08 June 2008

Pelepah kelapa mati

Keresahan rakyat terutamanya yang duduk di bandar-bandar memang susah hendak digambarkan kerana belum lagi pernah melalui keadaan seperti ini dalam sejarah negara.

Ramai berpendapat kita bakal mengalami apa yang dideritakan oleh ibu bapa dan datuk nenek kita semasa pemerintahan Jepun dari tahun 1941 sehingga 1945 dahulu.

Ini merupakan pengalaman baru bagi rakyat dan mereka tidak lagi dapat membayangkan bagaimana para pemimpin kita dapat mengatasi kemelut ini.

Dalam keadaan sebelum berlakunya kenaikan harga barang ini pun pemimpin-pemimpin kita tidak dapat mencari jalan keluar terhadap masalah ekonomi yang dihadapi rakyat.

Menghadapi situasi seperti ini memerlukan kepakaran pemimpin-pemimpin, dan ketelusan pentadbiran bagi menghindari gejala buruk seperti rasuah dan yang lebih perlu ialah pengorbanan.

Pengorbanan yang dimaksudkan ialah dengan cara mengundurkan diri daripada kepimpinan sekiranya tidak mampu untuk mencari jalan penyelesaian kerana akhirnya rakyatlah yang menanggung akibatnya.

Kenaikan harga makanan dan bahan bakar seperti petrol dan diesel boleh membawa negara ke arah kehancuran. Banyak negara di dunia telah menjadi lemah dan rakyatnya menderita seperti di sesetengah negara Afrika walaupun sudah merdeka berpuluh tahun lamanya.

Akhirnya negara-negara tersebut terpaksa bergantung kepada bantuan asing, dan kedaulatan mereka tergadai kepada kuasa luar yang sentiasa mengintai kesempatan untuk menguasai negara mereka.

Bagi kita di Malaysia rakyat telah pun memberi isyarat yang jelas bahawa mereka sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan dalam pilihanraya umum baru-baru ini dan isyarat ini nampaknya masih tidak diendahkan oleh pemimpin-pemimpin atasan.

Kekalahan kita di banyak tempat merupakan ‘vote of no confidence’ rakyat kepada barisan kepimpinan kita, dan rakyat jelas mahukan parti dan negara dipimpin oleh barisan yang baru.

Barisan yang baru bermaksud parti dan negara dipimpin pula oleh pemimpin yang berada di luar barisan kepimpinan yang wujud pada hari ini.

Para pemimpin sekarang masih lagi berusaha untuk kekal di atas dengan melakukan pelbagai usaha dengan harapan supaya rakyat menerima mereka sedangkan jalan penyelesaiannya hanya satu iaitu dengan menyerahkan kuasa kepada pemimpin yang yakin dan berkemampuan.

Mereka ini bolehlah diibaratkan seperti pelepah kelapa yang sudah mati: masih tergantung di pohon kelapa walaupun sudah mati dan tidak berguna lagi.

Saya sangat yakin bahawa penyelesaian kepada kerumitan rakyat ketika ini hanya boleh dilakukan oleh seseorang teknokrat dan mengakui bahawa Abdullah Badawi ataupun Najib tidak mampu menangani gejala yang baru kita alami ini.

Carilah pemimpin yang tidak menumpukan perhatian kepada politik menantu, perniagaan anak mahupun pemimpin-pemimpin yang terlalu dipengaruhi oleh isteri-isteri yang glamour.

Kelemahan ini akan mengakibatkan negara kucar-kacir memandangkan banyak pemimpin dunia gugur disebabkan isteri yang terlalu besar pengaruhnya dalam kepimpinan mereka.

Banyak negara di mana isteri pemimpin-pemimpin yang glamour dan berpengaruh telah digunakan oleh agen asing untuk mendapatkan maklumat serta rahsia kerajaan dan kita amat tidak ingin melihat perkara seperti ini berlaku kepada kita.

Kepada ahli-ahli UMNO saya berharap akan lebih serius dalam isu memilih pemimpin nombor satu negara kerana jika tersilap pilih, padahnya kepada negara dan generasi akan datang adalah amat menakutkan.

Saya percaya Melayu tidak akan hilang di dunia, cuma saya khuatir Melayu akan hilang dunianya jika kita salah memilih teraju negara.

Orang ramai telah mencadangkan seorang teknokrat yang telah saya sebut namanya banyak kali dalam tulisan-tulisan saya dan tidak payahlah saya ulanginya selalu kerana saya yakin rakyat, khususnya ahli-ahli UMNO sepatutnya sudah membuat penilaian seadil-adilnya.

Saya berpuas hati sekiranya ahli-ahli UMNO berfikir sejenak sebelum membuat pilihan, kerana baik buruknya hasil pemilihan itu merekalah yang akan bertanggungjawab ke atas pilihan masing-masing.

Pesanan saya hanya satu: Jangan biarkan Melayu hilang dunianya.



Sekian……………………………………………….. Aspan Alias.

3 comments:

shahbandarmalakat said...

Pelepah kelapa mati ..memang topet sokali..Rais membaconya pun tercongang congang... ialah itu lah harapan kito tapi sebonarnya Melayu dah hilang banyak dunianya...tenguk Kuala Lumpur berapa kerat melayu punya..

Itu lah Tun Abd Razak ada cakap Malaysia nak maju 10 kali ganda dari singapore , pun boleh pasal kita banyak hasil buminya..tetapi nanti kalau buat untuk siapa? kemana lah Melayu pergi?

Anonymous said...

bro aspan,
dalam konteks ini, konsep vote of no confidence adalah lebih kurang sama dengan silent protest terhadap kepimpinan yang ada sekarang. begitulah juga dengan konsep 'berani' dan 'bodoh' yang juga lebih kurang sama ertinya. budak kecil umpamanya jika disuruh memegang api, apakah perbuatan tersebut dianggap bodoh ataupun berani!

Unknown said...

salam

Tak kan melayu hilang didunia..

memang benar lah ungkapan itu..tapi persoalannya....melayu yang mcm mana yang tinggal ....

melayu yang zahirnya.....adakah itu yang kita maukan.....melayu yang bertopengkan melayu,,tetapi dalamnya kosong....

kekuatan melayu takakn hilang jikalau asanya tidak lari atau hilang iaitu islam.....

carcoon