16 May 2008

Tengku Razaleigh penjana ekonomi Melayu - Part 3

Tengku Razaleigh (TR) dalam memenuhi tanggungjawab yang diberikan oleh kerajaan selalunya akan berjaya melaksanakan tanggungjawab tersebut kerana TR adalah seorang ‘planner’ dan teknokrat yang bersandarkan maruah dan komitment yang tinggi.

Dalam kesibukan beliau membangunkan BBMB, PERNAS, PETRONAS dan yang lain-lain kepentingan bumiputra, beliau telah memberikan impak yang lebih besar apabila beliau menyertai kabinet selepas kematian Tun Razak.

Sebagai Menteri Kewangan dan pengerusi kepada Jawatankuasa Penyelaras Pelaburan Kabinet (JPP), TR telah mencadangkan kepada kabinet satu dasar yang praktikal bagi rakyat bumiputra menikmati kekayaan negara secara terus.

Persetujuan kabinet itu telah dilaksanakan oleh TR dengan penubuhan Permodakan Nasional Bhd (PNB) dan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) pada tahun 1979 bagi persediaan pembahagian kekayaan ini yang akhirnya dilancarkan pada 1hb Jun 1981.

PNB diperbadankan di bawah akta syarikat untuk mengumpulkan segala saham-saham syarikat yang menguntungkan samada daripada pasaran ataupun syarikat-syarikat kepunyaan kerajaan yang berjaya dan menguntungkan.

PNB diberi tugas untuk mengagihkan kekayaan ini kepada rakyat dan TR telah membuat pemantauan yang begitu teliti melalui Unit Penyelaras dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU).

Memandangkan bumiputera tidak berkemampuan untuk membeli saham-saham syarikat secara terus maka Jawatankuasa Penyelaras Pelaburan Kabinet telah mengambil keputusan untuk membahagikan saham-saham ini secara Saham Amanah.

ASNB merupakan syarikat pengurusan Skim Amanah Saham Nasional di mana Skim ini membeli saham terpilih yang sudah sedia ada dalam pegangan PNB dan mengagihkan unit-unit saham ini kepada bumiputera.

Peristiwa besar pelancaran Skim Amanah Saham Nasional pada 1hb Jun 1981 bagi saya merupakan ‘event’ yang begitu bermakna bagi orang Melayu dan bumiputera.

Sehingga ke hari ini, orang Melayu masih lagi dapat melihat satu skim saham amanah yang terbesar di dunia ini dan ini merupakan titik peluh TR yang sekarang ini cuba dilupakan oleh sesetengah pihak.

Saya sebagai pegawai kecilan dalam PNB semasa itu telah menjelajah selama 3 tahun untuk memberikan penerangan kepada orang-orang di desa dari Perlis hingga ke Sabah setiap hari dan malam hinggakan tidak ada peluang untuk berseronok sebagai orang muda semasa itu.

Kejayaan ini bukan boleh datang begitu sahaja, tetapi kejayaan yang hakiki ini hanya boleh didapati melalui kejujuran yang optima untuk menyaksikan orang Melayu berjaya dan inilah yang telah dipupuk oleh TR pada masa itu.

Semasa itu, tidak ada cerita anak-anak, menantu, ataupun isteri pemimpin mempengaruhi apa-apa dasar yang hendak dilaksanakan untuk rakyat.


Tidak ada juga di kalangan kami yang menerima komisen hasil daripada kerja kami walaupun tidak ada prosidur yang ketat dalam hal perbelanjaan syarikat.

Ketika itu dalam benak kami hanya satu, iaitu Melayu, Melayu, Bumiputera, Bumiputera! tak ada yang lain.

Kami berharap TR akan kembali ke persada kepimpinan untuk generasi sekarang merasai bagaimana nikmatnya melihat bangsa kita dipimpin dengan jujur dan berwibawa.

Apabila kembali impian kami ini, sampailah hajat yang kian lama ditunggu-tunggu.

Kepada Tengku, patik terus bertawajjuh dan bertawassul dengan Yang Esa agar cita-cita negara akan tercapai melalui usaha gigih Tengku.



Sekian………………………………………………………… Aspan Alias.

No comments: