21 July 2012

Syariat itu mercu hakikat. Selamat Berpuasa di bulan Al-Mubarak ini

Pada hakikatnya yang menyebabkan kita melakukan kerja baik atau buruk itu digerakkan oleh diri kita yang sebenar-benarnya, iaitu oleh elemen dalaman kita itu. Jika dalaman kita menggerakkan kita untuk melakukan sesuatu itu maka kita akan lakukannya. Hanya perbezaannya ialah samada arahan dari dalaman itu untuk melakukan kerja baik atau mungkar.

Sesungguhnya yang boleh melakukan niat baik itu ialah samada kita berkemampuan untuk memujuk dalaman kita sendiri untuk mengelak dari melakukan kemungkaran dan memilih untuk melakukan kebaikan seperti tuntutan agama dan Tuhan kita seperti yang di makallahkan oleh Nabi Besar kita.

Itulah sebabnya kita diminta untuk bertawajjuh terhadap Rasul dan bertawassul terhadap Allah SWT kerana untuk membina dalaman yang bersih itu mesti kita lalui dengan amal yang ‘intensive’ dan istiqomah (consistency). Hanya apabila dalaman (bathin) kita yang sudah dibersihkan barulah seseorang insan itu boleh melakukan kerja-kerja yang baik: ‘amal makruf nahi mungkar’.

Punca kepada segala-galanya tingkah laku serta niat seseorang insan itu bergantung kepada apa dan setaraf mana kebersihan dalaman mereka.  Hanya salah satu dari dua elemen yang menguasai diri kita dari dalam itu; iaitu yang haq dan yang bathil. Jika kita dikuasai oleh yang bathil maka seseorang insan dan pemimpin itu akan terus menerus melakukan kerja-kerja mungkar dan yang ditegah oleh Tuhan dan Rasulnya (Al-Qur’an).

Jika dalaman seseorang itu dikuasai oleh yang haq maka segala pergerakannya akan berlandaskan kepada yang baik-baik tanpa bersusah-payah melaksanakannya. Segala kerja mereka akan terjurus kepada melaksanakan perkara-perkara yang dituntut oleh agama dan Tuhannya. Penyucian diri dalaman kita hanya boleh dilakukan dengan amal yang intensif (zikrullah) dan ditambah pula usaha itu dengan segala perkara yang telah disyariatkan (ibadah) oleh agama kita.

Tentunya berpuasa di bulan ramadhan ini merupakan salah satu yang telah disyariatkan untuk menambah dan sokongan kepada amalan (zikrullah) kita untuk menjadi insan yang baik dan berada di dalam sepenuh keredhoan Tuhan semesta alam ini. Berpuasa di bulan yang kesembilan dalam kalendar islam itu, Ramadhan adalah salah satu yang diwajibkan oleh syariat untuk menambah kekuatan kita untuk melawan musuh yang nyata iaitu iblis dan syaitan.

Apabila kita telah beramal (zikrullah) dan  ditambah pula kekuatannya dengan melakukan ibadah puasa yang disyariatkan itu maka diharap kita semua akan menjadi insan yang baik dalam kesemua bidang.

Jika seseorang itu menjadi pemimpin yang diamanahkan untuk mentadbir negara misalnya ia tidak akan melakukan kerja-kerja yang tidak amanah seperti rasuah dan salahguna kuasa misalnya. Tetapi jika masih lagi melakukan kerja yang tidak baik itu, maka kita tahu dan Allah lebih mengetahui yang seseorang itu tidak dapat apa-apa dari ibadah berpuasa sebulan di bulan Ramadhan itu.

Itulah sebabnya kita diberitahu oleh agama kita yang syariat itu adalah mercu kepada hakikat. Jika kita masih longgar dengan syariat itu maka kita wajar membuat introspeksi yang intensif untuk menilai tahap hakikat yang ada pada diri setiap insan itu. Akhirnya kita semua tidak akan dapat melindungi perbuatan keji kita, kerana jika kita cuba untuk menutupi kesalahan dan noda kita ia hanyalah ibarat berselindung di tempat yang terang, atau menyorok di sebalik telunjuk sahaja.

Pengakhir kata saya sekeluarga mengucapkan Selamat Berpuasa di bulan yang Mubarak ini kepada semua yang mengikuti blog saya selama ini. Maaf jika ada kekhilafan dari pihak saya selama ini.

Wassaalam.

4 comments:

Zainal said...

Dalam bulan Ramadhan di turunkan Al-Quran sebagai Petunjuk kepada manusia Dan Bukti-bukti kepada petunjuk itu Dan Pembeda di antara yang Haq dan yang Batil. Al-Baqarah 185. Selamat Berpuasa.

tebing tinggi said...

Molek sunggoh kalau ramai dari kita mempunyi kesedaran yang begitu.

Selamat menjalani ibadat dibulan Ramadhan.

akbajalil said...

Salam Tuan Aspan.

Mudah-mudahan Ramadan kali ini akan menambahkan lagi ketaqwaaan kita ke hadrat Allah SWT.

Anonymous said...

Selamat Berpuasa Tuan AA ,semoga puasa kita akan diberkati oleh Allah S.W.T.



Nazri