16 May 2008

Tengku Razaleigh penjana ekonomi Melayu - Part 1

Dalam tulisan saya beberapa hari yang lepas, saya telah menulis tentang kesediaan Tengku Razaleigh Hamzah (TR) untuk memimpin kita dan UMNO.

Kesediaan itu dizahirkan oleh beliau sendiri, dan memang tiba masanya beliau tampil ke hadapan memandangkan kepimpinan UMNO secara keseluruhannya sudah tidak mendapat sokongan rakyat sekarang ini.

Munculnya nama TR memang tepat pada waktu UMNO sedang kehilangan seluruh kepimpinan setelah ditolak oleh ahli-ahli dan rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-12 pada 8hb Mac yang lalu.

Perkara ini perlu diambil serius oleh ahli-ahli UMNO dan jangan mengambil isu kepimpinan ini sebagai isu yang ringan, kerana jika kita masih lagi berfikir seperti dahulu maka UMNO akan terkubur buat selama lamanya.

Sekarang kita lakukan usaha terakhir untuk menyelamatkan UMNO, dan jika usaha ini gagal juga maka tidaklah payah lagi kita menjadi ahli parti yang tidak mahu berubah dan yang sudah pasti hilang kuasa persekutuan dalam pilihanraya yang akan datang.

Untuk melihat perubahan yang drastik, ahli-ahli di peringkat cawangan perlu memainkan peranan kerana perwakilan daripada bahagian-bahagian tidak melaksanakan tugas dan telah bertanggungjawab memilih pemimpin-pemimpin yang salah selama ini.

Bagi ahli-ahli biasa di cawangan, mengenali TR dengan lebih dekat patut diusahakan kerana kita di cawangan selama ini hanya mengikut arus yang akhirnya membawa malapetaka kepada parti dan negara.

Kali ini kita di cawangan-cawangan perlu berani bertindak tegas demi menyelamatkan bangsa dan negara kita daripada terus diurus oleh pemimpin-pemimpin yang tidak berkemampuan.


TR bukan calang-calang orangnya kerana beliau telah membuktikan bahawa beliau hanya pandai untuk berbakti kepada bangsa dan negaranya sejak beliau kembali ke tanahair sesudah menamatkan pengajian beliau di United Kingdom pada tahun 1962.

TR terus dipujuk oleh Perdana Menteri ketika itu, iaitu YTM Tunku Abdul Rahman Putra supaya beliau mengambil tanggungjawab membantu UMNO dan kerajaan kerana kedhaifan orang Melayu dalam semua bidang kehidupan pada masa itu.

Kita boleh bayangkan betapa rumitnya tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada TR untuk memainkan peranan membina bangsa Melayu yang ketika itu tiada apa-apa asas dalam semua bidang.

Selain daripada tugas mengembalikan UMNO berkuasa di Kelantan, anak Raja berjiwa rakyat ini diminta memikirkan cara membina asas ekonomi bangsanya.

Beliau turut ditugaskan untuk merubah pemikiran orang Melayu daripada pemikiran ‘conventional’ kepada pemikiran moden yang sangat perlu bagi membina bangsa Melayu yang mundur dalam segala bidang.

Tugas pertama beliau adalah untuk menubuhkan Bank Bumiputra (BBMB) bagi memenuhi resolusi Kongres Ekonomi Bumiputra 1965. Sistem perbankan adalah asas bagi memulakan langkah memajukan bangsa Melayu.

Bagi meyakinkan orang Melayu untuk menerima sistem perbankan ini bukanlah satu tugas yang mudah, kerana orang Melayu ketika itu rata-ratanya menganggap sistem perbankan adalah satu aktiviti yang haram.

Masalah keduanya ialah semasa itu jumlah anak Melayu yang terlibat dengan industri perbankan ini boleh dikira dengan jari sedangkan cita-cita kerajaan semasa itu ialah untuk membawa bangsa Melayu ke industri ini seberapa ramai yang boleh.

TR dengan berbekalkan ilmu dan semangat kemelayuan yang tinggi telah bertindak berani dengan menawarkan ribuan biasiswa BBMB kepada anak-anak Melayu untuk mengikuti kursus ‘professional’ di dalam dan di luar negara.


Beliau bertindak sedemikian bagi mengisi keperluan negara serta mengisi jawatan-jawatan pengurusan dalam bidang perbankan dan sektor-sektor lain.

Hasil daripada peranan TR inilah kita sama-sama menyaksikan percambahan bakat-bakat Melayu dalam bidang perbankan pada hari ini dan hampir setiap keluarga di desa dan di bandar mempunyai anak-anak yang bekerja dalam sektor ini.

Tidak ada satu bangsa yang mundur dalam dunia ini yang telah maju dengan derasnya seperti orang Melayu dalam sektor penting ini. TR telah melakukannya dan beliau begitu bangga dengan pencapaian bangsanya yang begitu ketara.

TR sedar tiada satu bangsa boleh maju tanpa menerima sistem perbankan sebagai penggerak utama pembangunan sesebuah negara dan bangsa.


Banyak lagi yang akan saya tulis mengikut apa yang saya ingat tentang apa yang telah TR lakukan untuk bangsanya.

Ianya termasuklah PETRONAS, PERNAS, BANK ISLAM, PNB, ASNB, KUB dan banyak lagi yang telah memberikan manfaat yang terus kepada bangsa Melayu dan negara yang kini tidak lagi dilakukan.

Sekian……………………………………………………. Aspan Alias.

No comments: