09 June 2014

Jaga lopak masing-masing, Sultan jaga lopaknya, rakyat jaga lopak mereka

Jika lulus rang undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) di Dewan Undangan Negeri Johor hari ini, ia merupakan satu-satunya negeri dalam mana Sultan mempunyai kuasa keatas pentadbiran eksekutif kerajaan. Tuanku Sultan boleh dan berkuasa menentukan siapa yang mengetuai Lembaga itu dan serba-serbi yang lain seperti menentukan elaun dan gaji sara hidup mereka yang dilantik Sultan bagi lembaga tersebut.

Walaupun Menteri Besar nya menyatakan yang Sultan akan bertindak mengikut nasihat Menteri Besar tetapi itu merupakan alasan awal semata-mata untuk meluluskan rang undang-undang itu tanpa halangan. Tetapi pada asasnya ia merupakan satu kuasa besar eksekutif yang diberikan kepada Sultan Johor untuk menentukan serba serbinya. Banyak sebab-sebabnya kenapa perkara seperti ini boleh berlaku.

Salah satunya ialah kerana negeri Johor sedang berkembang pesat dalam pembangunan hartanah dan itulah penyebab utamanya kenapa Sultan inginkan kuasa eksekutif itu kerana sudah menjadi pengetahuan umum yang Sultan Johor sangat berminat untuk berniaga.

Kuasa eksekutif yang ada kepada Sultan itu akan merencatkan pentadbiran sebuah kerajaan negeri Raja Berpelembagaan dan tidak  salah jika kita rumuskan yang ia akan menjadi isu besar kepada negeri Johor dan negara amnya.

Dalam pada dunia sedang mengurangkan kuasa seseorang raja itu, negeri Johor telah mengambil sikap terbalik dan menambah kuasa raja lebih-lebih lagi dalam pengendalian hartanah negeri itu.

Dulunya raja-raja dalam negeri mempunyai kuasa mutlak dalam semua hal pentadbiran negar-negeri jajahan mereka, tetapi kuasa mereka talah dihapuskan pada tahun 1946 dahulu oleh British dengan penubuhan Malayan Union (MU). Raja-Raja Melayu hanya diletakkan setaraf penghulu sahaja di bekas negeri-negeri yang di serahkan kepada British dalam Malayan Union itu.

British mahukan semua negeri-negeri di Semenanjung menjadi hanya sebuah negeri ‘unitary’ yang tiada lagi sempadan di antara negeri-negeri dalam Semenanjung ini dan memilih Kuala Lumpur sebagai Pusat Pentadbirannya. Semua Raja-Raja Melayu telah menandatangani penyerahan negeri-negeri masing-masing dan sejarahnya Sultan Johor semasa itu merupakan Raja Melayu yang pertama sekali menyerahkan kuasa mereka kepada British.

Tetapi Raja-Raja Melayu telah disematkan oleh UMNO (UMNO Asal) yang baru ditubuhkan semasa itu dan memaksa British menyerahkan kembali negeri-negri di Semanjung itu kepada semua Raja-Raja Melayu. Briitish terpaksa menyerah kalah dan memberikan kembali kuasa yang mereka ambil bagi Malayan Union itu kepada Raja-Raja Melayu.

Maka Malayan Union telah digantikan dengan perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dan kesemua negeri-negeri dalam Semananjung ini bersetuju untuk menjadikan mereka ahli kepada satu negara Persekutuan dan tidak lagi sebagai sebuah negara 'unitary' seperti Malayan Union itu tadi. Perjanjian Persekutuan itu ditandatangani oleh kesemua negeri-negeri dalam Semenanjung ini termasuk dua buah negeri selat Melaka dan Pulau Pinang bersama-sama berada dalam Persekutuan itu.

Sejak dari itu setiap negeri mempunyai legislatif nya sendiri dan semua kuasa eksekutif diberikan kepada pentadbir dan pelaksana dan selama sebelum kita mencapai kemerdekaan Menteri Besar dilantik oleh British dan setiap negeri mengadakan pilihanraya tempatan untuk dihantar ke Dewan Legislatif negeri masing-masing. Raja-Raja Melayu yang berjaya mendapatkan negeri-negeri masing-masing hanya ditinggalkan dengan kuasa yabg berkaitan dengan agama, adat istiadat dan beberapa fungsi lain dan menjadi lambang kepada kedaulatan negeri-negeri tersebut.

Tetapi jika Johor memberikan kuasa eksekutif kepada Raja atau Sultannya, maka ia merupakan tindakan yang menghampiri kuasa Raja seperti sebelum Malayan Union dahulu ditubuhkan.

Persoalannya sekarang, siapakah yang menyebabkan rang undang-undang seperti ini cuba dibentangkan di Dewan Legislatif negeri tersebut. Adakah Menteri Besar, Khalid, sendiri yang memulakan cadangan rang undang-undang ini, atau ia adalah initiatif pimpinan pusat. Rakyat tahu yang pembangunan hartanah di negeri Johor merupakan bidang yang sangat berpotensi sekarang ini. Jika Sultan mempunyai kesempatan untuk berniaga dengan rang undang-undang ini, ia akan menambah kebarangkalian seorang Sultan itu akan sibuk berniaga.

Yang membimbangkan kita ialah kita takut jika dengan kelulusan rang undang-undang ini akan memutikkan rasa kurang senang setengah rakyat terhadap Raja Melayu ini. Oleh yang demikian, kita mengharapkan agar Raja-Raja Melayu sendiri memahami keadaan hari ini dan bersama-sama menjaga keluhuran dan kedudukan Raja-Raja tanpa dipersoalkan oleh rakyat yang dibawah jajahan Raja-Raja ini.

Rang undang-undang ini jika diteruskan juga, yang pastinya ia akan menjejaskan persepsi rakyat terhadap Sultan Johor kerana rakyat lebih menumpukan kepada apa yang tersirat dalam pembentangan rang undang-undang ini dan bukannya terhadap apa yang tersurat.

Bagi saya Raja Melayu khususnya Sultan Johor, kekalkan kedudukan dan fungsi Raja itu seperti yang ada pada hari ini. Tidak payah ditokok dan ditambah dan jangan pula dikurang dan dikecilkan dari apa yang ada pada hari ini.

Dalam isu ini rakyat memerlukan ‘understanding’ Sultan itu sendiri. Biarlah Raja itu menahan ragam rakyat dan bukannya rakyat yang menaham ragam Raja-Raja ini. Sesungguhnya seorang Sultan itu tidak perlu berniaga dan aktif dalam pengurusan perniagaan.

Hidup ini berlopak-lopak. Raja ada lopaknya dan rakyat ada lopaknya sendiri. Jaga lopak masing-masing.

1 comment:

Bobcun said...

Salam tuan AA....
Sbg rakyat jati Jdt sy suka menggunakan pendekatan tunggu dan lihat tentang apa yg direncanakan oleh mb johor itu sendiri. Dulu seringkali sy mendengar mb menggadaikan tanah habih kpd singaporean. Skg kuasa ditangan sultan. Adakah ia menjadi lebih baik atau tergadai terus dek memikirkan keuntungan bisness. Pendekatan tunggu dan lihat ini adalah kerana sy tiada kuasa utk menahanya. Sbg muslim sy percaya dan yakin dgn kententuan Allah swt. Jika baik maka besarlah ganjarannnya...jika buruk musibahlah nasibnya.