12 June 2008

UMNO yang tidak keruan

Suasana politik semakin hari semakin terasa panasnya. Kesudahannya tuhan sahaja yang tahu. Jika dikaji daripada ‘momentum’ tekanan rakyat terhadap kepimpinan, kita hanya nampak kereputan UMNO pada pandangan masyarakat.

Sekarang sudah banyak puak dan banyak pandangan, tetapi tidak banyak pandangan yang kita nampak mampu memperbetulkan keadaan yang kian hari kian mengarut ini.

Pemimpin-pemimpin parti yang berada di dalam kerajaan sekarang sibuk membina kekuatan sokongan sehingga lalai terhadap tugas kementerian masing-masing dan sudah sampai ke tahap yang tidak keruan.

Di tengah-tengah masyarakat kini bermacam-macam cerita yang kita dengar: Orang yang bersimpati dengan Pak Lah mengatakan Najib hanya menunggu masa untuk ‘dibersarakan’.

Najib pula tidak mampu untuk mendesak Pak Lah untuk berhenti kerana banyak perkara yang Pah Lah sedia maklum tentang Najib.

Bagi pihak Najib pula isyarat telah diturunkan ke bawah untuk memberikan pencalonan kepadanya bagi jawatan Presiden UMNO dan orang-orang kuat beliau telah menjelajah untuk memastikan arahannya itu dilaksanakan dengan baik.

Najib sudah pasti akan menentang Abdullah Badawi sebagai Presiden UMNO Disember ini sebelum Anwar Ibrahim boleh melakukan sesuatu kepadanya.

Orang-orang Muhyiddin pula main ‘game’ yang berbeza dengan berusaha untuk menolak semua pemimpin yang berminat untuk bertanding jawatan Presiden bagi memudahkan beliau untuk meletakkan dirinya sebagai Timbalan Presiden tanpa mengharungi banyak masalah.

Bagi Muhyiddin apabila sampai ke tahap itu kelak beliau boleh memilih sesiapa yang beliau fikir patut untuk menjadi Perdana Menteri dan memberikan sokongan kepada pihak tersebut.

Sekiranya Muhyiddin menjadi Timbalan Presiden, lagi lemah Presiden itu lagi mudahlah beliau untuk mengambilalih jawatan tersebut. Orang-orang kuatnya memberitahu Pak Lahlah yang paling lemah dan itulah kehendak Muhyiddin untuk kekal sebagai PM.

Bagi Muhyiddin jika Najib kalah maka satu halangan beliau untuk naik kepada kedudukan nombor satu tampak lebih mudah kerana beliau akan hanya berhadapan dengan Pak Lah.

Buat masa ini Muhyiddin akan bersama Najib untuk menggalakkan Najib masuk ke gelanggang yang panas itu.

Kabinet pula berpuak-puak: Muhyiddin, Rais, Syed Hamid dan beberapa orang yang lain meminta Pak Lah meletakkan jawatan sedangkan sebahagian yang lain mempertahankan Pak Lah bermati-matian.

Antaranya ialah Azalina, Zaid Ibrahim, Zahid Hamidi, Mohd Zain Mohammed, Khaled Nordin dan beberapa yang lain.

Bermacam-macam silat dipersembahkan oleh pemimpin pemimpin yang berminat: Ada yang membuat silat lincah. Ada yang mempersembahkan silat cekak dan ada pula yang main silat pulut.

Dalam keasyikan mereka bersilat kesemua mereka ini lupa kepada apa yang sedang berlaku di bawah terutamanya rakyat yang ramai.

Rakyat sedang berperang untuk hidup, mencari belanja untuk anak-anak yang bersekolah, memerah keringat untuk membantu ibu bapa yang uzur di kampung.

Di kampung bukan sahaja ibu bapa kita yang uzur, malahan UMNO itu sendiri sudah terlalu uzur.

Pemimpin-pemimpin di sebaliknya sedang menghabiskan waktu untuk kepentingan peribadi sehinggakan tiada masa untuk membela nasib rakyat yang sedang terkapai-kapai untuk hidup.

Wang sudah mula turun ke bawah: Itulah yang didengar di mana-mana. Tidak berapa lama lagi wang akan gugur seperti daun kayu…Ratusan juta dengarnya.

Wang…wang...wang... itu sahaja yang boleh membantu mereka untuk kekal di atas, tetapi orang-orang di bawah hanya diperlakukan seperti dahan bongkok untuk ‘kera dan monyet’ meniti.

Nah!!! Saya hendak bertanya kepada orang-orang di bawah, sampai bila kita hendak dibeli dengan wang rinngit? Selamatkah hidup kita dan berkatkah keturunan kita dan yang lebih pentingnya tidakkah anda takut kalau negara kita ini akan hancur?

Kita yang bersalah sebenarnya jika pemimpin-pemimpin yang buas ini masih berada di tempat yang sekarang.

Kali ini pertembungan di antara pemimpin-pemimpin dan rakyat akan berlaku.

Pemimpin-pemimpin hari ini akan bertembung dengan rakyat yang akan meletakkan Tengku Razaleigh sebagai pemimpin mereka.

Usaha sedang kuat dijalankan, dan hanya tuhan sahaja yang akan menentukan.

Jika ada nasib yang baik Tengku Razaleigh dan rakyat akan berjaya, dan jika kita begitu berminat untuk kehancuran UMNO, buatlah apa yang masing-masing suka.

Sesungguhnya hanya kita sendiri yang mampu menentukan nasib kita di hari muka.


Sekian…………………………………………………………….Aspan Alias.

2 comments:

shahbandarmalakat said...

alang kah baiknya dapat didokumentasikan Q & A sessi TR jumpa rakyat....dan keluarkan dalam satu blog khas orang awam boleh rujuk? maaf saya tak dpt ikut sessi itu....kena buat Pan...jangan tunggu

aspan_alias said...

Pandangan shahbandarmalakt sangat bernas dan boleh diusahakan.
Berilah cadangan bagaimana hendak melakukannya.

Sila beri cadangan

Tkasih