Aku tak pernah haramkan Umno atau keluar dari parti. |
Hasil dari penyertaan Dyana Sofia sebagai calon DAP dalam pilihanraya Teluk Intan yang baru selesai, ibu kepada Dyana menjadi isu besar kepada UMNO. Ramai dari dalam UMNO mahu Yammy diambil tindakan atau dipecat dari keahliannya dari UMNO. Yammy dituduh berkempen habis-habisan untuk anaknya calon DAP itu dan kata mereka (UMNO) Yammy patut dipecat dari parti kerana dikatakan sebagai ahli yang tidak setia kepada UMNO itu.
Saya berpendapat kita wajar
memberikan definasi ‘setia’ itu dahulu. Kita mesti memahami apakah dia yang
dikatakan kesetiaan kepada UMNO itu sebelum kita menuduh Yammy sebagai tidak
setia kepada parti.
Bagi saya jika seseorang itu
setia kepada parti ia perlu menjaga kebersihan perjuangan parti itu. Bagi saya
seseorang ahli atau pemimpin UMNO yang rasuah dan salah menggunakan kuasa itu
juga adalah ahli atau pemimpin yang tidak setia. Seseorang yang setia tidak
akan melakukan rasuah dan menyalah gunakan kuasa. Seseorang yang setia kepada
parti tidak akan membunuh partinya seperti yang berlaku kepada UMNO itu pada
tahun 1988 dahulu.
Bagaimana kita hendak menganggap
setia kepada UMNO itu jika mereka berunding untuk membunuh parti itu dan
menggantikannya dengan parti yang baru? Yang lebih mengelirukan parti yang
baru itu menggunakan nama parti yang dibunuhnya. Katakan kepada saya, setiakah
pemimpin yang saya maksudkan ini?
Yammy tidak ada rekod meminta
UMNO asal itu dibunuh, malahan beliau telah bertungkus lumus bersama saya
semasa UMNO terbunuh itu untuk menghidupkan UMNO asal itu. Kami telah meminta
rakyat menyokong Semangat 46 yang menjanjikan untuk menghidupkan UMNO asal itu
jika mendapat mandat rakyat. Tetapi rakyat dikelirukan maka parti Semangat 46
tidak berjaya untuk memenangi pilihanraya 1990 dahulu untuk menghidupkan UMNO
yang dibunuh oleh mereka yang mengaku setia kepada parti itu.
Maka wujudlah parti baru yang
juga diberikan nama UMNO dan terus memerintah negara sehingga hari ini. Sejak
itu rasuah berluas-luasa dilakukan oleh pimpinan UMNO yang kini menuduh Yammy
Samat sebagai tidak setia. Kita tahu jika pemimpin UMNO itu rasuah maka itu
merupakan tindakan ‘insubordination’ terhadap UMNO kerana UMNO ditubuhkan untuk
melaksanakan pentadbiran negara yang baik pada asalnya.
Bagi saya apa sahaja tindakan
yang menghasilkan beliau menjadi seperti hari ini adalah disebabkan beliau
setia kepada UMNO dan menentang segala kemungkaran politik dan ekonomi yang
dilakukan oleh pimpinan-pimpinan UMNO hari ini.
Saya hendak memetik kata-kata Dr
Mahathir yang mengkritik Yammy tidak mendidik anaknya untuk setia kepada UMNO.
Dr Mahathir telah meminta semua orang memberikan cerita dan sejarah tentang
perjuangan UMNO. Sebenarnya Yammy yang saya kenali begitu rapat, telah melakukan
apa yang diminta oleh Dr Mahathir itu. Hasilnya apabila anaknya Dyana mengetahui
segala cerita yang diceritakan oleh ibunya, maka anaknya mengambil tindakan
menyertai DAP kerana Dyana tahu bagaimana parti UMNO itu dibunuh dan
digantikan dengan parti baru yang senama dengan UMNO yang dibunuh itu.
Lagi ramai orang mendengar nasihat
Dr Mahathir untuk memberikan cerita sebenarnya tentang UMNO itu saya rasa lebih
ramai anak-anak muda akan meninggalkan UMNO itu kerana mereka tahu cerita
sebenarnya tentang kekotoran yang dilakukan oleh pimpinan UMNO itu.
Saya bersetuju dengan nasihat Dr
Mahathir itu dengan memberikan segala cerita perjuangan UMNO itu terutamanya
bagaimana UMNO itu dibunuh dan sebagainya. Tetapi Dr Mahathir jangan menyalahkan
mereka meninggalkan UMNO itu kerana mereka terlalu marah dengan apa yang
dilakukan oleh pimpinan UMNO seperti Dr Mahathir membunuh parti itu. Mahathir
sepatutnya meminta ahli-ahli UMNO untuk tidak bercakap tentang sejarah UMNO itu
kerana jika diceritakan sejarahnya bagaimana hendak mengelak dari menceritakan
bagaimana UMNO itu dibunuh oleh beliau?
Bagi saya, saya menulis posting ini
untuk mempertahankan Yammy Samat dari tuduhan jahat setengah pihak dalam UMNO
itu. Sesungguhnya Yammy lebih setia kepada UMNO jika dibandingkan dengan Dr
Mahathir, Najib atau pun Muhyidin Yassin serta pemimpin lain dalam UMNO itu.
Yammy tidak pernah mengambil wang
kerajaan beratus juta ringgit untuk membela lembu yang akhirnya wang-wang
tersebut digunakan untuk membeli kondominium mewah di merata negara dirantau
ini.
Yammy tidak pernah menggunakan
wang rakyat berbillion ringgit untuk menyelamatkan perniagaan anaknya. Yammy
tidak pernah terlibat dengan seks luar tabii dan tidak pernah membeli sebentuk
cincin dengan harga puluhan juta ringgit.
Bagi saya apa yang berlaku kepada
UMNO sekarang ini adalah kerana pemimpin-pemimpin dan ahli serta kroni yang
tidak setia kepada parti, malahan mereka adalah makhluk perosak yang telah
menjahanamkan UMNO itu sejak tiga dekad yang lalu.
Itu sebabnya saya selalu
mencadangkan supaya UMNO memilih untuk mencari imej baru dengan meminta seluruh
anggota majlis teringgi parti itu meletakkan jawatan dan memberikan kepada
seorang pemimpin yang boleh dan berkemampuan untuk membawa imej dan aura baru
kepada parti itu.
Bak kata Tengku Razaleigh Hamzah
jika Almarhum YTM Tunku masih hidup beliau akan membidas semua ahli politik
negara kini, baik dari kerajaan mahu pun dari pembangkang.
Sesungguhnya kita memerlukan
seorang yang berpengalaman untuk membawa perubahan baru kepada sistem politik
yang sekarang ini sudah reput dan akan pecah tidak berapa lama lagi. Keperluan
ini adalah ‘urgent’ dan tidak boleh berlengah lagi.
Jika perlu TR keluar untuk
melakukan pembersihan kepada politik kotor yang ada pada hari ini, lakukanlah
sekarang. Bagi saya TR lebih ‘magnanimous’ dari banyak pimpinan yang lain dan
itu merupakan ‘attribute’ yang sangat diperlukan untuk mencapai matlamat dan
‘ultimate’ negara, iaitu untuk mencapai perpaduan kaum dengan kerajaan yang
lebih bersih dari apa yang kita saksikan hari ini.
1 comment:
Salam Pak Aspan,
Maaf tuan, saya rasa
YM TR tak ada keberanian untuk menentang umno-bn.
Kalau beliau benar benar ingin menyelamatkan negara tercinta, inilah masanya beliau perlu ishtiharkan menyokong Pakatan Rakyat secara terbuka.
Post a Comment