04 June 2014

Di antara Yammy dengan Dr Mahathir, Yammy lebih setia kepada UMNO


Aku tak pernah haramkan Umno atau keluar dari parti.

Hasil dari penyertaan Dyana Sofia sebagai calon DAP dalam pilihanraya Teluk Intan yang baru selesai, ibu kepada Dyana menjadi isu besar kepada UMNO. Ramai dari dalam UMNO mahu Yammy diambil tindakan atau dipecat dari keahliannya dari UMNO. Yammy dituduh berkempen habis-habisan untuk anaknya calon DAP itu dan kata mereka (UMNO) Yammy patut dipecat dari parti kerana dikatakan sebagai ahli yang tidak setia kepada UMNO itu.

Saya berpendapat kita wajar memberikan definasi ‘setia’ itu dahulu. Kita mesti memahami apakah dia yang dikatakan kesetiaan kepada UMNO itu sebelum kita menuduh Yammy sebagai tidak setia kepada parti.

Bagi saya jika seseorang itu setia kepada parti ia perlu menjaga kebersihan perjuangan parti itu. Bagi saya seseorang ahli atau pemimpin UMNO yang rasuah dan salah menggunakan kuasa itu juga adalah ahli atau pemimpin yang tidak setia. Seseorang yang setia tidak akan melakukan rasuah dan menyalah gunakan kuasa. Seseorang yang setia kepada parti tidak akan membunuh partinya seperti yang berlaku kepada UMNO itu pada tahun 1988 dahulu.

Bagaimana kita hendak menganggap setia kepada UMNO itu jika mereka berunding untuk membunuh parti itu dan menggantikannya dengan parti yang baru? Yang lebih mengelirukan parti yang baru itu menggunakan nama parti yang dibunuhnya. Katakan kepada saya, setiakah pemimpin yang saya maksudkan ini?

Yammy tidak ada rekod meminta UMNO asal itu dibunuh, malahan beliau telah bertungkus lumus bersama saya semasa UMNO terbunuh itu untuk menghidupkan UMNO asal itu. Kami telah meminta rakyat menyokong Semangat 46 yang menjanjikan untuk menghidupkan UMNO asal itu jika mendapat mandat rakyat. Tetapi rakyat dikelirukan maka parti Semangat 46 tidak berjaya untuk memenangi pilihanraya 1990 dahulu untuk menghidupkan UMNO yang dibunuh oleh mereka yang mengaku setia kepada parti itu.

Maka wujudlah parti baru yang juga diberikan nama UMNO dan terus memerintah negara sehingga hari ini. Sejak itu rasuah berluas-luasa dilakukan oleh pimpinan UMNO yang kini menuduh Yammy Samat sebagai tidak setia. Kita tahu jika pemimpin UMNO itu rasuah maka itu merupakan tindakan ‘insubordination’ terhadap UMNO kerana UMNO ditubuhkan untuk melaksanakan pentadbiran negara yang baik pada asalnya.

Bagi saya apa sahaja tindakan yang menghasilkan beliau menjadi seperti hari ini adalah disebabkan beliau setia kepada UMNO dan menentang segala kemungkaran politik dan ekonomi yang dilakukan oleh pimpinan-pimpinan UMNO hari ini.

Saya hendak memetik kata-kata Dr Mahathir yang mengkritik Yammy tidak mendidik anaknya untuk setia kepada UMNO. Dr Mahathir telah meminta semua orang memberikan cerita dan sejarah tentang perjuangan UMNO. Sebenarnya Yammy yang saya kenali begitu rapat, telah melakukan apa yang diminta oleh Dr Mahathir itu. Hasilnya apabila anaknya Dyana mengetahui segala cerita yang diceritakan oleh ibunya, maka anaknya mengambil tindakan menyertai DAP kerana Dyana tahu bagaimana parti UMNO itu dibunuh dan digantikan dengan parti baru yang senama dengan UMNO yang dibunuh itu.

Lagi ramai orang mendengar nasihat Dr Mahathir untuk memberikan cerita sebenarnya tentang UMNO itu saya rasa lebih ramai anak-anak muda akan meninggalkan UMNO itu kerana mereka tahu cerita sebenarnya tentang kekotoran yang dilakukan oleh pimpinan UMNO itu.

Saya bersetuju dengan nasihat Dr Mahathir itu dengan memberikan segala cerita perjuangan UMNO itu terutamanya bagaimana UMNO itu dibunuh dan sebagainya. Tetapi Dr Mahathir jangan menyalahkan mereka meninggalkan UMNO itu kerana mereka terlalu marah dengan apa yang dilakukan oleh pimpinan UMNO seperti Dr Mahathir membunuh parti itu. Mahathir sepatutnya meminta ahli-ahli UMNO untuk tidak bercakap tentang sejarah UMNO itu kerana jika diceritakan sejarahnya bagaimana hendak mengelak dari menceritakan bagaimana UMNO itu dibunuh oleh beliau?

Bagi saya, saya menulis posting ini untuk mempertahankan Yammy Samat dari tuduhan jahat setengah pihak dalam UMNO itu. Sesungguhnya Yammy lebih setia kepada UMNO jika dibandingkan dengan Dr Mahathir, Najib atau pun Muhyidin Yassin serta pemimpin lain dalam UMNO itu.

Yammy tidak pernah mengambil wang kerajaan beratus juta ringgit untuk membela lembu yang akhirnya wang-wang tersebut digunakan untuk membeli kondominium mewah di merata negara dirantau ini.

Yammy tidak pernah menggunakan wang rakyat berbillion ringgit untuk menyelamatkan perniagaan anaknya. Yammy tidak pernah terlibat dengan seks luar tabii dan tidak pernah membeli sebentuk cincin dengan harga puluhan juta ringgit.

Bagi saya apa yang berlaku kepada UMNO sekarang ini adalah kerana pemimpin-pemimpin dan ahli serta kroni yang tidak setia kepada parti, malahan mereka adalah makhluk perosak yang telah menjahanamkan UMNO itu sejak tiga dekad yang lalu.

Itu sebabnya saya selalu mencadangkan supaya UMNO memilih untuk mencari imej baru dengan meminta seluruh anggota majlis teringgi parti itu meletakkan jawatan dan memberikan kepada seorang pemimpin yang boleh dan berkemampuan untuk membawa imej dan aura baru kepada parti itu.

Bak kata Tengku Razaleigh Hamzah jika Almarhum YTM Tunku masih hidup beliau akan membidas semua ahli politik negara kini, baik dari kerajaan mahu pun dari pembangkang.

Sesungguhnya kita memerlukan seorang yang berpengalaman untuk membawa perubahan baru kepada sistem politik yang sekarang ini sudah reput dan akan pecah tidak berapa lama lagi. Keperluan ini adalah ‘urgent’ dan tidak boleh berlengah lagi.

Jika perlu TR keluar untuk melakukan pembersihan kepada politik kotor yang ada pada hari ini, lakukanlah sekarang. Bagi saya TR lebih ‘magnanimous’ dari banyak pimpinan yang lain dan itu merupakan ‘attribute’ yang sangat diperlukan untuk mencapai matlamat dan ‘ultimate’ negara, iaitu untuk mencapai perpaduan kaum dengan kerajaan yang lebih bersih dari apa yang kita saksikan hari ini.

1 comment:

awang batuburok said...

Salam Pak Aspan,

Maaf tuan, saya rasa
YM TR tak ada keberanian untuk menentang umno-bn.
Kalau beliau benar benar ingin menyelamatkan negara tercinta, inilah masanya beliau perlu ishtiharkan menyokong Pakatan Rakyat secara terbuka.