28 December 2006

19. Pesanan Saidina Ali

Saya telah terbaca sebuah kitab kecil agama kita, dan saya amat tertarik dengan salah satu topik yang sangat berfaedah untuk dibaca oleh kita yang masih terlalu jahil dalam segala-galanya. Kitab yang saya maksudkan ialah kitab Nahjul Balaghah oleh Saidina Ali Ibn Thalib dan kitab Al-Bayan Wattabyeen oleh Al-mam Abu Othman Amru Ibn Bahr Al-Jaahidh r.a. Di dalamnya terdapat 40 nasihat Saidina Ali Karamallah huwajhah untuk semua umat islam sejagat.

Di antara 40 nasihat yang diberinya ialah, insan itu ada tiga jenis. Yang pertama ialah orang yang mengenal Allah, yang kedua ialah mencari kebenaran dan yang ketiga ialah orang yang tidak mengenal Allah dan tidak mencari kebenaran. Orang yang tergolong di kategori yang ketiga tadi ialah golongan yang paling rendah dan tidak baik sekali dan mereka akan ikut sebarang ketua dengan buta tuli seperti kambing.

Nasihat ini tentulah satu nasihat murni dan luhur, lebih-lebih lagi ianya datang dari seorang Khalifah Al-Rashideen, salah seorang dari sepuluh sahabat yang dijamin ke syurga. Nasihat dari seorang aulia Allah ini tentulah lebih tinggi nilainya daripada nasihat Abdullah Badawi, Ong Ka Ting, Samy Velu, Lim Kheng Yeik, Dato’ Seri Najib, Mahadzir Khalid, Shahidan Kassim serta pemimpin-pemimpin yang lain.

Saidina Ali k.wajhah memberi nasihat dengan penuh kejujuran dan tiada motif lain selain dari untuk kebaikan umat, kerana dia tidak ada niat hendak jadikan menantunya menjadi khalifah dan untuk mendapat projek-projek untuk keluarganya ataupun untuk membeli kapal mewah dan sebagainya. Nasihat ini tentunya dibuatnya kerana dia tahu apa yang akan melanda masyarakat di akhir zaman ini. Itulah ilmu seorang aulia Allah.

Saya tidak mampu hendak membuat kupasan yang terperinci dalam isu ini tetapi jelas ianya adalah penyakit yang begitu menular di dalam UMNO kita. Tentunya ia merupakan satu fenomena yang sangat serius dan akhirnya menghancurkan kita semua. Secara kebetulan saya pernah menulis isu ini dalam tulisan saya sebulan yang lalu di dalam blogger ini yang bertajuk ‘Burung Balam’ dalam mana saya telah mengupas tentang budaya mengangguk dengan ketua walaupun ketua itu tidak membuat perkara yang baik. Tentunya fenomena ini merupakan salah satu penyebab yang membuatkan kita semua berada dalam keadaan yang ada pada hari ini. Budaya mengangguk ini rupa-rupanya adalah budaya yang sangat buruk mengikut pandangan Saidina Ali k.wajhah.

Setakat ini sahaja yang diizinkan masa untuk saya untuk membuat coretan kali ini. Baca dan fikirkanlah! Tanya diri kita sendiri samada kita tergolong di dalam kategori manusia yang mana hanya diri kita sendiri saja yang tahu.

WASSALAM



1 comment:

Busuk Punya Olang! said...

Salam duka Muharram buat Saudara Aspan :(

Saya terharu apabila mengetahui yang Saudara telahpun membaca Nahjul Balaghah.

Teruskan perjuangan. Saya akan sokong Saudara, insyaAllah! Slwt