Kata-kata orang-orang tua dahulu,
yang muda membuat ragam, yang tua menahan ragam. Maksud kata-kata ini ialah
mereka yang masih muda dan belum matang selalu melakukan kesalahan dan
kesilapan yang dianggapkan sebagai tindakan membuat ragam. Yang tua-tua dan
yang telah matang menahan ragam-ragam yang dilakukan oleh yang muda-muda ini
sambil memberikan bimbingan untuk bersedia untuk menempuh zaman tua dan matang
kita dan tidak melakukan ragam lagi, malahan meengambil giliran untuk menahan
ragam yang muda-muda pula.
Dalam politik dan kepimpinan juga
kata-kata ini terpakai. Pemimpin yang sepatutnya matang mestilah sabar menahan
ragam rakyat pimpinan mereka. Tetapi ia tidak lagi berlaku dalam politik
tanahair kita ini. Jika kita amati segala yang berlaku selama tiga dekat yang
lalu keadaan sudah terbalik. Pemimpin-pemimpin pula yang membuat ragam,
sedangkan rakyat menahan ragam pemimpin sekian lama.
Berbagai-bagai macam ragam yang
dilakukan oleh pimpinan parti-parti politik dari kedua-dua belah pihak dan
bermacam-macam lagi perkara yang tidak baik dan senonoh dilakukan oleh pemimpin
utama negara dengan keluarga mereka dan semuanya membina situasi tidak
menyenangkan yang membawa implikasi buruk kepada kehidupan rakyat dan keutuhan
negara kita.
Jika kita berfikir dan bertafakur
mengenang kembali nasib yang menimpa
rakyat negara ini, kita kadangkala merasakan yang kita tidak berubah,
sama sahaja seperti kita dalam penjajahan Inggeris atau mana-mana kuasa besar
dahulu. Inggeris telah menjajah kita begitu lama dan mereka tidak mempunyai
niat yang lain selain dari bertujuan untuk memunggah segala kekayaan negara
kita untuk dibawa dan dimunafaatkan oleh rakyat negara penjajah itu.
Bermula dari kegiatan perdagangan
oleh East India Company dahulu, kekayaan negara kita dipunggah ke London untuk
memperkayakan negara British itu dan tindakan itu masih berlaku tetapi
dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kita sendiri yang tidak bertanggungjawab
sekarang ini. British telah memunggah segala hasil perladangan sehinggakan
syarikat perladangan yang besar di sini mempunyai pusat dan Headquarters nya di
London.
Hasil perladangan kita dipunggah
melalui syarikat-syarikat perladangan seperti Harrison and Crossfield, Guthries,
dan juga Sime Darby yang dahulunya berpengkalan di London . Selain dari itu kita mendengar nama
seperti Tradewinds yang juga berpusat di London
dengan memunggah hasil kekayaan dari negara kita.
London Tin merupakan syarikat
British yang terbesar dalam bidang pengeluaran bijih timah yang kini bernama
Malaysian Mining Corporation setelah syarikat itu dibeli oleh rakyat negara ini
dan membawa ibu pejabat syarikat itu ke
Kuala Lumpur. Hampir kesemua syarikat-syarikat besar British yang mempunyai
perniagaan di sini telah dibawa kembali. Baik Tradewinds, mahu pun Harrison Crossfield
serta Sime Darby dan Guthries serta yang lain-lainnya telah dibawa kembali
setelah kita mempunyai kepakaran dalam bidang pengambil alihan
syarikat-syarikat ini.
Syarikat gergasi yang terakhir
yang dibawa kembali ke Kuala Lumpur ialah
Guthries yang berlaku pada 7hb September 1981 dahulu melalui Dawn Raid yang
mana kita telah mengambil alih Guthries itu secara ‘hostile’ di pasaran
saham London pada pagi (waktu Malaysia ) 7hb
September 1981 itu.
Dengan pembelian saham-saham
Guthries melalui pemegang-pemegang saham kecil (minority share holders) di
merata tempat termasuk dari Singapura, kita telah berjaya mendapatkan 33
peratus dari saham syarikat itu dan melakukan ‘general offer’ dan berakhirlah
penaklukan British terhadap kita melalui syarikat perladangan itu. Guthries
kembali berpengkalan di Kuala Lumpur.sejak dari hari itu.
Semasa itu kita semuanya lebih-lebih
lagi pemimpin begitu ‘engrossed’ dengan usaha memindahkan pengkalan
syrikat-syarikat besar hasil perladangan dan timah dari negara ini untuk
kembali ke Kuala Lumpur .
Maka hasil dari perladangan dan bijih timah ini tidak lagi mengalir ke London tetapi sebaliknya
kekal di negara kita. Perlaksanaan semangat nasionalisma kita begitu kuat dan
tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk membuat kekayaan untuk diri
mereka masing-masing. Semuanya dilakukan untuk kebaikan negara kita bagi
mengisi kemerdekaan yang telah kita capai pada tahun 1957 itu.
Perdana Menteri pada masa itu Tun
Razak dan seterusnya Hussein Onn begitu komited untuk melaksanakan usaha ini
dan Tun Razak begitu teliti untuk memberikan tugas kepada sesiapa yang beliau
jangka dan berkeyakinan untuk melaksanakan usaha ini sampai berjaya. Perdana
Menteri Razak dan Hussein telah memberikan tugas kepada Tengku Razaleigh Hamzah
untuk memenuhi cita-cita ini dan TR sebagai pengerusi kepada Jawatankuasa
Penyelaras Pelaburan Kabinet telah diberikan kepercayaan untuk melaksanakan
usaha ini dengan memberikan beliau ‘parameter’ yang luas untuk mengambil
apa-apa keputusan dan tindakan yang perlu untuk melaksanakan usaha pengisian
kemerdekaan ini.
TR mengambil tugasan dan
tanggungjawab ini dengan komitmen yang besar dan beliau terus memperhambakan
diri beliau untuk memberikan khidmat kepada negara dengan pengetahuan yang
lengkap tentang apa yang beliau hendak lakukan kerana beliau merupakan seorang teknokrat
dan planner yang ‘impeccable’ untuk negara.
TR telah menggunakan kepakaran
beliau sendiri bersama dengan rakan-rakan yang sama komitmennya untuk melihat
asas ekonomi negara kita mantap dan tidak dicemari oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab dan mempunyai agenda sendiri. TR bersama-sama dengan nama Tun
Ismail Ali, Tan Sri Aziz Taha yang kedua-duanya merupakan bekas Gabenor Bank
Negara dan nama-nama seperti Raja Badrul, Junus Sudin, Abdul Manan Othman dan
beberapa orang lain yang saya sudah lupa nama mereka, telah berkhidmat tanpa
had masa dan waktu bagi mempastikan apa yang dikehendaki oleh negara tercapai
sepenuhnya.
Kini semua mereka ini tidak
diketahui di mana mereka tinggal dan apa yang mereka sedang lakukan. Hanya TR
yang masih berada dalam Parlimen dan masih berkhidmat sebagai seorang ahli
parlimen. Politik telah memaksa beliau duduk di tepian dan pastinya beliau
sedang memerhati tingkah laku pimpinan yang kini sedang membawa masalah kepada
negara.
Bekas tangan TR masih boleh kita
lihat walaupun banyak di antara yang beliau tubuh dan bina secara
beransur-ansur dipecahkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang mengaku
sebagai pengisi kepada kemerdekaan negara tetapi tidak nampak keselariannya
dengan kehendak rakyat dan negara.
Kalau tidak masakan negara
sekarang berada dalam keadaan yang sangat diragukan ketahannya sebagai sebuah
negara yang benar-benar merdeka dan berdaulat. Sesungguhnya pemimpin hari ini
lebih banyak membuat ragam dan rakyat biasa seperti kita pula yang menahan
ragam-ragam pimpinan ini pula.
Semuanya sudah terbalik. Yang benar terhimpit dan diketepikan yang taghut dan berjinak dengan yang bathil pula di sanjung dan di besarkan. Sesungguhnya ini adalah salah satu dari dalil hari hampir kepada kiamat, dan kita tidak disangka-sangak menjadi pembawa dalil hari hendak kiamat itu.
(bersambung besok)
No comments:
Post a Comment