12 February 2014

Kita tunggu perbezaan diantara pra dan post pentadbiran Taib Mahmud

Berminat pula saya menulis sambungan kepada posting saya yang lepas lanjutan dari isu perletakkan jawatan serta kebersaraan TS Taib (TSTM) dari kerajaan dan akan menjadi Gabenor Negeri kenyalang itu. Tentunya persaraan TS Taib ini merupakan peristiwa yang menjadi minat ramai untuk bercakap dan mentelaah tentang isu ini lebih mendalam lagi. Masakan tidak, TSTM merupakan Ketua Kerajaan yang paling lama sekarang ini, bukan sahaja dalam Malaysia malahan diantara yang terlama dalam dunia moden ini.

Moralnya Sarawak adalah sebuah negara yang bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah. Sarawak mempunyai kedaulatannya sendiri dan ia bukan setaraf dengan Perlis dan Melaka dari sudut tarafnya dalam Persekutuan Malaysia. Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu adalah ‘equal partner’ dan kedudukan itu sekali gus memberikan kita gambaran yang mereka di Sarawak adalah sebuah negara ysng khusus yang telah bergabung dengan dua buah negara yang lain.

Itu sebabnya tidak ada siapa yang mempersoalkan beliau satu-satunya Ketua Kerajaan Negeri yang menggunakan kereta termewah dalam dunia sekarang ini, Rolls Royce misalnya. TSTM adalah raja dalam kategorinya yang tersendiri.

Taib sahajalah yang boleh secara terbuka melabelkan pegawai SPRM sebagai budak nakal semasa cuba melakukan penyiasatan keatas tuduhan rasuah terhadap beliau dan sehingga sekarang TSTM tetap unggul dan masih mempunyai kuasa penentu bagi negerinya sendiri. Apabila beliau bersara pada hakikatnya beliaulah yang akan menentukan pengganti beliau dan tidak akan ada penentangnya.

Jika ada pun kesilapan pencarian terhadap penggantinya, ia akan hanya dirasakan setelah penggantinya itu mentadbir negeri Sarawak selepas beberapa ketika nanti. Bagi Putrajaya pengganti yang diharapkan mereka ialah sesiapa yang boleh bekerjasama dan mahu menunjukkan sikap kompromi dengan kerajaan Persekutuan untuk merapatkan pengaruhnya terhadap Sarawak itu.

Banyak pendapat ramai yang berkata yang kalau pun beliau terlibat dalam skandal rasuah seperti yang dipersepsikan dan berbagai lagi, tidak akan ada sesiapa dikalangan Jemaah Menteri Persekutuan termasuk Perdana Menteri sendiri boleh melakukan apa-apa tindakan penguat kuasaan terhadap TSTM. Jika ia dilakukan terhadap beliau, TSTM boleh menunjukkan ‘middle finger’ beliau dengan santai sahaja. Pendeknya setakat hari ini TSTM mempunyai ‘immunity’ yang tinggi dan tidak ada pihak nampaknya yang mampu memberikan beliau tekanan  politik oleh sesiapa di Persekutuan ini.

TSTM menguasai segala-galanya di Sarawak dan kita tidak berapa berkeyakinan yang penggantinya nanti mampu untuk memberikan kepimpinan yang sama tarafnya dengan kepimpinan TSTM. TSTM merupakan seorang yang mempunyai kepimpinan yang kuat kerana dalam banyak-banyak pemimpin beliau sahajalah yang kita tidak mendengar berucap dengan retorik dan slogan yang besar-besar. Selalunya hanya pemimpin yang kekurangan keyakinan dirinya sahaja cuba menutupi kelemahan mereka dengan berslogan, lepas satu slogan satu slogan yang lain pula wujud.

Pesanan TSTM supaya melindungi Sarawak ‘at all cost’ yang membawa maksud jangan biarkan UMNO bertapak itu, memberikan persepsi yang amat buruk kepada UMNO sebagai parti pemerintah sekarang. Dalam pada parti itu menghadapi masalah keyakinan di Semenanjung dan Sabah, Sarawak pula sedaya upaya cuba untuk menahan parti itu berkembang di Sarawak. Ia membawa makna kepada Sarawak, UMNO lebih tidak boleh dipercayai. Tetapi DAP dan PAS yang tidak mendapat apa-apa halangan untuk bergiat di negeri kenyalang itu.

Semasa persaraannya nanti TSTM tidak banyak yang ‘outstanding’ dengan pemimpin di Sarawak. Semasa persaraan tidak ada masalah tentang isu kepelbagaian bangsa dan suku kaum serta agama walaupun katanya Sarawak mempunyai 33 suku kaum yang tinggal dalamnya. Berbeza dengan Semenanjung yang bergolak tentang isu Allah walau pun bangsa-bangsa dan suku kaum di Semenanjung ini hanya kecil jika dibandingkan dengan Sarawak.

Ada pihak yang berkata di Sarawak tidak ada masalah dan isu yang berkait dengan perhubungan kaum kerana Sarawak belum di sentuh oleh UMNO. Jika UMNO telah mula menyentuh Sarawak tentu isu perkauman akan menjadi hangat dan akan terus membelah kesatuan diantara kaum disana. Pimpinan UMNO hanya kuat jika ada perbalahan diantara rakyat dan inilah lebihnya TSTM dengan pimpinan UMNO Persekutuan. TSTM kekal dengan gah sebagai pemimpin terulung dan terlama dalam keadaan aman damai. Itulah kekuatan TSTM yang sebenarnya kerana beliau berkemampuan untuk menyatukan semua suku kaum dan agama sejak mula menjadi Ketua Menteri Sarawak itu dan telah kekal selama 33 tahun sebagai Ketua Kerajaan.

Dr Mahathir sebaliknya terpaksa memecah belahkan partinya sendiri untuk kekal hanya 22 tahun berbanding dengan TSTM yang kekal selama 33 tahun tanpa membelahkan partinya sendiri. UMNO telah mewujudkan dua parti serpihan, Semangat 46 dan PKR semasa pentadbiran Dr Mahathir.

Walau apa pun kita jangan begitu yakin yang kestabilan semasa TSTM itu akan berulang di zaman pentadbiran penggantinya sebab pimpinan yang diasuh oleh TSTM belum lagi menunjukkan bukti tentang kekuatan kepimpinan mereka. Selama ini mereka hanya selesa kerana duduk dibawah dagu TSTM semata-mata. Sarawak tetap utuh walaupun kepimpinan Persekutuan sedang menghadapi krisis keyakinan yang begitu besar sekali dalam sejarah negara merdeka kita ini.

Hanya kita berharap keadaan yang berlaku di Semenanjung tidak akan berlaku di Sarawak. Semoga pilihan TSTM untuk menunjuk penggantinya itu merupakan pimpinan yang mampu untuk mengekalkan kestabilan politik negeri kenyalang yang pesat membangun itu.

Jika diukur dari segi jangka masa pentadbiran dan kuasa yang diperolehi TSTM merupakan yang paling berjaya dan ikuti oleh Dr Mahathir Mohamed yang menguasai negara selama 22 tahun itu.

Najib pula merupakan yang paling tidak berjaya kerana baru menguasai 4 tahun sahaja kuasa kerajaan beliau telah menghadapi desakan yang amat kuat untuk bersara dan yang paling kuat desakan itu datangnya dari Dr Mahathir.

Tetapi seperkara yang harus difahami, yang saya maksudkan ialah penguasaan siasah negara sahaja, bukannya menguasai politik negara yang bermoral. Saya menyebutnya kerana dalam proses bertahan selama yang dikehendaki mereka itu banyak isu moral telah diketepikan sehinggakan banyak institusi demokrasi telah jahanam kerana mempertahankan pemimpin yang moral mereka terbuka untuk dipersoalkan.

5 comments:

Anonymous said...

Saya amat setuju dengan pendapat tuan.Apa yang berlaku diMalaya itu adalah disebabkan oleh desakan peribadi untuk kekal mengawal dan terus berkuasa.Untuk menjadi yang kuat dan berkuasa lebih lama tidak boleh sama sekali mengunakan sentimen dalaman yang akhir sekali akan memecahbelahkan diri sendiri seperti yang berlaku kepada umno, berbeza dengan Sarawak yang mengunakan sentimen luaran iaitu sentimen ancaman umno kepada kestabilan negeri sarawak.

ahmadyaniDotCom said...

Sebab itu agaknya TSTM mahu 'Gabenor' Sarawak. Supaya dia masih boleh dan masih ada ruang memantau dan menegur penggantinya nanti.

awang batuburok said...

Salam Tuan Aspan,

Memang benar politik berbagai kaum agak tenang di Sarawak kerana ketiadaan Umno dan Perkasa yg memperjuangkan ketuanan Umnoputra. Dimana ada Umno-Perkasa maka disitu akan wujud politik rasis yang melampau. Tidak ada "rule of law" sebagaimana yg sedang berlaku di Sem Malaysia. Diskriminasi terhadap rakyat Kelantan, Terengganu (1999-2003) adalah merupakan fakta yang nyata dan tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun yg berfikiran waras.

Suffian said...

kedua-dua jenis kepimpinan samada di semenanjung ataupun sarawak...pada saya tak apa yg nak dibanggakan . Tak ada apa yg nak disanjung dgn rekod lama mentadbir Taib Mahmud dan khayalan perpaduan yg dibawa oleh Taib Mahmud.
demokrasi ialah akhirnya bak kata Lincoln..Government of the people, By the people, for the people......
Tapi kita disini...Government of the politician, perut politician dan perut kroni2 yg sewaktu dengannya.
Terimakasih.

Unknown said...

Hardwork pays.