Keputusan pemilihan bagi sayap
UMNO akan diketahui malam ini, mungkin lewat malam. Saya tidak sedar waktu dan
hari pemilihan bagi sayap UMNO khususnya Pemuda berlaku hari ini. Pertandingan
Pemuda tidak mendapat perhatian saya kerana umum sudah yakin yang Khairy
Jamaluddin akan menang agak besar kali ini.
Saya menjangkakan kemenangan bagi
Khairy ini dua bulan dahulu lagi. Khairy ‘is the noticeable victor’ dan itu pun
yang sepatutnya berlaku. Justeru tidak payah memberikan komen panjang tentang
pertandingan Pemuda. Bagi saya pada hakikatnya tidak ada pertandingan dalam
sayap Pemuda itu.
Ramai Pemuda yang saya temui
berkata, mereka sudah muktamad akan memberikan kemenangan kepada Khairy
Jamaluddin. Proses pengundian hari ini hanyalah proses ‘formality’ sahaja.
Khairy akan menang. Bak kata adat, ‘perundingan berlaku dalam gelap, adat
berlalu dalam terang’.
Saya tidak faham tentang apa yang
berlaku dalam sayap Wanita. Ada yang mengatakan
yang Shahrizat akan menang dan mempertahankan jawatan Ketua Wanita Malaysia kerana
beliau mendapat sokongan padu dari Perdana Menteri. Tetapi tidak kurang ramai
yang mahukan kemenangan itu di perolehi oleh orang lain memandangkan Shahrizat
mempunyai ‘baggage’ yang besar untuk di pikul bersama oleh parti dalam
menghadapi pilihanraya nanti. Shahrizat bagi puak-puak ini adalah beban besar
untuk parti.
Puteri UMNO sememangnya saya
tidak dapat memberikan pandangan kerana sayap ini nampaknya ramai yang berbakat
tetapi bakat mereka akan menjadi tumpul oleh kerana budaya negatif yang jelas
dalam UMNO itu. Sayap ini sememangnya terlalu jauh dari mengetahui apakah dia
UMNO itu dan apa yang perlu ada dalam parti itu. Diantara pemimpin Puteri yang
jelas hanyalah perebutan jawatan dan tidak tahu samada mereka tahu apa dia
perjuangan dan kehendak moral parti itu.
Yang menarik ialah keputusan
pemilihan Majlis Tertinggi minggu hadapan terutamanya keputusan bagi jawatan
Naib Presiden parti. Keputusan pertandingan dalam sayap-sayap parti hari ini
sedikit sebanyak akan mempengaruhi keputusan pertandingan Naib Presiden UMNO
itu. Jika Khairy dan Sharizat memenangi jawatan ketua Pemuda dan Wanita maka
peluang untuk Zahid dan Shafie Apdal mengekalkan jawatan masing-masing adalah
cerah.
Masuk satu keluar satu. Jika
Hishamudin seperti yang dijangka oleh banyak pihak akan terkeluar maka yang
akan bersama Shafie dengan Zahid Hamidi adalah salah seorang dari empat calon
yang lain. Ramai yang menelah yang Mukhriz akan memenangi salah satu dari tiga
Naib Presiden itu, tetapi ramai juga yang menelah yang beliau akan tewas kerana
beberapa sebab. Pertamanya, beliau masih baru dan Mukhriz belum tentu kepimpinannya.
Mereka menganggap Mukhriz akan di ketahui boleh memimpin atau tidak jika Dr
Mahathir sudah tiada dalam politik lagi.
Keduanya, Mukhriz pernah menjadi
calon popular Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan beliau akhirnya menduduki tempat
yang tercorot diantara tiga calon Ketua Pemuda semasa itu. Bahagian Pemuda yang
mencalonkan beliau sendiri tidak mengundi beliau dalam pertandingan itu.
Lagi pula tidak boleh diperkecilkan
kemampuan Isa Samad dalam pertandingan Naib Presiden ini. Begitu juga Ali
Rustam. Kedua-dua mereka ini masih muda dan mempunyai pengalaman luas dalam
memelihara parti dalam pilihanraya. Isa mempunyai hubungan peribadi yang kuat
dengan ahli-ahli peringkat bawahan kerana sifat beliau senang di dekati dan di
jumpai.
Sifat mudah dihubungi ini banyak
memberikan markah kepada Isa yang masih muda dan baru sahaja berumah tangga
itu. Secara peribadi saya mengenali TS Isa ini puluhan tahun dan saya merasakan
sifat mudah berjumpa dan sikap terbuka beliau menerima pandangan rakan-rakan
dan taulan di sekeliling beliau.
Kita mesti mengakui tiada
kelebihan istimewa diantara mereka yang bertanding ini dan jika ada unsur
permainan wang dalam pemilihan ini Mukhriz mungkin tercicir kerana bermain
dengan wang juga memerlukan kemahiran dan pengalaman. Cara hendak membayar
pengundi pun perlu kemahiran.
Saya terlihat yang permainan wang
berlaku dalam pemilihan ini seperti juga dalam pemilihan yang lalu-lalu. Kita mesti
ingat, pemimpin UMNO yang menang sejak dua lebih dekad yang lalu terpaksa
bermain dengan wang. Itu sudah menjadi budaya dan budaya itulah yang
menjahanamkan parti itu.
Mereka pandai menambat hati
perwakilan yang ramai itu. Mereka percaya jika kambing di tambat,
kambing-kambing itu mesti di beri makan. Siapa yang menambat banyak kambing dan
pandai pula memberi makan rumput dengan secukupnya, kambing itu tidak akan
kemana-mana.
Begitulah kaedahnya dalam
pertandingan kali ini dan sebelumnya. Kalau ramai yang menjemput makan kenduri
tak payahlah memasak sendiri. Harga barang dapur pun terlalu mahal dan makan
kenduri kahwin boleh juga menjimatkan perbelanjaan sendiri.
Sekarang minggu terakhir makan
kenduri dan insyaallah hujung minggu ini akan tahulah tiga pengantin yang
paling cantik di pelamin UMNO itu. Ramai juga yang tidak mahu menghadiri
kenduri itu, kerana mereka tahu mereka bersatu semasa bersanding sahaja dan
akan bercerai berai selepas beberapa ketika sahaja nanti.
Jangkaan ramai mungkin salah kerana
kita tidak tahu dengan sebenarnya sikap perwakilan semasa mengundi itu nanti.
Isa Samad tidak pernah di jangka menang jawatan Naib Presiden suatu ketika
dahulu, telah memenangi undi tertinggi. Kali ini mungkin terjadi lagi. Mungkin
yang begitu popular juga akan tumpas dan kejadian ini bukannya luar biasa untuk
berlaku.
Apa pun hasilnya UMNO akan tetap
berpecah belah. Ada
juga waktu-waktu dan ketikanya mereka bersemangat dan bersatu. Selalunya mereka
akan bersatu serta berganding bahu semasa menyanyikan lagu UMNO sahaja. Lepas
menyanyi mereka bergaduh kembali sehingga mereka kembali menyanyi di majlis
yang lain pula.
1 comment:
Salam pak AA,
Tugas khairy amat berat dan itu amat sangat saya persetujui, kerana khairy kena juga melayan tuntutan mat rempit untuk menyediakan trek lumba kepada mat remit @ pembuli jalanraya supaya mereka dapat berlumba selain daripada membuat aksi minta puji membuat whilie.itu mungkin salah satu tindakan pluralisme yang disebut-sebut oleh orang umnok sendiri.
Post a Comment