15 October 2013

Selamat Hari Raya korban Dato Seri, mulakan ibadah korban untuk negara

UMNO tidak berdaya lagi untuk melakukan perubahan walaupun itulah tajuk dan permainan lidah pucuk pimpinannya. UMNO tidak lagi segemilang dahulu. UMNO sudah menjadi beban kepada BN yang amat berat.

Jika mahu menyelamatkan BN maka BN sendiri wajar melakukan tugas penting dan jika di sebut sebagai BN maka pemimpin dan parti-parti komponennya dari Malaysia Timur perlu memikul tanggungjawab ini untuk mencari pemimpin persekutuan untuk memastikan kerajaan dapat diperbaiki bagi menyelamatkan negara dari kehancuran.

Masalahnya lebih sulit lagi kerana tiada siapa dikalangan hiraeki parti UMNO dan mereka yang sedang berada di dalam kerajaan mempunyai kemampuan untuk merubah keadaan. Jika BN tidak bersama menguatkan usaha untuk menyelamatkan kerajaan yang dipimpinnya maka kita amat khuatir negara kita akan menjadi sebuah negara setaraf negara Afrika seperti Zimbabwe, Mali dan Congo.

Tugas yang paling penting yang perlu dilakukan oleh pimpinan parti-parti dalam BN ialah untuk mencari seorang yang berpengalaman untuk menukar imej BN kepada tahap yang munasabah untuk terus memerintah negara ini. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan membiarkan negara di ambang kehancuran hasil dari permainan politik peribadi yang dilakonkan oleh pemimpin kerajaan sekarang dan juga oleh mereka yang sudah bersara.

Semua pimpinan BN wajar bertanggungjawab terhadap negara, lebih-lebih lagi dalam negara sedang menghadapi krisis ekonomi global yang tidak mungkin boleh di halang mempengaruhi keadaan negara kita. Ingat, kita sudah masuk ketahun ke18 menghadapi belanjawan ‘deficit’ dan kali ini jelas pimpinan kerajaan hari ini terpaksa membebankan rakyat untuk menyelesaikan masalah itu sekarang ini.

Dalam keadaan hari ini, kita wajar ditadbir dan dipimpin oleh seorang yang berpengalaman dan telah menunjukan jasa besar kepada negara dan seorang teknokrat yang terbukti keupayaannya. Kita juga mesti mengakui yang negara ini tidak boleh mengikut kehendak UMNO semata-mata. Semua komponen BN telah begitu sabar mengikut karenah dan kemahuan UMNO sehinggakan ada parti seperti MCA dan yang lain yang terjejas prestasi mereka semata-mata kerana mengikut rentak dan lagu UMNO yang tidak lagi secocok dengan keadaan zaman dan waktunya.

Politik negara ini bukan sahaja permainan parti-pati di Semenanjung semata-mata kerana kekuatan BN sebenarnya adalah dari Malaysia Timur. Pimpinan di Malaysia Timur tidak boleh berpeluk tubuh kerana mereka juga menerima tekanan dari rakyat di sana hasil dari kelemahan pimpinan Najib dan rakan-rakannya di Semenanjung.

Najib perlu ingat yang beliau adalah pemimpin bagi seluruh negara dan bukannya pemimpin UMNO yang hanya berkuat di Semenanjung selain dari Sabah. Pimpinan UMNO dan ‘Law Makers’ BN mempunyai tanggungjawab moral dan politik untuk membetulkan keadaan ini dalam kadar yang segera. Kita terpaksa akui yang negara kita sudah tidak terurus lagi dan kita juga mesti menghayati hakikat yang ditadbir Najib ini adalah negara bukannya mentadbir daerah Pekan di Pahang atau persatuan bola sepak atau takraw negara.

Saya selalu bercakap yang kali ini Najib dan sesiapa yang mempunyai tanggungjawab untuk perubahan itu, melakukan yang ‘unorthodox’ semata-mata untuk menyelamatkan negara dari keadaan kegelapan. Jika kita selalu bercakap tentang nasib masa depan generasi kita, tetapi nampaknya kali ini kita terpaksa menumpukan kepada generasi kita sekarang ini.

Rakyat dalam kegelisahan yang teramat sangat dan mereka tidak dapat memberikan sebab yang spesifik dan saintifik kerana kita berada dalam kemurungan dalam semua hal yang melibatkan politik dan rakyat negara ini. Najib tidak boleh membiarkan negara dan rakyat negara ini menjadi bahan ketawa pemimpin dan masyarakat antarabangsa. Negara juga mempunyai masyarakatnya.

Jika masyarakat bagi negara kita tidak menghormati kita lagi, ia akan mempengaruhi kredibiliti negara dalam semua aspek termasuk ekonomi dan kesejahteraan rakyat akan terjejas.

Kenyataan yang harus kita akui yang imej se sebuah negara itu selari dengan manusia yang memimpinnya. Apabila seseorang pemimpin itu tercalar imejnya maka ia akan menjejaskan negara dengan teruknya. Apa dan siapa pun yang berkata ia adalah hakikat dan tidak siapa yang mampu menafikannya.

Jika seorang pemimpin yang sudah tidak lagi mampu memberikan pentadbiran yang baik ia masih boleh mendapatkan penghormatan dari rakyat terutamanya setelah ia bersara dan tidak lagi bergiat dalam politik negara. Ia boleh dilakukan dengan menunjukkan sayangnya kepada negara dengan mencari kepimpinan yang baru bagi menyelesaikan masalah yang dia tidak mampu menyelesaikannya.

Jika ia bertindak dan membantu rakyat untuk mendapatkan kepimpinan baru yang mampu membawa negara kepada situasi dan keadaan baru. Ini akan menjadi kenangan rakyat buat selamanya. Rakyat serta ahli-ahli sejarah akan menulis tentang jasa Najib sebagai penyelamat negara.

Beliau akan di ingati sebagai pemimpin yang bertanggungjawab kepada rakyat dengan memberikan pengorbanan menyelamatkan negara dengan menyerahkan kepimpinan kepada orang yang boleh melakukan pembaharuan terhadap negara. Mulakanlah pengorbanan itu bermula di hari raya korban ini dan mengorbankan yang kita sayangi itu merupakan pengorbanan yang benar-benar pengorbanan.

Selamat Hari Raya Korban kepada semua umat Islam khususnya kepada saudara-saudara kita yang baru sahaja selesai ibadah melontar di jumrah di hari pertama tasyrik iaitu di Jumratul Aqobah di Mina.

Semoga semua mendapat Haji yang mabrur.

No comments: