16 June 2014

Pemimpin tiada kepimpinan (bhg 3)

Dalam para akhir tulisan saya semalam, saya menyebut yang dasar dan perlaksanaannya yang baik masih dirasakan oleh rakyat ramai sehingga hari ini. Satu-satu dasar jangka panjang yang telah difikirkan dengan teliti yang memberikan faedah kepada rakyat secara ‘direct’ dalam jangka masa yang panjang. Dulunya kerajaan sentiasa berfikir tentang rakyat yang ramai yang telah memberikan sokongan sejak kita mencapai kemerdekaan.

Sikap untuk bersama-sama menikmati hasil kemerdekaan dan sistem demokrasi yang kita pilih ini amat dirasakan semasa dahulu kerana pimpinan tidak pernah melupakan segala yang mereka lakukan itu untuk sama-sama dirasai oleh semua.

Sebagai sebuah negara yang baru merdeka yang di saingkan bersama dengan masalah kekurangan kepada bangsa majoriti dalam negara ini. Maka banyak dasar telah digubal dan dasar-dasar itu sentiasa mencari jalan bagi memberikan kesempatan kepada yang kurang berada untuk sama-sama menikmati nikmat kemerdekaan itu.

Dasar kerajaan tidak mahu meninggalkan mana-mana bangsa itu sudah ada sejak dari dulu lagi kerana tertinggal sesuatu bangsa dalam arus pembangunan politik, ekonomi dan sebagainya akan hanya membinasakan negara dalam jangka masa panjang. Seperti yang saya sebutkan selama ini dasar-dasar yang baik itu hanya kekal terlaksana jika ia digubal dan dilaksanakan oleh mereka yang berjiwa besar untuk memenuhi tuntutan dasar itu sendiri.

Itu sebenarnya yang melebihi pimpinan yang terdahulu dengan pimpinan sejak tiga puluh tahun dahulu. Segala dasar yang digubal memerlukan perlaksanaannya secara sistematik dan bukan digubal dan dilaksanakan tanpa roh yang bersih dan jiwa yang miskin dalam melaksanakannya.

Dulunya kerajaan telah menubuhkan berbagai-bagai agensi bagi memenuhi tuntutan ‘economic engineering’ guna mengimbangi kedudukan ekonomi berdasarkan kepada kaum. Setiap penubuhan sesuatu agensi kerajaan pusat atau negeri itu mesti mempunyai dasarnya yang kuat dan jika terlaksana ia akan mencapai ‘ultimate’ kita untuk berada dalam sebuah negara yang aman damai dan sejahtera.

Perbadanan Ekonomi Negeri atau SEDC yang lazim disebut itu, adalah untuk memegang ‘in trust’ buat sementara bagi pihak Bumiputra bukan semata-mata untuk Melayu sahaja. Peranan SEDC itu hanya sementara sahaja kerana ia ditugaskan untuk membina kekuatan ekonomi perbadanan itu yang akhirnya akan dipindahkan kembali kepada rakyat khususnya kepada Bumiputra yang berkemampuan.

Lain-lain perkataan, jika mereka yang mengendali SEDC itu sudah tiada fungsi lagi, itu menunjukan yang perbadanan itu sudah berjaya sampai ke matlamatnya. Kepada siapa yang masih belum memahami ini, maksud saya tadi jika hendak tahu SEDC itu sudah berjaya atau sebaliknya ia akan diukur dari kejayaannya membina kekuatan ekonomi bagi perbadanan itu dan selesai memindahkan semua yang ada dalam SEDC itu kepada rakyat yang berkemampuan.

Tetapi SEDC disetiap negeri masih wujud dan itu menunjukkan saban tahun kewujudan perbadanan itu ia masih tidak mencapai matlamatnya. Jika SEDC itu agensi yang berjaya, sepatutnya agensi itu sudah ditutup dan telah mengagihkan syarikat-syarikat itu kepada yang berwajib menerimanya.

Malahan SEDC telah diperguna dan diambil kesempatan oleh pemodal-pemodal kapitalis sahaja. SEDC yang mempunyai simpanan tanah yang besar diperguna oleh taukeh-taukeh besar bangsa lain dan usaha mencapai matlamat pemindahan harta kekayaan kepada yang berwajib itu tidak pernah selesai dan ia akan tetap berada ditahap itu.

Banyak agensi-agensi seperti ini hanya diperguna oleh pemimpin kerajaan (politicians) yang berkuasa dalam negeri itu dan yang ‘beneficiaries’ kepada kekayaan SEDC itu hanya diperolehi oleh taukeh-taukeh besar yang bersekongkol dengan pimpinan kerajaan negeri sahaja. Maka niat dan matlamat untuk mengimbangi kedudukan ekonomi itu digagalkan oleh kepimpinan negeri dan negara yang tidak mempunyai hati dan jiwa untuk melaksanakan segala dasar yang terkepil dengan penubuhan perbadanan seperti itu dengan jujur dan telus.

Banyak lagi agensi-agensi kerajaan yang tidak langsung mencapai kemajuan dalam dasar yang ditetapkan. Malahan kewujudan perbadanan kerajaan atau GLC’s yang besar-besar dan banyak itu hanya untuk membina ego mereka yang menguruskannya sahaja dan matlamat penubuhan perbadanan ini diselewengkan sejak mula lagi.

Malahan agensi-agensi kerajaan seperti ini telah dipersepsikan oleh mereka yang mampu untuk berfikir sebagai pusat menjana budaya rasuah yang besar-besar dan tempat berlakunya penyelewengan yang di halalkan oleh kerajaan. Agensi-agensi kerajaan ini merupakan premis yang paling secocok dengan individu-individu yang membina ego besar masing-masing.

Dulu-dulunya agensi-agensi dan syarikat yang dibina melalui agensi-agensi ini mempunyai matlamat dan tata-cara yang sangat telus dan dilihat ramai. Banyak syarikat-syarikat yang maju telah dipindahkan ketangan Bumiputra melalui kaedah yang membolehkan Bumiputra yang tidak berkemampuan untuk melabur dalamnya melalui saham amanah. Semua syarikat yang maju dan berpendapatan yang tinggi telah dipindahkan ketangan Bumiputra yang kurang kemampuan melalui saham amanah dan itu pun sebabnya PNB dan Skim Amanah Saham Nasional diwujudkan.

Kerajaan begitu serius dalam proses memulangkan harta kekayaan ini dengan memindah berbagai-bagai kaedah untuk membolehkan mereka menyertainya. Kerajaan pergi jauh dengan meminda ‘trust deeds’ bagi membolehkan rakyat yang kurang kemampuan untuk melabur secara simpanan dalam ‘quantum’ yang kecil setakat yang mereka mampu. Sehingga sekarang rakyat telah menerima nikmatnya dengan pulangan yang boleh dikatakan sebagai pulangan yang dijamin melebihi dari kadar inflasi negara. Sekali gus dasar itu membina budaya melabur melalui simpanan sedikit demi sedikit untuk kepentingan pelabur dan negara juga.

Jawatankuasa Kabinet Penyelaras Pelaburan yang di ketuai oleh Tengku Razaleigh berfungsi dengan sebenarnya dan ia membawa faedah kepada rakyat yang ramai dan menyeluruh. Kenapa ia berjaya mendapat jawapan yang mudah. Ia disebabkan ketelusan dan kejujuran untuk mendahului rakyat tanpa membina slogan ‘rakyat didahulukan kejayaan di utamakan’.  Semasa itu jarang-jarang kita mendengar slogan yang hebat-hebat, kerana pimpinan dahulu tidak memerlukan slogan untuk menjana kemajuan mereka.

Kalau ada pun slogan yang kita dengar hanyalah slogan ‘muhibbah’ slogan yang selaras dengan matlamat kerajaan untuk mewujudkan rakyat yang bersatu dalam perbezaan bangsa dan agamanya. Bagi mereka yang faham, slogan yang berlebihan itu hanya lazim digunakan oleh pimpinan yang lemah yang memerlukan semua itu untuk menutup kelemahan mereka yang nyata.

2 comments:

harun said...


Mahathir has vandalized and bastardized Malay leadership for a long time. To him he should be the only one holding legacy of the country.

We regret supporting him all along.

rozali53uk said...

Sudut pendakian TR sudah di kepung mantap oleh jalan tipuan licik rejim yang meninggalkan tampuk PEMERENTAH dengan tak rasa malu diruntun reformasi jalanan anakmuda !