12 October 2013

Mereka bersatu hanya semasa menyanyikan lagu UMNO sahaja

Keputusan pemilihan bagi sayap UMNO akan diketahui malam ini, mungkin lewat malam. Saya tidak sedar waktu dan hari pemilihan bagi sayap UMNO khususnya Pemuda berlaku hari ini. Pertandingan Pemuda tidak mendapat perhatian saya kerana umum sudah yakin yang Khairy Jamaluddin akan menang agak besar kali ini.

Saya menjangkakan kemenangan bagi Khairy ini dua bulan dahulu lagi. Khairy ‘is the noticeable victor’ dan itu pun yang sepatutnya berlaku. Justeru tidak payah memberikan komen panjang tentang pertandingan Pemuda. Bagi saya pada hakikatnya tidak ada pertandingan dalam sayap Pemuda itu.

Ramai Pemuda yang saya temui berkata, mereka sudah muktamad akan memberikan kemenangan kepada Khairy Jamaluddin. Proses pengundian hari ini hanyalah proses ‘formality’ sahaja. Khairy akan menang. Bak kata adat, ‘perundingan berlaku dalam gelap, adat berlalu dalam terang’.

Saya tidak faham tentang apa yang berlaku dalam sayap Wanita. Ada yang mengatakan yang Shahrizat akan menang dan mempertahankan jawatan Ketua Wanita Malaysia kerana beliau mendapat sokongan padu dari Perdana Menteri. Tetapi tidak kurang ramai yang mahukan kemenangan itu di perolehi oleh orang lain memandangkan Shahrizat mempunyai ‘baggage’ yang besar untuk di pikul bersama oleh parti dalam menghadapi pilihanraya nanti. Shahrizat bagi puak-puak ini adalah beban besar untuk parti.

Puteri UMNO sememangnya saya tidak dapat memberikan pandangan kerana sayap ini nampaknya ramai yang berbakat tetapi bakat mereka akan menjadi tumpul oleh kerana budaya negatif yang jelas dalam UMNO itu. Sayap ini sememangnya terlalu jauh dari mengetahui apakah dia UMNO itu dan apa yang perlu ada dalam parti itu. Diantara pemimpin Puteri yang jelas hanyalah perebutan jawatan dan tidak tahu samada mereka tahu apa dia perjuangan dan kehendak moral parti itu.

Yang menarik ialah keputusan pemilihan Majlis Tertinggi minggu hadapan terutamanya keputusan bagi jawatan Naib Presiden parti. Keputusan pertandingan dalam sayap-sayap parti hari ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi keputusan pertandingan Naib Presiden UMNO itu. Jika Khairy dan Sharizat memenangi jawatan ketua Pemuda dan Wanita maka peluang untuk Zahid dan Shafie Apdal mengekalkan jawatan masing-masing adalah cerah.

Masuk satu keluar satu. Jika Hishamudin seperti yang dijangka oleh banyak pihak akan terkeluar maka yang akan bersama Shafie dengan Zahid Hamidi adalah salah seorang dari empat calon yang lain. Ramai yang menelah yang Mukhriz akan memenangi salah satu dari tiga Naib Presiden itu, tetapi ramai juga yang menelah yang beliau akan tewas kerana beberapa sebab. Pertamanya, beliau masih baru dan Mukhriz belum tentu kepimpinannya. Mereka menganggap Mukhriz akan di ketahui boleh memimpin atau tidak jika Dr Mahathir sudah tiada dalam politik lagi.

Keduanya, Mukhriz pernah menjadi calon popular Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan beliau akhirnya menduduki tempat yang tercorot diantara tiga calon Ketua Pemuda semasa itu. Bahagian Pemuda yang mencalonkan beliau sendiri tidak mengundi beliau dalam pertandingan itu.

Lagi pula tidak boleh diperkecilkan kemampuan Isa Samad dalam pertandingan Naib Presiden ini. Begitu juga Ali Rustam. Kedua-dua mereka ini masih muda dan mempunyai pengalaman luas dalam memelihara parti dalam pilihanraya. Isa mempunyai hubungan peribadi yang kuat dengan ahli-ahli peringkat bawahan kerana sifat beliau senang di dekati dan di jumpai.

Sifat mudah dihubungi ini banyak memberikan markah kepada Isa yang masih muda dan baru sahaja berumah tangga itu. Secara peribadi saya mengenali TS Isa ini puluhan tahun dan saya merasakan sifat mudah berjumpa dan sikap terbuka beliau menerima pandangan rakan-rakan dan taulan di sekeliling beliau.

Kita mesti mengakui tiada kelebihan istimewa diantara mereka yang bertanding ini dan jika ada unsur permainan wang dalam pemilihan ini Mukhriz mungkin tercicir kerana bermain dengan wang juga memerlukan kemahiran dan pengalaman. Cara hendak membayar pengundi pun perlu kemahiran.

Saya terlihat yang permainan wang berlaku dalam pemilihan ini seperti juga dalam pemilihan yang lalu-lalu. Kita mesti ingat, pemimpin UMNO yang menang sejak dua lebih dekad yang lalu terpaksa bermain dengan wang. Itu sudah menjadi budaya dan budaya itulah yang menjahanamkan parti itu.

Mereka pandai menambat hati perwakilan yang ramai itu. Mereka percaya jika kambing di tambat, kambing-kambing itu mesti di beri makan. Siapa yang menambat banyak kambing dan pandai pula memberi makan rumput dengan secukupnya, kambing itu tidak akan kemana-mana.

Begitulah kaedahnya dalam pertandingan kali ini dan sebelumnya. Kalau ramai yang menjemput makan kenduri tak payahlah memasak sendiri. Harga barang dapur pun terlalu mahal dan makan kenduri kahwin boleh juga menjimatkan perbelanjaan sendiri.

Sekarang minggu terakhir makan kenduri dan insyaallah hujung minggu ini akan tahulah tiga pengantin yang paling cantik di pelamin UMNO itu. Ramai juga yang tidak mahu menghadiri kenduri itu, kerana mereka tahu mereka bersatu semasa bersanding sahaja dan akan bercerai berai selepas beberapa ketika sahaja nanti.

Jangkaan ramai mungkin salah kerana kita tidak tahu dengan sebenarnya sikap perwakilan semasa mengundi itu nanti. Isa Samad tidak pernah di jangka menang jawatan Naib Presiden suatu ketika dahulu, telah memenangi undi tertinggi. Kali ini mungkin terjadi lagi. Mungkin yang begitu popular juga akan tumpas dan kejadian ini bukannya luar biasa untuk berlaku.

Apa pun hasilnya UMNO akan tetap berpecah belah. Ada juga waktu-waktu dan ketikanya mereka bersemangat dan bersatu. Selalunya mereka akan bersatu serta berganding bahu semasa menyanyikan lagu UMNO sahaja. Lepas menyanyi mereka bergaduh kembali sehingga mereka kembali menyanyi di majlis yang lain pula.

1 comment:

Anonymous said...

Salam pak AA,

Tugas khairy amat berat dan itu amat sangat saya persetujui, kerana khairy kena juga melayan tuntutan mat rempit untuk menyediakan trek lumba kepada mat remit @ pembuli jalanraya supaya mereka dapat berlumba selain daripada membuat aksi minta puji membuat whilie.itu mungkin salah satu tindakan pluralisme yang disebut-sebut oleh orang umnok sendiri.