11 February 2014

TS Taib Mahmud berpesan, "lindungilah Sarawak dari......."

TS Taib Mahmud akan bersara sebagai Ketua Menteri Sarawak dan pengumuman persaraan beliau telah membawa banyak spekulasi politik yang begitu liar kadangkalanya. Beliau akan bersara hujung bulan ini selepas mengetuai kepimpinan negeri itu selama 33 tahun. TS Taib telah berkuasa begitu lama dan beliau telah berpegang kepada kuasa rakyat yang memandatkan beliau melalui BN Sarawak sejak lebih dari tiga dekad.

Salah satu isu yang timbul akhir-akhir ini Taib telah dikatakan berpesan supaya kepimpinan yang baru menjaga Sarawak dan mesti mempertahankan Sarawak ‘at all cost’. Ia bermakna Sarawak mesti mengekalkan apa yang sedia ada dengan tiadanya UMNO menyusup masuk ke Sarawak. Sarawak sememangnya berbeza dengan Sabah dan tidak ramai yang memahami Sarawak dengan rapi. Sarawak mempunyai identitinya tersendiri sebagai sebuah negeri yang tidak wujud parti UMNO, parti yang menguasai Kerajaan Persekutuan.

Sarawak terkenal sebagai sebuah negeri yang tidak boleh dibolosi oleh UMNO sejak dari dulu, tidak ada parti dalam BN Sarawak berada di Semenanjung. Malahan tidak pernah kita melihat perhubungan sesebuah parti dalam Sarawak dengan parti-parti di Semenanjung selain dari melalui mesyuarat dan perbincangan dalam pimpinan BN Persekutuan.

UMNO pernah mencuba untuk mengembangkan sayapnya di Sarawak melalui beberapa orang pimpinan persekutuan dari Sarawak dan kesemua diantara mereka yang mencuba untuk membawa UMNO di Sarawak telah menerima ajal politik mereka dengan mudah dan senang. Di Sarawak UMNO adalah sebuah parti yang seolah-olah dianggap sebagai parti pembangkang. DAP mampu masuk ke Sarawak dan telah memenangi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan satu dua kerusi Parlimen, tetapi tidak UMNO. PAS telah berjaya menubuhkan cawangan di Sarawak.

Semuanya ini adalah kerana kekentalan Taib Mahmud menolak kemasukan UMNO itu dengan jelas dan nyata. Seperti Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan untuk bertapak di negara ini, UMNO seolah-olah diharamkan bertapak di Sarawak.

Justeru isu samada UMNO akan masuk ke Sarawak selepas pengunduran Taib Mahmud nanti menjadi tajuk yang besar dan perbincangan dan pemikiran rakyat sehari dua ini. Abang Abu Bakar benar-benar terbakar politik beliau kerana cuba membawa masuk UMNO ke negeri kenyalang itu pada suatu ketika dahulu. Justeru adalah menjadi keyakinan ramai yang UMNO tetap di ‘haramkan’ untuk bertapak di Sarawak kerana ia akan membenamkan politik mana-mana individu yang cuba untuk membawa UMNO ke Sarawak.

Tetapi yang lebih besar lagi yang mahu dilihat rakyat ialah sejauh mana kekuatan PBB dan pimpinannya setelah bersaranya TS Taib nanti?. Bagaimana pula perhubungan diantara parti-parti dalam BN Sarawak nanti? Bagaimana pula perhubungan dengan kerajaan persekutuan pula?

Jawapan-jawapan kepada persoalan-persoalan diatas tentulah berbeza sedikit sebanyak, bergantung kepada siapa yang akan mengambil alih teraju kepimpinan negeri dari Taib nanti. Kalau Abang Johari yang mengambil alih apa pula keadaannya berbanding Adenan Satem mengambil alih. Jika Awang Tengah mengambil alih apa pula perbezaannya dengan kedua-dua Abang Johari dan Adenan Satem.

Semuanya akan berbeza diantara seorang dengan seorang yang lain yang mengambil alih kepimpinan negeri itu. Tetapi apa yang dijangka mempunyai persamaannya siapa pun diantara mereka bertiga yang mengambil alih itu nanti, UMNO tidak akan dapat bertapak di Sarawak kerana jika UMNO berada di Sarawak, negeri itu akan terpaksa meng'import' budaya politik UMNO yang telah terlihat menyebabkan Sabah mempunyai masalah dan sekarang berbeza dengan Sarawak yang masih seperti dahului politiknya.

Politik Sabah dipengaruhi dan dihimpit oleh kuasa Persekutuan kerana UMNO menjadi tunjang politik negeri Sabah. Pimpinan Persekutuan masih boleh membuat ‘political trading’ dengan pimpinan di Sabah dan Sabah tidak seperti sebelum UMNO menapak di sana. Malahan UMNO mempunyai seorang Naib Presiden dari Sabah buat kali pertamanya.

Ada baiknya jika UMNO tidak bertapak di Sarawak kerana telah terbukti Sarawak masih mampu bertahan sebagai sebuah negeri yang berstatus ‘equal partner’ dengan Persekutuan Tanah Melayu, sedangkan Sabah seolah-olah tidak dapat dilayan sebagai ‘equal partner’ kerana UMNO yang memimpin negeri itu. Sabah nampaknya seperti negeri-negeri di Semenanjung dan seolah-olah tidak ada perbezaannya dengan negeri Perlis di utara Semenanjung.

Perjanjian Persekutuan Malaysia itu sekarang seolah-olah bukannya perjanjian diantara Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak, tetapi seolah-olah Perjanjian diantara Persekutuan Tanah Melayu/Sabah dengan sebuah negeri lagi iaitu Sarawak. Kedudukan Sabah dalam realiti politiknya seperti sama dengan Perlis dan Melaka dalam perlaksanaan perjanjian persekutuan itu.

Sarawak masih sebuah negeri yang digeruni atau dihormati oleh pimpinan persekutuan dan tentulah rakyat Sarawak mahu kedudukannya sekarang tidak berubah seperti apa yang terlihat berlaku kepada Sabah kerana kehadiran UMNO di negeri itu sejak tahun 1990 dahulu.

Rakyat Sabah telah diperguna oleh pimpinan persekutuan pada tahun 1990 dahulu untuk ‘survival’ pimpinan Kuala Lumpur yang hampir tersungkur dalam pilihanraya 1990 dahulu jika tidak dibawa masuk UMNO secara tergesa-gesa pada tahun itu. Rakyat Sabah sanggup untuk membubarkan parti-partinya di Sabah untuk membuka jalan bagi UMNO untuk menambah kekuatan mereka yang telah tersedia susut semasa itu.

Sehingga sekarang UMNO kekal berkuasa di negara ini kerana pengorbanan Sabah untuk kepimpinan UMNO yang hampir tersungkur dalam pilihanraya 1990 dahulu. Bayangkan jika rakyat dan pimpinan Sabah semasa itu tidak menerima kemasukan parti itu di Sabah, UMNO sudah lama menjadi bahan sejarah negara.

Maka itu lah sebabnya ramai diantara rakyat Sabah sudah mula berpendapat yang mereka sejak 1990 dahulu seolah-olah telah ‘membela harimau atau ular sawa dalam reban’ mereka sendiri.

Itu sebenarnya yang ditakuti oeh kebanyakan rakyat Sarawak atau setidak-tidaknya ditakuti oleh Taib Mahmud seorang selama ini. Mungkin itulah sebabnya TS Taib berpesan kepada Ahli-Ahli Parlimen BN dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak, “Lindungilah  Sarawak dengan sesungguhnya”.

Hakikatnya kita tahu yang paling ditakuti oleh Sarawak ialah kemasukan UMNO dan pengaruh parti itu kedalam Sarawak yang memungkinkan negeri itu akan hilang identiti siasah mereka suatu hari nanti. Sarawak telah belajar banyak dengan hanya memerhatikan apa yang terjadi kepada jirannya, Sabah setelah UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah sejak 1990 dahulu.

7 comments:

Anonymous said...

Orang tua kalau berpesan bermaksud orang muda kena ikut kerana ada hikmah dari pesanan tu

Anonymous said...

Kita kena faham bahawa negeri Sarawak sentiasa akan bertindak sebagai penyokong kepada siapa saja yang berada putrajaya.Tetapi kadang2 manusia diputrajaya tu bijak tak boleh diikut-bodoh tak boleh diajar, jadi Sarawak kena tegas dan jangan berpaling kepada segala tindakkan yang akan menghakis hak dan merugikan Sarawak.

Suffian said...

Pesanan Taib Mahmud itu memamg tepat....susah tentu penyangak@penyamun A akan "extra carefull " akan penyangak@penyamun B. Jika selalu menonton filem2 Hollywood kita melihat betapa tidak harmoninya jika 2 penyangak saling berurusan atau close deal.
Sebab depa tahu yg depa ni masing2 penyangak@penyamun.
Lihat saja betapa korapnya Taib Mahmud bila bekas menantu buat tuntutan mutaah 100 juta.

albert magic said...

tuan Aspan langsung x menyebut nama Alfred Jabu sebagai pengganti Taib Mahmud sedangkan beliua adalah timbalan ketua menteri, mungkinkah pada pandangan tuan Aspan hanya orang islam sahaja yang layak menerajui sarawak

Anonymous said...

BUJANG SENANG calon terbaik KM Sarawak. Siapa berbalah... ngap saja. BUJANG SENANG tak gila politik... itu pun kalu masih hidup lagi laaa

Anonymous said...

albert magic...mmg benar, hanya org islam sahaja yang layak menjadi KM Sarawak.....

Anonymous said...

Tan Sri Adenan akan mengambil jawatan KM Sarawak yg ke5 dan sbg seorang Penguam sudah pasti Hak "Equal Partners " Sarawak dapat dipertahankan.Adenan is a very firm , knowledgeable , no nonsense and a strong charismatic guy. HE HAS PROVEN HIMSELF TO TAIB AND PBB THAT HE IS A SERVANT LEADER WHO DON'T EXPOUNCE TO MONEY POLITICS .Dia kalah kpd Abg
Johari pada pemilihan Parti PBB
1998 kerana tidak menggunakan wang dan semua orang tahu.Saya yakin TS Adenan akan dapat menjaga Hak Rakyat Sarawak dan sudah pasti UMNO tidak akan mengembangkan sayapnya ke Bumi Kenyalang.TS Adenan akan meneruskan Agenda Politik Pembangunan "ala Adenan" dan sbg Pemimpin Melayu Sarawak tulin yg Pertama ; HE WILL BE A LEADER TO WATCH FROM BORNEO AND SYABAS TS ADENAN..".UUUUUUuuuu-kata favourite Adenan "