ibu saya pernah mengatakan kepada saya, “Walaupun rambut kau sudah beruban, gigi kau sudah tanggal dan kau sudah beranak dan bercucu, emak pandang kau masih seperti anak-anak kecil. Kau akan merasakan apa yang emak rasakan.”

Sekarang itulah sebenarnya yang saya sedang rasakan. Saya hanya mampu berdoa agar roh ibu da bapa ditempatkan dibarisan roh orang-orang yang terampun dan beriman. Kalaulah ibu masih ada, tentunya tidak ada perasaan yang saya alami sekarang ini.

4 comments:

Anonymous said...

Kok abang nak boli daging, boli kek Tanjung bang. Bulih kito boburak!

anak talang

Quiet Despair said...

Selamat hari Raya bro Aspan dsn semua rakan komentar.
Maaf zahir dan batin.

mahaza said...

Salam Aidil Fitri Pak Aspan. Entry yang menarik.

Red Alfa said...

Selamat Hari Raya Saudara Aspan dan sekeluarga