04 May 2008

Nasimuddin dalam kenangan



Pemergian Nasimuddin (Tan Sri) ke rahmatullah mengejutkan semua termasuk diri saya yang memang mengenali beliau secara dekat.

Walaupun kita yakin bahawa mati itu adalah wajib tetapi saya agak terkejut memandangkan usianya yang masih muda telah pergi mendahului kita semua menemui sang pencipta di arash.

Pemergian tokoh yang masih muda ini adalah kehilangan ‘self-made billionaire’ yang telah menempa kejayaan dengan kerja keras dan tidak pernah merasa penat sehingga akhir hayatnya.


Kumpulan Naza adalah sinonim dengan beliau, yang telah memulakan perniagaan pengimportan kereta-kereta Jepun setelah beliau diberikan 10 Approved Permit (AP) oleh Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Malaysia (MITI) pada tahun 1980 melalui Naza Motors Sdn Bhd.

Saya mula rapat dengan beliau ketika beliau datang ke pejabat saya semasa saya bertugas di Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada tahun 1982.

Beliau meminta saya mengambil cuti untuk membantu beliau ke London dan Germany serta beberapa negara lain untuk mencari pembekal kereta-kereta Mercedez dan BMW terpakai.

Dengan sedikit sebanyak kenalan yang ada, saya pun menemani beliau ke London dan negara-negara Eropah untuk mengenalkan beliau dengan pembekal-pembekal kereta terpakai seperti yang beliau inginkan.


Di sini saya sertakan dua keping gambar kenangan bersama allahyarham semasa lawatan tersebut.

Saya masih ingat rakan kongsi beliau Chik Wan Hj Suak turut bersama dalam rombongan itu selain dari rakan kongsi saya Syed Sheh Shahbudin dari Alor Setar.

Turut serta ialah seorang pengimport kereta Abdul Manaf dari Alor Setar, Kedah.

Sejak daripada saat ini beliau tidak lagi menoleh ke belakang dan terus menerus berkembang sehingga apa yang ada pada Kumpulan Naza pada hari ini.

Dalam tempoh 25 tahun, Kumpulan Naza menjadi satu kumpulan perniagaan yang sangat dihormati oleh masyarakat dan negara yang telah melibatkan bidang-bidang perladangan, pembuatan kereta, perhotelan dan banyak lagi yang tidak dapat saya senaraikan di sini.

Nasimuddin telah berjaya menjadi seorang tokoh yang dikenali bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga masyarakat perniagaan antarabangsa.


Tokoh besar dari Kuala Pilah ini juga saya hormati kerana sifat kasih-mengasihi antara adik-beradik yang kesemuanya bernaung di bawah Kumpulan Naza.

Beliau berjaya menaikkan nama keluarga daripada kehidupan sederhana sehingga menjadi keluarga yang ternama di daerah adat Kuala Pilah dan telah banyak membantu kegiatan kemasyarakatan tempatan.

Sifat merendah diri membezakan beliau dengan tokoh-tokoh berjaya yang lain yang selalunya akan menjadi sombong dan memandang rendah pada rakan-rakan yang kurang berjaya.

Status masyarakat yang tinggi tidak membuatkan beliau terhalang untuk duduk dengan rakan-rakan di warung-warung dan restoran-restoran kecil dan Nasim tidak mahal dengan senyuman kepada rakan-rakan lama.


Saya bagi pihak rakan-rakan berharap Puan Sri serta ahli keluarga bersabar menghadapi dugaan ini dan menerima hakikat bahawa mati itu adalah wajib bagi umat manusia.

Nasimuddin tidak akan mudah dilupakan masyarakat kerana kejayaan beliau telah dapat dirasai melalui penglibatannya yang besar dalam aktiviti kemasyarakatan semasa hayatnya.

Budinya kepada bangsa dan negara begitu besar dan beliau merupakan seorang ahli perniagaan hasil daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah diwujudkan kerajaan.


Kami hanya mampu untuk berdoa dan menghadiahkan surah Al-Fatihah semoga roh beliau diletakkan di kalangan roh-roh orang-orang yang mukmin dan syuhada’.

Walaupun Nasim pergi hanya dengan tiga lapis kain putih, tetapi beliau meninggalkan ubudiah yang begitu besar dengan meninggalkan puluhan ribu peluang pekerjaan kepada anak bangsa yang dahagakan penghidupan yang sempurna.

Bak kata pepatah Melayu, ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa’.

Sekian, Al-Fatihah………………………………………………… Aspan Alias

1 comment:

joe said...

al fatihah......semoga roh Nasimuddin dicucuri rahmat....dan diberi keampunan